25 February 2014

Teater Yang Subjektif

Menilai teater adalah kerja yang subjektif.

Teater seperti sebuah pertandingan memasak, jika jurinya chef profesional, kriteria penjurian berdasarkan rasa, tekstur, komposisi, teknik, persembahan dan lain-lain lagi. 

Jika jurinya tukang masak tanpa pendidikan formal, mungkin kriteria penjuriannya cuma melihat pada rasa dan persembahan. 

Jika jurinya orang awam, mungkin rasa yang menjadi kriteria utama.

Jadi tidak salah jika tukang masak tanpa pendidikan formal menilai Ikan merah panggang dengan herba & lemon dikaramel serta risotto timun dengan pendapat mereka sendiri.

Dan chef profesional menilai nasi putih, kari ikan kacang, pekasam sepat, ulam kacang kelisa, sambal belacan dengan pendapat mereka sendiri.

Oleh itu, untuk penjurian teater, segala kemungkinan boleh berlaku.

- Yusof Bakar





Teater Bisikan Cinta oleh Kersani

24 February 2014

Teater dan Makanan

Teater ni macam makanan.
Belajar teater ni macam gastronomi.
Pembikin teater ni macam chef atau tukang masak.
Dan penonton teater ni macam pengunjung restoran atau kedai makan.

Ada makanan yang sedap, tapi tak berkhasiat.
Ada makanan yang berkhasiat tapi tak sedap.
Ada makanan yang mengenyangkan, ada yang tidak.
Ada chef lima bintang Michelin, ada tukang masak warung, ada yang baru belajar masak.
Ada yang memasak ikut gastronomi, ada yang buat ikut suka saja.
Ada pengunjung suka makan di restoran, ada di warung, ada di rumah.
Ada pengunjung suka makanan yang berkhasiat saja, ada suka yang sedap saja, ada suka yang kenyang saja.

Pendek kata, adalah mustahil memuaskan hati setiap pengunjung secara keseluruhan.

Jadi senang cerita, masaklah saja. Setiap makanan ada peminatnya.

-Yusof Bakar

12 December 2013

Berhabuk

Hampir 6 bulan blog ini berhabuk.
Rasa malas untuk mengemaskini menguasai diri, hampir kepada tiada motivasi.
Semangat, kau muncullah!

11 June 2013

Ulasan Yang Terpulas - Rumah Boneka


Pementasan Rumah Boneka, karya Henrik Ibsen, arahan Fiza Noh. Watak Nora Helmer oleh Hayatie, Torvald Helmer oleh Taufiq Apek, Kristine Linde oleh Cik Faiz Akmal, Krogstad oleh Sheikh Rahman, Ann-Marie oleh Eyta Laila dan Dr. Rank oleh Kayrol Uncle, adalah pementasan kedua untuk Projek Tahun  Akhir Pelajar Lakonan & Pengarah, Pusat Pengajian Seni  USM, sempena program RINTIS : SHIFT. 


Taufiq Apek (Torvald) dan Hayatie (Nora)

Cerita ini cuba mengekalkan period naskhah  iaitu pada tahun 1879, Copenhagen, Denmark. Itu adalah suatu kerja yang amat sukar, meskipun untuk sebuah grup teater amatur, apatah lagi sebuah produksi projek pelajar seperti ini. Justeru itu, aku kagum dengan usaha yang dilakukan oleh produksi ini. Sinopsis? Sila Google atau Yahoo! Namun, seperti di dalam mana-mana teater dengan aliran Realisme, produksi ini menghadapi kesukaran memberikan kepercayaan tinggi kepada audien, bahawa mereka ini hidup di dalam period itu. Tambahan pula skrip ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, maka laras bahasanya menjadi agak janggal. Nyaris-nyaris seperti menonton telenovela alih bahasa. Nyaris-nyaris...


Eyta Laila (Ann-Marie) dan Hayatie (Nora)

Kekurangan utama pementasan ini adalah apabila para pelakon kelihatan bertungkus-lumus untuk menghidupkan watak masing-masing. Mereka kelihatan tidak selesa dengan watak masing-masing, sehinggakan pada satu tahap, seperti sekadar memuntahkan dialog untuk dijamah oleh audien. Kekurangan ini agak menganggu aku. Ditambah lagi kurangnya permainan pentas yang menyebabkan aku seperti melihat lukisan dinding yang kaku.


