07 June 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Ulek Banda'

Satu perkara yang aku kagum dengan Senibayan dan pasukan produksi DBE42 atau Dewan Budaya USM, ialah konsistensi mereka menghasilkan karya-karya yang memartabatkan seni budaya tradisi. Ulek Banda bukanlah karya terbaru. Kerana ia telah dipentaskan di Festival Dekon Makum di UMS dan juga sempena Pertandingan Skrip Pentas DBP. Menang skrip terbaik kalau tak salah aku.


Ulek Banda adalah permainan tradisi yang telah pupus. Dimainkan di Pantai Timur. Juara akan mengawal anak banda melalui jampi serapah, hingga anak banda itu berada dalam keadaan tidak sedar diri, terpukau atau tranz. Dan juara itu akan mengarahkan anak bandanya menari makyung, bersilat, main peteri atau sebagainya lagi. Konflik cerita ini bila seorang lagi juara muda, cuba mengubah corak ini dengan memasukkan elemen moden seperti lagu dangdut, rap dan sebagainya.


Di sinilah terletaknya kekuatan nilai skrip Ulek Banda, di mana nilai-nilai tradisional ini diangkat dan diperkenalkan dengan cara yang halus dan diterima oleh masyarakat. Di sinilah terletaknya niche area Dewan Budaya, yang tidak ada pada kebanyakan grup teater lain di sebelah Utara ini. Di sinilah keistimewaan mereka.


Tetapi sayangnya, Ulek Banda yang dinaiktaraf untuk Manifestasi Teater Pulau Pinang ini menjadi sebaliknya. Dari sebuah naskhah pendek dengan tiga pelakon; Tapa Juara Ulek Banda, Seman Juara Muda Ulek Banda dan Puteri Anak Banda, ia dikembangkan menjadi teater selama 1 jam 15 minit dengan watak-watak tambahan seperti Kak Lijah isteri Tapa, Husin dan Hamid, penghasut Seman dan cemburukan Puteri, serta watak-watak budak-budak kampung. Tetapi aku mendapati naskhah baru ini seperti ada yang tidak kena.


Aku menonton pementasan ini dengan resah gelisah kerana perjalanan cerita ini terasa lambat. Mungkin juga kerana aku sudah tahu intipati cerita ini yang mengakibatkan aku jadi begitu, namun aku rasa itu bukan penyumbang utama. Teater ini bergerak perlahan dari segi temponya. Dari satu babak ke satu babak, aku seperti tercungap-cungap bak ikan di lopak air yang kering. Segalanya bergerak senada, tiada moment dramatik yang menjadi kecuali di babak terakhir bila berlakunya konfrontasi Tapa dan Seman dan kemudiannya Puteri menjadi mangsa. Ya, inilah babak terbaik yang membawa konotasi bahawa sekiranya tradisional dan moden berkelahi, yang menjadi mangsanya adalah golongan muda.


Dari segi lakonan, di peringkat manifestasi teater negeri Pulau Pinang, aku kira mereka berjaya membawakan pelakon dengan lakonan yang terbaik setakat ini. Namun, jika kayu ukurnya adalah USM, maka lakonan mereka jatuh ke peringkat biasa sahaja. Tapa yang ditangani oleh Norhelmi Othman, pelakon veteran yang cemerlang, nampak meyakinkan, namun masih kucar-kacir perwatakannya. Seman yang dibawakan oleh pelakon veteran Nawi Mohd, juga meyakinkan dan bagus, tetapi aku pernah melihat lakonan beliau yang lebih baik dari ini. Lijah, dibawakan oleh Jumie Samsudin, adalah pelakon baru. Ini kali kedua beliau berlakon berbanding watak mak ayam yang sangat berbeza dengan watak Lijah, isteri Tapa. Sebagai pelakon baru, lakonan beliau sudah cukup baik, tetapi masih belum memenuhi keperluan watak sebagai isteri yang mendokong dan menyokong usaha suami dan menanggung bebanan suami. Manakala watak Puteri yang ditangani oleh Aimy Azmi, pelakon yang agak berpengalaman, juga baik. Namun juga belum memenuhi keperluan watak. Puteri bukan sekadar anak banda, Puteri ini membawa tanggungjawab antara patuh kepada Tapa atau Seman serta menghadapi konflik dengan Husin.


