30 April 2010

Ulasan Yang Terpulas - Mak Yong Sindo

Ulasan ini tertangguh lebih kurang seminggu dari tarikh aku menontonnya. Sebab utama ialah aku ingin mencari kebenaran, apakah benar cerita mak yong ini saduran cerita Cinderella. Kerana Sindo itu sendiri seperti bunyi sebutan bahasa Kelantan untuk Cinderella. Ceritanya juga seperti cerita Cinderella, yang dianiaya oleh ibu tiri, kemudian dibantu oleh pari-pari dari kayangan dan akhirnya berkahwin dengan Raja Muda. Tapi aku belum sempat mendapatkan kebenaran lagi. Mungkin selepas ini aku akan bercakap tentang ini lagi.

Tidak banyak yang aku boleh komen dari segi struktur persembahan kerana aku bukanlah penggiat teater tradisional, khususnya mak yong. Namun beberapa penggiat mak yong yang aku bawa bersama ada memberi beberapa komen yang aku kutip dan rumuskan bersama.

Aku menonton persembahan selama dua malam daripada 3 malam. Itu pun setelah diketahui bahawa pemain untuk malam kedua berbeza dengan pemain pada malam pertama, dan ramai tetamu yang hadir bersama dengan aku tak lepas angin menonton pada malam pertama. Pak yong pada malam pertama lebih auranya berbanding pak yong pada malam kedua. Namun peran pada malam kedua lebih teratur dan kurang main-main berbanding peran pada malam pertama. Cuma peran pada malam kedua adakalanya agak keterlaluan kerana mengetuk kepala masing-masing seperti Three Stooges lagaknya. Kerana di dalam budaya Melayu, kepala itu diletakkan nilai yang tinggi. Bila masing-masing asyik tidak mengalah mengetuk kepala masing-masing, maka nilai itu jatuh.

Kalau di dalam Ghazal Party atau Mek Mulung, kehadiran transseksual atau mak nyah adalah sebahagian daripada penyeri acara. Tetapi aku tidak pasti apakah itu amalan di dalam Mak Yong juga. Tidak dapat dinafikan kehadiran mereka ini memang memeriahkan cerita, tetapi seeloknya dalam situasi yang terkawal. Aku secara personal tidak ada masalah dengan kehadiran mereka selagi mereka tidak mencacatkan cerita atau persembahan. Tetapi komentar dari orang lama mungkin sedikit berbeza.

Cuma yang paling pasti, pementasan ini seperti pementasan kawan-kawan. Ramai kawan-kawan yang hadir memberikan sokongan, adakalanya mengketawakan kawan-kawan yang berlakon kerana membawa karakter diluar kebiasaan dan mungkin juga terbawa karakter sendiri di dalam lakonan. Dan adakalanya kalau para pemain ini terbabas seperti lupa skrip, terlajak cakap loghat daerah sendiri dan adakalanya melakukan gerakan-gerakan yang kawan-kawan saja yang faham, maka berderailah gelak ketawa yang mungkin bagi aku tidak perlu.

Di sinilah dilihat audien yang tidak matang, sesuatu yang aku tidak jangkakan bila menonton di Aswara. Terutama pada malam pertama, apabila ada menonton yang mengulas setiap kali ada watak muncul sehingga menganggu ketenteraman audien lain. Setakat ketawa masih boleh diterima, tetapi menjadi pengulas tidak diundang, sungguh menyedihkan. Mujurlah audien pada malam kedua lebih tertib dan menghormati audien lain.

Itulah saja komen aku yang naif dan daif seni ini.

21 April 2010

Kualiti Atau Kuantiti

Dua perkara pokok yang menjadi persoalan sejak sekian lama, terutamanya kalau dikaitkan dengan audien teater.

Adakah kita mencari audien yang berkualiti atau audien dengan kuantiti?

12 April 2010

English Literature Zaman Sekolah Menengah

Aku tidak pasti tentang sekolah menengah lain, tidak kiralah di kampung atau di bandar. Apakah sukatannya sama atau berbeza. Tapi apa yang aku ingin ceritakan di sini ialah ialah Kesusasteraan Inggeris yang aku pelajari semasa di sekolah menengah.

Terus terang aku tak ingat sangat buku apa yang aku baca. Cuma ingat gitu-gitu saja. Masuk tingkatan 4 bila dah kena pilih aliran sastera atau sains, maka dah tak ada kesusateraan yang macam ni.

Tingkatan 1, aku di perkenalkan dengan sebuah buku biografi Tenzing Norgay, iaitu Sherpa pertama yang mengiringi Sir Edmund Hillary mencapai puncak Everest. Terus terang aku tak tahu langsung apa yang aku baca. Yang paling aku ingat cuma frost bite di kaki salah seorang dari mereka. Itu pun setelah diterangkan oleh cikgu aku. Maklumlah, budak kampung yang belajar Inggerisnya sekadar I Am He She It Is We They You Are. Bila masuk sekolah pekan ni, kena kejutan budayalah sikit. Dan sampai sekarang aku tak tahu langsung apa yang diceritakan oleh buku itu.

