14 June 2011

Ulasan Yang Terpulas - Bangsawan Alang Buana & Qum : Kebangkitan (Mimos)

Kita abaikan saja beberapa buah pementasan yang pernah aku tonton tetapi tidak sempat diulas di sini. Aku sebagai insan yang naif dan dafi seni, dengan rendah dirinya memohon untuk mengulas dua buah persembahan pentas yang dipentaskan pada 11 dan 12 Jun 2011 yang lepas. Ini komen orang yang tak berilmu, maka mohon maaf kalau ada banyak kekurangannya. Tapi peduli apa orang kata, aku bayar tiket, maka sudah tentu aku ada hak untuk bersuara (awal-awal dah provokasi nih!)

Bangsawan Alang Buana
Menonton Bangsawan Alang Buana oleh Aswara, ada rasa terkilan di dalam kepuasan. Puas kerana setnya yang menepati citarasa bangsawan, cantik, ringkas dan memahamkan/membuatkan audien jelas lokasi babak. Puas kerana muzik extra turnnya yang padat, bulat dan cermat, ini termasuklah persembahan extra turn pelajar tahun dua jurusan Muzik (extra turn M.Nasir, tak payahlah aku komen kerana memang sangat mantap, beliau profesional dan memang sepatutnya itu yang ditampilkan). Lakonan juga kedap rasanya, baik watak tambahan, baik watak utama. Pencahayaannya yang memang sedap dan sesuai dengan babak dan emosi cerita. Kostum juga menepati kehendak bangsawan. Pendek kata pengarahan Mazlan Tahir memang mantap dan memuaskan.

Namun begitu......
Bangsawan juga adalah teater kerana dipentaskan secara langsung kepada audien hidup. Walaupun bangsawan itu perlu menuruti nahu-nahu bangsawannya, tetapi adakalanya ia perlu digarap agar sesuai dengan  jiwa audien yang dah terlalu banyak terdedah kepada seni dan hiburan yang pelbagai. Aku secara peribadi, agak terganggu dengan tempo cerita yang bergerak agak perlahan pada awal babak. Babak 1 di istana dan babak 2 di kampung, sepatutnya boleh digarap semula, agar watak Dato Lela Setia yang dibawa oleh Shahrul Mizad, dikembangkan dengan lebih padat dan cepat. Agak meletihkan bila terpaksa melihat dua kali tarian oleh penari istana dan orang kampung, tiap kali babak ini muncul. Bila tiba babak 3, barulah cerita asal tentang Alang Buana muncul. Aku tidak pasti apakah itu tuntutan naskhah skrip atau sememangnya bangsawan menuntut sekurang-kurangnya 1 babak istana, seperti mana wajibnya ada extra turn.

Aku juga tidak merasakan Alang Buana yang memegang nama bangsawan ini, terangkat tinggi setaraf dengan peranan dan wataknya. Namun, jika melihat kepada bentuk dan gaya persembahan cerita klasik Melayu, mungkin begitulah perjalanan ceritanya. Tidak semestinya watak utama yang menjadi tajuk memonopoli cerita. Lihat saja Batu Belah Batu Bertangkup yang cuma muncul sekali saja. Maka, anomali ini aku terima seadanya.

Dari segi lakonan, mungkin kiok bangsawan itu agak kurang kejelasannya. Ini memang dimaafkan kerana adalah tidak mudah berlakon dengan kiok bangsawan kalau sekadar terlibat berlakon 2 atau 3 pementasan. Tambahan pula para pelakon juga terlibat di dalam pementasan dengan isme yang berbeza. Maka ini juga difahami. Tetapi jika indahnya tutur dialog bangsawan itu diperap lagi dengan kiok yang sepatutnya, maka lakonan mereka akan sempurna.

Tetapi, aku tetap menyanjung produksi Aswara ini kerana mampu mengekang audien sehingga tamat, walau dengan plot cerita yang serius. Tidak mudah memujuk audien menyengkang mata mereka dengan jalan cerita yang tak berhumor. Mungkin ketegangan dan kehibaan dalam sesetengah babak membantu membangkitkan rasa ingin tahu audien.

Tahniah kepada semua!

