10 December 2014

Proses - Monodrama In Utero : Pseudocyesis

Monodrama In Utero : Pseudocyesis agak istimewa buat aku. Kerana aku sendiri menangani naskhah buatan aku ini setelah kali terakhir mengarah Wang Jadi Saksi. Naskhah ini telah pun dipentaskan pada 2012 oleh Mayra Lazaniya, salah seorang pelakon teater di Pulau Pinang. Tetapi aku tak sempat menontonnya kerana aku berada di perantauan, malahan aku sendiri tidak mengarah naskhah itu.


Namun apabila dijemput oleh Eddy Hashim dari UPSI untuk mementaskan sesuatu sempena Academic Performance Workshop atau APeW, aku menyahut cabaran itu dengan mempelawa Darynn Wee, pelajar Semester 1, Tahun 1, Pusat Pengajian Seni, USM untuk memegang watak Janet Lin, Doktor, Suami dan Bidan. Aku tahu sebenarnya aku sendiri menempah lohong penyeksaan kerana masa yang aku ada hanya kurang dari 2 minggu dan Darynn baru saja pertama kali berlakon di dalam teater Tanpa Lafaz Cinta, malahan beliau tidak pernah berlakon monodrama yang memaksa beliau memegang empat watak sekaligus.


Tapi apa boleh buat, perangai degil aku datang lagi, macam Tora. Aku bilang pada Darynn, bukanlah lakonan yang sempurna yang aku cari, biarpun dia tahu penanda aras aku sangat tinggi, tapi yang aku mahukan ialah proses untuk dia menjadi pelakon yang lebih baik. Dalam pada masa yang sama, aku juga boleh memperbaiki dan meningkat kemahiran aku melatih pelakon. Darynn berani menyahut cabaran berani mati itu. Aku juga menjemput Eyta Laila sebagai Jurulatih Lakon. Eyta dengan metodnya ternyata lebih kejam dari aku. 


Melatih Darynn merupakan antara cabaran terbesar yang pernah aku lalui, kerana aku harus menepati tarikh ajal yang aku tetapkan, ditambah lagi dengan masa yang rigid, serta selera lakonan aku yang tinggi. Aku memilih teknik Stanilavski dan Strasberg untuk melatih Darynn. Ini kerana aku rasa Method Acting' Strasberg sesuai untuk pelakon baru berbanding teknik Adler yang memerlukan pelakon berimaginasi tahap dewa. Tidak semua pelakon baru dapat melakukan teknik Adler. Meisner? Okay itu lagi susah.


Naskhah In Utero : Pseudocyesis adalah antara naskhah yang sukar untuk dilakonkan, kalau mengikut pendapat aku. Aku memang suka menyeksa pelakon, contohnya di dalam naskhah Duri-duri Hati : Kisah Malim, Kisah Bapak, Kisah Puteri, Kisah Kakak. Pelakon bukan saja harus mempamerkan emosi yang mendalam, tetapi pada masa yang sama menukar emosi itu dalam jangka masa yang pendek bila menjadi watak lain. Contohnya watak Janet yang kesedihan, ketakutan dan kekeliruan terpaksa bertukar menjadi watak doktor yang menjengkelkan, kembali ke watak Janet, kemudian bertukar pula ke watak suami yang panas baran, kembali sekali lagi ke watak Janet, kemudian bertukar lagi menjadi Bidan yang tenang dan penuh misteri, bertukar lagi menjadi Janet. Letih? Ya memang letih, terutama bila memerankan watak-watak yang pelbagai mood dan emosi.


Sebab itu di dalam APeW 2014, apabila karya ini dibengkelkan, aku menerangkan cadangan aku agar menggunapakai teknik pusingan dalam bulatan seperti yang digunapakai di dalam teater tradisi Makyong, Mek Mulung, Randai dan Opera Cina. Di dalam teater-teater tradisi ini, para pemain akan membuat satu pusingan lengkap bagi menggambarkan sama ada masa atau lokasi terlah berubah. Maka untuk perubahan watak, aku mencadangkan agar pelakon membuat satu pusingan untuk mengambil masa mengubah watak. Satu pusingan cukup untuk seorang pelakon yang bersedia untuk mengubah watak dalam masa beberapa saat.


In Utero : Pseudocyesis juga antara usaha aku menyelitkan elemen sains ke dalam seni. Biasanya jarang pengkarya menyelitkan isu/elemen sains ke dalam naskhah teater (mungkin ada banyak, cuma aku yang tak jumpa). Kalau sains sosial mungkin banyak. Jadi isu Pseudocyesis atau Phantom Pregnancy menarik perhatian aku kerana di Malaysia sendiri ada beberapa kes seperti ini yang terjadi dan tiada penyelesaiannya. Malahan sindrom ini berlaku di seluruh dunia dengan laporannya boleh dibaca di internet. Aku cuba meletakkan pandangan dari tiga minda berbeza iaitu doktor yang percaya dengan sains, suami yang skeptikal dengan isteri dan bidan yang taksub dengan perkara mistik dan paranormal. Mungkin ini tiga golongan pemikiran masyarakat yang aku lihat paling dominan. Usahlah ditanya tentang dapatan kajian mana yang aku cilok kerana ini hanya sekadar pandangan naif dan daif aku.


