29 December 2005

Detik Belum Terpasung

DETIK BELUM TERPASUNG

SINOPSIS
Cerita berlaku ketika Joned jatuh pengsan setelah dikejar orang kampung kerana dituduh mencuri motosikal. Di situ dia melihat erti sebenar kawan dan keluarga, ketika dia sedang meniti ranjang mautnya.

LATAR MASA : Bila-bila
LATAR TEMPAT : Mana-mana

PENDUKUNG WATAK:
Joned - Lelaki lewat 20an
Salina - Kakak Joned, lewat 30an
Mak - Ibu Joned, awal 50an
Ayah - Bapa Joned, awal 60an
Hamdan - Rakan penagih Joned, lewat 20an
Lebai Chik - Imam kampung, awal 60an
Man Penggali Kubur - Penggali kubur, awal 40an
Orang 1, 2, 3 - Orang kampung

BABAK I

(Suara dari luar)

ORANG 1
Ha tangkap dia, tangkap. Dia dengan kawan-kawan dialah yang curi motosikal kat kampung ni.

ORANG 2
Sial, jangan kau lari. Berani kau menagih dadah kat sini.

ORANG 3
Pukul saja, cakap banyak buat apa.

(Joned lari tercungap-cungap, masuk ke pentas. Masih kedengaran suara-suara marah orang kampung kemudian makin hilang)

JONED
Jahanam….. siapa yang bocorkan rahsia tempat kami. Nasib baik aku tak kena tangkap. Ini semua Hamdan punya pasal. Kalau dia tak curi motosikal tu. Aduh……Hah… darah……!!!

(Joned memeriksa kesan darah di kepalanya. Tiba-tiba dia jatuh pengsan. Lampu padam. Lampu menyala kembali dan kakaknya sedang mencari-cari Joned. Tetapi Joned tidak dapat dilihat oleh kakaknya, dan tidak dapat bergerak)

SALINA
Joned, mana kau Joned? Baliklah Joned. Kau tak kesian kat mak dengan ayah Joned.

JONED
Kak, semua orang gila tadi dah pergi ke kak?

SALINA
Kakak dah pesan pada kau. Berhenti buat kerja yang merosakkan ni. Berhenti menagih. Tapi kau degil.

JONED
Apa ni kak. Aku tanya orang kampung yang gila tu semua dah pergi ke.

SALINA
Sekarang mak dah tahu, ayah pun dah tahu.

JONED
Mak dengan ayah dah tahu?

SALINA
Joned, di mana kau? Baliklah….

JONED
Aku kat sini kak! Kakak tak nampak aku ke? Aku kat sini, nampak tak kepala aku berdarah ni. Orang kampung jahanam tu dah tetak kepala aku.

SALINA
Menyerahlah Joned.

JONED
Kakak dah gila ke? Nanti mereka hantar aku ke pusat serenti. Aku tak nak…. Aku tak nak…. Salah ke aku hidup macam ni. Aku tak kacau orang. Aku hidup dalam dunia aku.

SALINA
Kakak tau kamu tak curi motosikal tu. Kamu tu tak bersalah, kenapa kamu lari.

JONED
Kena kejar dengan parang takkan tak lari?

SALINA
Joned! Joned! Mana kau? Baliklah menyerah….. kakak akan tolong kau.

JONED
Kakak buta ke……. Aku kat sini. Eh kenapa dengan kaki aku?

SALINA
Joned! Ini kakak kau Joned. Keluarlah…. Biar kakak tolong kau. Tolonglah keluar Joned. Joned…..!

(Joned cuba bangun tetapi tiba-tiba kakinya menjadi lumpuh. Kakaknya meninggalkan Joned. Sahabat Joned, Hamdan masuk)

JONED
Kak, jangan tinggal aku kak, aku tak boleh bangun kak. Hamdan, tolong aku Dan. Aku tak boleh bergerak Dan. Nanti orang kampung datang Dan….

HAMDAN
Kenapa kaki kau tak boleh bergerak?

JONED
Aku tak tahu Dan. Kakak aku, kau nampak kakak aku? Tadi dia masuk dia tak tolong aku pun.

HAMDAN
Ni aku nak tolong kau lah ni.

(Hamdan mengeluarkan peralatan untuk menagih dadah)

JONED
Apa kau nak buat tu Dan?

HAMDAN
Buat-buat tanya pulak

JONED
Aku tak mahu Dan.

HAMDAN
Kau tak mahu?



JONED
Aku mahu lah….. tapi bukan sekarang. Nanti kalau orang kampung jumpa kita. Dah lah kaki tak guna aku ni tiba-tiba tak boleh bergerak. Tolong angkat aku Dan.

