Sudah lama aku tidak menonton persembahan yang buat jiwa aku meronta-ronta, mengigit-gigit, mencengkam dan mencakar-cakar untuk menulis skrip. Naskhah Opera Ayu Cendana sebagai sebuah skrip amat menarik. Buah tangan Fauziah Nawi ini walau telah dipotong hampir 30 minit masih menyengat dan berbisa.
Untuk makluman kalian, ini kali pertama aku menonton Opera Ayu Cendana, walaupun ia telah pernah dipentaskan lebih kurang 9 kali terdahulu termasuk pementasan di USM. Sememangnya aku teruja untuk menontonnya. Tambah lagi Fauziah Nawi setia menjadi teraju utama.
Keseluruhan cerita memang menarik, dibantu pula dengan iringan lagu-lagu yang mengasyikkan dan runut bunyi yang sangat membantu menghidupkan mood penonton. Dengan set suggest, aku rasa kalau yang menonton itu bukan khalayak teater, tidak ramai yang akan perasan perubahan lokasi berlaku apabila para pelakonnya mengalihkan kedudukan set. Lakonan Fauziah Nawi, apa lagi yang aku boleh ceritakan tentang lakonan dia. Lakonan Mr. Os, walaupun menjadi dirinya, tetapi bersahaja dan mengundang kelucuan. Begitu juga Tengku Asyik, Wak dan Sam.
But even the greatest masterpiece has its flaw. Pastilah tidak ada yang sempurna tentang mana-mana persembahan. Semua orang tahu atau jika ada yang tak tahu itu bermakna dia buat-buat tak tahu. Lakonan para pemain (kecuali beberapa insan) pada fikiran aku berada di tahap sederhana, tinggi sedikit daripada pokok Baobab yang bergerak. Adakah kerana ada di antara mereka itu penari? Tapi sekurang-kurangnya jauh lebih baik daripada sesetengah lakonan yang pernah aku tengok.
Penataan bunyi dan muzik walaupun amat mengkagumkan, tetapi masih mewujudkan satu masalah; hilang fokus penonton. Kelabu asap? Biar aku suluh. Sebuah auditorium yang sebesar Dewan Sri Pinang, walaupun mempunyai sistem akustik yang baik tetap memerlukan bantuan head mic kerana lontaran suara pemain teater kita tidaklah semacam soprano Madame Butterfly. Tetapi masalah timbul bila pemain berbilang melontar dialog mereka satu demi satu, sedangkan punca suara/bunyi hanya keluar dari satu corong. Siapa yang duduk di belakang, akan tercari-cari siapa yang bersuara, kerana tidak dapat mengesan dari kiri atau kanan, dari belakang atau depan. Mujurlah bila waktunya adegan atau babak yang kurang pelakon, maka masalah ini tidak begitu ketara.
Selain daripada kekurangan kemantapan lakonan dan bunyi, aku tetap rasa Opera Ayu Cendana merupakan pementasan teater terhebat di Pulau Pinang untuk 2005. Mujurlah ada pelabuh tirai yang menyedapkan hati dan rasa.
Cuma perkara yang masih mengecewakan aku... bukan aku saja, siapa-siapa saja; ialah sambutan audien. Khabarnya selama 3 malam pementasan, kadar kedatangan cumalah 1/3 daripada kapasiti tempat duduk bagi setiap malam. Publisiti di media massa dan seluruh kawasan tumpuan di Pulau Pinang sudah dibuat, harga tiket lebih murah daripada harga King Kong, parking kereta/motosikal/bas tidak perlu dibayar langsung; apa lagi yang perlu dibuat? Cabutan bertuah Gen2? Atau memang masyarakat kita masih belum cukup kesedaran dan minat.
Tahniah Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani), terima kasih Istana Budaya, KekkWa dan semua. Buat Stefani, janganlah serik datang lagi ke Pulau Pinang. Cadangnya, cubalah auditorium yang lebih kecil; Auditorium P. Ramlee atau Auditorium Dewan Budaya USM. Kerana walau kecil bilangan audien, tetap akan nampak ramai di ruang yang kecil.
Aku letih.... tapi aku tak akan berputus asa lagi....
Kalian?
2 comments:
Kalau Muhammad tak dapat pergi ke gunung, gunung akan datang menghadap Muhammad.
Pernah terfikir nak pentaskan teater di tengah khalayak? Teater jalanan, barangkali?
Sudah dipentaskan. Malah kami pernah bawa teater ini niche area. Ke daerah seberang (cuma pementasan masih di dewan yang tidak lengkap dengan teknikaliti. Terima kasij JKekkWa Tanjung!)
Kami pernah mementaskan teater jalanan ni Kebun Bunga (Botanical Garden). Tau apa reaksi orang yang lalu lalang?
"Eh... mana kamera?"
"Drama apa ni?"
Mungkin silapnya kerana tidak diwar-warkan terlebih dahulu. Tapi di disini, jika mahu buat secara sah di jalanan, perlu minta kebenaran polis, tuan punya tempat, majlis perbandaran tempatan... yada...yada....yada...
Tapi terima kasih kerana mengingatkan. Aku dan sahabat-sahabat akan cuba buat teater jalanan lagi, kerana kami belajar dari kesilapan (aku juga belajar dari kumpulan baru yang berjaya menarik perhatian pengunjung sebuah kawasan rehat di sempadan Perak-Tanjung. Teater jalanan mereka lengkap dengan props dan set, menarik perhatian orang menengok).
Post a Comment