31 March 2009

Ulasan Yang Terpulas - Projek Teater Tahun Akhir USM : PENTAS

Ahad lepas hari pementasan terakhir projek seni budak-budak Lakonan dan Pengarahan Pusat Pengajian Seni USM. Enam buah naskhah dipentaskan; Laut Lebih Indah Dari Bulan, Hamlet, Nyonya, No Exit, Syakuntala dan Si Bongkok Tanjung Puteri. Aku sebagai insan yang naif dan daif seni akan cuba membuat komentar berdasarkan ilmu yang dangkal dan cetek ini. Perlu diingatkan aku tiada ilmu secara formal tentang teater samada secara teori atau praktikal. Kelebihan aku cuma aku ini pandai memanda-memandai membuat teater yang belum tentu orang suka tetapi sudah pasti aku puas. Aku akan bahagikan kepada tiga isu utama iaitu Lakonan, Sinografi dan Pengarahan kerana itulah kriteria penilaian utama budak-budak berilmu ini.

Laut Lebih Indah Dari Bulan

Lakonan
Memang budak-budak ini boleh berlakon. Tapi sebagai budak-budak yang terdidik dan terlatih selama tiga tahun (tolak campur cuti ponteng kelas dan sebagainya), pastinya aku mengharapkan sesuatu yang lebih. Aku tidak mengharapkan lakonan yang gila babi maha hebatnya, tetapi cukuplah dapat memberikan rasa pada aku. Kelemahan utama lakonan Bulan dan Laut di dalam pementasan ini ialah kurangnya memberi rasa pada audien. Emosi mereka adakalanya terhoyong-hayang dan tidak konsisten. Pengucapan dialog yang banyak ketika tidak kena menyebabkan beberapa kali aku dan rakan terlentang di dalam panggung (panggung Black Box, kami bersila saja di lantai).

Sinografi
Aku paling suka kepelbagaian paras (level) yang wujud. Bukan satu, bukan dua tetapi empat paras. Ini sedikit sebanyak membantu lakonan. Tetapi penata cahaya yang terlalu terang seperti menyuluh musang di malam hari membantutkan mood lakonan. Penggunaan multimedia pun terhad. Tetapi sedikit sebanyak membantu penceritaan dengan menyegarkan mata audien.

Pengarahan
Kerja pengarah adalah mengangkat karya itu agar difahami dan diterima oleh penonton. Kalau itu yang diambilkira, maka pengarah teater ini berjaya. Cuma dia tidak berjaya mengolah cerita berkenaan agar menimbulkan kesan kepada penonton. Tentu sebahagian besar tanggungjawab ini terletak pada pelakon dan pastinya pengarah tidak punya kawalan total lagi ke atas pelakon setelah berada di atas pentas. Tetapi adalah penting pengarah mengolah karya itu agar menarik dan mampu meninggalkan kesan walau dengan pelbagai kelemahan yang dikenalpasti.


Hamlet

Lakonan
Cabaran pengarah paling hebat di dalam teater ini kerana mempunyai beberapa orang pelakon berbangsa Cina, dengan bahasa Melayu mereka masih mempunyai pelat Cina. Mereka fasih, tetapi pelat itu seperti meneutralkan mood lakonan. Tetapi bagi aku ini tidak mengapa. Mempunyai produksi yang berbilang bangsa adalah satu bonus yang tidak ternilai. Abaikanlah pelat yang sedikit itu. Tetapi seperti biasa sayangnya lakonan mereka pada aku cuma pada tahap biasa, tidak cukup mengagumkan dan memberi kesan. Lontaran-lontaran dialog sekadar lontaran dialog tanpa isi atau emosi. Cuma ada beberapa babak yang dibarisi pelakon lama (senior budak-budak ni) yang membantu menaikkan graf lakonan.

