29 March 2012

Pasca Manusia Raja Redux

Manusia Raja Redux telah berlalu. Pementasan selama 1 jam 45 minit tu akhirnya tamat juga. Kami menerima pelbagai komen, pandangan dan kritikan, yang kami terima dengan hati yang terbuka. Tetapi di antara semua komen-komen yang kami terima, yang paling mengesankan ialah kurangnya energy (tenaga) dan tidak cukup stamina.

Aku harus mengakui selama aku berteater, dan juga rakan-rakan yang lain, kami kurang bersenam. kalau ada pun, setakat memanas dan meregangkan badan. Mungkin juga kerana bukan dari latar belakang akademik teater, kami tidak tahu kepentingan bersenam. Memanaskan badan pun sebab dah diamalkan turun-temurun dan ada juga yang dibawa balik dari bengkel-bengkel teater.

Biasanya tenaga (energy) yang dipancarkan oleh pelakon pada pementasan sebelum ini, datang dari dalam diri mereka. Susah nak diterangkan di sini. Apa-apa pun, layan imejan dulu.

Intro - ini baru satu permulaan.

Komunikasi + 1
Manusia Raja Redux memang melelahkan. Kerana mengarahkan 6 monodrama dan 2 drama gerak, seolah-olah mengarahkan 8 produksi yang berbeza. Setiap satu karakter membawa kisah yang berbeza lantas menyebabkan keperluan yang berbeza. Keperluan-keperluan inilah yang menyebabkan aku terpaksa membahagikan otak aku kepada beberapa bahagian pada satu-satu masa. Tambahan pula, MRR kali ini berbeza dengan 4 siri Manusia Raja yang sebelumnya, kerana aku mewujudkan elemen korus agar audien tidak terputus fokus sepanjang penceritaan.

Dalang Songsang

Artisan Marhaenis

Syukur kerana aku merasakan audien pada ketiga-tiga malam (walau jumlahnya tidaklah ramai), dapat mengikuti setiap cerita dari awal hingga akhir. Tidak mudah mengikat audien selama 1 jam 45 minit, tambahan lagi mereka punya hak untuk keluar bila-bila masa (ada satu kumpulan yang keluar awal pun kerana pengangkutan mereka dah sampai).


Mimpi Manis

Variasi Daun-daun Berguguran
Tambahan lagi, kebanyakan naskhah monodrama ini bersifat cakap, cakap, dan cakap. Dan tidak mudah nak mengekalkan minat audien kecuali mereka ini berbakat menjadi ahli politik. Juga, sebahagian naskhah ini  menggunakan bahasa yang bombastik, ada yang banyak metafora dan ada juga yang mencuit dengan ringan. Kecuali satu naskhah iaitu Jebat - Rahsia Kesumat yang banyak bermain ruang dan fizikal badan (itupun ia menggunakan kronologi terbalik), yang lain-lain kebanyakannya bergantung kepada kemampuan pelakon menarik audien melalui kata-kata.

Jebat - Rahsia Kesumat

Selamat Datang Kapitalis
Apa-apa pun, aku berterima kasih kepada pelakon yang berusaha besungguh-sungguh menjayakan pementasan ini di ketika ada yang terlibat dengan dua pementasan lain. Maka aku tahu itulah antara sebab mereka tidak dapat memberikan penghayatan 110%. Bergiat sukarela macam ni, aku faham kekangan sebegini. Aku cuma mengharapkan karya aku diterima dan pengarahan aku difahami oleh audien yang datang. Kerana bagi aku, teater ini komunikasi. Kalau aku tidak dapat berkomunikasi dengan audien dengan cara membuatkan mereka faham (tidak kiralah lapisan pertama, kedua atau ketiga), maka aku gagal.