Bercakap tentang APeW 2014 pula, aku sangat menghargai visionari Eddy Hashim yang menjemput NGO teater untuk membuat persembahan di dalam bengkel ini. Tujuan asal APeW adalah sebagai medium kepada para pelajar major dan minor seni persembahan UPSI untuk mengaitkan persembahan yang mereka lakukan dengan teori-teori yang wujud di atas kertas. Dengan tema Breaking Boundaries : Art, Innovation and Transcending Hybridity, para pelajar ini telah berjaya mengaitkan persembahan mereka dengan teori-teori yang ada. Daripada Stanilavski, Meyerhold, Suzuki, Marx dan sebagainya, ia merupakan jamuan pembuka mata buat aku dan pasukan In Utero : Pseudocyesis. Tentunya tidak semuanya sesuai dikaitkan dengan teori, ada yang terbabas dan dikritik pedas oleh para pensyarah mereka, tetapi itulah tujuannya bengkel ini diadakan agar mereka dapat pengalaman dan menemui kaedah penyelidikan dan ilmu baru.


Di dalam APeW jugalah aku belajar tentang Neokolonialisme, Ambivalence, Hegemoni barat, hegemoni lelaki, subornasi wanita, Artaud's Theatre of Cruelty dan sebagainya. Terima kasih kepada Lena Farida Chin. Sayangnya aku tak sempat dengar tentang kaitan Mime Corporeal dan Wayang Topeng oleh Syafiq Efendi Faliq. Dalam masa yang singkat, banyak yang kami belajar. Moga kami terus dapat keluar dari kepompong mediocrity. Semua ini terkandung di dalam persembahan oleh Gasewap, iaitu Nur oleh Nadhilah Suhaimi dan Iera Shahiera serta Katastrofi oleh Shah Izanjen dan Nadhilah Suhaimi. Kedua-duanya karya dan arahan Lena Farida Chin. Kalau nak bercakap pasal skrip ini saya pun makan satu entri yang berbeza. Mungkin lain kali.


Okay, aku dah melalut. Melatih Darynn bukan kerja yang mudah, kerana beliau berada di tahap beginner dengan pengalaman yang sedikit di sekolah menengah dan bakat yang belum diasah tajam. Berbeza sewaktu aku mengarahkan Wangi Jadi Saksi, Eyta Laila adalah pelakon yang sudah punya pengalaman, cuma perlu diasah menjadi tajam agar lakonannya menikam jiwa penonton dan pensyarah beliau (itupun banyak kali aku pengsan dan bangun dan pengsan dan bangun dan pengsan dan bangun). Namun berbeza untuk Darynn, aku terpaksa mengubah metod latih lakon aku dari luar ke dalam, bukan dalam ke luar. Pujian harus aku berikan kepada beliau kerana beliau seorang pelakon yang tidak kenal erti putus asa. Walau diseksa (dengan tidak begitu kejam), beliau masih bertahan dan mahu memberikan yang terbaik. Hasilnya, beliau berjaya memberikan yang terbaik pada waktu persembahan. Okay terbaik dalam erti kata untuk beginner dan berlatih kurang dari dua minggu. Aku sendiri tidak menjangkakan kemajuan yang begitu pesat ini. Aku harap beliau tidak serik lagi.


(Perenggan ini sengaja dibiarkan kosong)


In Utero : Pseudocyesis juga mempunyai lapisan demi lapisannya yang tersendiri. Seperti mana dalam hampir semua cerita aku, aku meminjam sedikit pendekatan Epic Theatre oleh Brecht agar penonton bukan datang semata-mata untuk merasai pengalaman dramatik dan pulang dengan rasa seronok dan berkobar-kobar, tetapi juga pulang dengan seribu satu persoalan untuk difikirkan. Kata kuncinya ialah, kenapa? Why? Kena tonton dulu baru tahu dan faham maksud aku.


Aku ingat mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Darynn Wee yang berani menyahut cabaran berani mati untuk berada di bawah kuku besi aku dalam masa yang singkat. Entah berapa banyak air mata yang ditumpahkan, aku pun tak tahu. Kepada Eyta Laila yang sudi menjadi Penolong Pengarah dan juga Jurulatih Lakon walau dalam masa yang lebih singkat. Berapa banyak beliau menumpahkan air mata Darynn, aku tak tahu. Kepada Taufiq Sallehuddin atau Apeq yang sudi menjadi juruteknik bidan terjun. Juga kepada Hafiz Jinggo yang muncul minit terakhir memberikan motivasi kepada Darynn. Serta  Eddy Hashim, Lena Farida Chin dari Gasewap, Dr. Kipli Rahman, Haneem Said (kilang terbakaq!), Shah Izanjen (maaf Shah, tak rebiu kali ni), Cikgu Nadhilah dan semua pelajar UPSI yang membantu kami di dalam APeW 2014., dan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung (termasuk waktu prebiu). Sememangnya proses ini walau singkat, tapi ia cukup memberi makna yang besar. Terima kasih


Team In Utero : Pseudocyesis, APeW 2014, UPSI
#bakawaleepenang

21 October 2014

Iklan Teater - TANPA LAFAZ CINTA


TANPA LAFAZ CINTA adalah sebuah kisah cinta kontemporari yang ringkas, mengangkat bagaimana pertemuan berkali-kali, walaupun dalam tempoh yang singkat, mampu membenihkan bibit-bibit cinta.