Sinografi
Set tidak perlu mewah. Tetapi walaupun ringkas biarlah meyakinkan. Latar Hamlet adalah di Denmark. Dan dalam dialog yang diucapkan juga disebutkan Denmark. Seharusnya kajian yang terperinci dapat menghasilkan kostum ala-Demnark dengan lebih meyakinkan. Aku faham masalah kewangan serta kepakaran yang dihadapi oleh semua produksi, tetapi itu bukan alasan menjadi kreatif dengan cara yang jimat. Walau bagaimanapun, aku puji usaha produksi ini menghasilkan kostum ala-Eropah. Pencahayaan juga tidak banyak membantu kerana kebanyakannya cerah sahaja. Cuma ada beberapa spot pada babak-babak tertentu, tetapi tidak banyak membantu.

Pengarahan
Seperti yang aku katakan tadi, pengarah Hamlet berani mengambil risiko dengan meletakkan pelakon Cina sebagai watak utama Ophelia dan Gertrude di dalam sebuah teater Melayu amat aku puji. Sudah tentunya berlaku ketidak sempurnaan tetapi itu boleh dimaafkan. Dan aku suka lagu-lagu yang dibawa di dalam pementasan ini. Hampir aku terlupa. Hamlet dipentaskan dalam bentuk muzikal, ini juga kelebihan di dalam produksi ini yang tidak ada di mana-mana pementasan pelajar tahun akhir sebelum ini. Muziknya sedap, tapi sayangnya tidak sesuai dengan mood dan dialog yang dijadikan lirik lagu. Kerana muziknya lebih moden dan lebih sesuai dengan situasi masa sekarang. Andaikan watak-watak teater ini dimodenkan dengan pakaian semasa, pasti lagu itu sesuai. Ia seolah mendengar lagu nasyid yang menginsafkan di dalam sebuah bar kelab malam.


Nyonya

Lakonan
Lakonan mereka realisme dan memilih menggunakan bahasa Indonesia (atau mungkin bahasa Melayu pelat Indonesia). Sesungguhnya lakonan mereka ini berjaya meninggalkan impak kepada para audien. Mungkin kerana genre komedi yang dibawa, maka impak itu lebih mudah sampai. Tetapi jika diperhalusi, memang masih ada ruang-ruang agar lakonan itu dipersembahkan dengan lebih cemerlang. Lakonan mereka bagus, tapi boleh diperbaguskan lagi. Aku lihat mereka enjoy dengan lakonan mereka dan membolehkan lakonan mereka menjadi natural dan ada rasa. Ini termasuklah watak-watak pembantu.

Sinografi
Set yang ringkas tetapi cukup untuk memahamkan audien. Masalahnya, aku rasa set mereka terlalu ringkas, seperti tak cukup usaha untuk mencantikkan lagi setting itu. Pencahayaan juga terlalu minimal. Memanglah ini cerita realisme dengan komedi itu membantu menggerakkan tempo, tetapi sebagai sinografer, menyedapkan mata audien memandang juga termasuk dalam deskripsi kerja.

Pengarahan
Kalau ada mesej yang nak diangkat, memang tidak cukup terangkat. Tetapi kalau mahu audien rasa berbaloi menonton teater, maka pengarah berjaya menimbulkan rasa itu kerana impak yang diterima oleh audien. Audien dapat merasakan komedinya pementasan ini. Selain daripada itu, aku rasa pengarah bertuah kerana dibantu oleh pelakon yang tahu berlakon.


No Exit

Lakonan
Kelemahan utama aku ialah aku tidak petah berbahasa Inggeris. Jadi bila menonton sebuah teater yang berbahasa Inggeris, otak aku terpaksa ligat menterjemahkan dialog mereka sehingga aku letih. Kekurangan para pelakon teater ini ialah monotone pada banyak keadaan. Mereka berada pada notasi yang sama pada banyak ketika. Cuma sesekali bila dibantu dengan gerak-gerak yang sekali lagi perlu aku tafsirkan, maka monotone itu hilang. Tetapi kembali lagi selepas itu.

