07 October 2005

Pandirisme @ Mediocrity

"What had been a good little business, became a mediocre large activity"

Tak ramai yang tahu apa itu Pandirisme. Tapi rasanya semua orang kenal Pak Pandir; seorang yang bodoh tapi tetap ada cerdiknya. Dan rasanya ramai juga di dalam dunia ini yang boleh dikaitkan dengan sifat Pak Pandir, bukan orang Melayu saja.

Kenapa aku berkata begitu? Kerana fitrah Pandirisme itu sendiri yang lekas terpesona dengan penglihatan, lalu membuat kesimpulan bahawa apa juga yang kelihatan, apatah lagi yang kelihatan dalam bilangan yang banyak pula, maka pastilah bagus dan bernilai.*

Sememangnya aku tidak seratus peratus setuju dengan kenyataan ini. Sebab kita orang Malaysia ni kalau menilai sesebuah kedai makan, mestilah mencari kedai yang sedap makanannya, yang biasanya akan dikunjungi ramai orang. Kedai yang makanannya tidak sedap jarang dikunjungi ramai orang.

Janganlah kalian membandingkan pula maksud perkataaan mediocre dan pandir di dalam kamus kerana pastinya jawapan yang dicari tidak sama. Aku dan tengok, memang tak sama walau ada persamaan.


Tapi Pandirisme yang nak aku sebutkan ini lebih berkait rapat dengan seni. Seni teater khususnya. Meskipun istilah ini lebih mesra dengan sastera, tapi aku rasa ia boleh digaul sesedap rasa dengan seni pentas yang satu ini.

Mediocre dari segi apa? Skrip? Lakonan? Sinografi? Pengarahan? Itulah masalahnya. Siapa yang ada dalam di dalam arena teater Malaysia yang boleh mendabik dada mengatakan skripnya adalah intelektual, dan mampu menuding jari kepada skrip yang Pandir. Sekiranya skrip itu adalah Pandir, adakah setelah dipentaskan dengan baik; cukup rempah ratusnya, masih dikatakan pementasan yang Pandir? Apakah wujud lakonan yang Pandir? Orang yang berlaku seperti Pak Pandir memang ada. Tapi lakonan Pandir? Garu kepala yang tidak gatal. Itu belum lagi disentuh tentang sinografi.

Aku bukan orang yang belajar tentang teater. Semuanya self taught, sepertimana kebanyakan rakan-rakan seperjuangan aku di Wilayah Utara ini, khasnya Pulau Pinang. Tapi kami ada minat, ada passion. Itu yang menggerakkan kami untuk menghidupkan teater di sini. Masalahnya aku ini berkarya untuk mengajak orang berfikir. Bukan datang untuk hiburan kosong dan lompong. Gelaklah, ketawalah, menangislah bila datang menonton sesebuah pementasan, tapi berfikirlah kenapa begitu jadi begitu, begini jadi begini. Sekarang aku nak mengajak orang teater sendiri berfikir.

Mana bijaksana teater? Aku nak tanya apakah Pandirisme ini boleh dimasukkan sebagai salah satu 'isme' dalam teater. Atau ia kekal sebagai teori kritikan. Sebab aku lihat dalam teater ini, kritikannya lebih kepada lakonan, pengarahan, sinografi; atau pun lebih mudah aspek visualnya sahaja. Jika adapun orang memperkatakan tentang maksud tersirat sesebuah skrip, ia lebih tertumpu kepada skrip itu sendiri. Jika aku contohnya mementaskan Demi Zaitun oleh Dato' Noordin Hassan, apakah orang akan mengkritik hasil garapan aku atau maksud skrip itu sendiri? Apakah orang akan melihat apa yang ingin aku sampaikan dalam pementasan itu, mengikut acuan aku, mengikut kepala otak aku, mengikut apa yang aku tafsir, dan mengkritiknya sebagai satu hasil karya yang baru? Inilah yang terjadi kepada rakan aku At Ziafrizani yang mementaskan Ana oleh Dinsman. Bukan salah dia, bukan salah para panel, bukan salah penonton. Habis salah siapa? Garu kepala yang tidak gatal lagi.

Pening? Tak apa, asalkan jangan loya.


*Mohd Affandi Hassan, Pemikiran picisan aibkan intelektual, Mingguan Malaysia, 2 Oktober 2005

2 comments:

artisticklytouch said...

kawan hang At ziafrizani tuh mesti gila kan hehehhe ha, lagi satu dia mintak royalti sbb pakai nama dia dlm blog hang heheheh

Pegawai Khalwat said...

Ceh.... ni free publisiti la. Free country, free scandal, free harras. Mana bole minta royalti, setem tak pemati lagi, rugi.....