Amir & Qaseh bertemu berkali-kali, hanya bercakap tentang hal-hal yang serius, yang tiada kaitan dengan cinta. Mereka bercakap tentang hal dunia yang fana, langsung tidak bercakap tentang hati, tentang perasaan, tentang nafsu, tentang rasa, tentang jiwa. Namun hati mereka tertaut.


Inilah premis teater ini. Secara analoginya, ia seolah berkahwin kemudian bercinta, cuma Tanpa Lafaz Cinta meletakkan dua insan yang tidak mengenali antara satu sama lain, meskipun nama masing-masing, untuk jatuh cinta tanpa disedari, tidak seperti pasangan suami isteri yang tinggal sebumbung, tidur sekatil, makan semeja.


Bagaimanakah cinta mereka terbina? Benarkah cinta mampu tercipta tanpa sebarang lafaz?


Saksikanlah teater

'TANPA LAFAZ CINTA'
karya Yusof Bakar @ Dudok
Arahan Sharifah Juairiah, Yuslina Yusof, Eyta Laila & Ash Nas
13, 14, 15 & 16 November 2014
Panggung Pelenggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, USM
8.30 malam
RM 10

019-4979660
017-6077156
013-4716382
017-4270306
019-5594473

#bakawaleepenang
#tanpalafazcinta 


26 August 2014

Ulasan Yang Terpulas - Lawak Berdiri Tomato

Biasanya kita mengenali tomato sebagai sejenis buah yang berwarna merah bila masak dan rasanya masam. Tetapi Tomato Academy merupakan antara akademi yang menawarkan kelas lakonan kepada masyarakat yang berminat untuk mendalami bidang lakonan di Pulau Pinang, diasaskan oleh Abu Musarif dari kumpulan Mamu Raja Lawak.

Melihat potensi standup comedy atau lawak berdiri, maka Tomato Academy dengan kerjasama Persatuan Teater Resdong's telah mementaskan lawak berdiri ini di studio Tomato Academy. Berbekalkan nama-nama besar di dalam bidang komedi tanah air seperti Shazli Ekzos, Daniel Bowl dan Ajo Mamu, mereka telah berjaya menghiburkan hampir 100 orang penonton (jangkaan).


Shazli Ekzos (dulu dikenali sebagai Shazli Cuit) dengan aksi bersahaja bercerita tentang sabun dan La La La.

Untuk Lawak Berdiri Tomato kali pertama ini, penerbit telah meletakkan rating 18 tahun ke atas. Aku hadir dengan tanggapan lawak-lawak yang dibawa sesuai dengan minda matang penonton 18 tahun ke atas. Cuma penerbit bernasib baik kerana hanya ada satu pasangan yang membawa anak yang berusia dalam lingkungan 3-4 tahun, dan mereka dibenarkan masuk. Sekiranya anak-anak itu telah mencecah 6 tahun ke atas, adalah molek jika penerbit berkeras agar tidak dibenarkan masuk kerana anak-anak ini sudah cerdik, mampu berfikir dan kandungan lawak ini mungkin mampu mempengaruhi minda mereka.

Lawak berdiri ini diklasifikasikan untuk penonton berusia 18 tahun ke atas kerana lawak yang melibatkan elemens seks yang berat. Shazli membawakan kenangan mengendap 'kawannya' dan diceritakan dengan penuh taksub. Itulah antara kehebatan bekas pelakon lelaki terbaik festival teater Pulau Pinang tiga tahun berturut-turut ini. Cerita disampaikan dengan penuh bersemangat dan mengundang tawa penonton, meskipun ceritanya ringan.


Daniel Bowl BMB dengan aksinya dan cerita Evolusi Spender.

Daniel, mungkin kerana kekurangan pengalaman, agak sukar memancing tawa penonton dengan kisah Evolusi Spender beliau. Cuma beberapa ketika lawak menjadi itu pun atas dasar lawak mengenakan kawan-kawan. Namun, Daniel masih berjaya mengekang penonton untuk mengetahui kisah Spender beliau.

Manakala Ajo berbekalkan pengalaman beliau di dalam Raja Lawak, Bintang Mencari Bintang serta pengalaman luas di dalam teater, paling berjaya memukau penonton untuk kekal ketawa berdekah-dekah. Beliau tidak membawakan kisah 18SX, tetapi beliau memilih untuk menyampaikan kritik sosial dengan kisah Parandey atau orang yang suka buat pandai. Namun beliau bersama Shazli dan Daniel memilih untuk menggunakan bahasa makian kasar sebagai sumber mencuit penonton. Bagi sebuah persembahan tertutup, dengan audien yang rata-ratanya warga Pulau Pinang yang sudah terbiasa dengan gurauan kasar, lawak sebegini masih boleh diterima. Namun mungkin realiti ini akan berubah jika audiennya berbeza latar belakang.


Ajo Mamu menggamatkan suasana dengan cerita roti helikopter dan kisah parandey.