Aku Bukan Parewa

Artisan Marhaenis
Aku berharap dapat berkarya lagi, dan mementaskan sesuatu lagi. Buat masa ini aku ada dua idea untuk naskhah baru, tetapi tertangguh kerana banyak urusan lain yang patut aku utamakan. Tengoklah kalau ada ruang senggang dan kiranya naskhah ini menjadi escapism aku, maka akan muncullah yang terbaru. Itupun kalau ada yang sudi menanti.

Para pelakon Manusia Raja Redux

Terima kasih kepada yang hadir, kepada yang menunggu untuk memberikan komen dan kritikan, kepada semua yang membantu secara langsung atau tidak langsung.

27 March 2012

Iklan - Teater Perhiasan Kaca (The Glass Menagerie karya Tennessee Williams)


Sinopsis:

Merupakan antara karya ulung Tennessee Williams, penulis Amerika Syarikat. Perhiasan Kaca membawa memori imbas kembali Tom Wingfield kepada ibunya Amanda Wingfield yang kuat berleter dan kakaknya Laura Wingfield yang terlampau pemalu.

Tom bosan dengan kehidupannya di St. Louis. Amanda mengharapkan anaknya Laura bertemu jodoh dengan mana-mana lelaki yang baik, sedangkan Laura terlampau pemalu kerana keadaan fizikal kakinya yang agak tempang.

Lalu Amanda meminta Tom mencari mana-mana kawan lelakinya untuk diperkenalkan kepada Laura. Lalu Tom membawa pulang Jim O'Connor untuk makan malam dan tanpa mengetahui Laura pernah jatuh hati kepada Jim sewaktu sama-sama di sekolah tinggi.

Amanda menyangkakan Jim adalah menantu impian yang ditunggu-tunggunya.
Laura menyangkakan Jim adalah lelaki yang dapat memahami dirinya.
Tom langsung tidak menyangka apa-apa.
Apakah yang akan terjadi?

Sebuah kisah yang memaparkan pergelutan hidup keluarga menengah rendah serta penonjolan sifat individualistik masyarakat Amerika.

Dipersembahkan dalam Bahasa Melayu.

16 March 2012

Iklan - Teater "Manusia Raja 'Redux' "




'Manusia Raja' merupakan istilah yang dipetik daripada Kassim Ahmad di dalam bukunya Mencari Jalan Pulang. Beliau menyebutkan konsep Manusia-Tuhan, iaitu manusia sebagai khalifah yang boleh menentukan nasib dan destininya sendiri, terutamanya yang buruk. Kerana yang baik itu datang daripada Tuhan. (Kassim Ahmad. Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam. ZI Publications Sdn. Bhd. 2008. ms 15-18).

Maka teater ini akan mengalunkan pemikiran manusia yang berasakan diri mereka bebas untuk berbuat apa saja tanpa/walaupun menyedari kesan/impaknya terhadap diri dan masyarakat.

Lapan (8) buah monodrama akan dipertontonkan :
1. Jebat - Rahsia Kesumat
2. Komunikasi
3. Dalang Songsang
4. Artisan Marhaenis
5. Selamat Datang Kapitalis
6. Aku Bukan Parewa
7. Mimpi Manis
8. Variasi Daun-daun Berguguran


Jebat : Rahsia Kesumat 
Sebuah hipotesis tentang pergumpalan konflik diri Jebat yang dilihat dari kaca mata yang berbeza. Suatu amalan yang sangat taboo pada zaman itu tetapi dijadikan persoalan utama karya ini. Apakah dendam Jebat pada Sultan Melaka menjurus kepada nilai persahabatan semata-mata, atau mungkin lebih dari itu?

Komunikasi
Beliau kaya. Beliau penipu. Beliau memanipulasi. Tapi bagaimana bila beliau pula dimanipulasi?

Dalang Songsang
Sebagai jurucakap sebuah gerakan ekstremis bawah tanah, beliau sering harus tampil meyakinkan para pengikut gerakan itu bahawa horizon mereka itu sah dan murni. Mampukah beliau meyakinkan mereka semua yang kaya dengan persoalan luar kotak.

