Rakan aku ni bekerja sebagai seorang guru. Dia menyewa bilik di sebuah kampung. Sekolah pun sekolah kampung. Bilik dia ditingkat atas. Ruang bawah dimiliki oleh tuan punya rumah. Punya keluarga. Dengan anak yang masih bersekolah menengah.
Rakan aku ini, baru saja menyewa di situ, dan tidak pernah berjumpa lagi dengan semua ahli keluarga tuan rumah, kecuali tuan rumah. Isterinya mengusahakan gerai makan. Katanya menjual cucur udang dan beberapa jenis kuih yang lain. Anak-anaknya semua dah besar, ada yang sudah bekerja, ada yang melanjutkan pelajaran, kecuali seorang yang masih bersekolah menengah di situ.
Ketika rakan aku masuk rumah, isteri dan anaknya bercuti di kampung. Bila buka sekolah baru mereka balik. Itu pun masih tak sempat bertemu muka.
Tapi pada satu hari itu, rakan aku berkata, adalah hari yang paling dia tidak akan dapat lupakan. Hari itu ada rasa marah, geram dan malu yang teramat. Ketika dia bersiap hendak ke sekolah sebelah paginya, dia terdengar suara lemak merdu anaknya memprotes. Makin lama makin kuat. Pada mulanya, dia tak mahu ambil tahu. Tapi lama kelamaan, apabila terdengar butir perbualan anak beranak itu, dia terdesak untuk mendengar.
Anak : Kenapa saya tak pergi macam ni mak? Apa salahnya?
Mak : Tak boleh nak, engkau memang tak boleh ke sekolah macam ni.
Anak : Kawan-kawan sekolah saya ramai yang dah berubah mak.
Mak : Kawan-kawan engkau yang mana satu ni?
Anak : Kawan-kawan sayalah……
Mak : Cakaplah! Mak nak tahu kawan-kawan kau yang mana satu yang engkau maksudkan tu?
Si anak diam seketika.
Anak : Apa salahnya saya pakai baju kurung mak? Apa salahnya saya pakai tudung?
Si emak hilang sabar, lantas meninggikan suara.
Mak : Engkau mak tak izinkan kau pakai baju kurung ke sekolah. Pakai tudung pun mak tak izinkan!
Anak : Kenapa mak?! Kawan-kawan saya dah ramai yang berubah, pakai tudung.
Mak : Mereka tu nak pakai tudung, mak tak peduli! Tapi engkau mak tak benarkan kau pakai tudung! Faham tak!
Rakan aku yang mendengar kata-kata emak itu, terus rasa terbakar. Emak jenis apa yang tak benarkan anaknya berbuat baik. Pakai tudung pulak tu. Selepas itu, rakan aku terus mendengar anaknya menangis merayu-rayu. Emaknya tetap dengan pendirian, tidak membenarkan anaknya memakai tudung!
Hilang sabar, rakan aku turun ke bawah, niatnya nak membetulkan keadaan. Dia tidak peduli apa kata tuan rumah nanti. Dia tidak peduli jika dia terpaksa pindah. Kerana ini perlu diperbetulkan.
Dia ketuk pintu. Kuat-kuat.
Rakan : Makcik! Makcik! Assalamualaikum! Saya ada benda nak cakap ni makcik!
Isteri tuan rumah itu pun datang, buka pintu. Cuba untuk senyum, mungkin marah masih berbekas. Tapi rakan aku hilang sabar. Nampak saja muka isteri tuan rumah, terus dia bersuara dengan lantang.
Rakan : Makcik ni mak jenis apa ha? Anak sendiri nak pakai tudung makcik tak benarkan? Apa salah dia nak menutup aurat? Dia pun dah besar, memang patut pakai tudung! Makcik suka nak tayangkan kecantikan anak makcik tu? Orang macam makcik inilah yang merosakkan anak sendiri! Buat dia orang terjerumus ke gejala sosial, lepaskan salahkan guru-guru.
Muka makcik tu dah berubah, dah tak manis. Dia terus masuk ke dalam, tanpa berkata apa-apa.
Rakan : Makcik nak ke mana tu? Saya belum habis cakap lagi ni!
Makcik itu datang balik, membawa anaknya yang sedang menangis. Ketika itulah muka rakan aku jadi pucat lesi!
Rakan : Ini anak makcik ke?
Makcik : Ya, ini anak makcik! Nama dia Mohd Shahrin. Tapi dia lebih suka orang panggil dia Edora.
Dan aku tidak tahu apa yang terjadi selepas itu, kerana aku dah ketawa terbahak-bahak, terguling-guling.