Antara komik yang aku kumpul hingga tamat adalah Wira-Wira Keinderaan dan Teman Pendekar Helang Sakti karya Tony Wong, diambil ceritanya dari novelis tersohor China, Jin Yong. Aku juga mengumpul komik Pedang Setiawan dan Raja Rimba oleh Ma Wing Shing, tapi dah tak terkumpul kerana episodnya belum tamat hingga kini.
Di sinilah aku melihat bagaimana komik bukan sekadar satu industri, tapi juga sebagai medium pengembang budaya kepada masyarakat luar. Aku rasa aku lebih mengetahui Art of War Sun Tzu daripada Hikayat Abdullah Munshi. Aku rasa aku lebih tahu Hikmat Kebal Loceng Emas Shaolin daripada pecahan buah di dalam Silat Sendeng.
Dan aku rasa aku bukan bercakap bagi pihak aku seorang. Ramai lagi insan yang mengikuti perkembangan komik ini yang mungkin akan bersetuju dengan aku. Mungkin semua itu hanya fiksyen, tapi penerapan realiti budaya itu sebenarnya amat berkesan, terutama kepada generasi muda.
Sayangnya kita tidak ada industri komik yang sebegitu.
Dulu aku masih ingat lagi, ada usaha menerbitkan komik yang harganya 50 sen senaskhah dan memaparkan kisah kepahlawanan Melayu. Walaupun tidak seberapa, tapi usaha itu pada aku sangat baik. Tapi malangnya telah berkubur.
Kartunis Zoy, antara kartunis yang aku kagumi kerana menghasilkan kisah kepahlawanan Melayu di dalam Berita Minggu, setiap minggu. Walaupun mungkin sekadar fiksyen, tapi masih lagi bercerminkan dunia yang nyata. Watak Lang Kuik Si Kuda Hitam dengan ilmu Apungan Dewa dan Macan Semarang dengan ilmu Sapu Angin memukau aku.
Karya sebeginilah yang harus diangkat, dan kartunis baru juga harus mencuba. Tapi ke mana mereka?
Kalau yang ada pun, identiti kartunis muda ini banyak dipengaruhi komik Jepun dan Hong Kong. Maksud aku kartunis yang lahir selepas era Rejabhad, Dato' Latt, Ujang, Gayour dan ramai lagi.
Tidak kisahlah. Persetankan dahulu bab identiti itu. Yang penting produknya itu. Kiranya ada produk komik tempatan yang setaraf dengan komik alih bahasa ini, aku yakin ramai anak muda yang akan berminat mendekati dunia persilatan Melayu.
Dan kiranya komik ini dapat dibawa ke pasaran antarabangsa dan dialih bahasa pula, nah bukankah kita dapat mempromosikan budaya kita? Apakah cukup sekadar mengharapkan kerajaan dan korporat membawa penari menari di luar negara katanya mempromosikan budaya, dan sesetengah filem kita yang mungkin entah apa-apa di mana-mana festival filem dunia, memaparkan budaya kita masa kini yang makin parah.
Budaya tradisi?
Kita ada jalan, tapi jalan itu mungkin tidak cepat mendatangkan untung. Maka ke kuburlah juga jalan itu.
Sudahlah, tak usah berangan menggapai langit antarabangsa. Cukuplah kiranya karya-karya sebegini dapat membangkitkan kembali semangat budaya kita di kalangan generasi muda. Bukannya Jurus Pedang Tanpa Nama Kegeraman Tidak Terhingga, atau Hikmat Bom Asap Ninja atau Jurus Tendangan Tanpa Bayang.