28 September 2009

Entri Berangkai Sempena Raya

Raya baru ni nak buat entri pun tak boleh dek liputan internet tanpa wayar yang mendiskriminasikan kawasan luar bandar. Maka ada beberapa entri berangkai yang aku masih ingat dalam kepala yang mahu aku ceritakan di sini.

Kopi Yang Sedap

Hari tu aku bawa anak saudara aku berjalan-jalan bersama ahli keluarga yang lain beraya. Maka timbullah satu teka-teki yang aku sendiri tak jangka.

+ : Ni ada satu teka-teki. Kopi apa yang sedap?

- : Kopi Jantan!

+ : Itu kopi lelaki.

- : Habis tu?

+ : Kopikirlah sendiri!


Getah Naik Harga

Kalau dulu profesion penoreh getah boleh dikatakan antara profesion kasta rendah mengikut pandangan sesetengah orang. Walaupun kerjanya jauh lebih halal (susahlah nak ada rasuah atau salah guna kuasa bila menoreh getah ni), tapi itulah pandangan masyarakat dulu.

Sekarang, getah dah naik harga. Getah asli kita memang susah nak ditandingi berbanding getah sintetik. Terima kasih kepada industri penerbangan dan industri lain yang membantu getah asli. Maka penoreh getah dan boleh hidup senang sikit. Rumah yang dulunya papan dah boleh naik dinding batu. Tivi yang dulunya cap ayam, kini dapatlah tivi cap Jepun. Siap Astro lagi. Ini yang aku dapati semasa beraya baru-baru ni ke rumah adik beradik yang berkenaan.

Dan bila dengar orang tua-tua bercerita, aku tidak nafikan sukarnya menoreh getah. Bukan setakat menoreh, lepas tu kutip susu, nak buat getah keping lagi. Seingat aku, ada beberapa cara getah ini dijual. Pertama susu getah dijual terus (setelah dimasukkan asid untuk membuatkan ia tahan, kalau tak salah aku). Tetapi cara ini tidak popular kepada pekebun getah kecil kerana murah. Kedua, getah itu dijadikan getah keping. Caranya dengan memasukkan campuran asid, kemudian dibekukan di dalam satu bekas (lebih kurang macam bekas ais ketul), kemudian bila beku dicanai pula seperti roti canai (tidaklah dilambung-lambung macam roti canai), kemudian dimesin (macam mesin tebu), dan dijemur hingga kering. Bila dah kering barulah dijual.

Kerja-kerja ini memang renyah, tetapi getah yang dijual lebih mahal. Kerana getah ini boleh terus dibawa ke kilang atau dieksport dan kemudiannya terus diproses. Dan yang paling mudah dan murah ialah dengan menjual getah sekerap. Lebihan getah yang melekat di pokok dan merata-rata. Aku masih ingat lagi bau getah sekerap yang bercampur dengan bau ikan di kedai runcit kampung aku suatu ketika dulu.

Sekarang semuanya dah berubah.


Evolusi Beraya

Masih ingat lagi macam mana dahulu kita pergi beraya? Aku cuba bangkitkan proses evolusi beraya di tanah air kita ini.

1 - 3 tahun
Biasanya tak ke mana-mana. Mengikut saja ke mana orang tua kita bawa. Dapat duit pun tak ada makna sebab tak tahu kepentingan duit itu.

4 - 6 tahun
Dah mula tahu beraya. Dah mula mengikut kakak, abang atau sepupu-sepapat yang lebih tua untuk beraya di sekitar kampung. Tetapi rumah sasaran terhad kepada rumah-rumah yang pernah dikunjungi sahaja seperti adik beradik, rumah guru mengaji dan sebagainya.

7 - 9 tahun
Dah mula meneroka seluruh kampung. Kali ini rumah yang tak pernah dipijak pun pergi juga. Yang penting rumah tu rumah orang Islam dan mereka turut sambut beraya. Dah tak singgah makan kuih raya dan minum-minum. Bagi salam depan pintu, hulur tangan minta duit raya tanpa rasa bersalah. Kalau dahaga, barulah singgah rumah yang berkenaan. Kalau kena gaya tuan rumah jamu air panas (teh atau kopi), padan muka.

10 - 12 tahun
Modus operandi tidak banyak berubah, tetapi kawasan sasaran lebih luas. Dengan berbasikal, turut melawat kampung-kampung lain. Kalau di kawasan taman perumahan, melawat taman perumahan lain. Biasanya bergerak dalam geng sendiri.

