26 June 2009

Buang Bayi

Suatu ketika dulu, kes buang bayi kerap disiarkan di media massa hingga mengundang kemarahan dan belas kasihan banyak pihak. Kini, kes-kes seperti itu dah makin kurang dimainkan di media massa. Ini telahan aku.

1. Media massa dan tak rasa kes seperti ini hip. Dah biasa sangat.

2. Pasangan yang terbabit dah tak buang bayi dalam tandas atau tong sampah, pendek kata tempat awam.

3. Pasangan yang terbabit sudah ada kesedaran seks selamat seperti penggunaan kondom, pil anti-kehamilan, atau pancut luar. Selamat di sini bukannya selamat dari penyakit tetapi selamat dari termengandung.

4. Pasangan yang terbabit sudah pandai menjual bayi yang dilahirkan.

Inilah empat telahan aku. Kalian ada telahan yang lain?

25 June 2009

Malaysia Di Mata Dunia

Membaca entri Baha Zain tentang beberapa wartawan luar negara yang tidak mengenali nama Malaysia, membuatkan aku terdetik untuk bersuara tentang perkara itu.

Maruah atau nama?

Mana satu yang dipilih.

Nama Malaysia sememangnya dikenali di PBB, NAM, OIC dan sebagainya. Tapi itu pentas yang berbeza. Pentas politik yang dihadiri kebanyakannya oleh ahli politik. Pentas dunia yang sebenar harusnya nama Malaysia dikenali oleh masyarakat kebanyakan. Kalau pun tidak diseluruh dunia, tetapi sebahagian besar daripada masyarakat kebanyakan luar negara.

Sebut Amerika Syarikat, semua orang kenal. Bukan kerana Obama atau kekejaman mereka semata-mata, tetapi produk filem yang mereka jual seluruh dunia. Begitu juga Thailand. Begitu ramai orang mengenali Thailand kerana banyak filem-filem Hollywood yang menjual nama negara itu, sama ada secara baik atau buruk.

Begitu juga Vietnam. Tentunya filem-filem mengenai Perang Vietnam banyak mempromosikan negara itu. Itu tidak termasuk lagi Iraq dan Afghanistan.

Tetapi negara kita, bila filem Entrapment mempromosikan Kuala Lumpur dan Malaysia, kita marah kerana memaparkan Sungai Melaka yang kotor berlatarbelakangkan Menara Berkembar. Kalau tak ada sungai yang kotor nak dipaparkan, takkan mereka nak mereka sungai yang kotor itu. Kalau betul mereka mereka sungai kotor itu, maka berhaklah kita marah kerana berbohong.

Begitu jugalah beberapa filem lain. Ada juga filem-filem yang dirakam di Malaysia, tapi bila keluar ke Panggung, tak nampak macam Malaysia dah. Bat 21 nampak macam di Vietnam, Anna and The King, pastinya macam di Siam. Jadi negara orang lain juga yang dikenali.

Jadi kita harus memilih, maruah atau nama.

Nama yang boleh membantu memajukan negara, atau maruah yang tidak banyak pun mencalarkan kita. Aku tidak boleh buat pilihan, kerana kuasa bukan di tangan aku.

24 June 2009

Jangan

Aku paling tidak suka jika orang tidak suka pada aku. Marah pada aku, aku tak kisah sangat, tapi tak suka pada aku, aku memang tidak suka.

Kerana aku tidak suka memutuskan persahabatan atau perkenalan.

Tetapi jangan sekali-kali buat aku benci pada seseorang. Kerana sekali aku benci pada seseorang itu, selamanya aku akan benci.

Aku seorang yang boleh memaafkan orang.

Tapi kalau dah benci, tiada maaf.

20 June 2009

10 Golongan Penggiat Teater Tanjung

Sejak tahun 2002 aku di Tanjung, ada beberapa jenis penggiat teater yang aku kenal pasti, yang hadir dengan niat tertentu.

1. Berteater kerana wang - mengharapkan dapat habuan serba sedikit dari teater. Ada juga yang mengharapkan habuan yang banyak persis kebanyakan teater di Kuala Lumpur, terutama teater Inggeris.

2. Berteater kerana mencari jodoh - ada juga yang datang ke sini, dengan harapan jumpa makwe, pakwe, boipren, girlpren, bakal suami, bakal isteri.