Pada aku, Lawak Berdiri Tomato berjaya menghiburkan penonton yang hadir. Namun, pandangan peribadi aku, Lawak Berdiri Tomato ini harus diluaskan kepada lawak-lawak yang lebih sesuai. Tidak dinafikan cerita-cerita 18SX ini memang mudah memancing tawa, tetapi realiti lawak bersama kawan-kawan tidak sama dengan lawak yang dipentaskan untuk penonton, yang mungkin tidak mengenali pelakon secara peribadi. Mungkin boleh dikurangkan pada masa akan datang, dengan ratio lawak-lawak yang berbeza.

Aku yakin Lawak Berdiri Tomato akan mendapat sambutan yang menakjubkan oleh penduduk Wilayah Utara (itupun kalau tak kena komplen.) Moga Abu sebagai pengetua Tomato Academy meneruskan usaha beliau mengangkat teater di Pulau Pinang.

Oh ya! Janganlah dibiarkan penonton yang datang awal menunggu terlampau lama.

27 June 2014

Ulasan Yang Terpulas - Teater Lagu Tu Lagu Ni : Alumni Kacang Hantu

Membariskan nama-nama pelawak pelapis baru yang terkenal di tanah air seperti kumpulan Riki Raja Lawak, Daniel Bowl Bintang Mencari Bintang dan para pelakon telemovie Anak Mamak Menantu Mami, pastinya memberikan isyarat yang cukup jelas bahawa teater sitkom ini akan menampilkan elemen komedi yang ketara. Perkataan sitkom itu sendiri bermaksud situation comedy yang memaparkan watak-watak yang berkongsi persekitaran yang sama, dengan dialog-dialog yang lucu. Tidak seperti standup comedy atau sketch comedy, sitkom biasanya mempunyai jalan cerita dan watak yang bersambung dalam naratif komedi.


Set/ Latar hias sitkom Lagu Tu Lagu Ni : Alumni Kacang Hantu

Lagu Tu Lagu Ni (LTLN) : Alumni Kacang Hantu mengambil Kampung Pening Lalat sebagai latar tempat, dengan sebuah kedai sebagai lokasi pertemuan watak-watak. Beberapa siri kecurian telah menggusarkan penduduk kampung dan menyebabkan ketua kampung pening kerana individu yang dilabel sebagai pencuri/penjahat telah pun ditangkap. Apabila kacang-kacang hantu ini pulang, mereka dituduh menjadi punca kejadian curi.


Kak Cun dan Pak Meon sedang bercanda.

Seperti mana-mana karya Razali Ridzuan, karya beliau sentiasa dekat dengan masyarakat. Latar masyarakat kampung/luar bandar ini mudah meresap ke dalam jiwa audien kerana sebahagian besar audien teater Melayu merupakan masyarakat suburbia, dan jika tinggal di bandar pun, hidup dengan pendapatan rendah dan sederhana. Selain daripada itu, bentuk realisme yang menjadi tunjang karya beliau banyak boleh dilihat di kaca televisyen teresterial dan berbayar. Maka tidak hairanlah jika penonton ketawa terbahak-bahak melihat gelagat para pelakon. Sememangnya ini adalah kepakaran Razali Ridzuan atau nama glamor beliau Li Kandaq Ayaq. Malahan bingkai LTLN amat menyamai karya beliau yang lain iaitu Sayang Sri Tanjung. Malahan posisi kedai juga sama, iaitu di kanan pentas.

Posisi kedai ini sebenarnya memberi sedikit masalah kepada aku, kerana aku berada di kiri panggung. Ada ketika pelakon berada di dalam kedai dan aku tidak dapat melihat apa yang dilakukan oleh pelakon. Seeloknya kedai itu dihalakan ke arah penonton. Senget tak apa, asalkan penonton dapat melihat apa yang terjadi. Kecualilah memang niat pengarah untuk menyembunyikan pelakon daripada penonton, maka pengarah telah berjaya.


Buang (duduk) menjual karipap di depan kedai Kak Cun.

Sebagai sebuah teater komedi, LTLN sememangnya berjaya mencuit hati majoriti audien dengan telatah pelakon. Tetapi sayangnya, komedi ini tidak digarap dengan lebih baik kerana dirasakan pengarah melepaskan pelakon terlalu bebas untuk berinteraksi sesedap rasa. Difahamkan teater ini merupakan teater improvisasi, tetapi harus difahami jika teater ini mahu dilabelkan sebagai teater improvisasi, maka elemen improvisasi itu harus muncul sebelum persembahan bermula, contohnya audien diberikan kuasa menetapkan watak atau jalan cerita yang akan diimprovisasikan oleh para pelakon. Sekiranya teater yang mempunyai jalan cerita sendiri, improvisasi itu hanya wujud sewaktu latihan, dan jika ada tambahan sewaktu pementasan, ianya lebih dikenali sebagai ad-lib (ad-lib juga satu bentuk improvisasi, namun ia tidak menyeluruh). Kebebasan ad-lib oleh sesetengah pelakon ini, menyebabkan cerita ini menjadi longgar. Namun ad-lib inilah juga yang memberikan nilai komedi kepada pementasan ini.