Qum : Kebangkitan (Mimos)
Dipentaskan oleh The Qum Actors dengan kerjasama DBP dan Tronoh Teater Shop, Universiti Teknologi Petronas, aku menonton pementasan ini di Stor Teater DBP pada 12 Jun 2011, 3.00 petang. Orang tidak ramai, mungkin ahli produksi lebih ramai dari audien. Tapi itu bukan isunya, asalkan dipentaskan, itu sudah cukup baik berbanding mereka yang cuma tahu bercakap saja. Pementasan ini merupakan kompilasi 3 buah teater; Nasi Lemak 10 Sen (teater moden), Ash : Debu Cinta (Mimos/Mime), Pondok Tok Ayah (Monolog).

Bermula dengan Nasi Lemak 10 Sen, (sinopsis sila lawati blog Tronoh Theater Shop), teater moden ini telah mengheret keseluruhan mood pementasan ini. Sebagai sebuah naskhah skrip, Nasi Lemak 10 Sen adalah sebuah skrip yang bagus. Sebuah kritikan sosial yang baik dan pada masa yang sama menyelitkan isu-isu semasa yang adakalanya dipandang sepi. Misalnya makan nasi lemak menyebabkan kegemukan, multi level marketing yang halal dan sebagainya. Skrip ini, jika ditangani oleh pengarah lain, pasti rempah ratusnya juga berbeza. Tetapi pastinya berbeza jika penulisnya sendiri, Akin Muhammad yang mengarah, pastinya lebih jelas apa yang diingin disampaikan. Nasi Lemak 10 Sen mungkin boleh dikira drama of thought kalau mengikut Bernard Shaw. Tetapi mencerna apa yang ingin disampaikan oleh skrip dan juga visual adalah sesuatu yang agak kontra di dalam pementasan ini. Aku sebagai insan yang naif dan daif seni sukar mencerna lapisan ketiga pementasan ini.

Nasi Lemak 10 Sen tidak bergerak sepenuhnya di dalam realisme. Dan tidak pula ia bergerak di dalam anti-realisme. Kostumnya masih realisme, cuma orang kaya tidak mencerminkan kekayaannya, begitu juga Kak Zee penjual nasi lemak dan pengemis 1 serta pengemis 2. Maka aku cuba mencari signifikan warna hitam, merah, putih dan muka emas orang kaya. Tetapi kemunculan pengemis dua yang bersifat lelaki lembut mematikan pertalian minda aku dengan signifikan warna. Begitu juga kostum pelancong serta contengan muka yang tidak dapat aku cerna. Aku melihat Nasi Lemak 10 Sen yang mengkritik nafsu manusia. Tapi nafsu siapa? Agaknya aku memang sebodoh itu.

Kalau Nasi Lemak 10 Sen dipentaskan di UTP atau di mana-mana pentas lain di luar Lembah Kelang, maka aku akan bertepuk tangan pada para pelakon dengan lakonan yang baik. Tetapi, lokasi Stor Teater DBP bagi diri aku telah menetapkan kayu ukur yang tinggi kepada para pemainnya. Maka pada aku, lakonan para pelakon Nasi Lemak 10 Sen seharusnya dimatapkan lagi. Nampak lebih kepada lontaran dialog dan menanti dialog rakan lakon lain sahaja. Kimianya tiada, aksi-reaksi-interaksi yang palsu dan dibuat-buat. Kecuali pengarah sendiri yang mengkehendaki begitu, agar audien membaca diri manusia yang palsu di dalam pementasan itu, maka lakonan mereka memang berjaya.

Walaupun Stor Teater DBP mempunyai ruang yang terhad dan kemudahan teknikal yang terhad, ini bukan alasan bagi produksi membuat kerja-kerja teknikal yang ala kadar sahaja. Ruginya kerana cahaya yang ada sekadar untuk mencerahkan ruang lakon. Berlaku kebocoran cahaya dan ketidakseimbangan cahaya di sana sini, serta bila cahaya dibuka secara general/wash, ada titik panas oleh parcant di beberapa ruang. Paling ketara ketika selingan oleh pemuzik dan penyanyi. Cadangan aku juga, sebolehnya diberikan mikrofon kepada penyanyi dan gitar agar dapat dilaraskan kekuatan vokal dan muzik. Aku ketinggalan bait-bait lirik yang puitis pada awal lagu kerana suara penyanyi tenggelam dek pukulan gitar. Kalau tak mahu pakai mikrofon pun tak mengapa, tapi perlu dilaraskan kekuatan muzik dengan vokal.