Artisan Marhaenis 
Sekarang, apa yang penting adalah pakej yang boleh dijual. Bukan saja produk jualan, tetapi manusia juga kini dijual secara terang-terangan. Melihat bagaimana ketaksuban masyarakat untuk menyertai program realiti televisyen yang menjadi pentas hiburan utama masa kini, serta ruang glamor sekelip mata.

Selamat Datang Kapitalis 
Menjenguk pengalaman seorang pelayan kaunter restoran makanan segera yang berkerja kerana terpaksa menyara kehendak individualistik diri. Melihat dilema dirinya menggagahkan diri demi mengisi temolok.

Aku Bukan Parewa 
Dia bukan penjahat, dia tidak pernah membunuh, tetapi kali ini dia membunuh orang yang paling dia sayangi. Semuanya kerana dia merasakan dia perlu untuk mengubah dunia menjadi lebih baik, ketika orang lain cuma tahu beromong kosong saja. Dia menunggu masa untuk dicela dan dihukum, namun dia tak akan menyerah. Terutama bila orang yang dia bunuh ialah.........

Mimpi Manis & Variasi Daun-daun Berguguran
Drama gerak yang mengisahkan dua orang gadis yang dianiaya oleh dunia yang kejam dan bagaimana mereka membalas dendam terhadap dunia


Cerita yang berbeza dan individu yang berbeza setiap malam.
Seramai 10 orang pelakon terlibat.
Karya Dudok a.k.a. Mohd Yusof Bakar
Arahan Mohd Yusof Bakar a.k.a. Duduok

Tontonlah dan lihatlah teater ini dari mata burung, bukan dari dalam tempurung.

14 March 2012

Ulasan Yang Terpulas - Jebat oleh VOICE AUCMS


VOICE AUCMS (Vigour of Immensely Connected Emotions Allianz University College of Medical Sciences) adalah merupakan nama besar di dalam persada teater di Pulau Pinang. Bermula dengan Mencari Juita, Kerusi dan Muzikal Mahsuri, mereka tidak pernah gagal mementaskan sekurang-kurangnya satu pementasan setiap tahun. Malahan Mencari Juita telah berjaya menobatkan pelakon wanita utamanya sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Teater Pulau Pinang 2009.


Terbaru, pada 11 & 12 Mac 2012, bertempat di AUCMS sendiri di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, mereka telah mementaskan Jebat, antara karya cult Hatta Azad Khan. Jebat ini telah dipentaskan beribu kali oleh pelbagai pihak, telah diberikan interpretasi yang pelbagai dan diangkat dalam pelbagai isme. Sememangnya tidak mudah mencerna maksud yang ingin disampaikan oleh Hatta Azad Khan di dalam Jebat ini. Kalau silap gaya, parah jadinya. Kerana naskhah ini kelihatan seperi keanak-anakan dan bermain-main sahaja. Tapi mungkinkah itu subteks yang ingin diketengahkan oleh penulis?


Aku bukanlah orang yang mempunyai ijazah di dalam bidang teater, aku cuma insan yang naif dan daif seni. Aku tidak tahu teori-teori performativity, atau apa-apa falsafah yang diutarakan oleh Brook, Grotowski, Stanilavsky, Brecht mahupun Boal. Aku cuma penggila teater yang tegar tetapi miskin ilmu. Jadi harap kalian maafkanlah aku sekiranya komentar dan kritikan aku ini kelihatan seperti tidak sewajarnya. Kiranya ada pembetulan dan teguran, aku alu-alukan.


