31 December 2007

Aku Damba Komik Kepahlawanan Melayu

Aku adalah antara anak-anak yang dibesarkan di dalam zaman komik Cina yang dialih bahasa. Tetapi aku tidaklah terlalu menggila-gilakan komik itu hingga semua karya Tony Wong aku beli, tapi aku mengaku aku masih beli Pedang Setiawan atau Tian Sha karya Ma Wing Shing hinggalah beberapa tahun lepas, bila aku betul-betul sibuk dengan kerjaya.

Antara komik yang aku kumpul hingga tamat adalah Wira-Wira Keinderaan dan Teman Pendekar Helang Sakti karya Tony Wong, diambil ceritanya dari novelis tersohor China, Jin Yong. Aku juga mengumpul komik Pedang Setiawan dan Raja Rimba oleh Ma Wing Shing, tapi dah tak terkumpul kerana episodnya belum tamat hingga kini.

Di sinilah aku melihat bagaimana komik bukan sekadar satu industri, tapi juga sebagai medium pengembang budaya kepada masyarakat luar. Aku rasa aku lebih mengetahui Art of War Sun Tzu daripada Hikayat Abdullah Munshi. Aku rasa aku lebih tahu Hikmat Kebal Loceng Emas Shaolin daripada pecahan buah di dalam Silat Sendeng.

Dan aku rasa aku bukan bercakap bagi pihak aku seorang. Ramai lagi insan yang mengikuti perkembangan komik ini yang mungkin akan bersetuju dengan aku. Mungkin semua itu hanya fiksyen, tapi penerapan realiti budaya itu sebenarnya amat berkesan, terutama kepada generasi muda.

Sayangnya kita tidak ada industri komik yang sebegitu.

Dulu aku masih ingat lagi, ada usaha menerbitkan komik yang harganya 50 sen senaskhah dan memaparkan kisah kepahlawanan Melayu. Walaupun tidak seberapa, tapi usaha itu pada aku sangat baik. Tapi malangnya telah berkubur.

Kartunis Zoy, antara kartunis yang aku kagumi kerana menghasilkan kisah kepahlawanan Melayu di dalam Berita Minggu, setiap minggu. Walaupun mungkin sekadar fiksyen, tapi masih lagi bercerminkan dunia yang nyata. Watak Lang Kuik Si Kuda Hitam dengan ilmu Apungan Dewa dan Macan Semarang dengan ilmu Sapu Angin memukau aku.

Karya sebeginilah yang harus diangkat, dan kartunis baru juga harus mencuba. Tapi ke mana mereka?

Kalau yang ada pun, identiti kartunis muda ini banyak dipengaruhi komik Jepun dan Hong Kong. Maksud aku kartunis yang lahir selepas era Rejabhad, Dato' Latt, Ujang, Gayour dan ramai lagi.

Tidak kisahlah. Persetankan dahulu bab identiti itu. Yang penting produknya itu. Kiranya ada produk komik tempatan yang setaraf dengan komik alih bahasa ini, aku yakin ramai anak muda yang akan berminat mendekati dunia persilatan Melayu.

Dan kiranya komik ini dapat dibawa ke pasaran antarabangsa dan dialih bahasa pula, nah bukankah kita dapat mempromosikan budaya kita? Apakah cukup sekadar mengharapkan kerajaan dan korporat membawa penari menari di luar negara katanya mempromosikan budaya, dan sesetengah filem kita yang mungkin entah apa-apa di mana-mana festival filem dunia, memaparkan budaya kita masa kini yang makin parah.

Budaya tradisi?

Kita ada jalan, tapi jalan itu mungkin tidak cepat mendatangkan untung. Maka ke kuburlah juga jalan itu.

Sudahlah, tak usah berangan menggapai langit antarabangsa. Cukuplah kiranya karya-karya sebegini dapat membangkitkan kembali semangat budaya kita di kalangan generasi muda. Bukannya Jurus Pedang Tanpa Nama Kegeraman Tidak Terhingga, atau Hikmat Bom Asap Ninja atau Jurus Tendangan Tanpa Bayang.

26 December 2007

Bukan Pepatah Kita?

Malang tiada berbau, mujur tiada berbunyi.

Bila keranda diusung, barulah air mata bercucuran.