Kayrol Uncle (Dr. Rank), Nora dan Kristine (Cik Faiz Akmal)

Kekuatan pementasan ini terletak pada kesungguhan produksi ini, yang sedaya upaya mengekalkan originaliti persembahan, selain daripada menterjemahkannya kepada Bahasa Melayu. Langkah ini sebenarnya memberikan nyawa kepada  pementasan ini. Pastinya lebih mudah jika naskhah ini dipentaskan di dalam nada kontemporari, tetapi itu bukanlah pilihan produksi ini.


Sheikh Rahman (Krogstad) dan Kristine

Secara keseluruhan, pementasan ini masih dikira berjaya kerana ia berjaya mengekang penonton daripada keluar awal, sedangkan tempoh pementasan mencecah hampir 2 jam. Cuma suhu panggung yang terlalu sejuk, agak menganggu audien yang hadir tanpa persediaan. Mungkin mereka cuba mendapatkan mood Krismas agaknya, kerana cerita ini bermula pada waktu Krismas.


Ahli produksi Rumah Boneka.

10 June 2013

Ulasan Yang Terpulas - Dari M Ke M

Teater Dari M ke M merupakan naskhah pertama yang dipentaskan bersempena Festival Rintis : Shift, iaitu Projek Pelajar Tahun Akhir Pusat Pengajian Seni, USM. Yang ini untuk Drama & Teater. Karya asal Lenny Erwan, diarahkan oleh Cherry Chang dan dilakonkan oleh Huda Bakar, Zool Ahmad dan seorang lagi pelakon.


Huda Bakar sebagai pelakon utama.

Dipentaskan di Panggung Sasaran, USM, teater yang bernafas realisme ini menarik untuk ditonton kerana skripnya yang kuat. Tapi, bila bergerak atas nahu realisme, seperti biasa antara elemen penting yang menjadi perhatian, iaitu aspek lakonan. Meskipun tidak mengecewakan, namun lakonan para pelakon utama cuma berada di paras selamat. Semestinya aku menjangkakan sesuatu yang ekstra dari pelajar Lakonan & Pengarahan yang tiga tahun mengaut ilmu di USM. Lakonan mereka masih boleh diterima oleh audien yang hadir, tambahan pula ada unsur lelucon di dalamnya.


Zool Ahmad sebagai watak lelaki utama.

Pendapat aku lagi, teater ini agak kurang menyerlah dari segi kerja pengarahan. Mungkin kerana ketiadaan pengalaman Cherry Chang sebagai pengarahnya. Plotnya nampak kosong dengan pelakon hanya memuntahkan dialog semata-mata. Namun, seperti yang aku katakan, itu pendapat peribadi aku yang mungkin dah banyak menonton teater. Sebagai sebuah teater, Dari M Ke M masih berjaya menambat hati penonton.


Huda Bakar dengan aksinya.

Latar hias mencukupi untuk mencadangkan kepada penonton bahawa lokasi itu merupakan sebuah stesen yang ditinggalkan. Setidaknya Cherry Chang dan pasukannya lebih rajin dari aku, menyiapkan sebuah pentas yang ada latar hias. Kalau aku, main pakai kain saja. Pemalas. Pendek kata, Cherry Chang berjaya membuatkan penonton percaya bahawa itu adalah stesen keretapi yang dah lama tidak dijejaki manusia.


Pelakon tambahan. Apa nama entah?

Seperti yang aku sebutkan tadi, bila bergerak di dalam nahu realisme, penonton kerap akan meminta yang lebih. Kerana bila sesebuah teater memaparkan cerminan realiti, maka penonton akan tersedut ke dalam ruang cermin itu, dan akhirnya akan membandingkan dengan realiti yang mereka lalui. Itulah sukarnya bila cerita realisme dipentaskan. Setidaknya, sukar untuk penonton tua seperti aku. Audien yang baru pertama kali menonton, atau menonton karya kawan-kawan, pastinya tidak begitu kejam seperti aku.