13 - 15 tahun
Dah tak berapa terasa nak beraya merata-rata. Rasa macam diri dah dewasa sangat. Malu kalau pergi beraya ke rumah orang. Tapi kalau ada orang bagi duit raya, cekau juga. Kalau beraya pun ke rumah adik beradik dan mungkin rumah bakal marka (awek atau boipren la tu!). Itu pun kalau ada calon.

16 - 18 tahun
Raya spesifik ke rumah kawan-kawan dan adik beradik saja. Rumah adik beradik pun belum tentu nak pergi. Yang penting rumah kawan-kawan. Kalau dah dapat lesen motosikal tu, langkah lebih panjanglah. Silap gaya raya di kompleks membeli-belah atau bandar terdekat (tak kiralah bandar kecil atau besar). Duit raya masih dapat lagi, terutama kalau berkunjung ke rumah saudara-mara.

19 - 21 tahun
Beraya juga, tapi kerumah kawan-kawan yang lebih jauh. Waktu ini mungkin dah kenal rakan-rakan merentas sempadan negeri. Rumah saudara-mara kalau pergi pun sebab kena paksa.

22 - 24 tahun
Beraya ke rumah marka atau tunang (kalau dah bermarka atau bertunang). Kalau tak, beraya rumah kawan-kawan juga atau kawan-kawan yang datang ke rumah. Kalau cuma ada kawan-kawan dari jauh, dok termenunglah jawabnya.

25 - 27 tahun
Beraya ke rumah bakal mentua atau mentua (kalau yang dah kawin pada peringkat umur ni). Waktu ini rumah kawan-kawan dah jatuh acara sunat. Kalau pergi pun rumah kawan-kawan terbaik sahaja. Dah mula melawat rumah saudara-mara balik. Maklumlah dah berumah tangga.

28 - 30 tahun
Beraya ke rumah mentua, serta rumah saudara-mara mentua di samping saudara-mara sendiri. Kalau kena saudara-mara tu ramai, 3 hari 3 malam beraya pun tak habis. Perut penuh dengan ketupat, lemang, rendang dan kuih samprit (kuih wajib raya). Nak beraya rumah kawan-kawan pun dah tak sempat.

30 - .... tahun
Rutin yang sama. Tapi anak-anak kita belum tentu ada rutin yang sama dengan kita. Rutin ini berulang selagi terlarat, selagi panjang umur kita dan saudara-mara yang ada.

Cuma harapnya, bila dah makin tua dan dah tak bermaya. Janganlah pula kita beraya di rumah orang tua-tua, atau lebih menyedihkan beraya di hospital.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zakir & Batin.

16 September 2009

Pasukan Formula One 1Malaysia

Bila Malaysia membina litar F1 Sepang, di tempat jin bertendang yang panas terik, aku sokong. Kerana aku melihat melalui duit rakyat inilah (sebahagian besar duit Petronas kot? Entah...) kita dapat memperkenalkan Malaysia ke mata dunia. Di dalam dunia yang serba digital ini, penjenamaan adalah satu perkara yang penting dalam menghadapi saingan global. Kalau tidak diusahkan bersungguh-sungguh, kita mungkin merangkak macam Timor-Leste (sekadar memberi contoh). Litar di Sepang juga dikatakan digemari oleh ramai pelumba dan paling 'teknikal' kerana ada ruang untuk memecut dan membelok.

Tapi bila Singapura pun buat litar F1 juga, aku kembali terfikir, kenapalah kita tidak kreatif seperti mereka. Singapura yang terhad tanahnya memilih litar jalan raya seperti Monaco dan Valencia serta laluan perlumbaan yang melawan arah jam, seperti di Turki dan Brazil. Tidak cukup dengan kedua kombinasi unik ini, Singapura memilih untuk mengadakan perlumbaan pada waktu malam! Maka aku ternganga. Kenapa kita tidak boleh berfikir di luar kotak seperti itu?

Dan kini berita terbaru, melalui Lotus, kerajaan Malaysia akan ada pasukan F1nya sendiri. Mungkin kerana perkataaan 1 pada F1 kot yang buat kita berminat untuk mempunyai pasukan sendiri. Perkara ini pula hadir pada ketika BMW-Sauber (yang turut ditaja oleh Petronas) dan Honda menarik diri dari F1.

Melihat dari sudut positif, kita dapat rasakan penyertaan ini akan mempercepatkan kemajuan di dalam bidang permotoran. Maklumlah, sejak Proton memiliki Lotus, lihat sajalah berapa banyak kereta Proton yang dah ada teknologi Lotus kan? Jadi mungkin tidak lama lagi kita akan dapat memasuki pasaran kereta mewah dan kereta sport setanding dengan BMW, Mercedes, Lexus, Ferrari dan McLaren.