Sinografi
Yang pastinya aku suka sinografi pementasan ini. Pencahayaannya sesuai, set yang sesuai dan sedap mata memandang (sedap mata memandang tak semestinya cantik. Kalau buruk pun tetapi sesuai dengan cerita, pun bagus juga). Paling aku suka bahagian mata yang memandang. Refleksi mata menggunakan cahaya dan mata langit yang asalnya hitam tiba-tiba saja keluar biji mata tanpa disedari. Serta efek bunyi yang sesuai dan meyakinkan audien seperti bunyi hentaman pintu. Cuma sesekali bunyi itu tidak cukup synchronise.

Pengarahan
Kalau pengarah nak buat kejutan, maka dia telah berjaya. Akhir penceritaan baru aku tahu mereka semua telah mati. Selain daripada itu, aku tidak tahu apa yang diceritakan. Aku rasa salah satu dari watak itu watak lesbian dan satu watak lagi meminati lelaki yang tidak meminatinya. Selain daripada itu aku tidak tahu jalan cerita. Rasanya kerana aku tidak pandai berbahasa Inggeris.


Syakuntala

Lakonan
Pun menghadapi masalah yang sama. Aku tidak pasti aku menonton lakonan eksperimental, atau bangsawan, atau realisme. Semacam ada campur aduk pelbagai elemen yang memeningkan kepala. Tambah pening kepala kerana rasa itu tidak sampai. Rasa sedih tidak sampai, rasa gembira tidak sampai, rasa marah tidak sampai, pendek kata tiada rasa. Setiap pelakon punya kelebihan masing-masing tetapi di dalam teater ini, kelebihan itu dilebih-lebihkan hingga tiada sebatian rasa kepada penonton. Penonton mungkin ada ketawa tapi bukan pada tempatnya.

Sinografi
Preset sebelum persembahan memang menggerunkan, nampak hebat. Tapi bila pencahayaan dibuka terus terang benderang, maka nampaklah sebeng (side wing) dengan lukisan yang kurang sesuai bagi pelajar peringkat universiti. Dari sudut positif, sekurangnya audien tahu mereka di dalam hutan. Permainan cahaya juga banyak terabai. Contohnya ketika Syakuntala bermain cinta, boleh diletakkan pencahayaan yang sesuai untuk membangkitkan mood. Cerah dan terang semata-mata tidak banyak membantu. Bahagian ular masuk sepatutnya lebih dramatik dan patut ada usaha menghidupkan ular. Kerana pada adegan itu yang aku nampak cuma dua pelakon berlari ke sana ke mari kerana gabra mendengar suara ular yang marah di balik sebeng.

Pengarahan
Kalaulah pra produksi boleh diletakkan di bawah pengarahan, maka aku puji. Inilah satu-satunya produksi dengan pra produksi yang mantap. Poster yang menarik perhatian diletak di posisi yang strategik hingga malam persembahan mereka ramai yang datang menonton berbanding biasa. Ada pameran dengan poster yang menarik serta tiket yang kreatif. Aku puji penguruan produksi. Tapi pengarahan tidak dapat menyembunyikan masalah yang ada pada pelakon dan sinografi hingga mengheret penonton ke ruang yang tidak sepatutnya.


Si Bongkok Tanjung Puteri

Lakonan
Biasa juga, boleh berlakon tetapi rasa itu tidak sampai. Tempo keseluruhan cerita memang cantik kerana dari awal sampai habis tegang sepanjang masa, kecuali pada beberapa babak. Sayangnya kerana rasa tegang itu ada pada semua pelakon dan tiada rasa sayu, kelembutan, ketegasan pada bahagian-bahagian yang sepatutnya. Bongkok dan Panglima Puteh sama naik bongkaknya. Tanjung juga begitu, tegasnya umpama lelaki, bukan tegas sebagai perempuan yang santun. Memanglah lakonan mereka berjaya memberikan rasa pada audien, tapi sayangnya cuma satu rasa, menyebabkan ia menjadi monotone. Mujurlah dialog karya Shaharom Hussain ini sangat puitis dan indah didengar. Itulah yang menjadi penyelamat.

