Memang bukan mudah untuk menilai secara adil. Terutama kalau sesuatu perkara itu adalah perkara yang subjektif. Dalam bola sepak pun sukar untuk pengadil menghadiahkan kad kuning atau kad merah sesuka hati, inikan pula di dalam bidang seni.
Kalau tak salah aku, ini kali ketiga Suara ACMS mementaskan teater. Dua kali di festival teater Pulau Pinang dengan salah satunya bertajuk Mencari Juita oleh Siti Rohaya Atan dan pelakon wanitanya menggondol Pelakon Wanita Terbaik (diputuskan oleh juri profesional pada waktu itu). Namun aku tidak dapat menonton Mencari Juita kerana bertembung dengan tuntutan tugas pada waktu itu.
Maka peluang untuk menonton Kerusi karya Hatta Azad Khan tidak aku lepaskan. Kerusi adalah antara karya berhantu Hatta selain Mayat, Syyy dan Jebat, yang telah diterima sebagai teks KOMSAS dan dikaji seantero pelajar tingkatan 5 seluruh Malaysia. Dalam konteks Malaysia, naskhah ini mungkin boleh diiktiraf naskhah popular, kalau bukan naskhah agung.
Jadi untuk menjadikan ulasan ini lebih adil, kayu ukur aku mudah saja, iaitu pementasan ini mestilah mampu menarik perhatian audien kerana 3/4 audien yang hadir bukanlah aktivis teater yang faham nahu dan jargon teater ini. Audien yang datang pula dengan pelbagai kehendak. Ada yang mahu berhibur, ada yang mahukan pengajaran, ada yang mahu berfikir, ada yang menyokong kawan-kawan.
Jadi yang datang menonton Kerusi oleh Suara ACMS pada malam itu, terdiri dari semua kategori ini, kecuali aku. Kerana aku dan beberapa rakan-rakan hadir untuk memberikan sokongan pada grup teater baru. Kami tidak datang dengan kehendak yang tinggi. Tidaklah mengharapkan persembahan yang menyentuh qalbu atau merobek jiwa atau menyungkit semangat berkarya kami. Cukuplah sekadar sebuah persembahan. Kerana kita semua bermula dari bawah.
Kerusi merupakan percubaan yang bagus. Aku tidak tahu apa perasaan audien lain tetapi aku tahu ahli produksi memang berpuas hati selepas pementasan. Dengan jumlah tenaga kerja hampir seperti sebuah bangsawan, tidak hairanlah pementasan ini dapat menarik ramai penonton. Sayangnya seperti biasa, penonton yang hadir, tidak semua datang untuk menonton teater, tetapi untuk menonton lakonan. Jadi bila saja ada sesuatu gerak lakon yang luar dari kebiasaan (luar dari yang biasa kita tengok di tivi atau dalam kehidupan), maka akan terbit suara-suara ketawa walaupun adegan itu tidak lucu. Nasiblah mendapat audien yang tidak terdidik sebegitu.
Lakonan para pemain di paras biasa saja, tetapi yang bagusnya kerana mereka boleh berlakon. Kerana aku pernah menonton pementasan lain dengan para pelakon yang tidak boleh berlakon. Aku yakin tiada kajian yang mendalam tentang watak dan perwatakan kerana dilihat para pelakon hanya melontarkan dialog tanpa ekspresi wajah yang sesuai dan intonasi yang sepatutnya. Ini semua asas, sebab itu aku sebutkan di sini. Ada juga pemain yang bermasalah dengan lontaran suara walaupun lakonannya boleh dikira baik. Maka ini semua merencatkan rencana keseluruhan persembahan. Ini tidak termasuk permainan ruang. Mujur juga ada latar hias tangga (yang dikitar semula entah berapa puluh pementasan) yang membolehkan adanya permainan aras.
Beban keseluruhan, tentunya jatuh ke bahu pengarah, kerana aku melihat kurangnya kerja-kerja pengarahan. Terjemahan naskhah yang sangat longgar merudumkan keunikan cerita ini. Hatta kerap bermain dengan perlambangan, dan perlambangan itulah jika dipaparkan dengan jelas di dalam cerita ini, akan membuktikan pengarah bekerja. Jika tiada perlambangan pun, unsur-unsur extravaganza boleh diterapkan untuk menutup kekurangan lain. Maka itu akan menjadi kerja-kerja pengarah.
Mujurnya juga ini mungkin arahan pertama pengarah (kalau tak salah aku), maka banyak yang boleh dipelajari lagi. Nasihat aku, banyakkanlah menonton teater, maka minda kalian akan terbuka mengenai bagaimana mementaskan teater. Kerana yang paling penting adalah audien yang hadir itu berpuas hati dengan apa yang ditonton.