Monodrama, adalah suatu bentuk pementasan yang agak baru di Malaysia. Monodrama pertama adalah karya Dinsman iaitu Bukan Bunuh Diri (Zakaria Arifin, 2012) seperti yang aku kutip dari Bengkel Inkubator Penulisan Skrip Drama Pentas - Monodrama. Selain monodrama, ada 3 lagi bentuk pementasan lain iaitu komedi, muzikal dan bangsawan. Aku pergi ini pun salah satu sebabnya ia diadakan di Tanjung Bungah.
Bengkel ini memfokuskan kepada penulisan skrip, dengan panel fasilitatornya iaitu Zakaria Ariffin dan Ismail Kassan. Siapa yang terlibat di dalam dunia teater Malaysia, tetapi tidak pernah mendengar kedua nama ini, bolehlah mula belajar mengenali mereka. Kerana sekiranya nama-nama seperti Hussein Onn, Tunku Abdul Rahman, Rosli Dhobi, Tok Janggut, Mat Kilau dan ramai lagi, akan muncul setiap kali kita menyebut tentang kemerdekaan, begitu jugalah situasinya nama Zakaria Ariffin dan Ismail Kassan yang mewarnai dunia teater kita. Malahan mereka ini merupakan antara figura penting perkembangan teater Malaysia.
Zakaria Arifin banyak memfokuskan kepada format penulisan skrip monodrama, disamping memberikan input-input idea untuk menghasilkan skrip yang bagus. Beliau menekankan penggunaan piramid Gustaz Freytag (1863) di dalam membina struktur dinamik di dalam penulisan skrip iaitu bermula dengan Eksposisi, Konflik, Klimaks dan Peleraian. Begitu juga penjanaan watak-watak protagonis dan antagonis yang dinamik dan mungkin juga statik, biarpun ini adalah monodrama. Serta menerangkan serba ringkas apa itu monodrama, monolog dan dekon. Hal ini akan aku perincikan kemudian.
Ismail Kassan pula memfokuskan tentang bagaimana mendapatkan idea untuk penghasilan skrip monodrama. Beliau mencadangkan beberapa kaedah seperti melihat masa lampau, masa kini, masa hadapan dan juga perihal yang tidak mungkin terjadi. Semua ini sama ada ditulis dengan fakta, atau mungkin juga adaptasi. Perkara-perkara berkaitan undang-undang, politik, agama, sistem sosial, adat dan budaya juga boleh dijadikan sumber idea. Malahan beliau turut mencadangkan agar flora, fauna, oceanografi dan fenomena alam juga patut diberikan perhatian. Ada juga perkara lain yang dibincangkan iaitu dua bentuk roh; mustaqarrah dan muntaqillah serta Junior Eysenck Personalitu Inventory Test. Tapi biarlah dibincangkan lain kali.
Sebagai sebuah bengkel inkubator, aku rasa program ini berjaya memantapkan penulis sedia ada, melatih penulis baru dan memartabatkan monodrama ke satu tahap yang baru. Di akhir bengkel, hampir kesemua peserta berjaya menyerahkan draf pertama skrip monodrama mereka. Yang tidak menyerahkan itu, bukan kerana mereka tidak berjaya menyiapkan skrip berkenaan, tetapi berlandaskan gagasan idea mereka, masa yang singkat agak tidak mencukupi, di samping ada juga yang melalui masalah teknikal. Namun mereka semua akan menghabiskan draf pertama untuk diserahkan kepada Zakaria Ariffin. Begitulah komitmen kami!
Namun, isu yang agak besar, yang belum dapat dan tidak dapat diselesaikan di dalam bengkel ini, iaitu bagaimanakah format pementasan monodrama? Seperti yang kita tahu, mono itu satu. Jadi lakonan di dalam monodrama harus didokong oleh seorang pelakon sahaja. Namun jika memetik definisi oleh The Batsford Dictionary Of Drama (1988), seperti di dalam kertas kerja Zakaria Ariffin, 'Monodrama, Monolog, Dekon : Jangan Keliru dan Mengelirukan (2012), "Short entertainment by one actor or actress. It was supported by music and silent choral figures". Jadi apakah jika kemunculan korus sepi / tidak bersuara, maka ia masih boleh diiktiraf sebagai monodrama? Dan bagaimana pula sekiranya, muncul watak kedua yang sepi/ tidak bersuara, watak realistik barang kali, apakah pementasan itu masih boleh dianggap monodrama? Bagaimana pula jika lebih dari satu watak berada di atas pentas, tetapi setiap satu watak cuma berlakon sendirian tanpa bereaksi dengan watak-watak lain, apakah itu diiktiraf monodrama? Zakaria Ariffin melihat kemunculan watak atau korus adalah pilihan yang boleh diterima di dalam monodrama.
Namun jika menurut Dr. Abdul Samat Salleh pula, beliau lebih menggemari monodrama ala-ala monolog, iaitu cuma satu watak membawa cerita dengan pelbagai emosi yang bersesuaian dengan cerita. Manakala Ismail Kassan pula (mengikut pemahaman aku sepanjang bengkel ini), lebih menyukai skrip monodrama dengan beberapa watak yang boleh dilakonkan oleh seorang pelakon serta lebih cantik sekiranya melibatkan banyak permainan emosi.
Juga tidak sempat dibincang secara mendalam di dalam bengkel ini ialah bentuk lakonan monolog, soliloquy dan aside. Meskipun disebut sepintas lalu, aku berasa bentuk lakonan tunggal ini patut juga diketahui oleh para penulis yang tidak semuanya terdidik secara rasmi di dalam teater dan penulisan (seperti aku.)
Jadi, alangkah moleknya jika dapat dibengkelkan sekali lagi penetapan apa itu monodrama, dengan menjemput kembali Zakaria Ariffin, Ismail Kassan dengan tambahan tokoh lain seperti Dr. Samat Salleh, Prof. Ghouse, Dr. Solehah, Hatta Azad Khan dan ramai lagilah tokoh-tokoh teater untuk membincangkan penetapan ini. Jika bengkel agak kecil bunyinya, mungkin Simposium/Konvensyen Monodrama Malaysia. Jika kita serius mahu mengangkat monodrama, maka ini harus dilakukan.
Tujuannya bukanlah kerana mahu menyekat kreativiti aktivis dan profesional yang ada di dalam mementaskan monodrama, tetapi cuma sebagai garis panduan agar kita tidak tersasar bila mementaskan atau mempertandingkan monodrama. Bila wujudnya penarafan yang berbeza oleh pelbagai pihak, maka boleh wujud rasa tidak puas hati (terutama bila melibatkan pertandingan), langsung menyemarakkan perselisihan.
Namun apa-apapun, bengkel sebegini harus diteruskan, untuk meramaikan lagi penulis-penulis baru. Lepas ini, mungkin boleh dibengkelkan sekali dengan pelakon dan pengarah. Di hujung bengkel, dapatlah menonton beberapa pementasan terpilih. Tahniah JKKN! Terima kasih kepada Zakaria Ariffin, Ismail Kassan, serta rakan-rakan penulis lain.