29 February 2008

Obligasi Sosial


Merokok Membahayakan Kesihatan Kawan-kawan.
Foto Ihsan Kamerafon Butaseni.

24 February 2008

Zon Selesa

Tajuk ini aku yakin memberikan banyak konotasi kepada kalian. Daripada perihal kerjaya, gaya hidup, mahupun peribadi. Tapi seperti biasa aku akan mengecilkan skop tajuk ini kepada perihal seni teater sahaja.

Kita bercakap tentang lakonan dahulu.

Zon selesa, pada aku adalah satu tahap di mana para pelakon (atau pemain mengikut gelaran sesetengah pihak) berada selesa dengan apa yang mereka lakukan. Maknanya, pelakon ini tidak ada masalah jika diberi watak yang berada di dalam zon selesa ini.

Misalnya seorang pelakon memang kita tahu sangat selesa dengan watak air mata. Jadi sekiranya diberikan watak yang perlu bermain dengan air mata, maka pelakon berkenaan akan berasa selesa. Lakonan pelakon itu juga akan lebih berkesan dan mudah menarik perhatian audien. Begitu juga sekiranya seorang pelakon itu menyenangi watak pembengis. Maka sekiranya pelakon itu membawakan watak yang sedemikian, lakonannya akan lebih berkesan.

Dalam bahasa mudahnya, aku melabelkan mereka stereotaip.

Jangan salah anggap, aku bukan anti-stereotaip. Tidak ada salah langsung menjadi stereotaip asalkan lakonannya berkesan. Tapi secara personalnya, aku rasa tidak cukup dan tidak puas menjadi stereotaip. Aku lebih suka pelakon yang versatile dan berkesan lakonannya. Pelakon yang mampu membawa pelbagai bebanan watak dan meninggalkan kesan kepada audien.

Itulah yang aku katakan zon selesa. Pelakon yang versatile akan suka untuk keluar dari zon selesanya. Tetapi kerap kali pelakon sebegini akan ditenggelami oleh pelakon stereotaip yang sering kali mengasah keberkesanan lakonannya berulang kali melalui bentuk watak yang sama.

Fenomena ini jugalah yang menjadi kelemahan utama kepada mereka kerana setiap kali pertandingan diadakan, dengan panel penilai yang berubah-ubah, maka pelakon yang versatile akan terpaksa bekerja keras untuk mengatasi pelakon yang stereotaip. Dan kerap kali sudah tentunya, penilai yang baru pertama kali melihat lakonan pelakon yang ada ini, akan memberikan kemenangan kepada pelakon yang lakonannya lebih berkesan. Mungkin keadaan ini akan berbeza sekiranya penilai yang membuat penilaian merupakan orang yang sama saban kali. Kerana mereka akan dapat melihat perkembangan kualiti lakonan pelakon yang versatile ini.

Keadaan yang sama juga berlaku ke atas ahli produksi yang lain. Aku secara personal yang pernah bertindak sebagai pengarah dan penulis, juga mahu keluar dari zon selesa aku.

Tapi malangnya aku sendiri belum nampak apa zon selesa bagi aku. Inilah kelemahannya bila menjadi mata, kerana tidak dapat melihat diri sendiri. Aku cuba jadi mata burung, tapi kerap mata aku dicekup tempurung. Harapnya satu masa ada orang lain akan dapat mengesan zon selesa aku agar aku dapat keluar darinya.

20 February 2008

Nostalgia Permainan Komputer

Orang Kampung telah membangkitkan nostalgia aku pada komputer.

Aku mula kenal komputer tidaklah begitu lama, tapi tidaklah begitu baru. Tapi aku bersyukur atas kesedaran arwah ayah aku yang sanggup menghabiskan duit menghantar aku ke kursus komputer selepas habis peperiksaan dan bila aku sambung belajar, emak aku pula sanggup habiskan duit belikan komputer untuk aku yang harganya pada masa tu macam sebiji motosikal. Sekarang dah murah, kalau nak mahal pun sebab peripheral yang canggih.

Aku nak fokuskan kepada cara aku memanfaatkan komputer tu iaitu selain daripada taip assignment, tengok movie, dengar lagu dan juga membolehkan aku belajar repair komputer, yang paling banyak aku dan kawan-kawan aku tumpang manfaat adalah dengan main permainan komputer.

Permainan pertama yang aku main adalah Duke Nukem, 1st person shooter punya style. Kalau zaman sekarang permainan seperti Halo, Half life, Medal of Honor (semua ni aku tak main dah). Dan pertama kali aku main juga, kepala aku jadi pening. Tapi bila dah selalu main, aku dah biasa dan tak pening lagi.

Lepas tu, aku main pula Red Alert. Aku tak sempat main Command & Conquer dahulu kerana waktu tu Red Alert dah keluar. Aku main segala macam expansion. Permainan ni jenis real-time strategy. Pada masa yang sama juga aku turut main Warcraft dan Starcraft. Tapi Red Alert lebih hantu lagi kerana boleh buat aku main sampai ke pagi.

Bila aku dah master Red Alert, siap pakai cheat duit tak habis-habis, aku pun slow sikit. Dan kawan-kawan aku pula yang gila main Red Alert. Aku pun tukar kepada Heroes of Might & Magic, juga real-time strategy. Sekarang permainan tu dah sampai siri yang ke V kalau tak salah aku, dan upgrade ke macam-macam. Aku di bawa ke dunia naga hitam, naga merah, archangel, hydra, Cyclops, Minator, kiranya haiwan mitos Eropah.

