13 December 2005

Zanji Tok Kadri - Ulasan Yang Terpulas

Kesempatan menonton Zanji Tok Kadri pada malam semalam menginsafkan aku. Seronok rasanya dapat merantau ke rumah orang untuk berteater. Zanji Tok Kadri yang dipentaskan oleh Kelab Teater Prosenium Kolej Shahputra dari Kuantan, Pahang telah pun menemui warga Melaka dan Kedah. Semalam mereka berkampung pula di Panggung Sasaran USM, black box pertama di Malaysia.

Khabarnya Melaka sudah ada panggung baru, tahniah kepada Melaka. Semoga harapan satu negeri satu panggung akan tercapai. Cuma harapan aku janganlah panggung itu termakan sumpah lalu bertukar menjadi gajah putih.

Kembali ke pangkal, aku mengucapkan tahniah kepada Suzanna MS, orang kuat Kolej Shahputra yang saban tahun menghidupkan teater di Pahang bersama NGO-NGO lain. Beliau dibantu oleh Didi, yang bertindak sebagai penolong pengarah dan pengurus pentas serta keseluruhan ahli produksi dan pendokong watak telah berjaya merealisasikan Zanji Tok Kadri walau dalam keadaan kuantiti audien yang menyedihkan. Tapi aku selalu berkata, apalah yang ada pada kuantiti, yang penting audien yang datang itu adalah audien yang berkualiti, yang tahu menghargai seni teater.

Tapi aku tak tahu di mana silapnya, sebab aku rasa terheret dengan cerita yang meleret. Aku langsung tak rasa itu salah pengarah, kerana aku nampak dengan jelas garapan pengarah pada naskhah yang berbau realisme. Mungkin pelakon yang keletihan kerana merantau tanpa henti sejak dari Melaka, Kedah dan kini USM.

Dan mungkin juga memandangkan malam semalam adalah malam yang terakhir maka pelakon berkecenderungan untuk enjoy. Kelihatan sangat ketara mereka merapu dana di dalam ad-lip yang walaupun tidak merosakkan struktur cerita, tapi menjahanamkan struktur watak. Ini kerana ad-lip yang dilakukan adalah idea individu dan malangnya rakan lakon tidak sempat menyerap idea yang diluahkan, mengakibatkan pupusnya aksi, reaksi dan interaksi. Sayang sekali, kerana mereka semua memang berbakat. Lakonan mereka natural, bijak berimprovisasi bila timbul perkara luar dijangka tapi kesilapan seperti yang disebut seharusnya menjadi pantang larang di dalam darah daging orang teater.

Kerja-kerja teknikaliti memang bagus, kerana dengan nafas realisme, memang aku nampak sebuah warung di atas pentas. Mungkin ia stereotaip kerana Syyy… oleh Meor Hashim Manap yang menjadi genesis kepada sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu telah menjadikan naskhah itu sebagai sebuah ikon bagi kisah-kisah di restoran/kedai/warung makan Kemunculan sitcom lain seperti Santan Berlada, Salam Pantai Timur (versi awal), Kopitiam, Kopi Kaw dan bermacam-macam lagi, telah meletakkan restoran/kedai/warung makan sebagai platform untuk orang berlepak dan buat lawak sambil membincangkan isu-isu semasa, menjolok kejemuan pada sesetengah penonton.

Tapi peduli apa pada stereotaip! Persetan saja! Cliché dan stereotaip itu normal di dalam seni, cuma cara kita mengolahnya sahaja yang menjadikan karya itu unggul. Humm…. Aku melalut… Kembali ke pangkal teknikaliti. Memang bagus, selain daripada warung, sistem keluar masuk juga bersih tanpa sebarang kecacatan. Walaupun banyak pertukaran babak yang menggunakan system gelap cerah, namun lampu yang dipadamkan kurang dari 10 saat membuktikan mereka ini telah bersungguh-sungguh. Dan mereka berjaya mengekang keresahan penonton dari menanti dengan terlalu lama. Tahniah!

Selebihnya, pada aku naskhah Zanji Tok Kadri ini harus diperhalusi dari skrip lagi. Aku tidak tahu, apakah apa yang aku lihat di atas pentas itu bulat-bulat dari skrip atau banyak tokok tambah oleh pelakon, hingga menyebabkan point-point penting dalam kebanyakkan adegan dimakan dengan lahap oleh isu-isu yang tidak utama.

Konflik dan klimaks yang aku nanti-nantikan juga tidak muncul dengan kemas. Banyak yang ditelan oleh lawak-lawak yang tidak seharusnya timbul sewaktu penegasan pada sesuatu isu penting. Itulah, aku tidak tahu apakah itu pada skrip atau terujaan pelakon semata-mata.