Ahli produksi Dari M Ke M

Akhir kata, Dari M ke M masih lagi sebuah pementasan yang berjaya. Cuma aku ini agak mengada-ngada. Dah tua agaknya. Tahniah kepada produksi ini, harapan aku mereka tidak berhenti setakat itu, dan terasa hati dengan komen orang tua ini.

28 May 2013

Teater 'Hati Anak Hantu'



Teater 'HATI ANAK HANTU'
7 & 8 Jun 2013
Panggung Sasaran, USM
RM 10.00

Untuk maklumat lanjut sila lawati fanpage FB : Bakawalee Penang


Para pelakon utama Hati Anak Hantu.

14 January 2013

Hutang Entri

Tahun 2012, satu bulan Disember aku tidak berentri. Mungkin kerana merajuk kepada Google yang mengehadkan jumlah gambar yang boleh aku upload. Maka aku berhutang beberapa ulasan yang terpulas seperti teater Lima, Ini Rumah Kita dan Orang Minyak : Jangan Pilih Pintu Belakang. Rasa macam tak lengkap kalau buat ulasan tanpa gambar. Nanti kalian kebosanan dibunuh oleh kata-kata aku.

Namun bagi membuka tirai 2013. Kugagahi juga menulis entri ini. Rasa seperti sudah berkarat ayat-ayat yang mahu aku putarkan.

Tidak mengapa.

Hidup perlu diteruskan.

27 November 2012

Iklan - Teater 'Cumbuan Dosa Semalam'

Lama betul tidak menulis entri. Sejak dari Festival Teater Malaysia, hingga selesai teater Lima oleh Lena Farida Chin, tak ada satu pun yang sempat aku rebiu kan. Memang maha sibuk!

Tapi dalam sibuk-sibuk itu, aku menggagahkan diri juga untuk menerbitkan semula teater Cumbuan Dosa Semalam oleh Bakawalee Penang.

Maaf tidak dapat upload poster. Ini kerana kuota gambar aku untuk blog aku dah penuh. Lepas ni kena buang gambar-gambar lama

Tarikh : 20, 21, 22, & 23 Disember 2012
Tempat : Panggung Pelenggang Cahaya, Pusat Pengajian Seni, USM
Masa : 8.30 malam
Masuk : RM 10.00


Sinopsis

Sebuah teater yang memaparkan sifat manusia yang ketagihkan dosa-dosa lampau. 4 buah cerita realisme yang taboo tetapi dekat dengan masyarakat akan dipertontonkan

Nadia/Latifah

Nadia adalah seorang lesbian yang tegar. Hubungannya bukan setakat pada peringkat emosi, tetapi menjurus kepada hubungan fizikal. Dan Nadia kini senantiasa ketagihkan hubungan itu. Pertemuan dengan Latifah menyebabkan dia terpaksa merasionalkan tindakannya.

Nurul/Shahril

Nurul merupakan seorang ibu yang kemurungan akibat kematian anak tunggalnya. Beliau kerap mengalami gangguan delusi kerana merindukan anaknya. Suaminya, Shahril terpaksa bersabar dengan kerenah Nurul. Satu hari, kesabaran masing-masing mencapai hadnya.

Enna/Eddy

Enna seorang gadis yang sosial tapi setia pada cinta. Enna mengandung, anak orang yang dicintainya, Eddy. Eddy itu acuh tak acuh dalam perhubungan, tidak mahukan anak itu, mahupun perhubungan yang sah.

Faridah/Khairul

Faridah seorang isteri yang setia. Terlalu setia. Walau kepada suaminya, Khairul yang panas baran. Nadia selalu menjadi mangsa keganasan rumah tangga, tetapi beliau tetap tidak mahu melaporkan keadaan suaminya kerana terlalu sayangkan rumahtangga mereka.

Fakta Cepat :
- Seramai 26 orang pelakon terlibat secara langsung.
- Setiap malam anda akan dapat menonton 4 cerita yang sama, tetapi oleh pelakon-pelakon yang berbeza.
- Membariskan pelakon-pelakon teater baru dan lama
- Membariskan pengarah-pengarah teater baru

Bayaran masuk : RM 10.00

26 July 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Kera Gergasi' oleh Sekenet

Ulasan ini datang agak terlewat. Rasanya berminggu-minggu lewat. Tapi imej-imej pementasan ini masih segar di minda aku. Aku rasa Kera Gergasi oleh Sekenet adalah teater berskala besar tapi penuh penjimatan berbanding teater-teater mereka yang lain seperti Kisah Si Semut dan Belalang Kenit. 