HAMDAN
Aku nak angkat kau lah ni. Aku nak angkat kau tinggi-tinggi. Nah… dengan ni kau mesti terangkat.

JONED
Dan…. Kau dah gila ke. Orang kampung datang nanti. Aku tak nak kena tangkap Dan. Aku tak mahu masuk serenti.

(Hamdan cuba memaksa Joned. Joned menjadi marah)

JONED
Hamdan….. aku lumpuh ni Hamdan. Kau faham tak….. kau masih ingat lagi binatang tak guna ni!

HAMDAN
Binatang tak guna? Binatang nilah yang kau makan hari-hari. Sampai nasi kau tak makan, sampai kau tak ingat Tuhan. Binatang nilah Tuhan kau!

JONED
Celaka kau! Kau jangan main-main Tuhan dengan aku Dan. Semua ini sebab kau. Kaulah punca!

HAMDAN
Aku punca? Hoi bodoh. Ini dan ini yang jadi punca. Bukan aku. (Hamdan menunjukkan otak dan hati yang menjadi punca) Ahh…. Sudahlah. Biar kau mampus kat situ.

JONED
Celaka kau Hamdan. Hamdan….. tolong aku Hamdan…… aku lumpuh ni.

(Hamdan keluar dari pentas. Masuk mak dan ayah Joned mencari Hamdan dan kakaknya. Mereka juga tidak nampak Joned)

JONED
Mak! Ayah!

AYAH
Aku dah kata, jangan dicari. Nak di cari juga si Joned tu. Salina tu memang degil.

JONED
Mak ayah tak nampak saya ke?

MAK
Abang…. Joned tu kan adik dia. Kenapa pula dia tak boleh cari. Anak kita lagi pun.

AYAH
Anak apa macam tu. Anak aku tak hisap dadah. Tak curi motosikal.

JONED
Ayah….saya tak curi motosikal tu. Saya cuma ikut Hamdan.

MAK
Abang, sudahlah tu…..

AYAH
Sudah apa? Apa susah sangat ke nak jadi budak baik. Aku tak paksa dia ke masjid. Asalkan dia sembahyang dah cukup. Aku tak halang dia nak pergi mana-mana. Asalkan tahu batas sempadan. Tapi kenapa najis tu juga yang dia cari.

MAK
Kita tak tahu apa masalah dia bang.

JONED
Ya…. Ayah tak tahu masalah saya. Saya sunyi…. Tak ada kawan….

AYAH
Masalah dia saja kita kena ambil tahu? Masalah kita macam mana? Dia langsung tak kenang jasa kita besarkan dia. Dia tak ingat siapa yang jaga dia siang malam bila dia demam panas dulu. Dia tak ingat……..(Ayah terhenti kerana seolah-olah terdengar sesuatu)

JONED
Ayah….. saya minta maaf ayah…. Mak….. maafkan Joned mak. Joned janji tak buat lagi…. Tolong Joned mak…. Joned lumpuh mak….

MAK
Itu macam suara Salina.

(Mak dan ayah pergi keluar pentas kerana mendengar suara Salina)



JONED
Kenapa semua orang tak pedulikan aku. Eh, kenapa dengan tangan aku? Kaki aku!

(Kini Joned lumpuh kaki dan tangan. Cuma badannya boleh bergerak. Masuk Man Penggali Kubur dan Lebai Chik)

MAN PENGGALI KUBUR
Nak korek kat mana ni Lebai?

LEBAI CHIK
Korek kat hujung pagar.

JONED
Korek apa Lebai? Pak Man?

MAN PENGGALI KUBUR
Hujung pagar tak jauh ke Lebai. Kan kita nak susun ikut keluarga. Keluarga dia kan dekat dengan pokok ketapang tu.

LEBAI CHIK
Patut memang begitu. Tapi orang kampung dah merungut kat aku. Tak nak mayat penagih dadah diletakkan dekat-dekat. Takut Aids kata mereka.

JONED
Aids? Aku mana Aids? Aku belum mati lagi! Aku belum mati!!!

MAN PENGGALI KUBUR
Astaghfirullahhallazim! Siapa kita nak hukum dosa dia sampai macam tu? Itu antara dia dan Allah!

LEBAI CHIK
Orang kampung tak faham Man. Susah aku nak terang. Aku ni pun jahil jugak bab-bab ni. Kau ikut jelah apa yang dia orang nak.

JONED
Hoi!! Kamu bukan Tuhan nak menghukum aku. Aku tahu aku berdosa. Aku nak bertaubat! Aku tak mati lagi. Aku di sini!!! Kamu tak nampak aku ke?

MAN PENGGALI KUBUR
Kesian keluarga Joned tu. Siapa sangkakan. Joned jadi macam tu. Kakak dia berjaya, emak bapa dia kuat pegangan agama.