Sinografi
Idea dan konsep sertik teknik yang diaplikasikan memang menarik dan aku suka. Tangga dibuat tinggi-tinggi agar dapat bermain dengan paras dan setiap kali tangga berkenaan dipusingkan, watak baru akan muncul. Tiada lagi black out yang mematikan mood audien. Pencahayaan juga cantik tetapi terlalu kaku kerana tidak berubah mengikut mood dan kesesuaian. Mungkin sinografer sekadar membayangkan cahaya yang cantik. Kostum juga menarik tetapi malangnya kostum panglima dan hulubalang sama saja, seperti tiada beza taraf. yang berbeza cuma Datuk Timur dengan satu selempang. Korus sedikit sebanyak membantu dengan topeng muka yang murah tetapi menarik. Dan juga muzik yang banyak membangkitkan mood audien. Tetapi tertanya-tanya juga apa kaitan bunyian didiridoo dengan alam Melayu. Kalau universal, di mana universalnya?

Pengarahan
Masalah utama pada pengarahan ialah isu yang tidak terangkat. Tagline pada poster sangat menarik perhatian aku iaitu kebebasan tanpa keamanan atau keamanan tanpa kebebasan. Tetapi isu hilang dek sergahan Bongkok dan bantahan Puteh. Ketaksuban pada idea kontemporari jika tidak dikawal boleh membunuh cerita itu, jika tidak diadun dengan caranya. Sayang sekali.


Begitulah komentar aku yang memandai-mandai ini. Harap yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan ingatan. Kalau tidak berpuas hati bolehlah komen di bawah atau jumpa aku sendiri dan komen balik pementasan aku 'Monodrama Manusia Raja' pada hujung April ini. Aku insan yang buta seni, buta arah dan buta perut. Sekadar bersuara kerana aku kasih dan minatkan teater ini.

11 comments:

Aloy Paradoks said...

manusia raja tu nanti pentas kat mane beb?

Pegawai Khalwat said...

Aloy
Mampu buat kat Tanjung saja bro. Belum mampu ke kayell.

jinggo said...

apa dia manusia raja tu......????

The Island of NAMOYAKI, said...

salam,
baguihnya komen niii...

kalau buat 'customer survey' kat supermarket dah dapat ayaq kotak berkotak2.

baguih, saya pun tak habih baca lagi. sat nak sambung baca.

The Island of NAMOYAKI, said...

'Aku insan yang buta seni, buta arah dan buta perut.
Sekadar bersuara kerana aku kasih dan minatkan teater ini.'


*wink- tengah pikiaq ni.. apa punya 'statement' ini macam.

Anonymous said...

aku nak komen pasal cite bdk2 lakonan pengarahan yg mane aku gi tgk lah :

syakuntala : x best, wlpun set cantik tpi cite hampes..

hemlet : jln cite ok, set ko... kalo per 10 aku bg 6...

nyonya : best, set hampes.. pelakon yg di nilai (yg msuk kejap2) x de feel lah tgk dia.. igt dia pembantu yg x di nilai.. cian...

yang lain aku x gi tgk, pasal promosi, dan kurang publisiti.. diaorg x berusaha sungguh2 kot..

me ceh...

casper said...

sebgi pengulas teater yg byk pengalaman mcm en blogger ni, pe pndpt anda siapa yg layak mendpt pujian keseluruhan?

Anak Antu Seni said...

hubaya-hubaya

Pegawai Khalwat said...

Jinggo
yang pasti bukan wan raja.

Zulrahman
Komen orang tak berilmu macam ni la.

Anony
Aku tau hang sapa.

Casper
Semua layak. Aku harap lepas ni aku mampu jadi pengkritik, bukan pengulas lagi.

Anak Antu Seni
Kilang terbakaq....!!!

jinggo said...

kita di seraaannngggg......

Aloy Paradoks said...

takpa,,mana mampu ja,,,

gua plak belum mampu nak ke tanjung,