3. Berteater kerana nak melepaskan masalah - ada yang ada masalah tempat kerja, masalah keluarga, masalah peribadi. Jadi teater ni dijadikan ruang untuk melepaskannya. Adakalanya bawa masalah ke sini.

4. Berteater untuk berseronok - ada suka berseronok, enjoy semata-mata. Nak serius pun susah. Dan tak bersungguh-sungguh.

5. Berteater kerana nak mencuba suatu yang baru - yang macam ni pun ada. Sebab dia tak pernah berteater, maka dia masuk mencuba. Selalunya, mereka ini sama ada tak kekal lama, atau akan terus kekal kerana dah ketagih.

6. Berteater kerana ikut kawan - dah kawan ajak, ikut sajalah.

7. Berteater kerana nak menyatakan sesuatu - ini ramai juga. Tidak kiralah sebagai pelakon, pengarah, penulis skrip atau sebagainya. Biasanya ada yang mereka ingin nyatakan.

8. Berteater kerana nakkan kepuasan - golongan ini tidak ramai. Biasanya selepas beberapa lama berteater barulah niat itu berubah menjadi golongan ini.

9. Berteater kerana merasakan apa yang orang boleh buat, dia boleh buat - pun ada juga. Dia tengok orang boleh buat, dia rasa dia boleh buat.

10. Berteater kerana memang minat dan cintakan teater - ini ramai juga. Tapi biasanya minat ini datang sekali dengan beberapa niat lain.

Kalian rasa diri kalian dalam golongan mana satu? Atau mana dua? Mana tiga?
Atau ada lagi yang aku tertinggal? Kalau di Tanjung, setakat ini saja pemerhatian aku.

Johan Festival Teater Pulau Pinang Kategori Teater Kanak-Kanak

Dan pemenangnya ialah.........

Kisah Si Semut oleh Warisan Jemari!

Ini betul-betul! Bukan gimik. Kumpulan yang lagi satu dah tarik diri.

16 June 2009

Sekerat Hari Di Pantai Queensbay dan Seagate

Sekerat hari di Pantai Queensbay dan Seagate.

Petang ke malam - waktu orang bekeluarga berehat, bersantai, lepak-lepak.

Malam ke lewat malam - waktu orang sedang merancang keluarga berehat, bersantai, lepak-lepak.

Lewat malam ke dinihari - waktu orang sedang cuba buat keluarga. Lepas letih buat keluarga berehat, santai, lepak-lepak. Lepas tu sambung buat keluarga balik.

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 - Pendukung Watak

Pendukung Watak 'Dusta Pada Skala 1 Hingga 10'


Lelaki 1



Orang 3

Lelaki 2


Wanita 2

Psikopat

Wanita 1

12 June 2009

Risiko Dalam Festival Teater

Sebenarnya, aku mengambil risiko yang cukup tinggi bila mementaskan karya sendiri untuk Festival Teater Pulau Pinang. Risikonya bukan apa, risiko mungkin tidak menang. Tapi bila kepuasan yang menjadi ukuran, maka aku butakan diri dan aku tutup mata orang lain dengan jihad kepuasan diri. Bagi aku, apa guna buat teater kalau tak puas. Menang tu cuma bonus. Ada orang kata kalau buat, menang, baru puas. Habis kalau tak menang?

Untuk festival tahun ini, ada tiga karya aku yang dipentaskan oleh aku sendiri dan rakan-rakan. Bukanlah nak kata karya aku ini bagus, kerana aku tahu karya aku ada banyak cacat-celanya, tapi mungkin karya aku ini kena dengan jiwa aku dan rakan-rakan aku yang lain.

'Dusta Pada Skala 1 Hingga 10' dipentaskan oleh Bakawalee, kumpulan aku dan arahan aku sendiri. Cerita dia lebih kurang macam filem Hollywood. Sangat mementingkan lakonan dan aspek dramatik. Kerana drama ini, bagi aku, boleh hidup walaupun tanpa sinografi yang baik atau set pentas yang lompong. Tapi kalau semua yang lain baik, maka baguslah. Ceritanya tentang 5 orang manusia yang tidak mengenali antara satu sama lain, diculik dan dikurung. Mereka cuma akan dilepaskan sekiranya mereka membunuh salah seorang dari mereka. Macam pernah dengarkan? Versi pentasnya aku harapkan lebih mencengkam penonton.