Pujian yang pertama kepada VOICE, ialah kesemua pelakonnya boleh berlakon. Dalam erti kata yang lain, mereka mampu mencuit dan menghiburkan audien. Tetapi berlakon bukan sekadar berlakon untuk diri sendiri. Berlakon juga untuk rakan lakon, berlakon juga untuk ruang, berlakon juga untuk audien dan berlakon juga untuk nashkah. Aku melihat hampir kesemua pelakon (kecuali beberapa watak) yang gigih menonjolkan diri agar disukai oleh penonton, agar penonton ketawa. Malahan hampir kesemua watak-watak dibina agar ekstra gedik agar ada respon dari penonton. Tapi kalau itu kehendak pengarah, maka itu persoalan ini jatuh ke tangan pengarah pula. Apakah sememangnya watak-watak itu dibangunkan sebegitu dan kenapa tujuannya? Aku tiada interpretasi sendiri kerana pemahaman aku terhadap teks berbeza. Ingin aku tegaskan di sini, aku tidak bermaksud para pelakon Jebat tidak boleh berlakon. Mereka boleh berlakon, cuma watak-watak seperti tidak ada warna yang secukupnya.


Pementasan ini memilih ruang pejabat sebagai latar hias. Ini juga suatu cabaran bagi aku untuk memahami dan mencari kesatuan daripada penanda (signifier) dan petanda (signified) (de Saussure, 1913). Apakah set pentas ini signifikan kepada gejolak dunia korporat yang mengamalkan hostile takeovers, poison pills atau mungkin whistle blowers? Atau apakah ia signifikan kepada pejabat kerajaan? Segalanya mungkin. Namun akibat kesatuan yang berkecamuk, maka aku masih mengambil masa untuk mencernakan maksud disebaliknya. Atau mungkin pengarah cuma memilih ruang pejabat kerana itu yang paling menjimatkan dan memudahkan untuk di siapkan?


Pada aku, pengarah mempunyai idea untuk menentukan arah pementasan ini. Setidak-tidaknya tidaklah ditiru dan diterjemahkan bulat-bulat dari teks itu. Jika tidak, pastinya ia akan menjadi seperti sebuah purbawara komedi. Sekurang-kurangnya pementasan oleh VOICE ini berjaya juga mencuit hati audien, dan audien tidak pulang dengan rasa tidak puas hati kerana membayar RM 5.00. Tetapi sayangnya kerana pada aku, teater bukan semata-mata memenuhi kehendak audien dan penerbit semata-mata. Adalah menjadi tanggungjawab pengarah dan produksi membawa wadah yang ingin disampaikan oleh penulis naskhah kepada audien, dalam bentuk yang paling boleh difahami. Biarpun pastinya setiap pengarah mempunyai interpretasi sendiri, maka intepretasi itulah yang harus ditonjolkan kepada audien, selain sisi hiburan agar tidak meresahkan audien. Sesungguhnya memang diakui bahawa audien yang datang punya selera yang berbeza dan adalah mustahil memuaskan hati semua audien. Tetapi semoleknya janganlah kita menyuapkan hiburan semata-mata, kerana cukuplah sesetengah rancangan televisyen dan sesetengah tayangan filem berbuat begitu. Kita cuba sebaik mungkin agar tidak merendahkan intelektual audien yang hadir. Ini sekadar pendapat peribadi aku yang naif dan daif seni.


Tetapi biar apa jua pendapat aku, yang paling penting adalah kalian buat! Dan VOICE telah membuktikan mereka telah buat. Di dalam ketandusan pementasan teater di Pulau Pinang, mereka setia muncul mementaskan sesuatu, dan pada aku itu adalah satu usaha yang terpuji. Tidak mudah mementaskan teater kerana ia bukan kerja seorang, tapi kerja berkumpulan. Dan kerjanya sangat melelahkan, malahan akan memberikan tekanan jika tidak ditangani dengan betul.


Tahniah sekali lagi buat VOICE. Teruskan usaha kalian, aku akan sentiasa menyokong. Aku menunggu Mambo Horse pula Jun nanti.