Kera Gergasi bukan teater kanak-kanak, dan ia bukan teater khusus untuk kanak-kanak. Kerana ia dilakokan oleh bapak dan mak kanak-kanak serta isi ceritanya juga keras, kerana mempunyai maksud yang tersirat. Tetapi ia masih boleh ditonton oleh pelbagai lapisan, dan tafsiran oleh audien bergantung kepada pengalaman, latar belakang dan tahap intelektual mereka.



Pendapat aku, Kera Gergasi boleh dilabelkan sebagai satira. Kerana kritikan pedas naskhah ini terhadap isu sosial, politik dan survival bangsa. Tidak mudah membaca subteks dan metafora yang wujud di dalam nashkah ini. Memerlukan kesungguhan. Tambahan lagi bila melihat telatah beruk, kera, mawas yang sama ada mengundang kelucuan atau mungkin mengundang persoalan. Telatah ini seperti camouflage yang melindungi maksud-maksud tersembunyi secara bijak.



Tidak mudah juga mengarahkan sebuah pementasan dengan jumlah pelakon yang ramai serta kerja teknikal yang banyak. Maka kredit kepada pengarah yang bijak mengatur aras latar dan aras pelakon-pelakon yang bak buah catur, berada di merata tempat. Juga kerja-kerja muzik yang mengadaptasi lagu-lagu popular dan diubah lirik yang sesuai dengan jalan cerita.



Tetapi oleh kerana Kera Gergasi bertunjangkan watak-watak kera yang mengembara mencari pisang emas yang dicuri oleh katak gergasi, lakonan menjadi isu penting di dalam cerita ini. Sayangnya kerana meskipun para pelakon berjaya menimbulkan kepercayaan bahawa mereka adalah spesis kera, tetapi tidak cukup mantap dari segi aksi, reaksi dan interaksi. Seperti tidak ada harmoni di dalam lakonan mereka. Mungkin kerana jarang berlakon atau yang berlakon itu kebiasannya berada di belakang tabir sahaja. Tapi ini tetap bukan alasan.






Apa-apa pun tahniah kepada kumpulan Sekenet kerana berjaya mementaskan Kera Gergasi. Aku tahu ia bukan satu kerja yang mudah. Meskipun tidak sempurna (mana ada pementasan yang sempurna lagi pun kan?) namun ia satu usaha yang patut dipuji. Teruskan lagi!

28 June 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Mambo Horse' oleh AUCMS

Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) di bawah grup VOICE merupakan antara grup baru yang aktif mengembangkan sayap mereka di dalam pementasan teater. Bermula tiga tahun lepas dengan Mencari Juita, kemudiannya Muzikal Mahsuri dan kini Mambo Horse karya Roslee Mansor, aku melihat perkembangan mendadak mereka dari sudut kualiti pementasan.


Aku kira Mambo Horse ini, karya Roslee Mansor yang dah mencecah hampir 20 tahun usianya. Semasa dipentaskan dan diarahkan sendiri oleh beliau, watak utama Mona ditangani oleh Erma Fatima, Karim oleh Rosyam Nor dan Engku oleh Zaidi Omar. Aku tidak pasti watak-watak lain. Jadi kalian pasti dapat bayangkan betapa mantapnya ensemble yang telah diatur untuk pementasan asal naskhah ini.


Mambo Horse berlatar belakangkan 2000an (terima kasih Puan Linda kerana membetulkan fakta ini), di rumah pelacur kelas pertengahan. Mona menjadi pelacur akibat dirogol oleh bapanya sendiri, yang pada ketika itu gila isim (merasionalkan tindakan si bapa?). Mona melahirkan anak, dan dihalau dari rumah. Bila dah besar, anaknya Karim, kerap meniduri Mona, ibunya sendiri kerana tidak tahu status sebenar, malahan mencintai Mona. Pada masa yang sama, Mona juga dicintai Engku yang mahu mengahwininya. Akhirnya segalanya terbongkar.


