Sebenarnya dah lama aku nak pos entri ni. Tapi baru hari ni berkesempatan. Sebab sebelum ini aku sibuk tahap dewa. Beberapa minggu yang lepas, aku ke majlis kenduri kahwin anak dara bapak menakan sebelah isteri aku. Nuuuuu.... jauh sampai ke Pedas sebab dia kawin orang nogori. Letihnya perjalanan jangan diceritakanlah. Bayangkan 9 jam kau sorang saja yang terpaksa drive tanpa henti. Drebar bas pun boleh eksiden ooooo.
Aku bertolak 10 pagi dan sampai 7 malam. Hari pun dah mula gelap. Orang lain yang jadi penumpang sempat juga lelap mata. Aku? Entah apa jadi kalau aku pun turut lelap. Ya... kenduri di Nogori, khasnya di Pedas ni memang tak sama dengan kenduri di sebelah utara. Di sini khabarnya acara makan-makan melibatkan tukang buat kerja kenduri dah bermula beberapa malam sebelum tu. Lengkap dengan set karaoke, dengan DJ dan penyanyi sekali. Kalau di utara, setakat ada lagu-laguan pada sebelah siang hari kenduri sahaja. Karaoke sebelah malam jarang sekali, kecuali personal karaoke. Kadang-kadang dibuat marhaban sebelah malam sebelum kenduri. Kadang-kadang siangnya.
Majlis akad nikah diadakan malam sebelum kenduri, di rumah pengantin perempuan. Kalau di Utara, bagi Kedah dan Tanjung, akad nikah biasanya diadakan di Surau atau Masjid. Jarang sekali di rumah. Aku tak sangka pula ada akad nikah malam tu, jadinya aku tak sempat nak masuk ambil gambar (saja gatai nak ambil, sedangkan jurufoto yang dilantik dah ada). Habis akad nikah, aku ingat dah selesai. Rupanya belum lagi. Kedua mempelai diarak naik tandu, disambut dengan tarian piring. Aku, masa tu, dah lena dalam kereta sebab tak sanggup nak tunggu bilik kosong dan tak larat pula nak turun ke masjid. Yelah.... semua barang dalam kereta aku, kalau aku ke masjid dengan kereta, nanti nak ambil barang susah pulak.
Ini dia set karaoke serba lengkap. Siap dengan DJ yang boleh menyanyi, dan dua orang penyanyi wanita muda. Dan di sinilah karaoke berkumandang hingga 3 pagi. Aku dalam kereta pun terjaga beberapa kali. Ramai yang ambil kesempatan menyanyi dan berduet. Sedap ke tak itu persoalan kedua.
Kenduri sebelah siangnya. Jemputan memang tidak ramai, aku jangka dalam 1000 orang, mungkin kurang. Kalau di Utara, kenduri pada skala ini pasti mencecah lebih 1000 orang. Dan seperti mana iklan di televisyen tu, memang betullah tetamu perlu tunggu tuan rumah jemput dulu baru makan. Kalau di Utara, kalau jemputan dah sampai, tengok makanan yang terhidang, boleh terus saja makan. Tak payah tunggu dijemput. Tempat memang tak cukup waktu semua tetamu dijemput makan.
Kedua mempelai bersanding. Pengantin perempuan sebelum tu kalau tak salah aku dah tukar lima persalinan atau lebih. Adat agaknya, aku tidak tahu. Bila pengantin lelaki dah sampai, barulah betul-betul bersanding. Lagi satu, yang aku lihat, orang kampung di sini, terutama wanita yang tidak secara terus membantu kerja-kerja memasak atau mencuci, akan datang membawa bekas dengan beras di dalamnya. Mungkin itu adat. Di Utara, cukup sekadar, hadir membantu atau menghulurkan sedekah. Yang paling menarik bagi aku, bila kesemua golongan wanita di kampung ini, walau dihantar dengan motosikal atau kereta ke rumah kenduri, mereka pasti akan berhenti beberapa meter dari rumah dah berjalan masuk ke rumah. Kalau di Utara, yang naik motosikal tu, pasti dihantar sampai depan rumah. Adat agaknya.
Balik agak cepat. Sebab tak singgah lama untuk berehat. 8 jam saja.