07 March 2012

Ulasan Yang Terpulas - Dusta Pada Skala 1 Hingga 10

Sabtu yang lepas (sila tolak beberapa hari dari tarikh entri ini), aku ke Stor Teater DBP bersama beberapa dari  Bakawalee Penang dan Pusat Pengajian Seni, USM. Tujuan utama kami ialah menonton teater Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 di samping aku melaksanakan sesi semi structured interview berkaitan pengajian aku.

Naskhah Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 merupakan karya aku atas nama pena Dudok pada tahun 2009. Dipentaskan di Pulau Pinang sebanyak 3 kali dan 1 kali di Kuala Lumpur. Kali pertama di pentaskan di Pulau Pinang, Taman Budaya Negeri Pulau Pinang dikelilingi air banjir mengakibatkan cuma beberapa kerat rakan teater dan kakitangan jabatan yang menonton. Malahan 1 bas rombongan pelajar dari UMP pun terkandas di luar kawasan banjir, beberapa meter sahaja dari pintu masuk. Di Kuala Lumpur, di pentaskan di Panggung Bandaraya DBKL sempena 6 kumpulan terpilih mengisi ruang Manifestasi Teater Kebangsaan.


Ramai yang mengatakan idea naskhah ini dicedok dari filem Saw. Sebenarnya itu tidak tepat. Idea asal naskhah ini diadaptasi dari siri Criminal Minds, musim ke-2, episod bertajuk North Mammon. Jadi pada ketika skrip ini dibikin, aku terpaksa menimbangkan kekangan yang ada seperti kekuatan pelakon, usia pelakon, kesesuaian watak dan sebagainya. Dan akhirnya, aku memilih untuk turut mencedok idea dari filem Saw untuk memberikan kelainan kepada naskhah yang biasa aku pentaskan dan teater yang biasa dipentaskan di Pulau Pinang. Kerana audien Pulau Pinang tidak seperti audien di Kuala Lumpur, Kedah mahupun Perlis.

Kemudian bila aku mendapat tahu dari rakan di Kuala Lumpur bahawa naskhah ini akan dipentaskan oleh Pe.Ter. maka aku teruja. Kerana aku tahu Stor Teater DBP adalah medan keramat yang menghalalkan hampir apa jua bentuk dan ideologi (selagi tidak bercanggah dengan apa-apa yang tidak boleh dicanggahkan) dan aku sendiri menyimpan hasrat melakukan pementasan di situ. Maka inilah sedikit sebanyak komen dan kritikan aku yang naif dan daif seni ini. Aku tiada ijazah di dalam teater. Cuma minat yang tebal.

Bila Penggerak Teater (Pe.Ter) yang menggerakkan teater ini, aku rasakan pasti ada kelainan. Kerana mereka adalah pelajar-pelajar Aswara dan pengkhususan mereka adalah teater. Dan telahan aku tepat. Memang banyak kelainan yang dipaparkan. Ilmu yang mereka perolehi tidak disia-siakan. Tiada masalah asas teater seperti blocking, leveling dan sebagainya. Dan untuk makluman kalian, ini memerlukan kerja pengarahan yang kuat kerana sebagai individu yang tidak terlatih untuk menulis skrip secara formal, skrip aku sememangnya sangat minimum dari segi arahan pentas, arahan teknikal dan arahan set. Kalau ada pun mungkin arahan pelakon yang sangat minimum seperti ketawa. Kerana pada aku, bila naskhah dah berada di tangan pengarah, maka hilanglah hak penulis untuk mengawal pengarah itu. Kalau dikawal pun, dari segi intipati cerita dan mungkin plot. Pendek kata, dari satu segi ini, Yusmar telah menjalankan kerja pengarahan dengan baik.

Juga pengarah telah melakukan sedikit penambahan watak dan babak iaitu di permulaan dan pengakhiran cerita ini. Watak sahabat ahli politik yang juga merupakan protege psikopat merupakan idea pengarah sendiri yang aku lihat menjelaskan lagi maksud cerita ini dari sisi yang berbeza.