Ash : Debu Cinta
Inilah kekuatan Qum Actors kerana mempunyai pelakon dan pengarah mime. Memang sukar menemui pelakon yang dapat melakonkan teater berbentuk mime di Malaysia ini dan Qum Actors mungkin satu-satunya yang diketahui. Menjenamakan pelakonnya dengan solekan muka putih, adalah satu langkah yang bijak kerana memberikan kelainan kepada audien dan juga kepada pihak media. Kalau setakat lakonan mime tanpa solekan itu, agak sukar membezakannya dengan pelakon lain yang sedia ada selagi tidak ditonton. Sebab itulah sudah beberapa kali mime Qum Actors diliputi oleh media.

Mahu menyamakan mime mereka dengan mime profesional antarabangsa, pastinya tidak adil. Setakat yang dilakukan oleh mereka, sudah boleh dikira baik dan aku sangat berbangga kita ada pelakon mime seperti mereka. Cuma lakonan mereka boleh diperkemaskan lagi, terutama latihan mengendalikan prop atau set halimunan yang lebih besar. Kalau setakat aksi minum, makan, menari, mencuci lantai dan menguyah makanan, adalah agak mudah bagi mereka. Mereka harus mencuba aksi yang lebih besar. Contohnya aksi mengangkat cermin. Mungkin juga aksi-aksi lain yang lebih besar seperti menunggang motosikal, kuda, berdiri senget dengan tongkat dan sebagainya.

Apa yang agak menggusarkan aku ialah watak dan perwatakan itu sepatutnya digambarkan dengan lebih jelas. Meskipun kita terima ada dua orang pelakon lelaki yang melakonkan mime dan salah seorang mewakili watak wanita, namun cadangan aku (jika ia tidak melanggar nahu lakonan mime), watak wanita itu harus dibentuk sebagai wanita. Dengan pipi merah, rambut palsu dan juga pakaian wanita. Maka lebih mudah untuk audien menerima pemandangan itu, berbanding dua pelakon mime lelaki yang menggambarkan aksi cium. Meskipun difahami, tetapi masih agak meloyakan. Jangan dibimbangkan tentang aksi cross-dress ini kerana di dalam sketsa boria masih ada cross-dress, cuma watak cross-dress itu mungkin perempuan, tetapi perwatakannya tetap lelaki. Ini akan dibincangkan kemudian pula.

Menyelitkan pop culture juga adalah usaha yang baik bagi menarik audien yang pelbagai kerana audien lebih dekat kepada budaya itu. Lagu-lagu Bust Your Window dan Nobody versi Tango memang dapat menarik perhatian audien. Cuma pasti lebih hebat lagi kiranya ada efek bunyi yang sesuai serta muzik latar yang bukannya untuk ditarikan, tetapi membantu membangkitkan mood (jika perlu).

Aku cadangkan Qum Actors berdaftar dengan The World Of Mime Theatre. Setidaknya meletakkan peta Malaysia di mata dunia dan Qum Actors sebagai pelopornya.

Pondok Tok Ayah, adalah sebuah monolog yang menceritakan tentang nasib makhluk Tuhan di tangan pembangunan. Watak jin yang menghuni pondok tok ayah pun turut terperangkap oleh nafsu makannya. Tidak banyak yang aku boleh ulas tentang pementasan ini selain beberapa perkara seperti kostum yang sepatutnya lebih sesuai. Bukan masalah pada rekaannya, tetapi materialnya yang menampakkan pakaian disebelah dalam serta kekotoran solekan pada kostum, harus diambil berat, dan jangan seperti melepaskan batuk ditangga. Tiada apa yang dapat aku katakan tentang solekan wajah merah hitam kerana aku sendiri tidak pernah melihat wajah jin, maka, apa saja interpretasi pengarah, itulah yang aku terima.