Ini adalah dua pepatah yang paling kerap aku jumpa di dalam komik-komik Cina alih bahasa seperti Pedang Setiawan, Raja Rimba, Dewata Raya dan sebagainya.

Persoalannya, wujudkan pepatah ini di dalam bahasa kita?

11 December 2007

Ulasan Yang Terpulas - Bangsawan Tengku Puteri Salasiah

Bangsawan Tengku Puteri Salasiah merupakan sebuah kerja berani Dato' Prof. Mohamad Ghouse Nasuruddin yang mengabaikan banyak elemen bangsawan. Elemen bangsawan ini pun sebenarnya masih tiada kata putus dari kalangan bijak pandai teater tradisi ini. Pengarah telah mengabaikan elemen 'kiok' bahasa dalam bangsawan, extra turn, tasmat, serta iringan muzik yang berterusan. Pun begitu, persembahan ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Cukuplah, kalau aku mengomen nanti panjang pula jadinya. Kita layan imejan.

Sultan Inderaloka gering. Menyerahkan takhtanya buat sementara kepada Tengku Temenggung sementara anakandanya Tengku Puteri Salasiah dewasa dan mampu mengambil pucuk pemerintahan.


Tengku Temenggung yang gila kuasa dan gila nafsu. Memperkudakan mak inang untuk kepuasan dan kepentingan dirinya.


Menggantikan extra turn. Aku tak tahu apa istilah bagi benda ni.


Tengku Puteri Salasiah sedang menuntut haknya untuk menduduki takhta. Lihat wajah Tengku Temenggung, bapa saudara tengku puteri yang amat jahat itu. Menggambarkan rasa tidak puas hati.


Babak silat tidak boleh diketepikan. Panglima Mendaling berbaju cerah dan berkulit cerah sedang bertarung dengan Tuan Tanah celaka yang berbaju gelap dan berkulit gelap. Berlaku penindasan di kampung-kampung oleh Tuan Tanah dan pegawai istana. Tengku Puteri Salasiah turun sendiri bersama Mak Inang dan Panglima Mendaling untuk menyiasat.


Dato' Bendahara mengadap Tengku Puteri Salasiah secara sembunyi dan menceritakan perihal yang telah berlaku kepada negara.

Inang-inang sedang bergurau senda.

Pakatan jahat antara Tengku Temenggung bersama Orang Kaya Laksamana, Orang Kaya Shahbandar dan Orang Kaya yang aku tak ingat namanya, untuk merampas takhta agar Tengku Temenggung menjadi Sultan yang sah. Lihat muka jahat Tengku Temenggung itu.

Mak Inang dan Panglima Mendaling sedang bercengkerama, bercinta-cinta sambil dihendap oleh Tengku Puteri Salasiah.


Babak pertarungan antara pengawal yang ingin membunuh Dato' Bendahara.

Pengarah sedang memegang watak penari yang mempersembahkan tarian di hadapan Sultan yang bakal ditabalkan.


Tengku Puteri Salasiah dibebaskan dari penjara oleh Mak Inang dan Inang, dan sedang berhadapan dengan bapa saudaranya.


Pertarungan maha ganas daripada Orang Kaya Laksamana dan Panglima Mendaling yang sama-sama hebat. Masing-masing harimau berantai Tengku Puteri dan Tengku Temenggung.


Giliran Tengku Temenggung pula menunjukkan kehebatannya kepada Panglima Mendaling. Malangnya, Tengku Temenggung bukan orang baik, maka dia kalah di tangan Panglima Mendaling dan diberkas.


Barisan pelakon yang menjayakan Tengku Puteri Salasiah.


03 December 2007

Break A Leg

Tahukah kalian, di kalangan penggiat teater ada satu kepercayaan. Bukan Rukun Negara atau perihal orang minyak, tapi kepercayaan bahawa adalah menjadi sial jika diucapkan "good luck". "Good luck" adalah "bad luck" bagi penggiat teater.

Oleh itu, bagi menggantikan "good luck" itu, maka digunakan "break a leg".

Sebab itu jangan hairan kalau ada yang mengucapkan "break a leg" pada ahli produksi satu-satu pementasan.

Tapi aku rasa, penggiat teater di Malaysia ni tidaklah percaya kepada perkara yang supersitious macam ni. Kalau menyebut "break a leg" pun sekadar satu ikutan.

Kita ni kan suka mengikut orang. Kan? Kan? Kan?