Mungkin juga kita akan ada pelumba bertaraf dunia seperti Schumacher atau Senna. Maklumlah pelumba kereta dijalanraya kita apa kurangnya. Setakat drift atau drag tak ada masalah.

Negatifnya? Kalian bolehlah fikirkan sendiri. Benda tak elok ni mudah saja orang nak cari, tambahan kalau manusia itu tidak suka pada seseorang atau sesuatu.

Cuma mengikut prinsip ekonomi, setiap pelaburan perlu ada pulangan. Tidak kira sama ada pulangan yang menguntungkan atau sebaliknya. Harapnya bukan yang sebaliknya. Usaha itu ada, cuma harapnya berbaloi.

14 September 2009

Kembang Semangkuk, Getah Anggur, Halua Maskat

Ketiga-tiga item ini aku masukkan ke dalam item hampir pupus di bulan Ramadan dan Syawal tahun ini. Mungkin ada di sesetengah tempat, tapi di tempat yang kerap aku lewati, memang tak pernah jumpa. Tapi aku ada pula jumpa kuih badak berendan, puteri mandi dan biji nangka.

Kembang semangkuk bagi yang tak pernah dengar, biasanya diletakkan di dalam laici kang. Biji kembang semangkuk direndam di dalam air suam untuk beberapa ketika dan kembanglah isinya. Kalau diletak ke dalam mangkuk, maka kembanglah semangkuk. Mungkin dari situ ia mendapat nama.

Getah anggur juga banyak digunakan pada minuman sejuk terutamanya laicikang. Aku tak tahu apakah getah anggur itu memang berasal dari getah anggur. Tetapi dikatakan getah anggur bole menyejukkan badan. Getah anggur cerah warnanya seperti buah nau atau buah kabung yang hancur.

Halua maskat pula manis seperti dodol. Bukan resepi berbuka puasa, tetapi biasanya disajikan waktu raya. Rupanya ada lebih kurang macam kuih bakul yang keras dan ia tidak lembik macam dodol. Warna rasmi halua maskat biasanya berwarna kuning.

Harap-harap aku masih boleh ketemu ketiga makanan ini.

09 September 2009

Dua Dunia Anak-anak Kita

Ketika tingkatan satu, aku ditempatkan di sekolah asrama tidak penuh. Aku ni bukanlah jenis peramah sangat. Sampai sekarang pun aku tidak pandai bergaul dengan orang. Jadi pada waktu itu, aku cubalah merapati beberapa budak-budak lain yang sedang bersembang. Bukan buat apa pun, sekadar mendengar.

Dan mereka bercakap tentang Tutankhamun.

"Tutankhamun? Menatang apa tu?"

"Tutankhamun tu Firaun la"

Baru aku tahu. Sembang lagi.

"Ramses kedua?"

"Firaun jugak."

"Habis Tutankhamun tu?"

"Firaun jugak."

Bila difikirkan kembali, betapa jumudnya aku pada ketika itu. Apakah mungkin kerana aku datang dari kampung dan latar belakang keluarga yang biasa. Dunia aku ialah terjun sungai, main bola, kayuh basikal ke pekan main console game, bepersatuan dan pengakap. Itu saja. Jadi hal-hal pengetahuan am ni, tak pernah terbit dalam pemikiran aku.

Jadi mungkin anak-anak sekarang lebih beruntung. Ada Astro Learning Channel, ada internet. Yang ruginya mereka dah tak ramai yang boleh terjun sungai sekarang ni. Dua dunia ini nampak berbeza sangat. Kalau berada dalam satu dunia, satu dunia lain mungkin tidak lagi diceburi mereka.

08 September 2009

Nasi Ulam

Kesempatan pulang ke kampung minggu lepas, mak buatkan aku nasi ulam. Sememangnya nasi ulam telah menjadi kegemaran aku tiap kali bulan puasa. Kata orang, bulan puasa ni kebanyakan ulam-ulaman akan menjadi penawar yang mujuarab. Yang pahit pun jadi kurang pahit.

Bukan tidak ada nasi ulam dijual di bazar Ramadan. Tapi kebanyakan yang aku beli, tidak ada rasa. Yang melekat dalam mulut cuma ulam-ulaman yang adakalanya dihiris tebal-tebal. Tiada rasa ikan masin, tiada rasa cabai, lengkuas, halia yang digiling yang aku rasa semuanya di 'blender'. Pendek kata 'tasteless'.