Mungkin juga kerana format sitkom digunakan, level pelakon seperti diabaikan. Pelakon lebih banyak sama-sama berdiri, sama-sama duduk di baris yang sama. Mungkin ini format yang diamalkan oleh rakaman sitkom televisyen, maka aku tiada kata untuk perkara ini. Tetapi kurangnya pencahayaan pada muka pelakon pada ruang belakang meja harus diberi perhatian. Mungkin audien lain tidak perasan atau memilih untuk mengabaikannya, namun aku berasa tidak puas kerana adegan-adegan yang berlaku di ruang itu bukan adegan istimewa, tetapi adegan biasa yang memerlukan aku menghayati memek muka pelakon. Mungkin penata cahaya ada sebabnya yang tersendiri.


Kemunculan Geng Riki Raja Lawak

LTLN juga telah membuktikan kewujudan lawak untuk kelompok. Banyak ketika lawak-lawak yang dibuat (dan ada juga dibuat-buat) hanya diketawakan oleh kelompok tertentu, misalnya kelompok peminat, kelompok rakan-rakan dan kelompok kenalan. Ini bukanlah satu kesalahan kerana adalah sangat sukar untuk meraih lawak dari audien jika lawak yang dipersembahkan itu tidak kena dengan jiwa dan intelektual audien yang hadir. LTLN telah berjaya mengesan aras audien yang mereka sasarkan dan berjaya melakukannya dengan baik. Namun ada juga audien yang tidak ketawa langsung dengan komedi yang dipersembahkan. Maafkanlah mereka ini.


Penduduk kampung berkumpul depan kedai memprotes kejadian curi yang berleluasa.

LTLN banyak bergantung kepada komedi bagi menjaga tempo pementasan. Hilai tawa audien sememangnya penawar terbaik bagi masalah tempo dalam teater. Plot LTLN teratur kemas meskipun ia disebut sebagai teater improvisasi. Ini adalah kelebihan utama Razali Ridzuan yang bijak menjalin plot agar turun naik dan menarik. Babak awal lebih kepada memperkenalkan watak-watak dan permasalahan yang terjadi. Tetapi, seperti yang aku sebutkan sebelum ini, akibat pelakon diberi kebebasan, maka adegan-adegan di dalam cerita ini dicuri dengan memasukkan lawak-lawak yang tidak begitu membantu perkembangan cerita. Ia masih komedi, masih lawak dan masih diterima audien. Harus diingat, adakah lawak-lawak ini akan dikitar semula sekiranya teater ini ingin dipentaskan lagi dengan sub tajuk yang lain pula? Tetapi tidak mustahil audien akan terus menerima lawak kitar semula. Lawak tetap lawak walau apa saja panggilannya. Audien juga mungkin berbeza pada pementasan akan datang.

Razali Ridzuan juga gemar untuk meriuhkan finale sesuatu babak dengan watak yang ramai. Karya-karya beliau seperti Sayang Sri Tanjung dan Dalam Kehadiran Sofea mengambil format yang sama. Ini adalah keunikan beliau yang bertindak serentak sebagai penulis dan pengarah. LTLN juga adalah teater komedi dengan isu yang ringan. Tiada isu berat yang ingin diangkat seperti isu tanah wakaf dalam Sayang Sri Tanjung dan isu pengkhianatan dalam Dalam Kehadiran Sofea. Malahan LTLN tiada sisipan kritikan sosial kecuali beberapa ketika ad-lib oleh beberapa pelakon antaranya Azhar Riki. Mungkin itu kehendak pengarah agar penonton hadir dan terhibur dengan harga tiket yang dibayar.


Pencuri sebenar ditangkap oleh geng Alumni Kacang Hantu

Sememangnya LTLN adalah pengalaman yang bagus kepada pelajar Pusat Pengajian Seni yang ada diantaranya terlibat secara langsung di dalam pementasan ini, sama ada sebagai penolong pengarah, pelakon atau kru. Namun harus disedari, teater bukan semata-mata pada lakonan dan pengarahan saja; pengurusan, pemasaran, jualan, sinografi, teknikal adalah antara elemen penting yang harus dititik beratkan di dalam mana-mana pementasan, walau seringkas mana pun pementasan ini. Pementasan sebegini seharusnya diusahakan brosur ringkas yang murah (fotokopi pun tidak salah) untuk tujuan maklumat kepada audien. Audien berminat untuk mengetahui sinopsis, pengarah, pelakon dan penulis skrip, meskipun kita tahu ada yang hanya membuang saja brosur itu selepas pementasan. Brosur itulah juga bukti dan rujukan sesuatu pementasan telah dijalankan. 

Tahniah sekali lagi kepada produksi ini. Sememangnya LTLN berjaya membuatkan audien terhibur dan ketawa tanpa henti. Semoga projek seperti ini akan diteruskan dan akan hadir dengan lebih mantap dari segala segi.

15 June 2014

Ulasan Yang Terpulas - Kolaborasi Teater 'Infiniti'

Gasewap adalah nama baru di Pulau Pinang, tetapi diterajui oleh orang lama. Lena Farida Hussain Chin adalah antara nama lama yang berkecimpung di dalam dunia teater. Sejak sekolah menengah perempuan St. George's lagi, beliau telah menunjukkan kemampuannya di dalam bidang teater. Melalui Gasewap beliau mempelopori teater kolaborasi, yang sebelum ini dinamakan LIMA dan kali ini INFINITI.

