06 May 2010

Sindo Sama Cinderella?

Dalam entri yang lepas aku memberikan rebiu yang ringkas tentang permainan mak yong yang dipentaskan oleh pelajar Aswara. Dan di dalam entri itu aku ada membangkitkan hal cerita mak yong ini yang mungkin merupakan cerita saduran Cinderella.

Maka aku pun berbuallah dengan Che Mat Jusuh, antara tokoh dan penggiat seni tradisional yang dihormati di Malaysia ini, tentang perihal ini. Beliau sendiri tidak pasti tentang perkara ini kerana sejak dari dulu lagi (sejak mula beliau menonton mak yong) iaitu pada tahun 1960an, sudah ada cerita ini, cuma ejaan Sindo itu agak berbeza. Dan beliau sendiri tidak pasti sama ada cerita ini adalah cerita saduran atau tidak. Yang pasti, cerita ini bukanlah terdiri dari 12 cerita asal/cerita pokok mak yong, tetapi merupakan cerita tempelan. Maka ada kemungkinan juga Sindo adalah cerita saduran Cinderella, dan mungkin juga hanya kebetulan saja.

Kerana cerita ala-ala Cinderella ini telah wujud sejak zaman Greek lagi dan ada bentuk cerita yang sama di kalangan masyarakat China dan juga Hikayat Seribu Satu Malam orang Arab. Cuma versi yang terkenal iaitu Labu dan Kasut Kaca (versi asal adalah kasut bulu, tetapi selepas tersilap terjemah ke Bahasa Inggeris, ia menjadi kasut kaca) oleh Charles Perrault, 1697, menyebabkan Cinderella dikenali di seluruh dunia.

Jadi perbezaan selama 300 tahun memungkinkan Cinderella disadur menjadi Sindo. Tetapi pada masa yang sama, mungkin juga orang yang membuat versi asal Sindo tidak pernah mendengar tentang Cinderella, tetapi cuma menggunakan imaginasi untuk menghasilkan cerita sebegini. Kerana cerita dongeng Melayu dahulu kebanyakannya juga berbentuk begini seperti Bawang Putih Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup dan sebagainya.

Kalau kalian ada maklumat yang lebih lengkap dan tepat, harap dapatlah dikongsi di sini.

2 comments:

artisticklytouch said...

cerita tempelan mak yong tuh macam cerita bangsawan yang tidak berkisar pada golongan bangsawan ke?

if only diaorang jelaskan perkara ini dalam program

Pegawai Khalwat said...

Bukan. Mak yong ada cerita-cerita pokok atau cerita asalnya sendiri. Kalau tak salah 12 cerita semuanya.

Sindo bukan sebahagian daripadanya.

Macam Mak Yong Titis Sakti lah. Itu cerita baru yang disadur dari Midsummer Night Dreams.

Kalau Wayang Kulit mungkin banyak cerita Ramayana. Kalau ada cerita lain dari hikayat tu, maka cerita tempelan lah.