Dan kekurangan yang paling ketara ialah bila berlakunya perubahan babak, lampu dipadamkan lebih dari 10 saat. Mungkin ada sesetengah pihak yang berpendapat, teater yang memadam lampu untuk perubahan babak sangatlah 80an. Tetapi pada aku itu tidak menjadi masalah asalkan dia dilakukan dengan betul tanpa menganggu momentum cerita dan mood audien. Kalau padam lampu tak boleh, kita tak boleh buat bangsawanlah. Tetapi kesnya di sini kerana pemadaman lampu itu agak lama, sedangkan aku berpendapat ia dapat dilakukan kurang dari 10 saat. Banyak ketika pelakon tidak pula menyalin baju. Kalau ada yang menyalin baju pun, mereka masuk agak lewat ke sesetengah babak. Dan latar hias juga bukanlah latar hias yang berubah-ubah. Latar hias teater ini tetap tidak berubah iaitu rumah dengan beranda, pelantar ulek banda, pangkin, kedai makan dan meja makan dan kerusi-kerusi. Jadi tiada masalah sekiranya urusan teknikal tukar babak ini dilakukan sepantas yang mungkin.


Tetapi walau bagaimana cacat sekalipun pementasan ini, aku tetap menyanjung dan memuji nilai teater ini. Bercakap tentang hal tradisional ini bukan suatu perkara yang mudah. Cuma sayangnya aku merasakan kali ini apa yang nak disampaikan itu mungkin kurang sampai, dek kekurangan yang sama ada disengajakan atau tidak disengajakan, yang mungkin membuatkan audien (kalau bukan semua, setidaknya aku) terkapai-kapai. Aku meletakkan teater Ayu Si Puteh sebagai kayu ukur, kerana melalui teater itu, tiada penafian dari mana-mana pihak tentang kehebatan dan keberkesanannya. Ulek Banda (untuk manifestasi) agak jauh ketinggalan.


Namun, ia tetap satu usaha yang harus dipuji oleh semua pihak. Kredit kepada Senibayan dan juga pengarah muda Azhar Jalil (tidak mudah berubah dari sesuatu yang extravaganza seperti Kasanova ke sesuatu yang modest seperti Ulek Banda) yang mahu terus berkarya dan memberikan tunjuk ajar kepada grup-grup teater lain, sama ada baru yang lama.

Aku mengalu-alukan pendapat kalian pula.

Antara komen lain - Jumie Samsuddin

6 comments:

Jumizah Samsudin said...

Thank you En. Yusof!! Saya belajar banyak daripada apa yang disampaikan dalam article ni. Nampak dan lihat dari mata orang yang berpengalaman. Thank you again.

ps/ anak cucu tumpang lalu na

Penjejak Badai said...

Wei..ayu si puteh disebut2 plak..tringat set dia la tu..hahahahahaa

Pegawai Khalwat said...

Jumie
Sekadar menyuarakan pendapat peribadi. Setiap orang punya pendapat yang berbeza. Saya pun mengalu-alukan orang mengomen dan mengkritik karya saya. Kritikan akan buat kita lebih matang dan tabah.

Penjejak Badai
Itu benchmark woi. Seriusly bergenang air mata aku tengok cerita tu. Tapi yang versi negeri la, bukan yang penilaian semula.

Penjejak Badai said...

negeri laa....hahahaha..penilaian tu mmg dah xbest..hahah..che mat siap merungut2 lagi masa saya approch dia belakon...

beeRamza said...

Ayu Si Putih masih kekal di tangga teratas! hipp hippp!

Anonymous said...

Terima kasih atas komen yang diberi. Tahniah kepada seluruh tenaga produksi Ulek Banda yang sedaya upaya memberi. Naskah dan produksi yang berpotensi namun masih banyak ruang yang perlu diisi dan diperbaiki. Kepada sekelian new comer @ fresh meat teruskan keghairahan. Tak lupa juga ucapan TAHNIAH kepada En.PK yang istiqamah mengulas dan memberi isi.