Sebenarnya sudah beberapa bulan aku tertanya-tanya. Aku lihat beberapa akhbar di luar negara, ada edisi petangnya. Kalau di sini, akhbar berbahasa Cina pun, ada edisi petangnya. Tapi kenapa akhbar arus perdana kita tak ada edisi petang? Aku tidaklah hairan sangat kalau akhbar berhaluan kiri itu tidak ada edisi petang. Bukannya jualan akhbar itu boleh menandingi akhbar arus perdana. Tapi kemusykilannya timbul pada akhbar arus perdana.
Apakah negara kita ini ketandusan cerita yang boleh dikhabarkan? Atau apakah kita juga kegersangan penulis artikel? Sehinggakan tidak mampu untuk menerbitkan akhbar edisi petang?
Ataupun mungkin juga akhbar kita kekurangan bajet, hingga tidak mampu menerbitkan edisi petang? Tapi jika benar kekurangan bajet, kenapa diterbitkan pula akhbar berbentuk tabloid? Mahu cari pendapatan tambahan dengan longgokan iklan?
Yang tidak seronoknya, bila kita baca akhbar edisi tabloid dan akhbar utama dari syarikat yang sama, berita yang dipaparkan ada di antaranya sama. Berulang-ulang. Tidakkan lebih baik jika salah satu ditumpukan pada akhbar edisi petang?
Aku bukan jurnalis mahupun wartawan mahupun editor. Mungkin ada perkara yang aku tidak nampak, yang tidak memungkinkan penerbitan akhbar edisi petang. Tapi selagi aku tidak nampak perkara yang tersembunyi itu, aku tetap pada suara hati aku, bahawa akhbar arus perdana patut ada edisi petang berbanding tabloid.
Kalian pula berasa bagaimana?
“The theatre is the only institution in the world which has been dying for four thousand years and has never succumbed. It requires tough and devoted people to keep it alive.” -John Steinbeck
27 May 2008
Akhbar Tabloid Atau Edisi Petang?
16 May 2008
Peram Penulisan
Dalam dihambat masa dan kesibukan, aku siapkan juga. Aku paksa diri untuk siapkan kerana aku sangat cekap bekerja jika ada tarikh ajal.
Tapi kalau Sasterawan Negara, Profesor Muhammad Haji Salleh tahu aku siapkan skrip dalam masa yang pendek, pasti dia rendam aku dalam Tasik Harapan (bukan tasik yang memberi harapan, tapi sebuah tasik di Universiti Sains Malaysia).
Kata beliau, sebuah naskhah tulisan, tidak kira apa genre, setelah selesai ditulis, haruslah diperam beberapa lama, sehingga kita tidak memikirkan tentang penulisan kita itu. Lepas dah tak ingat sangat apa yang kita tulis, barulah diambil balik, ditelaah balik. Kata beliau pasti ada yang boleh kita baiki.
Pendapat yang sama aku dengar dari Azizi Haji Abdullah. Kata beliau, tulisan kita itu, selepas selesai ditulis hari ini. Esok cuba baca balik, pasti ada yang kita rasa perlu tambah buang.
Aku sangat setuju dengan kaedah ini kerana aku sendiri pernah mencubanya suatu ketika dulu ketika aku baru belajar menulis novel dalam buku latihan sekolah (aku dah tak tahu ke mana hilang novel-novel itu). Memang banyak yang boleh diperhalusi.
Beza Prof. Muhammad dengan Azizi, cuma jangka masa peraman itu. Azizi lebih singkat, tapi lebih kerap semak semula. Prof. Muhammad lebih lama, mungkin kurang kerap.semak semula. Kata Prof. Muhammad, beliau biasanya menyemak semula lebih kurang 4 hingga 5 kali selepas tiap kali peraman. Aku tidak ingat berapa banyak semakan semula Azizi.
Kerana kata Prof. Muhammad, seorang pemenang anugerah Nobel yang pernah beliau temui menyemak sehingga empat belas kali sebelum diterbitkan. Itu termasuklah diberikan kepada pelbagai pihak untuk dikomen. Barulah boleh menghasilkan penulisan yang baik.
Aku setuju.