Jadi sesekali dapat nasi ulam yang enak, memang membuka selera. Nasi ulam di sesetengah tempat juga dikenali dengan nama nasi kerabu. Tetapi nasi kerabu ini tidak sama dengan nasi kerabu Pantai Timur. Dan adakalanya nasi ulam ini di makan dengan sayur keladi. Alah... macam asam pedas keladi tu.

Kalau dulu-dulu, arwah nenek aku pernah menceritakan, nasi ulam ini dibuat dengan 99 jenis daun. Daun sekentut, daun kaduk, daun limau, dan segala macam daun lagi yang memang aku tak kenal namanya. Sesetengah daun ini, memang tidak dijadikan ulaman seperti ulam raja, ulam pegaga dan sebagainya. Ia cuma digunakan eksklusif untuk nasi ulam ini di bulan puasa.

Rempahnya pula seeloknya digiling bagi mengekalkan tekstur dan rasa. Kalau dimesin, akan terlalu hancur, dan hilanglah tekstur itu. Ikan kering yang digunakan, kebiasaannya ikan kembung (sini panggil ikan termenung) atau ikan talang. Ini kerana isinya yang mudah hancur dan sebati dengan nasi yang akan digaul. Kalau ikan gelama, rasanya mungkin lain sedikit. Dan ikan kering ini lebih enak kalau dibakar berbanding digoreng, sebelum dihancurkan dan digaulkan bersama perencah yang lain.

10 tahun lagi, aku dah tak pasti mana nak dapatkan nasi ulam yang berbaloi di makan.

01 September 2009

Rebiu Filem 'Dus Kayanaan'

Semalam secara tak sengaja aku menonton filem Dus Kayanaan. Pada ketika aku menontonnya, dah dekat nak habis pun. Mengikut sinopsis cerita, ada 10 cerita yang dihasilkan oleh 5 penerbit dalam sebuah filem.

Filem ini lebih kurang macam Babel atau mungkin Gangster, tapi memandangkan aku menonton filem ni pun dah di penghujungnya, aku pun tak tahu macam mana bentuk filem ini. Cuma yang aku pasti, ada cerita berbeza oleh penerbit dan pengarah yang berbeza lebih kurang 15 minit satu cerita.

Apa yang membuatkan aku tertengok hingga habis, ialah satu cerita di mana seorang wanita India berkemungkinan besar beragama Hindu yang prejudis terhadap seorang lelaki Muslim. Wanita ini pergi mencuci sudunya, tapi bila kembali ke meja makan, dilihatnya seorang lelaki Muslim separuh abad sedang memakan makanannya. Wanita itu jadi marah dan meninggikan suara pada lelaki berkenaan. Lelaki berkenaan buat tak tahu saja. Hinggalah berlaku perebutan pinggan (pinggan yang sama yang digunakan oleh kedai mamak bila kita memesan tosei atau roti nan, siapa yang tak dapat gambaran, sila ke kedai mamak), dan wanita itu berjaya merebut makanan itu, lalu menjamahnya dengan lahap.

Lelaki itu cuma terdiam. Kemudian lelaki itu bangun membeli kopi tanpa gula, dan mempelawa minuman itu kepada wanita berkenaan. Wanita itu menolak dengan kasar kerana tidak mahu berkongsi makanan dengan lelaki berlainan agama itu. Tapi tiba-tiba dia tersedar, yang dia telah berkongsi makanan dengan lelaki itu. Lalu dengan rasa mahu termuntah, wanita itu lari keluar dari kedai berkenaan.

Setelah agak jauh, barulah wanita itu perasan bahawa beg beliau terlah tertinggal. Wanita itu segera berpatah balik ke kedai makan berkenaan dan mencari beg beliau. Tidak ketemui. Beliau menuduh pasti lelaki berkenaan punya angkara. Wanita berkenaan mencari lagi di bawah meja, dan bertemulah dengan beg beliau. Bila beliau bangun, barulah beliau perasan bahawa makanan yang beliau beli tidak disentuh langsung.

Rupanya, sifat prejudis beliau telah menyebabkan beliau berasa lelaki itu mencuri makanan beliau, sedangkan beliau kembali setelah mencuci sudu ke meja yang salah. Dan lelaki berkenaan sedikit pun tidak marah, malahan mempelawa berkongsi air kopi.

Nah, inilah yang membuatkan aku tertunggu hingga habis dan sempat menonton baki dua cerita lagi. Kerana inilah cerita hindi yang tidak stereotaip bagi aku. Aku harapkan aku dapat menonton kembali filem berkenaan dari awal.