Kekuatan naskhah ini banyak terletak pada permainan watak Mona, Karim, Engku dan Ayah. Dan di sinilah VOICE AUCMS belum dapat untuk menampilkan pelakon yang mampu mengangkat watak-watak utama ini, terutamanya Mona. Mona di dalam produksi ini, cuma memuntahkan dialog tanpa ledakan emosi yang mencukupi untuk memaut perasaan audien. Begitu juga watak-watak lain seperti Karim dan Engku yang tidak cukup membantu Mona. Malah dikeruhkan lagi dengan kehadiran ayah, pada adegan yang sepatutnya menjadi klimaks emosi di dalam naskhah ini.


Sudah pastinya aku memahami kekangan-kekangan grup seperti VOICE, yang banyak bergantung harap kepada para pelajarnya. Latihan yang tidak mencukupi, masa yang tidak mencukupi, pengalaman pelakon yang tidak mencukupi; pendek kata, serba serbi tidak mencukupi. Itulah cabaran grup di bawah institusi pengajian tinggi. Tambahan pula para pelakonnya yang datang dan pergi setiap tiga tahun. Saranan aku, jangan sia-siakan 3 tahun yang ada untuk melatih para pelakon yang ada. Mulakanlah dengan mini projek seperti mini teater atau monodrama, maka pelakon-pelakon ini akan meningkat mendadak dalam masa yang singkat.


Dari segi sinografi, produksi ini mempunyai usaha yang bagus. Latar bar, walaupun menjauhi latar asal naskhah iaitu rumah pelacuran, amat cantik, meyakinkan audien dan menyelamatkan sebahagian besar pementasan ini. Aku mempunyai pendapat yang sama dari segi kostum, yang meyakinkan mereka berada di kelab dan juga mereka adalah pelacur dan pelanggan. Tapi mungkin itu cuma menyakinkan aku yang tidak pernah ke kelab dan tidak pernah melihat pelacur di kelab.


Pengarahan Mambo Horse juga melihat kematangan yang ketara. Tidak lagi seperti sebuah sketsa, pengarah mengambil langkah bijak menetapkan spot-spot dan membekukan pergerakan watak ekstra lain untuk mengangkat kepentingan monolog Mona. Cuma ada beberapa ketika blocking pelakon ekstra seperti agak kelam kabut hingga menganggu fokus audien. Dan aku mempersoalkan penggunaan spot lampu pada babak akhir ketika Karim, anak Mona, mendapatkan datuknya, Ayah Mona. Kerana pada ketika itu, adegan realistik sedang berjalan, bukannya monolog atau adegan di bawah sedar.


Walau bagaimanapun, Mambo Horse oleh VOICE AUCMS masih sebuah teater yang berjaya menyampaikan mesejnya kepada audien yang hadir. Dan rata-rata komen audien menyukai pementasan ini. Tapi, biasalah, lain padang lain belalang. Dan tiap-tiap orang mempunyai citarasa yang berbeza. Pengalaman aku yang membuahkan kritikan sebegini. Aku merasakan VOICE AUCMS mempunyai potensi yang tidak terbatas untuk menjadi sebuah grup teater yang disegani di Malaysia, dengan syarat mereka konsisten dan tidak mengamalkan onani seni.


Sekali lagi, tahniah kepada VOICE AUCMS. Aku menantikan karya terbaru kalian.


18 June 2012

Bengkel Inkubator Penulisan Skrip Drama Pentas - Monodrama 2012 : Yang Lebih dan Yang Kurang

Monodrama, adalah suatu bentuk pementasan yang agak baru di Malaysia. Monodrama pertama adalah karya Dinsman iaitu Bukan Bunuh Diri (Zakaria Arifin, 2012) seperti yang aku kutip dari Bengkel Inkubator Penulisan Skrip Drama Pentas - Monodrama. Selain monodrama, ada 3 lagi bentuk pementasan lain iaitu komedi, muzikal dan bangsawan. Aku pergi ini pun salah satu sebabnya ia diadakan di Tanjung Bungah.