Dan pada masa yang sama juga, permainan bola sepak dah mula popular. Siri Fifa menguasai termasuklah Championship Manager yang kerjanya menguruskan pasukan. Aku tidaklah fanatik sangat kedua-dua permainan ni terutamanya Championship Manager kerana permainan ni macam tak ada kesudahan. Jual pemain, beli pemain, susun formasi. Tunggu tengok percaturan kita menjadi atau tidak. Pada waktu ini, komputer aku hampir 24 jam tak ditutup kerana kawan-kawan aku tumpang main permainan ni.

Cuma kadang-kadang saja aku main permainan arcade macam Street Fighter 2, King of Fighting, Mortal Kombat dan juga game perniagaan seperti Transport Tycoon, Simtower, Sim City dan sebagainya.

Tapi selepas komputer aku makin lama makin obsolete, aku pun dah kurang main benda-benda macam ni. Tahun-tahun akhir juga melihat aku sibuk dengan tugasan dan kerja luar. Dan aku pula menumpang pada komputer kawan-kawan aku yang lebih power.

15 February 2008

Bukan Prejudis Pada Cauvinis

Orang kata, aku bagai melepaskan anjing tersepit.
Aku kata, tidak hilang bisa ular yang menyusur akar.

Sememangnya aku lemas perut dengan orang yang buta perut.

12 February 2008

Buat Baik Berpada-pada, Buat Jahat Jangan Sekali

Dulu, pepatah ini aku fahami sebagai buat baik itu biarlah bersungguh-sungguh, dan jangan sekali-kali berbuat jahat. Tapi setelah umur semakin tua, dan juga mendengar pendapat orang lain, aku rasa dan bersetuju bahawa pepatah ini juga ada maksud yang lain.

Ini persoalan masyarakat kita, bangsa kita, bukan persoalan agama. Jika persoalan agama, pastinya menuntut kita berbuat baik sebanyak yang mungkin. Tapi kerana ini adalah pepatah Melayu, maka perkara yang aku timbulkan ini juga berkaitan dengan bangsa.

Ada orang berkata, buat baik berpada-pada, maknanya kalau buat baik itu biarlah berpada-pada. Cukuplah setakat yang termampu dan yang sepatutnya. Kerana kecenderungan sesetengah orang dalam masyarakat kita yang suka memijak kepala. Diberi betis nak peha, diberi peha nak dada, diberi dada nak kepala. Tidak pernah cukup.

Benarkah begitu? Apakah harus kita berbuat baik setakat yang perlu sahaja? Aku timbulkan persoalan ini kerana aku sendiri yang mengalami perkara ini. Iaitu bila berbuat baik pada orang, kepala kita dipijaknya. Ini adalah hasil berbuat baik berulang kali. Aku tahu tidak semua begitu, dan aku yakin pepatah Melayu pun tidak menggambarkan semua orang Melayu, tapi itulah situasinya yang membuatkan aku terfikir.

Dan ini juga membuatkan aku terfikir juga. Adakah buat jahat jangan sekali bermaksud jangan buat sekali, tapi buatlah dua kali atau tiga kali atau lebih. Pastinya akal logik kita menolak telahan ini, terutama jika kalian pejuang bangsa dan agama.

Tapi logik pemikiran orang-orang tua dahulu juga kita tidak tahu setakat mana hebatnya. Mungkin juga buat jahat jangan sekali bermaksud alang-alang berdakwat biar hitam, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kalau buat jahat sekali, hukuman dunia adalah sama dengan buah jahat berkali-kali.

Bunuh satu nyawa, hukumnya mati. Bunuh tujuh nyawa, hukumnya mati juga. Curi komputer, hukumnya penjara. Curi satu kontena cip komputer, hukumnya penjara juga. Relevankah hipotesisnya?

Dan semestinya aku bercakap tentang hukum dunia, hukuman akhirat tidak aku pertikaikan. Cuma pepatah ini membuatkan aku berfikir. Apakah ada maksud di sebalik maksud?

Apa kata benak kalian? Apa kata hati kalian?

05 February 2008

Imejan Teater Cumbuan Dosa Semalam


Wajah pengarah yang tak puas hati pada para pelakon kerana pada masa yang sama terpaksa menjaga muzik sewaktu sessi latihan.


Sessi memanaskan badan di auditorium sebelum bermulanya raptai penuh.


Penolong pengurus pentas dengan prompt booknya. Kombinasi antara rajin dan keloloh.


Babak 1, papa dan mama. Kisah wanita yang hidup sebumbung luar nikah hingga mengandungkan anak luar nikah.


Mama menangis mengenangkan nasib diri yang ditinggalkan papa dengan anak yang tidak berbapa yang sah.

Babak 2, Kisah suami yang panas baran dengan isterinya yang terlalu baik hati.


Suami memukul isteri kerana isteri memberikan nasihat kepada suami.


Babak 3, kisah lesbian tegar yang dahagakan nafsu dan lesbian yang keliru antara cinta dan nafsu.


Lesbian tegar menggoda lesbian keliru.


Babak 4, kisah ibu yang kematian anak, tetapi tidak dapat menerima hakikat kematian anaknya.


Ibu yang keliru, sama ada benar atau tidak anaknya telah meninggal. Dia menyalahkan semua atas kematian anaknya.

Ibu nazak kerana meminum racun.


Babak 4, pasangan lakon kedua. Ibu tidak percaya dengan surat mati yang ditunjukkan oleh suami.


Suami kecewa dengan isteri yang masih tidak dapat menerima kenyataan walau anak mereka sudah 3 minggu meninggal.


Barisan tenaga produksi dan pelakon yang menjayakan Cumbuan Dosa Semalam.


Terima kasih kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang yang membantu membuat jemputan ke maktab dan sekolah-sekolah hingga memenuhkan auditorium ketiga-tiga malam. Terima kasih kepada yang membantu secara langsung atau tidak langsung. Nantikan projek terbaru Bakawalee.