Cuma aku rasa skrip itu seperti membazirkan cerita bila bercakap tentang kucing yang bernama Munah (kalau tak silap aku). Tiada perkaitan yang jelas tentang kucing itu selain atas niat komedi iaitu menggambarkan erti yang lain kepada audien dan memberikan erti yang lain. Mungkin perlu jika ada kaitan dengan perkembangan plot cerita dan watak, dan juga mungkin perlu kalau mahu menarik perhatian sesetengah golongan audien. 

Mujur juga Stor Teater itu kecil maka ruang yang luas sebegitu mampu ditangani oleh pelakonnya. Tetapi penguasaan ruang agak lemah kerana keseluruhan ruang lakon tidak diterokai. Ada orang kata itu bukan satu keperluan, ya mungkin benar, bergantung kepada kekuatan lakonan dan tenaga yang dialirkan oleh pelakon itu. Naskhah skrip memang menarik dan isu-isu yang dibangkitkan juga mengena. Bercakap tentang kemajuan tetap pada masa yang sama disulami amalan khurafat dan nafsu manusia.

Aku rasa cukup setakat itu saja dari aku yang naif dan daif seni ini. Kalau ada yang baik, ambillah. Dan kalau ada yang tak berkenan, tahan sajalah. Inilah asam garam seni persembahan, kalau tiada yang mengkritik, alamat seperti kau onani seorang diri.

Apa kata kalian?

5 comments:

Fasyali Fadzly said...

Aku hadir menonton Qum Actors di Stor Teater DBP. Aku tak mahu tulis dalam blog sebab tak berbaloi.

Aku selalu meletakkan harapan yang tinggi sebelum menonton sesebuah persembahan teater. Aku tahu perkara ini tidak bagus. Tapi apa boleh buat. Hehe.

Nasi Lemak 10sen ditulis telah memenangi anugerah kategori saguhati dalam pertandingan Kakiscript anjuran kakiseni. Kalau dah menang mesti bagus skrip ni. Aku dulu pernah hantar juga untuk yang pertama tapi tak menang, jadi aku jangka karya ini mungkin lebih baik dari karya yang aku hantar dulu untuk Kakiscript. Yelah kalau dah menang (even saguhati pun) dapat juga tempat jugalah di hati juri.

Kedua, aku tonton sebab Qum Actors menjadi promote diri mereka menjalankan bisnes2 performing arts. Menganjurkan bengkel, buat show mime dan sebagainya. Kalau dah buat bisnes, mesti bagus ni. Aku pun tak buat bisnes lagi berdasarkan ilmu teater yang aku pelajari selama 6 tahun di uitm.

Jadi aku tonton dengan harapan yang tinggi. Pementasan pertama Nasi Lemak 10sen. Aku tahu skrip teater ini pendek. Tapi dipanjangkan untuk keperluan pementasan ini. Pada aku, memanjangkan skrip ini adalah sesuatu yang lebih merosakkan mutu skrip itu. Aku tahu skrip itu akan jadi baik kalau dikekalkan kependekannya. Tapi sengaja ditambah-tambah supaya orang dapat menonton dengan lebih lama. So dengan harapan berbaloi la dengan harga tiket yang dikenakan tu. Pementasan ini ada menyuntik elemen eksperimen di dalam persembahan tetapi aku tak nampak directionnya ke mana. Merewang-rewang. Dari segi acting pula buat aku tertunduk-tunduk. Ada sesekali aku menoleh ke tempat lain sebab aku tak rasa aku boleh tonton lakonan yang begitu. Begitu amatur sekali. Aku hairan, bagaimana mereka menjalankan perniagaan menganjurkan kelas lakonan dan sebagainya tetapi lakonan mereka menjadi sebegitu.

Alergori yang cuba disampaikan juga nampak terlalu mengada-ngada. Naskhahnya sekejap bercakap pasal harga barang naik, sekejap cakap pasal MLM, sekejap cakap pasal nafsu, sekejap cakap pasal itu ini. tiba-tiba ada pula di tengah-tengah adegan scene nyanyian yang pada aku tak kena langsung. Merapu gila.

Pada aku persembahan ini lemah dari segala segi. Dari pengarahan, lakonan, konsep persembahan dan skrip. Aku begitu yakin sekali skrip yang digunakan oleh mereka ni telah dipanjangkan dan merasakan bahawa skrip yang asal ada kualitinya.