Bengkel ini memfokuskan kepada penulisan skrip, dengan panel fasilitatornya iaitu Zakaria Ariffin dan Ismail Kassan. Siapa yang terlibat di dalam dunia teater Malaysia, tetapi tidak pernah mendengar kedua nama ini, bolehlah mula belajar mengenali mereka. Kerana sekiranya nama-nama seperti Hussein Onn, Tunku Abdul Rahman, Rosli Dhobi, Tok Janggut, Mat Kilau dan ramai lagi, akan muncul setiap kali kita menyebut tentang kemerdekaan, begitu jugalah situasinya nama Zakaria Ariffin dan Ismail Kassan yang mewarnai dunia teater kita. Malahan mereka ini merupakan antara figura penting perkembangan teater Malaysia.

Zakaria Arifin banyak memfokuskan kepada format penulisan skrip monodrama, disamping memberikan input-input idea untuk menghasilkan skrip yang bagus. Beliau menekankan penggunaan piramid Gustaz Freytag (1863) di dalam membina struktur dinamik di dalam penulisan skrip iaitu bermula dengan Eksposisi, Konflik, Klimaks dan Peleraian. Begitu juga penjanaan watak-watak protagonis dan antagonis yang dinamik dan mungkin juga statik, biarpun ini adalah monodrama. Serta menerangkan serba ringkas apa itu monodrama, monolog dan dekon. Hal ini akan aku perincikan kemudian.

Ismail Kassan pula memfokuskan tentang bagaimana mendapatkan idea untuk penghasilan skrip monodrama. Beliau mencadangkan beberapa kaedah seperti melihat masa lampau, masa kini, masa hadapan dan juga perihal yang tidak mungkin terjadi. Semua ini sama ada ditulis dengan fakta, atau mungkin juga adaptasi. Perkara-perkara berkaitan undang-undang, politik, agama, sistem sosial, adat dan budaya juga boleh dijadikan sumber idea. Malahan beliau turut mencadangkan agar flora, fauna, oceanografi dan fenomena alam juga patut diberikan perhatian. Ada juga perkara lain yang dibincangkan iaitu dua bentuk roh; mustaqarrah dan muntaqillah serta Junior Eysenck Personalitu Inventory Test. Tapi biarlah dibincangkan lain kali. 


Sebagai sebuah bengkel inkubator, aku rasa program ini berjaya memantapkan penulis sedia ada, melatih penulis baru dan memartabatkan monodrama ke satu tahap yang baru. Di akhir bengkel, hampir kesemua peserta berjaya menyerahkan draf pertama skrip monodrama mereka. Yang tidak menyerahkan itu, bukan kerana mereka tidak berjaya menyiapkan skrip berkenaan, tetapi berlandaskan gagasan idea mereka, masa yang singkat agak tidak mencukupi, di samping ada juga yang melalui masalah teknikal. Namun mereka semua akan menghabiskan draf pertama untuk diserahkan kepada Zakaria Ariffin. Begitulah komitmen kami!

Namun, isu yang agak besar, yang belum dapat dan tidak dapat diselesaikan di dalam bengkel ini, iaitu bagaimanakah format pementasan monodrama? Seperti yang kita tahu, mono itu satu. Jadi lakonan di dalam monodrama harus didokong oleh seorang pelakon sahaja. Namun jika memetik definisi oleh The Batsford Dictionary Of Drama (1988), seperti di dalam kertas kerja Zakaria Ariffin, 'Monodrama, Monolog, Dekon : Jangan Keliru dan Mengelirukan (2012), "Short entertainment by one actor or actress. It was supported by music and silent choral figures". Jadi apakah jika  kemunculan korus sepi / tidak bersuara, maka ia masih boleh diiktiraf sebagai monodrama? Dan bagaimana pula sekiranya, muncul watak kedua yang sepi/ tidak bersuara, watak realistik barang kali, apakah pementasan itu masih boleh dianggap monodrama? Bagaimana pula jika lebih dari satu watak berada di atas pentas, tetapi setiap satu watak cuma berlakon sendirian tanpa bereaksi dengan watak-watak lain, apakah itu diiktiraf monodrama? Zakaria Ariffin melihat kemunculan watak atau korus adalah pilihan yang boleh diterima di dalam monodrama. 