Infiniti merupakan teater kolaborasi enam buah teater pendek iaitu Jamban, Katastrofi, Hartini, Umbuk, Umpat dan Nur. Keenam-enam teater ini mempunyai isu, maksud dan kekuatannya yang tersendiri, yang jarang dapat ditonton di arena teater Pulau Pinang. Adalah sungguh menyenangkan teater sebegini memberi pendedahan kepada khalayak di sini bahawa teater tidak hanya dalam satu rupa sahaja.



Karya pertama yang dipersembahkan ialah Jamban oleh Nor Shuradi Hj Nor Hashim, juga arahan beliau. Berbentuk eksperimental dan gaya lakonan presentational, mime dan gerak indah kreatif (mengikut brosur), Jamban memaparkan isu konflik dan dilema pencuci tandas yang koprofobia dan otodisomofobia.

Kritik sosial oleh Nor Shuradi memang tepat ke sasaran. Sikap segelintir masyarakat yang jijik seperti tidak berkesudahan. Lakonan presentational memang sesuai untuk isu sebegini kerana lakonan realisme yang sarat dengan emosi akan memesongkan objektif teater ini. Meskipun begitu, lakonan watak utama boleh dimantapkan lagi dengan mencari nada penegasan pada dialog yang dilontarkan. Audien yang hadir tidak tersedia untuk menjamah isu-isu yang hendak dijamu, mereka lebih tersedia untuk melihat lakonan (realisme) dan merasainya. Mungkin inilah antara pengorbanan yang terpaksa dibuat untuk majoriti audien teater Pulau Pinang.



Karya kedua ialah Katastrofi, karya dan arahan Lena Farida Hussain Chin. Dilabelkan sebagai drama absurd, dua watak iaitu Richard dan Mona dipertaruhkan sebagai permainan jiwa manusia jengkel, jiwa terganggu, kacau bilau dan penuh persoalan (sumber brosur).

Karya ini adalah antara karya yang kuat dan matang di dalam kolaborasi ini. Kekeliruan sifat manusia yang tidak stabil dipancarkan sejelas-jelasnya di dalam karya ini. Lakonan yang bertenaga oleh watak Mona dan Richard menyegarkan audien yang menontonnya. Permainan ruang dan aras dimainkan dengan bijak. Pengarah dan pelakon berjaya di dalam hal ini.

Aku melihat anomali Katastrofi hanyalah pada penekanan dan penegasan emosi yang melampau pada kedua-dua watak. Watak Mona kerap merintih hingga ke penghabisan. Watak Richard lebih terkawal tetapi perubahan emosinya terlalu mendadak dan kurang memberi kesan kepada audien. Namun begitu, oleh kerana karya ini dilabelkan sebagai absurd, apa-apa sahaja boleh diterima kerana absurd itu sendiri bermaksud tidak masuk akal, tidak logik dan tidak boleh diterima. Mengklasifikasikan karya ini sebagai absurd atau tidak, itu polemik yang berbeza pula.



Hartini merupakan karya yang ketiga dipentaskan. Diadaptasi daripada novel Aziz Afkar dan diarahkan oleh Raja Farah Raja Hadayadanin & Ismaliza Ishak, teater ini bergenre realisme. Fragmen yang dipaparkan ialah rasa kekecewaan Hartini kepada Amli yang dicintainya secara diam. Amli pulang ke kampung dengan dituruti oleh Azimah, tunangnya dan Ruhayah menjadi saksi cerita mereka (sumber brosur).

Bergerak dengan nahu realisme, adalah antara cabaran utama pementasan di Pulau Pinang. Ia juga adalah kelebihan utama kerana audien teater Melayu di Pulau Pinang sudah biasa dengan bentuk realisme. Lakonan watak-watak Hartini, Ruhayah, Amli dan Azimah berada pada paras selamat. Mereka berjaya membuatkan audien mempercayai latar masa dan tempat serta konflik yang dihadapi. Tapi aku percaya, biarpun ini hanya teater pendek, lakonan mereka dapat dipertingkatkan lagi agar dapat memberi impak kepada audien, selaras dengan bentuk lakonan realisme seperti yang disarankan oleh Stanilavski. 

Pada aku juga, sayang sedikit kerana kebanyakan tenaga lakonan pelakon mengalir keluar di atas ruang lakon yang agak luas. Pendapat peribadi aku mengatakan jika dikecilkan ruang lakon seperti Katastrofi, maka lakonan mereka akan lebih terfokus. Sekiranya mahu menggunakan ruang lakon yang luas, pelakon mestilah agresif dan aktif memanfaatkan ruang lakon. Juga menjadi kebanggaan bila karya-karya novel sebegini diadaptasi  ke pentas, mungkin akan dapat menggalakkan minat membaca kepada audien.