Fasyali Fadzly said...

Teater kedua adalah mime bertajuk Debu Cinta. Lakonan mime bukanlah suatu bentuk lakonan yang mudah. Pengolahan tubuh adalah yang paling utama sekali. Kedua, imaginasi. Pelakon-pelakon mime sepatutnya mengenali tubuh mereka betul2. Kaji anatomi badan betul2 sebelum membuat aksi-aksi. Jika tubuh pelakon sudah dikaji dengan baik, sudah dikenali tulang ni bersambung dengan tulang mana, otot ni namanya apa dan sendi ni berpusing bagaimana, barulah seseorang actor itu berjaya mengolah tubuhnya dengan baik. Senang cerita, pelakon mime perlu memahami teknik.

Tapi persembahan ini juga hancur kerana kedua-dua pelakon ini tidak punya teknik yang betul. boleh bereksperimen dengan unsur tempatan tetapi perlu ada asasnya dahulu sebelum kita nak eksperimen. Jika tak tahu asas, kita pun tak tahu apa benda yang nak dieksperimenkan. Pengolahan tubuh mereka tidak begitu jelas. Tiada tenaga dalam setiap gerakan yang dibuat. Semuanya nampak longgar. Imaginasi mereka juga longgar. Tidak kuat supaya penonton dapat menerima apa yang mereka bayangkan.

Katakan ini, mereka duduk di hadapan meja makan. Mereka perlu membayangkan meja tersebut tinggi mana, apa yang ada di atas meja tersebut, sudu berapa banyak, garfu berapa banyak, ada bunga ke tak dan dan dan. Imaginasi ini perlu dijelaskan kerana mereka Cuma menggambarkan tapi menggunakan props sebenar. Jadi di sinilah kekuatan seorang pelakon mime menunjukkan kekuatan imaginasinya. Kata mime. Maka semua kena mime lah. Buat betul-betul.

Setelah dua kali aku melihat jam di telefon bimbit, aku ambil keputusan untuk keluar hisap rokok semasa persembahan tengah berlangsung. Aku melangkah keluar berjalan menjauhi stor teater. Lantas aku ambil keputusan, untuk terus balik ke rumah sebab aku tak mahu menyeksa diri berada di dalam panggung itu lagi.

Aku akui bahawa mereka punya effort. Tetapi effort sahaja tidak cukup. Pementasan ini adalah pementasan berbayar. Sebagai pementasan berbayar tentunya nilai-nilai amatur itu sudah berkurangan kerana aku beranggapan mereka mengenakan tiket untuk menampung kos produksi. Jadi, aku kena anggap bahawa mereka ini adalah golongan amatur separa professional. Jika mereka mahu mengenakan bayaran untuk menonton, pastikan kualiti pementasan berada di tahap yang memberangsangkan.

Jangan pandang rendah pada Stor Teater DBP kerana di situlah banyak karya-karya ‘jahat’ diterbitkan dan dipentaskan. Lebih baik kualitinya berbanding pementasan yang dibuat di IB. Semangat mereka boleh dipuji tetapi kualiti minta maaf lah. Aku dah lama tak rasa menyesal menonton teater dan keluar separuh cerita. Tapi hari Ahad lepas kejadian itu berlaku padaku. Apalah malangnya nasib diriku ini.

maaf komen ini panjang. malas nak tulis dalam blog.

Pegawai Khalwat said...

Vitamin
Tak apa. Secara keseluruhan aku setuju dengan apa yang hang kata.

Mungkin sifat aku ini agak liberal dan sentiasa cuba melihat yang baik di dalam serba-serbi yang tidak kena itu.

Aku juga kerap melihat jam, cuma mungkin aku sudah imun dengan persembahan sebegini. Aku tetap puji usaha mereka. Moga akan datang, akan lebih baik lagi.

Sekali lagi, aku setuju dengan semua yang hang komen. Cuma aku tak reti nak perincikan lagi.

Harap-harap point ini boleh digunapakai di dalam Projek Anti-Rutin hang nanti.

Lepas ni harapnya komen lagi.

Aloy Paradoks said...

aku kecewa dan terus tak menulis kritikan.....

Pegawai Khalwat said...

Aloy
Ruginya aku tak dapat dengar kritikan hang.