Cuma sedikit anamoli kalau mengikut pandangan aku yang naif dan daif seni ini adalah dari segi kekuatan lakonan. Aku melihat kekuatan cuma terletak pada watak ahli politik. Tetapi adakalanya juga aku nampak beliau seperti hampir melebih bayang (bolehkah menggantikan overshadow?) pelakon lain. Watak penyelia kilang dan artis agak tenggelam, dan cuma sesekali timbul macam kayu balak di Sungai Missisipi; keras dan nyata. Watak ahli perniagaan melontarkan barannya dengan cara yang tipikal dan arkitek bak rama-rama yang mengipaskan sayapnya mengakibatkan Butterfly Effect. Mungkin latar yang bernahu realisme menyebabkan aku mendambakan watak dan perwatakan yang realisme, yang pada aku, agak tergelincir dari landasan. Tapi sebagai seorang pengarah, aku sendiri menyedari hakikat kita tidak akan dapat 100% apa yang kita mahukan, maka pada aku, anamoli itu biasa. Itu pada aku. Pada orang lain, entah......


Aku sebagai penulis skrip, sebenarnya menghasilkan watak-watak ni sebagai metafora kepada negara kita, dan pada masa yang sama sebenarnya aku memilih watak berdasarkan peranan yang ada di dalam komunikasi kumpulan kecil (small group communication). Oleh kerana itulah peranan watak tidak seimbang dan menyukarkan pelakon malahan pengarah sendiri, sehinggakan sesetengah watak boleh tenggelam. Terpulanglah pada pengarah untuk mengekalkan aura sesetengah watak itu agar kekal kelihatan di mata audien.

Dan satu lagi anamoli yang aku rasa, mengikut pendapat aku yang naif dan daif seni ini, adalah pemilihan baju putih (pagoda?) pada keseluruhan babak ke 2. Mungkin ada signifikannya semua pelakon mengenakan baju putih (baju yang dipakai di dalam), atau mungkin juga pengarah cuma mahu memprojekkan kesan darah ke atas baju. Kalau ada signifikannya, maka masanya untuk aku mencari.


Watak psikopat pula, pada aku agak kemek. Bukan kerana pelakon itu, tapi atas sebab pengarahan. Tapi aku tak mahu lanjutkan perihal ini kerana aku merasa tidak adil untuk memberi komen dari segi perkara ini kerana aku lebih suka bentuk pengarahan yang berbeza. Komen aku lebih bersifat umum dan hipotetikal, bukan teritorial.

Aku juga mencadangkan kepada Pe.Ter., sekiranya ada produksi lain selepas ini, agar menyediakan sedikit pamplet untuk maklumat audien yang hadir. Tidak perlu buku cenderamata yang mahal atau brosur yang tebal, cukuplah sekadar kertas A4 yang difotokopi. Isikan maklumat pementasan seperti sinopsis, nama pelakon, watak, produksi (jika muat) dan sedikit info mengenai kumpulan (agar udien boleh mengikuti kumpulan ini dan menghubungi mereka jika perlu).


Selain daripada itu, aku merasakan Pe.Ter. telah melakukan kerja yang baik. Aku berkata begini bukan kerana mereka mementaskan karya aku, tetapi kerana aku melihat dari kaca mata insan yang menggilakan teater tetapi buta teater. Teruskan Pe.Ter., teruskan berkarya dengan apa naskah sekali pun.


Naskhah yang sama juga akan di pentaskan di UPM oleh pelajar-pelajar kolej di sana sempena Festival Teater Antara Kolej (sila betulkan jika saya salah info) bersama satu lagi karya lama iaitu Devian Dogma mulai 23 - 30 Mac 2012. Tarikh tepat bagi tiap pementasan betul dipastikan.

Inilah saja pendapat aku yang naif dan daif seni ini. Apa kata kalian?