Situasi yang sama juga dialami oleh karya Umbok, karya Lena Farida Chin, arahan Nadhilah Suhaimi. Tidak meletakkan karya ini di mana-mana genre, Umbok merupakan rekontruksi mitos dan ilmu makrifat orang Melayu berteraskan Ulek Mayang dan Puteri Mayang Mengurai. Pertembungan tiga jiwa iaitu Deli, Sulaiman dan Mayang (Qalbi) diangkat berasaskan dendam Sulaiman kepada Qalbi yang meminang Mayang yang dicintai Sulaiman.

Kenapa aku meletakkan Umbok pada situasi yang sama, kerana penggunaan ruang yang luas telah memerah tenaga pelakon. Audien seperti melihat padang rumput yang luas dengan satu dua pokok yang tidak bergerak. Tetapi mujur juga bila tiba pertengahan cerita, watak Deli dan Sulaiman bertarung dan ini adalah penggunaan ruang yang bijak.

Umbok juga membuatkan aku agak keliru. Pada mulanya ia dilihat sebagai sebuah naskhah realisme dengan pertembungan watak Deli dan Sulaiman. Namun pada pengakhiran, watak Mayang (Qalbi) hanya bersuara sebagai voice over, seolah-olah Sulaiman berhalusinasi. Ini agak sukar dicerna jika tidak merujuk kembali kepada maklumat di dalam brosur yang dilampirkan. Namun jika sememangnya penulis dan pengarah berhasrat untuk mengwujudkan rasa keliru dan celaru kepada audien, maka mereka telah berjaya. 

Lakonan kedua-dua watak juga berada pada tahap selamat. Namun adalah lebih baik mengikut pandangan peribadi aku agar kesakitan Deli pada ketika mahu mati dilonjakkan pada tahap yang lebih boleh dipercayai. Ini kerana Deli terlalu banyak bercerita dengan apa yang terjadi sebelum mati, seperti liat sungguh nyawanya. Jika tidak dapat mengwujudan kepercayaan itu, maka sesuatu harus dilakukan seperti memendekkan penceritaan atau meletakkannya di tempat lain.



Umpat karya dan arahan Nor Shuradi Haji Nor Hashim merupakan satu-satunya karya yang berbeza bentuk dari kelima-lima karya kolaborasi. Mengvokalkan  tekanan kepada aksi lakonan fizikal bagi menterjemahkan manifestasi nafsu amarah (sumber brosur), Umpat memberikan kesegaran kepada audien selepas menonton empat persembahan yang sarat aksi kolokial. 

Sesungguhnya mengkritik teater fizikal bukanlah forte aku. Selain dari melihat perlambangan dan tenaga oleh para pemainnya, aku tidak punya kepakaran yang khusus yang lain. Ini kerana teater Melayu di Pulau Pinang sangat jarang dipertontonkan dengan bentuk teater sebegini, kecuali sekali sekala ada persembahan oleh artis tari kontemporari seperti Aida Redza, Hil Ramli dan Ijat.

Namun jika melihat pada usia dan komitmen oleh para pelajar tahun pertama Fakulti Seni Muzik dan Persembahan UPSI ini, tentunya patut mendapat pujian kerana teater fizikal tidak mudah untuk dimanifestasi. Gerak fizikalnya memerlukan stamina dan disiplin yang tinggi. Cuma gerak korus-korus itu seperti tidak cukup berjiwa, mungkin kerana kekurangan pengalaman. Gerak watak utama paling mantap dan berjaya menyampaikan maksud. Pengarah juga memberi dialog kepada para pemain ini mungkin sebagai langkah selamat untuk memberi kefahaman kepada audien tentang apa yang ingin disampaikan melalui karya ini.



Nur sebagai naskhah yang terakhir, karya dan arahan Lena Farida Hussain Chin adalah karya yang paling berat. Sebuah rekonstruksi kisah benar Nor Aishah Bukhari dan diceritakan pula oleh dua watak iaitu Nur dan Ibu, memaparkan krisis hati dua beranak (sumber brosur).

Kenapa aku labelkn sebagai berat? Kerana isu murtad adalah isu yang sangat taboo di dalam masyarakat Malaysia, Melayu khususnya. Nur cuba menterjemahkan isi hati Nor Aishah yang memilih untu keluar dari agama yang dianutinya, dengan rasa penuh kecewa oleh ibunya. Lena Farida adalah penulis dan pengarah yang paling berani mengutarakan isu ini untuk diperhalusi oleh para audien. Tambahan pula audien yang hadir untuk pementasan ini bukanlah audien yang tersedia untuk diprovokasi sebegini.

Selain daripada isu yang berat dan berani, tidak banyak yang dapat aku perkatakan tentang Nur kerana lakonan Ibu dan Nur juga berada pada tahap selamat. Mungkin pengarah membuat pilihan untuk mengutamakan isu yang ingin diangkat berbanding lakonan yang memberi impak. Mungkin juga ini trend pengarah yang mempunyai kaedah lakonan yang sama seperti di dalam Katastrofi iaitu penegasan emosi yang berjela-jela. Tidak salah sebenarnya kerana setiap pengarah mempunyai identiti yang tersendiri.