Namun jika menurut Dr. Abdul Samat Salleh pula, beliau lebih menggemari monodrama ala-ala monolog, iaitu cuma satu watak membawa cerita dengan pelbagai emosi yang bersesuaian dengan cerita. Manakala Ismail Kassan pula (mengikut pemahaman aku sepanjang bengkel ini), lebih menyukai skrip monodrama dengan beberapa watak yang boleh dilakonkan oleh seorang pelakon serta lebih cantik sekiranya melibatkan banyak  permainan emosi.

Juga tidak sempat dibincang secara mendalam di dalam bengkel ini ialah bentuk lakonan monolog, soliloquy dan aside. Meskipun disebut sepintas lalu, aku berasa bentuk lakonan tunggal ini patut juga diketahui oleh para penulis yang tidak semuanya terdidik secara rasmi di dalam teater dan penulisan (seperti aku.)


Jadi, alangkah moleknya jika dapat dibengkelkan sekali lagi penetapan apa itu monodrama, dengan menjemput kembali Zakaria Ariffin, Ismail Kassan dengan tambahan tokoh lain seperti Dr. Samat Salleh, Prof. Ghouse, Dr. Solehah, Hatta Azad Khan dan ramai lagilah tokoh-tokoh teater untuk membincangkan penetapan ini. Jika bengkel agak kecil bunyinya, mungkin Simposium/Konvensyen Monodrama Malaysia. Jika kita serius mahu mengangkat monodrama, maka ini harus dilakukan.

Tujuannya bukanlah kerana mahu menyekat kreativiti aktivis dan profesional yang ada di dalam mementaskan monodrama, tetapi cuma sebagai garis panduan agar kita tidak tersasar bila mementaskan atau mempertandingkan monodrama. Bila wujudnya penarafan yang berbeza oleh pelbagai pihak, maka boleh wujud rasa tidak puas hati (terutama bila melibatkan pertandingan), langsung menyemarakkan perselisihan.

Namun apa-apapun, bengkel sebegini harus diteruskan, untuk meramaikan lagi penulis-penulis baru. Lepas ini, mungkin boleh dibengkelkan sekali dengan pelakon dan pengarah. Di hujung bengkel, dapatlah menonton beberapa pementasan terpilih. Tahniah JKKN! Terima kasih kepada Zakaria Ariffin, Ismail Kassan, serta rakan-rakan penulis lain.

13 June 2012

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Rebah Di Tirai Besi'

Satu lagi kumpulan yang baru pertama kali menyertai Manifestasi Teater Pulau Pinang ialah Kelab Abet Budaya Politeknik Seberang Perai. Mereka bukan setakat pertama kali menyertai program ini, tetapi juga pertama kali berteater, dengan para pelakon yang pertama kali berlakon, pengarah yang pertama kali mengarah dan penulis skrip (yang juga pengarah) pertama kali menulis skrip. 


Jadi pastinya banyak kekurangan di dalam pementasan yang diarahkan oleh Shahrul Nizam ini. Meskipun Shahrul Nizam bukanlah orang baru di dalam arena teater ini, tetapi inilah kali pertama beliau menulis dan mengarah. Rebah Di Tirai Besi membawa penceritaan yang non-linear. Plotnya tidak bergerak selari. Kalau kalian nak tahu macam mana, cuba tonton filem Susuk atau Pulp Fiction.


Teater ini mengisahkan Sudin yang cemburukan Samad yang berjaya mengetuk pintu hati Salmah. Ibu Salmah sebenarnya mahu menjodohkan Salmah dengan Sudin yang lebih kaya, tetapi Salmah memilih Samad yang serba kekurangan. Dek kerana itu, Sudin yang juga kawan baik Samad, telah memfitnah Samad melalui rompakan bersenjata. Tapi akhirnya, kebenaran terbongkar jua. Tapi (tapi lagi), disebalik itu, yang mengenakan Sudin ialah penyanyi kelab malam (aku lupa nama dia) yang mencintai Sudin tetapi tidak dibalas.