'Jebat : Rahsia Kesumat' pula dipentaskan oleh Te.Ta.Mu, persatuan yang aku turut terlibat. Ini sebuah monolog. Reverse chronology hubungan Jebat dengan Tuah. Jebat dengan Tuah lagi? Tak ada idea lain ke? Ada orang tanya macam tu. Dan aku jawab, lampu yang dicipta Edison pun dah jadi lampu jimat tenaga. Masih lampu juga kan? Cerita ini adalah sebuah hipotesis yang sengaja aku buat untuk menjentik minda audien untuk berfikir, atau mungkin berminat mengkaji Sulalatus Salatin atau Hikayat Hang Tuah. Sengaja aku hipotesiskan bahawa kecintaan Jebat terhadap saudaranya Tuah kerana Jebat pernah menaruh perasaan pada Tuah sejak dulu lagi. Pendek kata gaylah tu, atau dalam kes ini biseksual. Berat? Ya, agak berat. Dan kalau nak disasarkan kemenangan, mungkin agak sukar kalau juri yang menjadi penilai agak konservatif.

'Neraka Petualang' pula dipentaskan oleh rakan baik yang lain di dalam kumpulan Resdong's. Resdong's adalah kumpulan yang sama yang pernah menjadi Naib Johan Festival Teater Kebangsaan beberapa tahun yang lalu. Ceritanya tentang petualang yang melarikan diri dari rumah pasung, dan menyorok di sebuah warung. Kebetulan tuan punya warung itu diganggu oleh penghulu yang korup. Maka petualang bertukar menjadi pembela. Cerita ini dipentaskan dalam bentuk purbawara. Maksud aku bukan purbawara tulen, sekadar mengambil suasana purbawara. Cerita ini juga agak mudah. Tetapi melihat kepada rekod kumpulan ini yang cemerlang di dalam hubungan chemistry, maka tidak mustahil mereka ada peluang untuk menang.

Tapi pastinya, kalau kemenangan menjadi ukuran, sukar untuk melihat siapa yang ada peluang. Ada yang membawa naskhah Mencari Juita, naskhah yang sudah boleh dikira bagus. Ada yang membawa cerita tentang tradisi yang telah pupus, iaitu berlokan. Dan oleh kerana penganjurnya adalah kementerian kebudayaan, pastinya cerita sebegini mempunyai tempat khas di hati juri, atau setidaknya urusetia. Begitu juga cerita budak-budak menari shuffle yang kemudian insaf dan menari zapin. Pendek kata, keputusan festival ini bergantung sepenuhnya pada selera juri.

Sebab itulah aku katakan, seni ini subjektif. Kalau aku yang menjadi juri, pastinya ada sesuatu yang aku harapkan dalam mana-mana pementasan. Begitulah juga mana-mana juri. Sebab aku pernah menerima nasib yang berbeza bila mementaskan karya sendiri. Aku pernah menerima komen positif daripada Ahmad Yatim dan Rosminah Tahir tetapi menerima komen yang berbeza daripada Marlia Musa, Zakaria Arifin dan Supiat Mukri. Begitu juga beberapa tokoh yang lain.

Tapi tak kisahlah. Sehingga kini, aku sanggup tanggung risiko ini, dan berterima kasih pada para sahabat yang turut sama-sama menanggung bahananya. Kerana perjuangan kami bukan sekadar musim festival.

09 June 2009

Telemarketer Penipu

Pernah tak kalian dihubungi oleh telemarketer yang memang pandai berbohong dan menipu orang dengan memutar belitkan fakta? Mereka cuba menjual produk mereka bukannya dengan cara memujuk mengatakan produk mereka bagus, tapi dengan menipu. Aku hampir terkena. Hari itu aku mendapat panggilan dari seorang telemarketer. Sembangnya lebih kurang begini.

Telemarketer Penipu : Selamat pagi encik Pegawai Khalwat. Saya dari syarikat Putar Kepala ingin membuat pengesahan untuk proses penghantaran ekspress kad baru encik.

Pada ketika itu, aku percaya cakap dia kerana kad kredit aku sudah hampir tamat tempoh. Kemungkinan dia cuma nak buat pengesahan.

Telemarketer Penipu : Boleh saya tahu bila kad encik tamat tempoh? Visa atau Mastercard?

Aku : Bulan sekian dan tahun sekian.

Telemarketer Penipu : Jadi kad encik bermula dengan nombor 1234 5678, betul ye encik?