Secara keseluruhan, Infiniti membawa nada baru kepada audien teater Pulau Pinang, terutamanya di Auditorium P.Ramlee Kompleks JKKN Pulau Pinang ini, dan ini harus mendapat pujian. Juga antara kekuatan produksi ini ialah tata rias karakter yang begitu menjadi. Bagi kesemua karya, para pelakon dirias hingga menghilangkan rupa asal mereka, dan ini adalah satu perkara yang jarang berlaku pada kebanyakan produksi teater di Pulau Pinang. Penataan busana juga dititik beratkan hingga membantu pelakon menghidupkan watak.

Sekali lagi, tahniah kepada produksi Gasewap.

14 June 2014

Ulasan Yang Terpulas - Teater 'Dendam Siluman Ungka'

Teater 'Dendam Siluman Ungka' merupakan pementasan terbaru oleh Persatuan Teater Resdong's atau  Resdong's yang saban tahun tidak jemu mementaskan teater. Terkenal dengan genre komedi, Resdong's jarang sekali gagal membuatkan penonton tidak kering gusi apabila menonton teater persembahan mereka. Pernah menjadi Naib Johan Festival Teater Kebangsaan, Resdong's dibarisi oleh pelakon-pelakon dan pelawak-pelawak berkaliber di samping mempunyai pasukan produksi yang mantap.


Melati dan Andika sedang bercengkerama.


Surya, Krongthip dan konco-konco sedang membuli orang kampung.

Naskhah ini mempunyai banyak latar tempat yang berbeza, sukar untuk ditangani oleh produksi yang tidak berpengalaman. Namun Resdong's yang mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun mengambil langkah bijak dengan membahagikan pentas kepada ruang rumah, ruang kedai dan mengulangi ruang yang sama sebagai ruang perguruan serta rumah Malboro. Namun begitu, ada ketika babak-babak tidak diberikan pencahayaan yang mencukupi pada muka, menyebabkan audien tidak puas menontonnya kerana ekspresi muka pelakon tidak dapat dihayati.


Surya mahu membunuh ibu Andika.


Rokok Daun menangkap Melati. 

Naskhah Dendam Siluman Ungka merupakan sebuah cerita mudah tentang Andika yang ingin membalas dendam kematian ibu dan adiknya. Kebetulan beliau bertemu dan berguru dengan Lang Sewah, yang mengajar jurus Siluman Ungka dengan syarat beliau tidak akan membalas dendam. Bertentangan dengan pesanan gurunya, Andika pergi mencabar Malboro, ketua penjahat yang juga sedang mencari kitab Tiga Siluman. Berlaku pertarungan sengit, tetapi kesudahannya tidak dijangka.


Andika sedang berguru dengan Lang Sewah. 

Berbekalkan tema aksi komedi, Resdong's mempunyai lesen besar untuk para pelakonnya tidak terlalu memfokuskan kepada lakonan yang realistik. Namun semestinya tidak mudah untuk membuatkan penonton ketawa jika tidak kena caranya. Itu juga satu cabaran kepada pembikin teater komedi. Adakalanya penonton seperti dipaksa-paksa untuk ketawa, menyebabkan keresahan kepada mereka. Namun Resdong's antara pembikin teater komedi yang prolifik, kerana mereka tidak pernah gagal membuatkan majoriti penonton ketawa berdekah-dekah dan pulang dengan rasa puas hati.


Andika sedang menjalani ujian dari gurunya dengan mendapatkan kalung dari Janda Hitam.


Pak Kalam, tauke warung tidak percaya Andika masih hidup. 

Sebagai sebuah pementasan, Dendam Siluman Ungka bergerak pantas tanpa disedari. Tempo ceritanya bagus sehinggakan hampir 2 jam tidak terasa. Namun ada beberapa babak yang agak panjang mungkin kerana pelakonnya banyak bermain (walaupun hakikatnya permainan itu membantu mencetuskan elemen komedi) dan ada juga babak yang agak kurang bertenaga, mungkin kerana kesihatan pelakon, ruang lakon yang agak luas (untuk pelakon yang sedikit) dan mungkin juga kerana pelakon terpengaruh dengan refleks tenaga yang dilampiaskan oleh audien. Situasi ini biasa berlaku.



Surya dan konco-konco Malboro sedang membuli Pak Kalam.


Andika sebagai Pendekar Siluman Ungka sedang bertarung dengan konco-konco Malboro.

Tahniah juga kepada Resdong's kerana sering memberi peluang kepada bakat-bakat teater baru untuk muncul di dalam produksi mereka. Agak sukar bagi sesetengah produksi untuk memberikan peluang kepada pelakon baru kerana kualiti lakonan yang tidak mencapai piawai pengarah (kecuali pelakon baru itu memang benar-benar berbakat), namun Resdong's tidak pernah jemu memberi peluang kepada mereka-mereka ini. Cuma diharapkan pelakon-pelakon baru ini akan mengenang jasa Resdong's apabila mereka sudah berjaya nanti.



Malboro sedang menunggu kedatangan Andika ke sarangnya.


Kemunculan dramatik Lang Sewah.

Sebagai sebuah pementasan teater, aku boleh katakan sekali lagi Resdong's telah berjaya mencapai objektif mereka mementaskan sebuah teater, dan lebih khusus lagi teater komedi. Resdong's sekali lagi telah berjaya membina khalayaknya yang tersendiri dan sekaligus membentuk khalayak baru yang berminat mengenali apa itu teater. Tahniah!