LEBAI CHIK
Semua ini letak pada diri sendiri Man. Kalau diri tu sedar yang dadah tu berbahaya, takkan dekat dengan benda tu. Kempen pun dah bermacam-macam.

MAN PENGGALI KUBUR
Eh…. Saya buat kerja dululah lebai. Nanti pecah panas susah pulak.

LEBAI CHIK
Haa’aah… yelah…

JONED
Pak Man! Lebai! Aku belum mati lagi! Mak….ayah….. kakak….tolong aku…. Aku tak mahu mati lagi. Aku janji aku akan berubah. Aku tak akan menagih lagi. Tolonglah aku….. eh…. Kenapa dengan tangan aku…… tidak….. tidak……

(Dia mengelupur sendirian di atas lantai. Lampu digelapkan. Joned berdialog dalam gelap)

JONED
Kenapa gelap? Kaki aku, tangan aku! Mak, ayah…. Tolong Joned….. Joned takut mak.

(Masuk satu cahaya melintasi Joned)

JONED
Siapa tu, siapa yang bawa cahaya tu? Tolong aku…. Aku takut dalam gelap ni…

(Masuk lagi satu cahaya melintasi Joned)

JONED
Cahaya! Orang yang bawa cahaya…. Tolonglah aku…. Aku takut….. dosa aku banyak. Aku menipu mak dan ayah aku semata-mata kerana binatang dadah tu. Aku kecewakan harapan kakak aku. Berikanlah aku cahaya. Aku menyesal…. Ya Tuhan…..Berilah aku satu lagi peluang…. Aku nak tebus dosa-dosa aku…. Aku takut…… aku tak mampu tanggung dosa aku….

(Satu cahaya merapati Joned yang sudah putus asa. Joned kembali sedar dan menjaga cahaya itu bersungguh-sungguh. Kemudian lampu dinyalakan, Joned terlantar kaku di atas lantai, masuk orang kampung)

ORANG 1
Hah tu seorang lagi. Dah mampus agaknya…

ORANG 2
(Memeriksa Joned) Dah nyawa-nyawa ikan ni. Cepat kita bawa dia ke hospital.

ORANG 3
Dah menyusahkan orang, nak mampus pun menyusahkan orang lagi.

ORANG 2
Jangan cakap macam tu, tanggungjawab kita menyelamatkan dia. Moga dia masih ada peluang untuk bertaubat. Cepat.

(Orang kampung segera memapah keluar Joned)

TAMAT
Sebuah karya Dudok

9 comments:

abdullahjones said...

klise beb. :)

Pegawai Khalwat said...

Alah... bang...

Skrip untuk pementasan sketsa sempena Seminar Kelab Pemadam IPTA Peringkat Kebangsaan.

Mau tak cliche. Kang aku bombastikkan skrip ni adalak yang tak paham.

Tapi skrip cliche kalo dapat kat Pengarah yang bagus, baguslah jadinya.

tujuh86 said...

Klise tu subjektif.

Tapi aku masih terhibur, beb!

Pegawai Khalwat said...

Terima kasih bang....

Ini actor's play. Jadinya skrip ni cuma untuk membantu saja.

Garis panduan mudah.

abdullahjones said...

:)

Anonymous said...

Teringat zaman baca skrip Si Bongkok Tanjung Puteri dulu..

Pegawai Khalwat said...

Skrip Shahroum Hussein tu pun best bang.

Aku teringin nak buat balik; satu dalam nada purbawara asli, satu dalam nada kontemporari.

Kalau kau ada references, cerita la. Bole tambah ilmu aku.

tujuh86 said...

Si Bongkok Tanjung Puteri pernah dipentaskan dalam komedi. Bagaimana? Heroinnya bukan si cantik jelita, tapi yang tembam (ala-ala Adiba Nor).

Tapi ya la, nanti orang cakap juga benda ni klise. Lawak perempuan gemuk, lelaki kurus. :)

Jadi apa lagi yang kau boleh buat?

Pegawai Khalwat said...

Itulah, kadang-kadang aku tak nak pedulikan apa yang orang kata. Tapi aku sentiasa ingat pesan guru aku, teater itu komunikasi.

Bila kita nak berkomunikasi dengan orang, mestilah sesuatu yang orang boleh faham. Jika tak faham pun, setidak-tidaknya yang boleh menarik perhatian dan mengikat audien hingga ke akhir.

Tanjung puteri tembam? Apa salahnya. Tiada catatan sejarah mengatakan bahawa Tanjung Puteri itu mesti cantik. Cuma Si Bongkok tu mestilah bongkok. Aku tak tahu alasan apa nak pakai kalau nak gunakan perkataan tu kalau dia tak bongkok.