Secara keseluruhan, teater ini berjaya bergerak sebagai satu cerita. Bagi aku yang telah membaca skrip ini lebih awal, mungkin tidak begitu mengelirukan, tetapi aku tidak pasti apakah situasi yang sama dihadapi oleh audien lain yang menonton cerita ini secara mentah. Tapi aku berperndapat, jika tidak semua, sebahagian dari mereka dapat menjamah isi cerita ini dan ada sesetengah dari mereka yang mempamerkan kekaguman dengan menyuarakan, "ooo... begitu rupanya", "oooo... begini ceritanya".


Kekurangan utama pastinya terletak pada nilai baru; baru dalam segala segi. Baru berlakon, adalah penyumbang utama keterlambatan pacing cerita ini. Walaupun temponya agak baik, tapi pacingnya agak perlahan. Pelakon-pelakon pula sekadar memuntahkan dialog yang dihafal seketul-seketul. Tiada chemistry, kurangnya aksi-reaksi-interaksi antara pelakon. Kalau ada pun, mungkin dibuat-buat atau dipaksa-paksa. Di sinilah yang menjadi sukarnya kerana pelakon perlu meyakinkan audien bahawa beliau adalah penjahat, orang yang teraniaya, suami, isteri. Untungnya kerana meskipun di dalam kekurangan itu, aku rasa audien masih dapat memahami dan menelan watak-watak yang dicadangkan oleh pelakon. Dan untungnya juga kerana lesen besar mereka ialah kali pertama.


 Dan kekurangan lain terletak pada kecelaruan konsep yang cuba ditonjolkan oleh pengarah. Kerana aku tidak pasti apakah teater ini bernahu realisme atau sebaliknya. Ada tiga ruang yang dijadikan latar oleh pengarah; pertama, ruang kelab malam, kedua ruang beranda rumah dan ketiga ruang serbaguna yang dijadikan mahkamah, kedai yang dirompak dan stesen keretapi. Menjadi masalah bagi aku bila ruang serba guna itu menjadi ruang yang betul-betul serba guna, dengan set suggestive dan lakonan yang suggestive juga. Keadaan itu menjadi kontradik berbanding latar kelab malam dan beranda rumah yang serba serbinya real. Analoginya seperti sebuah lukisan avant-garde dipamerkan dicelah-celah lukisan romantisme. Bukanlah tidak boleh, tetapi seperti tidak kena dan tidak menepati konsep. Jika ini adalah suatu eksperimentasi, ia sepatutnya berjaya meyakinkan, bukan menambahkan kecelaruan.


Walau bagaimanapun, pujian aku taburkan kepada kumpulan ini, kerana inilah satu-satunya kumpulan yang setelah beberapa tahun manifestasi teater dijalankan, berjaya membawakan seorang pelakon India untuk berlakon. Malahan beliau juga berlakon dengan baik, walau watak beliau sedikit.


Dan tahniah juga kepada kumpulan ini, yang berjaya menampilkan kerja-kerja artistik dan teknikal yang baik (bagi tahap kali pertama membut persembahan). Meskipun nampak kelam-kabut semasa pertukaran babak dengan menggunakan teknik kukus-gril-panggang-kukus-gril-panggang-kukus. Maaf, cubaan buat lawak yang tak menjadi. Pertukaran babak menggunakan teknik cerah-gelap atau tutup lampu/buka lampu, namun pertukaran ini berlaku dengan pantas sehingga mood audien berjaya dikekalkan. Tiada permainan semiotik, cuma pencahayaan digunakan untuk tujuan latar tempat sepenuhnya dan sedikit cadangan-cadangan emosi.


Pendek kata, adalah penting bagi kumpulan ini menerukan perjuangan mereka untuk berteater agar usaha mereka tidak terkubur begitu saja. Mereka punya potensi yang besar, selagi mereka berminat untuk terus berteater dan mahu belajar. Seni itu subjektif. Kritikan aku ini mungkin tidak dipersetujui oleh individu lain. Tetapi jika bercakap secara am, maka di sinilah arasnya. Jangan jadikan kritikan ini satu setback.


 Sekali lagi tahniah kepada produksi ini, daripada pengarah, penulis skrip, pelakon dan ahli produksi lain. Kepuasan berteater tidak sama dengan kepuasan buat perkara lain, dan kalian telah pun mengecapinya. Aku menunggu komen lain dari kalian semua. Silakan!