Aku : Ya betul.

Telemarketer Penipu : Jadi boleh tak cik habiskan nombor yang berbaki tu.

Tanpa sebarang syak, aku pun memberi nombor kad itu. Dia tak minta nombor tiga digit di belakang kad, jadi aku memang tidak syak.

Telemarketer Penipu : Encik ada pakai selain daripada Mastercard/Visa tak?

Aku : Ada

Telemarketer Penipu : Dari bank mana encik?

Eh... takkan dia tak tahu kad apa aku pakai? Aku dah mula ragu. Tapi aku layan macam biasa. Sehinggalah satu ketika.

Telemarketer Penipu : Jadi boleh saya dapatkan alamat encik untuk penghantaran kad ini. Encik nak guna alamat rumah atau alamat pejabat?

Aku : Eh, takkan awak tak tahu alamat saya?

Telemarketer Penipu : Saya cuma nak confirmkan untuk hantar kad ini pada encik.

Aku : Kad apa yang awak nak hantar pada saya?

Telemarketer Penipu : Kad ini percuma saja encik, encik guna kad ini untuk dapat kelebihan diskaun diberibu-ribu tempat yang mengambil bahagian. Contohnya hotel, kedai dan sebagainya.

Aku : Betul percuma?

Telemarketer Penipu : Percuma encik. Encik cuma perlu bayar RM500 ++ untuk activation. Sekali saja.

Aku : RM500 ++?? Apasalah pulak saya nak kena bayar RM500?

Telemarketer Penipu : Itu sekali saja encik, kad diskaun ini encik boleh dapat diskaun yang banyak.

Aku : Saya tak mau!

Telemarketer Penipu : Kenapa encik tak mau. Kami cuma tawarkan kad ini pada pelanggan terpilih saja. Encik rugi kalau encik tak nak.

Aku : Saya tak mau. Buat apa nak bayar lagi RM500 ++ untuk diskaun yang bukannya selalu saya dapat. Saya bukannya semesti shopping kat kedai atau tidur di hotel diskaun tu.

Telemarketer Penipu : Tapi encik, untungnya

Aku : Saya tak mau!

Telemarketer Penipu : Baiklah, terima kasih encik.

Fuhhh... nasib baik aku tak tertipu. Begitulah mereka memutarbelitkan fakta. Selepas itu, ada beberapa orang lagi telemarketer yang menelefon aku. Salah seorang dari mereka tidak pandai memutar belit.

Telemarketer Tak Pandai Tipu : Selamat pagi encik, saya nak tawarkan kad diskaun pada encik....

Aku : Saya tak mau!

Telemarketer Tak Pandai Tipu : Terima kasih banyak-banyak cik.

Bijaknya mereka ini, kerana mereka jarang membuat panggilan menggunakan kod kawasan Lembah Kelang iaitu 03. Biasanya mereka akan gunakan nombor telefon bimbit. Siapa nak sangka yang telefon itu bukannya berkaitan urusan rasmi kerja tetapi urusan rasmi mereka. Dan selepas itu, setiap kali ada panggilan sebegitu, aku akan jawab.

Saya tengah drive ni, boleh telefon lain kali?

Saya tengah makan ni, macam mana nak cek nombor kad kredit saya.

Saya ada meeting ni.

Saya tak mau!!!

02 June 2009

Promosi Makanan Tanjung

Ada orang tanya aku, kenapa tak promosikan makanan-makanan dan lokasi kedai makan yang mengancam selera di Tanjung ini. Memang aku ada terfikirkan juga perkara tu. Tapi jawapan aku mudah. Presentation makanan di sini memang tak menarik walaupun rasanya sangat menarik.

Bayangkan nasi kandar kuah taruk atas (siapa yang pernah makan nasi kandar mesti tahu macam mana rupanya), rupanya tak menarik langsung untuk dirakam. Ataupun laksa, yang setelah di masukkan kuah, habislah hiasannya. Tak pernah aku jumpa kedai laksa yang menghias daun salad, selom atau telur rebus selepas kuah ditaruk. Kalau pasembor, apa lagilah, tak nampak rupa. Tapi rasanya memang sedap.

Jadi itulah salah satu sebab utama aku tidak mempromosikan makanan ini.

Sebab utama kedua, biasanya makanan dah licin baru aku teringat nak ambik gambar!