Pementasan yang dibayangi sitcom Senario, pada aku amat sesuai dipersembahkan untuk tour seperti ini. Kerana lapisan audien yang pelbagai sama ada taraf pendidikan, taraf hidup, taraf umur dan pelbagai taraf lagi; menjadikan pementasan ini bersifat universal. Cuma bila kita mementaskan teater seperti ini, kita bukan setakat menyampaikan mesej (kalau ada mesej), tapi kita juga mendidik masyarakat memahami teater. Biarlah masyarakat terdedah dengan disiplin teater (sama ada disiplin ketika menonton atau teater itu sendiri) agar masyarakat masyarakat boleh menerima apa jua bentuk teater yang dipersembahkan, dan mereka mahu berfikir tika disogok dengan teater yang thought provoking, bukan semata-mata mahu disuap. Tidaklah mereka terkongkong dengan satu bentuk sahaja, kerana jika mereka sudah terkongkong, mereka akan mudah kecewa bila tour yang akan datang membawakan naskhah yang lebih berat (tidak kiralah realisme atau non-realisme), menyebabkan kebosanan, kemurungan dan langkah keluar lebih awal dari panggung sebelum kisah tamat.

Aku sebagai penggiat teater amatur yang daif dan naïf, mengucapkan tahniah pada kalian Kelab Teater Prosenium, terutama pengarahnya. Jangan serik berteater kerana kalau bukan kita siapa lagi?

Mereka…?

4 comments:

susu cap teko said...

pada generasi muda seperti mereka perlu diberi sokongan moral dan rangsangan untuk terus bergiat aktif. Berikan panduan secukupnya akan tidak tersasar,menafsir sesuatu isu dari perspektif yang betul dan cerdik meletakkan sesuatu perihal mengikut keutamaan.Jiwa muda merupakan suatu tenaga luar biasa dan yang paling afdhal untuk mengubah dunia. Pokoknya yang membimbing sewajarnya padat dan pejal dengan ilmu serta kematangan.Hidup cuma seketika, keduniaan hanya kesibukan sementara maka persiapkan bekalan.Pada "BABY USOP" dan kroni, aku kagum pada kalian.

Pegawai Khalwat said...

Tik Tak Teko....

Tik Tak Teko....

(aku hairan kenapa iklan tu tak ulang berkali-kali perkataan teko, kan lebih senang *wink-wink*

Padamu, aku dan kengkawan bergerak dengan cara kami sendiri; berlandaskan agama, adat dan budaya.

"Sambutlah tanganku kawan andai aku tenggelam"

Amin!

Suezanna M.S said...

Syukur Alhamdulillah, akhirnya tour Kelab Teater Prosenium ShahPutra Kuantan berjaya juga menamatkan misinya walaupun dengan tenaga yang semakin berkurangan.

Terima kasih pada kalian yang sudi menonton apatah lagi yang sudi memberi komen membina kepada kami yang baru bertatih ini.

Banyak lagi aspek-aspek teater yang harus dipelajari oleh anak-anak buah kelab teater Prosenium khususnya disiplin (diri & teater), jati diri dan pelbagai lagi. Memang seronok berkampong di negeri orang untuk bertengteng (oops..berteater). Tapi dalam keseronokan itu terbeban dengan berbagai kesulitan dan kemelut persoalan...apakah persembahan itu akan membawa kesan di hati penonton??? Apakah penonton dapat menangkap mesej yang ingin disampaikan?? Terhiburkah penonton??

Pendek kata, tour ini telah banyak mengajar tentang kemanusiaan, kejujuran, ketulusan, kesungguhan dan ketabahan.

Moga insan-insan teater semua dapat meniti 5K di atas dengan jayanya.

Secara peribadinya, saya bagi pihak Kelab Teater Prosenium ShahPutra mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Dr Bob, Prof Samad, En Lan, en Yusof dll kerana memberi ruang kepada kami untuk bertengteng(oops silap lagi, berteater). Sudi-sudikanlah mendidik kami sekiranya ada ruang dan kesempatan.

Wassalam

Pegawai Khalwat said...

Seperti yang saya katakan, kalau bukan kita, siapa lagi yang akan menolong.

Perjuangan dan perjalanan kita masih jauh. Bagi saya dan rakan-rakan, kami masih mensasarkan rakyat Tanjung, agar mereka celik teater dan mahu menghargai kemudian menghayati teater.

Tapi kami pun bercita-cita juga nak bertengteng di kampung orang. Mana tahu, dengan teater miskin kami akan sampai ke Auditorium Shahputra. (Dah tengok gambarnya, memang boleh dibuat pementasan walau tanpa pentas.)

Datanglah lagi ke Tanjung, kami anak Tanjung akan sedia menunggu. Harapnya pada waktu yang sesuai agar semua penggiat teater negeri boleh turun tengok.

Teruskan perjuangan.....