27 October 2008

Ulasan Yang Terpulas - Sofea

Agak lama juga aku tigak menonton teater. Dan agak lama juga tidak membuat ulasan syok sendiri teater yang aku tonton. Semalam, bertempat di Taman Budaya Perlis, kumpulan Budayasari dari Pulau Pinang telah mementaskan teater Sofea, adaptasi daripada naskhah Dalam Kehadiran Sofea nukilan Razali Ridzuan.

Mazlan (kanan) dan Hisham (Suami Sofea) sedang bertengkar.

Mengisahkan Sofea yang katanya diperhambakan oleh suaminya sendiri untuk melacur. Sofea dicintai oleh Mazlan, usahawan kaya. Sofea ada kawan-kawan mak nyah yang turut melacur di samping pelacur veteran yang baik denganya. Sofea ada pelacur yang dengki dengannya yang sentiasa laku dan dicintai orang kaya. Sofea, Sofea, Sofea.

Kehadiran Yus Raja Lawak Astro musim 1 menggamatkan suasana.

Semua Sofea. Tajuknya pun Sofea. Cerita ini sepatutnya tentang Sofea. Tapi aku pastinya ada anomali kerana seni itu subjektif. Kerana rasanya Sofea itu agak kurang terangkat. Tidak adillah aku menyalahkan produksi itu. Watak utamanya masih baru, baru dua kali memegang watak dalam teater. Ini percubaan pertama beliau sebagai watak utama yang berat. Pengarah Anissobri, walau orang lama dalam dunia teater, tapi inilah pengarahan pertama beliau. Jadi pastinya ada kekurangan.

Adegan bersama pelanggan.

Tetapi, sepertimana prinsip aku bila membuat satu-satu persembahan, buat yang terbaik kerana penonton yang datang tidak tahu masalah yang dihadapi oleh produksi itu. Aku yang berada di antara penonton yang sedemikian adakala dapat merasa resah mereka yang mengeluh kerana persembahan yang meleret-leret. Cuma ada ketika mereka gembira digeletek oleh aksi mak nyah, tauke serta beberapa pemain lain, yang watak mereka memang dibina untuk berdiri sendiri. Maknanya. Pisahkan watak mereka dan watak Mazlan, Hisham dan Sofea, cerita itu masih boleh berdiri sendiri.

Untungnya kerana kini di Tanjung sudah ada beberapa kumpulan yang mampu bergerak sendiri untuk menghasilkan pementasan. Biarpun yang berlakon itu dari pelbagai kumpulan yang berbeza, namun sekurang-kurangnya sudah ada kepelbagaian di dalam genre pementasan. Tahniah pada produksi ini. Teruskan lagi.

23 October 2008

Pijak Kepala

Duh!
Letak kepala kau, kasi orang pijak.

Duh! Duh!

Dia tangkap kepala kepala.
Kau letak kepala kau kasi orang pijak.

Duh! Duh! Duh!

Aku paling pantang orang pijak kepala aku!

Sarghhh!!

15 October 2008

Turun

Minyak turun lagi.

Bila minyak naik, ramai orang marah. Katanya naik banyak.

Bila minyak turun sekali, ramai orang marah. Katanya turun sikit.
Bila minyak turun dah tiga kali, ramai orang tetap marah. Katanya turunnya masih sikit.

Agaknya bila minyak diberi percuma macam baja subsidi baru orang tak marah.

Aku tak menyokong mana-mana.
Aku cuma sedar dan bersyukur.

13 October 2008

Datuk

Shah Rukh Khan dah nak dapat Datuk sebab buat filem di Melaka. Itu kata orang.

Harapnya bila Dato' Yusof Haslam, Mamat Khalid, Afdlin Shauki atau ramai lagi nama-nama besar industri filem kita bolehlah dapat apa-apa anugerah semacam Sir, Lord, Duke kalau buat penggambaran di Great Britain.

Agaknya di India ada anugerah Datuk tak? M. Nasir patut dapat dulu sebab dia buat penggambaran Salam Taj Mahal.

Harapnya dan agaknyalah.

