28 November 2016

Ulasan Yang Terpulas - Monodrama 'Bercakap Dengan Salbiah'

10 jam aku memandu dari Kelantan, langsung ke Sungai Petani, patah balik ke Jawi dan akhirnya tiba ke Sinkeh. Kerana aku tahu perjalanan ini pasti berbaloi kerana di dalam Siri Wayang di Sinkeh, berlangsung malam terakhir Bercakap Dengan Salbiah karya dan arahan pengarah muda Noor Rizuwan dan diperankan secara monolog/monodrama oleh pelakon muda Darynn Wee.





Ternyata telahan aku tidak meleset.
Teater Monodrama Bercakap Dengan Salbiah merupakan interpretasi Noor Rizuwan tentang 'urban legend' kelibat hantu Salbiah yang kerap dilaporkan muncul di Jalan Lembah Permai atau lebih dikenali sebagai Jalan Bukit Salbiah. Menariknya, kerana interpretasi beliau melihat sisi imaginasi dan juga realiti kes sebenar pembunuhan Salbiah, yang beliau ambil dari fakta kes awam mahkamah. Satu kaedah bijak terutama bila menghasilkan cerita berteraskan kisah benar.




Antara kegemaran Noor Rizuwan ialah bermain dengan visual yang membentuk signify dan signifier yang ketara. Dan manisnya visual itu, kerana ia cantik dan turut membantu merancakkan mood cerita. Bermain dalam ruang yang kecil, visual yang dipertontonkan tidak jelek dan mencukupi.




Darynn Wee pula walaupun bukan kali pertama memeran pelbagai watak dalam monodrama, tetapi masih boleh dianggap pelakon baru yang jika diberi peluang dan ruang, beliau boleh pergi jauh. Memeran 4 watak yang berbeza memang memberikan cabaran terutama untuk meyakinkan penonton bahawa setiap watak yang dibawa itu berbeza perwatakannya. Dan beliau berjaya!



Namun ada beberapa ketika Darynn Wee dikesan 'off character', mungkin atas sebab-sebab tertentu. Dan kelemahan beliau yang paling ketara ialah pada watak lelaki. Namun masih boleh diperbaiki.




Minggu ini akan ada cerita baru di Wayang di Sinkeh. Maklumat lanjut boleh tala kepada Noor Rizuwan sendiri.





29 June 2016

Kontang Idea

Rupa-rupanya 2016 aku belum post apa-apa langsung. Bukannya bererti aku menyepi dari aktiviti teater, tapi rasa untuk menulis itu sudah berkurangan. Apakah kerana faktor usia atau aku kini lebih berhati-hati bila memberi pendapat. Nak kata tiada idea itu, tidaklah juga. Tapi faktor itu belum dapat dikenalpasti secara pasti.

Apa yang pasti, 2016 aku dah bermula dengan teater interaktif Inter/ACT 2.0, dan kini sedang menunggu untuk mementaskan teater Sang Juri, adaptasi 12 Angry Men. Pada masa yang sama, terlibat dengan beberapa projek kecil di PenangPac serta membantu rakan-rakan seperti Sekenet menyiapkan teater kanak-kanak AaBaTa.

Moga aku terus diberi kekuatan. Kerana kekuatan itu pernah hilang dua tahun lepas.