Tidak lama lagi, Marvel's Avenger : Age of Ultron akan ditayangkan. Salah satu watak utama di dalam Avengers ialah Thor, watak dari komik, yang juga dikutip dari mitos bangsa Norse atau Norway. Thor sendiri muncul dalam dua buah filem iaitu Thor dan Thor : The Dark World. Di dalam ke empat-empat filem ini, Thor digambarkan sebagai hero yang gagah kacak dan sempurna.
Thor dan Loki di dalam chariot
Tetapi mungkin tidak ramai yang tahu, jika mengikut salah satu mitos berkaitan Thor, yang paling terkenal di negeri-negeri Scandinavia datang dari puisi Eddic, 'The Lay of Thrym'. Puisi ini menceritakan bagaimana Thor kehilangan senjata penukulnya ketika tidur, dicuri oleh Thrym, raja gergasi dari negeri Jotunheim. Loki, adik Thor pergi menyiasat dan Thrym mengakui beliau menyorokkan penukul itu di dalam tujuh lapis perut bumi, dan menuntut agar Freyja diserahkan kepada beliau untuk dijadikan isteri. Freyja ialah dewi kesuburan penduduk Scandinavia.
Freyja Dewi Kesuburan
Dipendekkan cerita, Heimdall mencadangkan satu idea, iaitu supaya Thor mengenakan pakaian pengantin perempuan, dengan Loki sebagai pengapit, dan bertemu dengan Thrym untuk mengakalinya. Semasa majlis perkahwinan berlangsung, Thor sebagai pengantin memakan habis seekor lembu, lapan ekor ikan salmon dan tiga tong bir. Thrym sangsi, tetapi Loki segera mengatakan kerana terlalu gembira, pengantin perempuan lupa makan selama tujuh hari tujuh malam. Sebagai syarat perkahwinan, penukul Thor diminta diletakkan di paha pengantin perempuan. (Gaarder, 2006) Apabila penukul diletakkan di atas paha pengantin perempuan, kalian sendiri boleh bayangkan apa yang terjadi.
Thor dipakaikan pakaian menyerupai Freyja
Dan mungkin kalian boleh bayangkan juga, apakah mitos asal ini akan difilemkan oleh Hollywood, setidaknya atas dasar menghormati karya asal? Kalian boleh jawab sendiri persoalan ini. Inilah antara kerosakan yang dilakukan oleh kapitalis terhadap seni dan budaya. Mereka menjentik rasa ingin tahu dengan perkara yang paling dekat dengan diri kita, iaitu budaya. Dan rasa itu ditelanjangkan dengan kehendak komersil atas lesen kreatif.
Tidaklah aku menentang seratus-peratus lesen kreativiti ini, tetapi tanggungjawab sebagai pembikin seni adalah memastikan karya mereka itu mempunyai nilai yang sesuai dengan budaya pada masa sekarang, untuk masa depan. Kerana karya-karya mereka ini akan menjadi rakaman sejarah secara tidak langsung, yang menentukan aras peradaban manusia masa kini dan masa akan datang. Komen ini meluas, tidak hanya pada filem Hollywood, tapi juga pada medium seni budaya yang lain. Jangan kita jadi kapitalis budaya, kerana wang itu tidak kekal, budaya yang akan kekal. Itupun kalau tidak hilang ditelan arus zaman.