Masuk tingkatan 2, pun aku sudah tak ingat buku apa yang dibaca. Yang aku ingat, buku itu adalah buku berkaitan cerita Dewa Greek. Ada Medussa, ada Hades and The Boatman. Yang aku ingat cuma satu bahagian bila ada satu watak disumpah menjadi marmar. Itu pun sebab aku dan kawan-kawan merubah cerita itu dalam bentuk lagu dan aku gunakan lagu I Can't Dance oleh Genesis.

Masuk tingkatan 3, buku yang dibaca makin maju. Kami membaca cerita pendek oleh Edgar Allan Poe. Bagi siapa yang kenal Poe, pasti tahu ceritanya banyak berkisar mengenai kisah thriller, seram di zaman Victorian dulu. Cerita yang paling aku ingat adalah The Pit and The Pendulum. Itu pun sebab ada filem dengan cerita dan tajuk yang sama yang membolehkan aku faham cerita itu.

Bila dikenangkan balik, terasa rugi pula kerana tidak membaca habis semua buku-buku itu. Sekarang barulah tergedik-gedik nak membaca.

07 April 2010

Death Of Zeus - Chaos In Mount Olympus

Menonton Clash Of The Titan telah mengimbaukan kembali kenangan aku dan rakan-rakan ketika kami terpaksa menjadi bidan terjun menghasilkan persembahan teater dalam masa 3 hari dek kerana VIP dah confirm nak datang hari show satu mamat tu yang minit terakhir tarik diri.

Jadinya, dalam masa 3 hari, termasuklah hari show, kami membuat keputusan untuk mengadaptasi kisah Mayat. Kalau Mayat ni, dah beribu kali orang buat. Pelbagai era, pelbagai cara. Ada yang buat kisah orang gelendangan. Ada kisah pasca perang. Dan sebagainya.

Tapi aku memilih untuk mengadaptasinya menggunakan kisah dongeng Greek. Maka wujudlah watak Zeus sebagai mayat, Poseidon, Hades sebagai Orang Luar, Apollo, Ares serta Haesphestus. Kisahnya mudah, seperti mana Mayat, timbul konflik di mana mahu dikebumikan Zeus. Berlaku perebutan di antara Poseidon dan Hades yang menggilakan petir milik Zeus.

Adaptasinya longgar saja. 3 hari. Dan kami lebih fokus untuk buat orang ketawa. Dan kami berjaya.

05 April 2010

Aku dan Quentin Tarantino

Aku memang peminat Quentin Tarantino.

Bagi yang tidak kenal siapa itu Tarantino, beliau bukanlah adik beradik Tarantula, bukanlah pemain bola Serie A dan bukan pengusaha pizza. Beliau merupakan pengarah filem, penulis lakon layar, penerbit, sinematografer dan juga pelakon. Antara filem beliau seperti Reservoir Dogs, Pulp Fiction, Four Rooms, Kill Bill Vol. 1 & 2, Jackie Brown, From Dusk Till Dawn dan terbaru Inglourious Basterds. Antara semua filem itu, yang aku tak sempat tengok lagi cuma Reservoir Dogs dan Four Rooms.

Aku bukanlah orang filem. Jadi bila orang kata Tarantino ini suka buat pelik dengan menggunakan non linear storylines dan aestheticization of violence, maka aku telan saja. Tapi apa yang membuatkan aku tertarik dengan Tarantino, kerana beliau seorang yang berlainan di dalam biasa.

Cerita-cerita yang dibuat mungkin biasa saja; sama ada dari segi isu atau dari segi perwatakan. Tetapi perincian disesetengah adegan dan mis en scene yang luar biasa, buat aku tertarik dengan beliau. Bayangkanlah, dalam Pulp Fiction, nak membunuh seorang budak tu makan masa 15 minit dengan dialog yang berjela-jela namun masih dapat menarik perhatian aku. Aku ulang, perhatian aku, orang lain mungkin bosan.

Begitu juga adegan di kedai runcit stesen pam minyak di dalam From Dusk Till Dawn, di mana tokey kedai itu akhirnya di bunuh juga walaupun telah meyakinkan dengan baik kepada Syerif yang singgah di kedai itu bahawa semuanya normal. Sembang punya sembang punya sembang, powww! Berderau darah.

Sebab itu aku percaya kepada lakonan yang baik, skrip yang baik dan pengarahan yang baik, boleh memaku kaki penonton. Dan Tarantino berjaya menonjolkan kelainan di dalam kebiasaan.

02 April 2010

Ketawa

Aku suka buat orang ketawa...

tapi....

Aku tak suka diketawakan.