08 October 2008

Antara Pucuk Rebung dan Pohon Beringin

Pada ketika ini, otak aku sedang menggelegak. Kalau diceduk agaknya lebih ceroi daripada bubur lambuk pasar Ramadhan. Semuanya bahana memikirkan konsep logo dan juga penataan seni arca untuk APEX. Ketua Turus kata, gunakan elemen pucuk rebung. General pulak kata, apa kata kita cadangkan pohon beringin kerana pengertiannya yang lebih kosmik.

Memang memeningkan.

Aku pernah bercakap tentang fungsi motif pucuk rebung di dalam kain batik Melayu beberapa ketika dulu. Jadi kalau kita merujuk kepada pucuk rebung semata, ia akan bermaksud hubungan antara lelaki dan perempuan serta kesuburan dan benih. Kiranya, ia merupakan suatu metamorfosis atau sebuah kitaran hidup. Pucuk rebung biasanya menjadi kepala kain, bila dah berkitar, barulah benih-benih itu akan bercambah di seluruh dunia. Dalam kes ini, aku rasa terhad kepada dunia Melayu berdasarkan motif kain.

Manakala pohon beringin pula, kalau dilihat dari segi penggunaannya lebih kecil berbanding pucuk rebung yang digunakan secara meluas di atas kain. Pohon beringin cuma digunakan dalam permainan wayang kulit. Ada banyak jenis pohon beringin, tapi konsepnya sama saja. Menggambarkan segala kehidupan yang ada di dalam alam ini. Sebab itu ada motif tumbuhan, burung, ikan, ular naga gajah atau kuda, lembu. Semuanya mewakili sesuatu. Burung itu angkasa/angin, ular naga atau ikan itu laut/air, gajah atau kuda itu belantara dan daratan, manakala lembu pula mendukung seluruh dunia kerana ada kitab kuno mengatakan bumi ini terletak di atas tanduk seekor lembu. Di dalam pohon beringin juga tidak ada motif manusia kerana pohon beringin adalah dunia sebelum kedatangan manusia. Sebab itu, pohon beringin akan dilayangkan dahulu dalam mana-mana permainan wayang kulit sebelum datang watak-watak manusia atau dewa.

Membuat pilihan memang memeningkan.

Kalau ikutkan logik dan kesesesuaian, pastinya pohon beringin lebih sesuai kerana konsepnya yang lebih universal , tidak terhad kepada dunia Melayu. Tetapi elemen-elemen Sanskrit kepercayaan karut yang tertempek pada pohon beringin buat aku sedikit ragu-ragu. Walaupun ada juga pohon beringin yang sudah tidak menggunakan motif haiwan seperti logo ASWARA, tetapi idea asalnya tetap sama, iaitu sebuah dunia yang didokong oleh sesuatu sebelum kedatangan manusia.

Manakala pucuk rebung pula, skopnya pula agak kecil iaitu dunia Melayu semata. Mana ada orang di Eropah pakai kain batik! Tetapi idea kitaran hidup itu lebih kental . Cuma mungkin agak tidak sesuai kerana pucuk rebungnya ada yang terjulur ke atas dan ada yang terbungkam ke bawah. Kalau memilih cuma satu, maka ideanya akan tidak sempurna. Akan nampak pula seperti segitiga, yang kalau silap tafsir macam Freemason pula. Walaupun aku lebih suka pucuk rebung kerana lebih Melayu, tetapi aku masih terpaksa mencari dalil-dalil yang kuat untuk menyokong atau menidakkan pilihan aku ini.

Memang memeningkan.

06 October 2008

Wahai Jiwa-jiwa Yang Tenang

Dalam satu majlis ilmu, aku dengar orang yang berilmu kata, kalau nak jiwa yang tenang, mudah saja.

Salah satu caranya amalkan konsep ingat dan lupa.


"Ingatlah budi baik orang pada kita, dan lupakanlah budi baik kita pada orang.
Ingatlah dosa kita pada orang, dan lupakanlah dosa orang pada kita."



Insyaallah, jiwa kita akan tenang.