Malangnya aku tidak mampu berbuat begitu. Masa begitu memagar sempadan kreatif aku. Aku seringkali di dalam dilema, antara tuntutan tugas atau tuntutan minda. Dan seringkali aku beralah dengan tugasan. Sekiranya aku buat macam pemenang anugerah Nobel itu, maka skrip yang aku hasilkan pastinya cuma boleh dimurnikan dalam tempoh setahun, mungkin juga lebih. Nak buat penulisan baru semasa pemeraman? Lagi setahun pula diperlukan.
Agaknya kalau entri blog ini pun aku peram dahulu, entah bila kalian dapat membaca entri-entri kosong ini.
09 May 2008
Lain Pengarah, Lain Macam
Kekalutan tugas menyebabkan aku agak lewat menjamu entri baru. Dan kekalutan kerja juga menyebabkan aku tidak sempat menonton sebuah pementasan teater yang hebat iaitu ‘Bila Lagi Kompang Berbunyi’. Kerana pada masa yang sama, aku berada di Cherok Paloh, Kuantan, Pahang untuk program Rantau Budaya 3.
Ingat lagi Rantau Budaya? Kali pertama di Merbok, Kedah dan kedua di Bumbong Lima, Pulau Pinang. Entri mengenainya juga telah dimuatkan. Tapi untuk Rantau Budaya kali ini, mungkin agak lewat sedikit aku muatnaik entrinya kerana aku tidak punya masa untuk duduk menanti gambar-gambar dimuat naik.
Itu baru intro.
Bagi yang menjadi aktivis teater seperti aku ini, jikalau tidak banyak, sedikit pun pasti ada pengalaman berteater di bawah pengarah-pengarah yang berbeza. Sudut pandangan aku sangat menyetujui agar ada lebih ramai pengarah supaya setiap aktivis dapat merasakan bentuk pengarahan yang berbeza. Bukan sahaja bentuk pengarahan tetapi juga bentuk dan hala tuju produksi kerana secara normalnya, pengarah di dalam kumpulan teater amatur mempunyai kuasa yang hampir total dalam mencorakkan produksinya. Baik dari segi publisiti, rekaan set, tatacahaya dan bunyi, dan jadual latihan. Meskipun ada pengurus produksi/publisiti, pereka set, penata cahaya dan bunyi dan pengurus pentas yang menjalankan semua perkara itu, tetapi kata putus normalnya datang dari pengarah.
Itu teater amatur. Mungkin berbeza mengikut tempat. Mungkin ada yang kurang sistematik pengurusannya, mungkin yang sekadar sederhana, mungkin ada yang sudah mencapai tahap professional.
Aktivis yang duduk di bawah pelbagai pengarah yang berbeza, akan lebih matang di dalam mendepani masalah dan perihal teater. Kerana setiap pengarah mempunyai bentuk dan cara yang tersendiri. Tiada siapa boleh menuding jari mengangkat tangan mengatakan aku bagus. Kerana masing-masing punya kelebihan dan kelemahan. Di situlah datangnya keunikan berteater.
Setiap pengarah mempunyai identitinya yang tersendiri (kecuali pengarah baru). Misalnya isme-isme yang berbeza, objektif pementasan, garapan naskhah, dan perangai yang pelbagai. Ada yang cekap di dalam realisme, ada yang memilih anti-realisme, ada yang memilih dramatik teater, ada yang memilih epik teater, ada yang menjadikan pementasan medan meluahkan idea dan pendapat, ada yang memilih untuk menarik perhatian audien sebagai subjek utama, ada yang serius, ada yang santai, pendek kata macam-macam perangai pengarah.
Maka di sinilah aktivis yang bergiat di bawah pengarah berkenaan, akan dapat melihat kelebihan dan kekurangan, dan memilih yang baik untuk diamalkan di dalam produksi lain pula.
Di Tanjung saja ada lebih kurang 5 orang pengarah yang secara aktif mengarah dan juga terlibat di dalam produksi pengarah lain. Paradigma yang berbeza inilah berjaya memberikan sinergi di dalam pementasan teater di Tanjung. Tidaklah audien hanya melihat satu bentuk pementasan sahaja sepanjang masa. Aku tidak tahu senario di negeri-negeri lain. Apakah begini juga keadaannya?
Sedikit pesanan. Aku tidak pula menafikan kelebihan berteater dengan seorang pengarah sahaja.