20 July 2009

Ulasan Yang Terpulas - Nasib

Nasib ni cerita lama. Karya Hatta Azad Khan. Kisah masyarakat yang pada waktu itu dikejutkan dengan penemuan telaga minyak dan juga kepincangan sosial yang tidak begitu terpapar secara terbuka kalau dibandingkan dengan masa kini.

Bagi sebuah kumpulan yang baru pertama kali mementaskan teater, aku bangga kerana bakat-bakat yang dipaparkan oleh para pelakon yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, memang amat membanggakan. Tapi pastinya teater itu tidak sempurna. Kekurangan ilmu dan pengalaman turut menyumbang kepada ketidak sempurnaan ini. Tidak apa, itu boleh diterima.

Antara perkara yang paling ketara di dalam pementasan teater Nasib ini ialah kekurangan pengalaman berlakon pentas. Dengan bakat yang mereka miliki, para pelakon ini terlalu banyak 'bermain', terutamanya bermain dengan audien. Banyak ketika mereka cuba memancing ketawa audien hingga mengakibatkan isi-isi penting naskhah itu tidak diangkat dengan sewajarnya. Dan banyak ketika juga, pelakon ini tidak sedar watak dan perwatakan yang harus mereka bawakan, sehingga menyangkakan rakan lakon yang sebenarnya watak berbeza usia diperlakukan seperti kawan-kawan waktu luar dunia lakon. Semua ini perlukan pengalaman. Tapi perlu juga aku ucapkan tahniah pada mereka kerana sudah tahu ad-lib dan improvisasi pada ketika perlu terutamanya bila rakan lakon lupa dialog. Ini adalah satu bakat yang terkesan.

Pastinya, bila terlalu banyak sangat bermain, maka tempo dan pacing tidak terkawal, ada kalanya meleret-leret. Serta banyak kala juga aku bingung dengan suggestion yang cuba dilakukan oleh pengarah. Aku menerima seadanya set suggestion dengan lima tingkat yang berbeza. Ruang kedai, ruang rumah, ruang tepi pantai, ruang jeti; kalau nak dibangunkan secara realisme biarpun cuma sebahagian, memerlukan kerja tangan yang mahir serta kos yang tinggi. Jadi set sebegitu banyak membantu, asalkan audien faham lokasinya.

Tetapi apabila props seperti ikan kering, pekasam, udang kering dan sebagainya cuma dilabelkan di depan kotak kerana ingin memberi tahu audien, dalam kotak itu ada pekasam, udang kering dan sebagainya, maka ia menyebabkan sedikit kekeliruan dari segi gaya dan genre lakonan. Cadangan aku, setidaknya, carilah kotak yang lebih meyakinkan untuk menyimpan udang kering, dengan watak berkenaan memeriksa udang berkenaan agar audien tahu ada udang di dalam kotak itu.

Satu perkara yang perlu dititik beratkan lagi ialah kontinuiti serta kebolehan improvisasi pelakon. Bila mana pelakon memesan kopi o tetapi yang sampainya teh, maka persoalan akan timbul. Tambahan lagi bila pelakon itu mengiakan saja teh yang dihantar. Sepatutnya pelakon berkenaan mempersoalkan bukan teh yang dipesan tapi kopi o, dan watak tuan kedai boleh saja menjawab kopi dah habis.

Itulah antara komen aku yang aku kira paling major. Secara keseluruhan, aku harap kumpulan ini akan terus berteater. Kalau pun para pelajar ini telah tamat sekolah, sambungkan bakat itu di tempat lain, sama ada universiti, atau badan bukan kerajaan kebudayaan lain yang wujud di sekitar mereka.

Tukaran akan datang - Hanya Lala oleh NVR Corp, 21 Julai 2009, 8.30 malam.

5 comments:

Nyda Zamani said...

yam pakai kain batik terbalik..
huhuhuhu~

Anonymous said...

yg gemok watak DERAMAN tu aku suka la....

wak

Anak Antu Seni said...

persembahan yang baik untuk hari guru di sekolah..

abu musarrif bin abu bakar said...

deraman sempoi..

tegezoot said...

aku cukup takut buat citra real2 ni.. tak logik skit sure kena gelak.. apapun aku kagum dgn budak2 nih!