01 March 2012

Manifestasi Teater Pulau Pinang 2012 Datang Lagi

Okay. Akhirnya musim manifestasi teater datang lagi, setelah menyepi selama 3 tahun kalau tak silap aku. Tempoh hari aku dipanggil oleh pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang untuk membincangkan hal ini dan juga program seni setempat.

Walau pun ada hal yang tidak menyenangkan, tapi rasanya tak perlulah aku ceritakan di sini. Benda dah lepas. Aku dimaklumkan, format Manifestasi kali ini berbeza. Setiap negeri sebenarnya diminta untuk memilih atau meminta mana-mana NGO mengadakan persembahan untuk dinilai oleh 3 orang panel yang dilantik oleh JKKN pusat, dan kemudiannya memilih 6 persembahan terbaik untuk ke Festival Teater Kebangsaan.

Maka selayaknya, JKKN Pulau Pinang berhak untuk cuma meminta mana-mana NGO atau gabungan NGO untuk mempersembahkan teater untuk dinilai. Tetapi mereka tidak berbuat demikian. Mereka menjemput NGO/IPT swasta dan kerajaan yang berminat untuk menyertai program Seni Setempat dan melalui program ini, mereka yang berminat akan mementaskan teater pilihan mereka dan sekaligus dinilai untuk menjadi yang terpilih untuk dinilai semula oleh 3 panel yang dilantik. Menariknya di sini, kerana di peringkat negeri, tiada panel pakar yang dilantik, tetapi cuma wakil dari setiap kumpulan yang akan memberi markah dan akhirnya memilih kumpulan yang dianggap terbaik. Oh ya, kumpulan ini tidak akan menilai kumpulan sendiri.

Ini adalah satu perkembangan yang positif. Kerana bagi aku, kalau tak ada duit, buat cara tak ada duit. Dan inilah cara tak ada duit. Tapi pada masa yang sama, teater di Pulau Pinang terus berkembang. Kerana beberapa tahun lepas, teater di Pulau Pinang terutama teater Melayu dah makin lesu.

Maka aku dan kumpulan Bakawalee Penang telah menyenaraikan beberapa naskhah yang kami rasa sesuai dengan jumlah pelakon (pelakon yang handal-handal dah berhijrah) dan kekuatan pelakon. Antaranya

A Streetcar Named Desire - Tennessee Williams
Auto-Da-Fe - Tennessee Williams
The Glass Menagerie - Tenessee Williams
Tinggi-tinggi Si Matahari - Malina Manja
Baju Emas Sang Maharaja - Johan Jaaffar
The Zoo Story - Edward Albee
Wangi Jadi Saksi - U-Wei Haji Shaari

Maka akhirnya kami memilih
The Glass Menagerie atau Perhiasan Kaca (Versi Terjemahan oleh Marlenny Deen Erwan)


Dan ini senarai nama kumpulan lain yang bertanding, tajuk serta tarikh persembahan mereka di Auditorium Taman Budaya Negeri Pulau Pinang (dulu dikenali dengan nama Auditorium P.Ramlee)

20, 21, 22 April 2012
Bakawalee Penang - The Glass Menagerie/Perhiasan Kaca

11, 12, 13 Mei 2012
Persada, UiTM Pulau Pinang - Kerusi (Hatta Azad Khan)

1, 2, 3 Jun 2012
Meow Meow Productions dan Dewan Budaya, USM - Kasanova

8, 9, 10 Jun 2012
Kelab Teater Abet Budaya, Politeknik Seberang Perai - Rebah Di Tirai Besi

15, 16, 17 Jun 2012
Sekenet - Mahkamah Pengadilan (Versi Adaptasi Marlenny Deen Erwan)

22, 23, 24 Jun 2012
Voice AUCMS - (belum ada tajuk)

Maka lapang-lapangkanlah jadual anda semua.