06 February 2006

Muzikal Ma Ho Huan - Ulasan Yang Terpulas

Ada tuil yang merongrong di punggung aku, memaksa aku mengatur langkah; longlai dan lemah, tapi masih melangkah ke Dewan Sri Pinang untuk menjegilkan mata menonton Muzikal Ma Ho Huan. Benak aku selalu bersuara; kalau bukan kita, siapa lagi.

Bukan aku tidak suka, bukan aku benci, tapi mungkin cuma tidak mencapai tahap jangkauan jangkaan aku. Setulusnya, aku kecewa. Kerana atas platform perayaan bersama, satu pementasan yang gah dibuat sambil lewa. Dengar bunyi katanya, cuma dua minggu bersedia. Hebat sungguh akauntan berkira-kira, mengaudit sepantas masa.

Gamaknya, wahyu kepala hidang yang mahu kenduri dibikin segera. Maka mentara-mentara pun terkinja-kinja menyiapkan hidang yang tidak seberapa. Bagi yang lapar, enak juga rasanya.

Ceritanya? Apa lagi kalau bukan melankolik cinta bangsawan Cina yang terpaksa melukakan hati kekasih hatinya, lalu bila tiba di Melaka, tidak semena-mena bertukar menjadi buaya yang jatuh hati pada gadis bangsawan Melayu, hanya kerana rupanya yang cantik, budinya baik, selendangnya terbang jatuh terbalik. Sebuah fotostat Muzikal Hang Li Po yang tonernya kurang, maka berbelanglah kertas yang difotostat.

Lakonannya? Tak susah. Muzikal membataskan segala, lagu dan tari merampas segala emosi. Lagu dan tari itulah emosi. Bukan tak ada, tapi tak banyak.

Setnya? Ringkas dan mudah. Mobilitinya masih lagi aku kagumi; atas kekangan not-not warna-warni, tidak pernah tercapai oleh mana-mana produksi aku. Tapi bagi yang ini, mencukupilah. Mereka dari Kuala Lumpur, ada kekangan logistik sendiri.

Pencahayaan? Entahlah. Apa signifikan penggunaan gobo di dalam motorhead pada kebanyakan scene. Laksana merak jantan memikat yang betina; cantik tapi tidak bermakna.

Lagu-lagunya? Seperti biasa Pak Ngah mengeluarkan aura citrawarnanya. Tiada nafi, aku mengaku sedap di halwa telinga, kena pada masa, kena pada cerita, kena pada mood semua. Elemen Cina dan Melayu digabungtara maka indah alunannya. Miming? Itu memang pemati setem produksi Istana Budaya (jangan salah faham, ini bukan produksi Istana Budaya semata, tapi kerjasama KekkWa dengan kerajaan negeri juga)

Pendek kata? Aku dah pendekkan kata. Muzikal Ma Ho Huan memang bagus; bagi yang mencari hiburan, bagi menculik sikit tak banyak ilmu teater, bagi menjana muhibah kaum, bagi mendidik masyarakat menonton teater (percuma), bagi nawaitu-nawaitu tertentu puak-puak tertentu.

Tapi termometer kepuasan aku belum mencapai tahap selesa menonton Ma Ho Huan. Kerana aku mendambakan contoh persembahan extravaganza yang mencuit minda, membuatkan mulut aku ternganga wahhhhh, atau setidaknya mengangguk ia. Kerana aku tahu sangat mereka boleh sangat buat sangat lebih baik lagi.

Buatlah lagi, aku akan tetap menyokong teater Malaysia, kendatipun rupa dan isinya.

2 comments:

Tok Rimau said...

Gambar kau dgn gergaji tu, sedang bikin set teater ke?

Pegawai Khalwat said...

Itu gambar pura-pura bikin set teater.

Misteri tak?