30 December 2005

Opera Ayu Cendana di Tanjung - Ulasan Yang Terpulas

Sudah lama aku tidak menonton persembahan yang buat jiwa aku meronta-ronta, mengigit-gigit, mencengkam dan mencakar-cakar untuk menulis skrip. Naskhah Opera Ayu Cendana sebagai sebuah skrip amat menarik. Buah tangan Fauziah Nawi ini walau telah dipotong hampir 30 minit masih menyengat dan berbisa.

Untuk makluman kalian, ini kali pertama aku menonton Opera Ayu Cendana, walaupun ia telah pernah dipentaskan lebih kurang 9 kali terdahulu termasuk pementasan di USM. Sememangnya aku teruja untuk menontonnya. Tambah lagi Fauziah Nawi setia menjadi teraju utama.

Keseluruhan cerita memang menarik, dibantu pula dengan iringan lagu-lagu yang mengasyikkan dan runut bunyi yang sangat membantu menghidupkan mood penonton. Dengan set suggest, aku rasa kalau yang menonton itu bukan khalayak teater, tidak ramai yang akan perasan perubahan lokasi berlaku apabila para pelakonnya mengalihkan kedudukan set. Lakonan Fauziah Nawi, apa lagi yang aku boleh ceritakan tentang lakonan dia. Lakonan Mr. Os, walaupun menjadi dirinya, tetapi bersahaja dan mengundang kelucuan. Begitu juga Tengku Asyik, Wak dan Sam.

But even the greatest masterpiece has its flaw. Pastilah tidak ada yang sempurna tentang mana-mana persembahan. Semua orang tahu atau jika ada yang tak tahu itu bermakna dia buat-buat tak tahu. Lakonan para pemain (kecuali beberapa insan) pada fikiran aku berada di tahap sederhana, tinggi sedikit daripada pokok Baobab yang bergerak. Adakah kerana ada di antara mereka itu penari? Tapi sekurang-kurangnya jauh lebih baik daripada sesetengah lakonan yang pernah aku tengok.

Penataan bunyi dan muzik walaupun amat mengkagumkan, tetapi masih mewujudkan satu masalah; hilang fokus penonton. Kelabu asap? Biar aku suluh. Sebuah auditorium yang sebesar Dewan Sri Pinang, walaupun mempunyai sistem akustik yang baik tetap memerlukan bantuan head mic kerana lontaran suara pemain teater kita tidaklah semacam soprano Madame Butterfly. Tetapi masalah timbul bila pemain berbilang melontar dialog mereka satu demi satu, sedangkan punca suara/bunyi hanya keluar dari satu corong. Siapa yang duduk di belakang, akan tercari-cari siapa yang bersuara, kerana tidak dapat mengesan dari kiri atau kanan, dari belakang atau depan. Mujurlah bila waktunya adegan atau babak yang kurang pelakon, maka masalah ini tidak begitu ketara.

Selain daripada kekurangan kemantapan lakonan dan bunyi, aku tetap rasa Opera Ayu Cendana merupakan pementasan teater terhebat di Pulau Pinang untuk 2005. Mujurlah ada pelabuh tirai yang menyedapkan hati dan rasa.


Cuma perkara yang masih mengecewakan aku... bukan aku saja, siapa-siapa saja; ialah sambutan audien. Khabarnya selama 3 malam pementasan, kadar kedatangan cumalah 1/3 daripada kapasiti tempat duduk bagi setiap malam. Publisiti di media massa dan seluruh kawasan tumpuan di Pulau Pinang sudah dibuat, harga tiket lebih murah daripada harga King Kong, parking kereta/motosikal/bas tidak perlu dibayar langsung; apa lagi yang perlu dibuat? Cabutan bertuah Gen2? Atau memang masyarakat kita masih belum cukup kesedaran dan minat.

Tahniah Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani), terima kasih Istana Budaya, KekkWa dan semua. Buat Stefani, janganlah serik datang lagi ke Pulau Pinang. Cadangnya, cubalah auditorium yang lebih kecil; Auditorium P. Ramlee atau Auditorium Dewan Budaya USM. Kerana walau kecil bilangan audien, tetap akan nampak ramai di ruang yang kecil.

Aku letih.... tapi aku tak akan berputus asa lagi....

Kalian?

29 December 2005

Detik Belum Terpasung

DETIK BELUM TERPASUNG

SINOPSIS
Cerita berlaku ketika Joned jatuh pengsan setelah dikejar orang kampung kerana dituduh mencuri motosikal. Di situ dia melihat erti sebenar kawan dan keluarga, ketika dia sedang meniti ranjang mautnya.

LATAR MASA : Bila-bila
LATAR TEMPAT : Mana-mana

PENDUKUNG WATAK:
Joned - Lelaki lewat 20an
Salina - Kakak Joned, lewat 30an
Mak - Ibu Joned, awal 50an
Ayah - Bapa Joned, awal 60an
Hamdan - Rakan penagih Joned, lewat 20an
Lebai Chik - Imam kampung, awal 60an
Man Penggali Kubur - Penggali kubur, awal 40an
Orang 1, 2, 3 - Orang kampung

BABAK I

(Suara dari luar)

ORANG 1
Ha tangkap dia, tangkap. Dia dengan kawan-kawan dialah yang curi motosikal kat kampung ni.

ORANG 2
Sial, jangan kau lari. Berani kau menagih dadah kat sini.

ORANG 3
Pukul saja, cakap banyak buat apa.

(Joned lari tercungap-cungap, masuk ke pentas. Masih kedengaran suara-suara marah orang kampung kemudian makin hilang)

JONED
Jahanam….. siapa yang bocorkan rahsia tempat kami. Nasib baik aku tak kena tangkap. Ini semua Hamdan punya pasal. Kalau dia tak curi motosikal tu. Aduh……Hah… darah……!!!

(Joned memeriksa kesan darah di kepalanya. Tiba-tiba dia jatuh pengsan. Lampu padam. Lampu menyala kembali dan kakaknya sedang mencari-cari Joned. Tetapi Joned tidak dapat dilihat oleh kakaknya, dan tidak dapat bergerak)

SALINA
Joned, mana kau Joned? Baliklah Joned. Kau tak kesian kat mak dengan ayah Joned.

JONED
Kak, semua orang gila tadi dah pergi ke kak?

SALINA
Kakak dah pesan pada kau. Berhenti buat kerja yang merosakkan ni. Berhenti menagih. Tapi kau degil.

JONED
Apa ni kak. Aku tanya orang kampung yang gila tu semua dah pergi ke.

SALINA
Sekarang mak dah tahu, ayah pun dah tahu.

JONED
Mak dengan ayah dah tahu?

SALINA
Joned, di mana kau? Baliklah….

JONED
Aku kat sini kak! Kakak tak nampak aku ke? Aku kat sini, nampak tak kepala aku berdarah ni. Orang kampung jahanam tu dah tetak kepala aku.

SALINA
Menyerahlah Joned.

JONED
Kakak dah gila ke? Nanti mereka hantar aku ke pusat serenti. Aku tak nak…. Aku tak nak…. Salah ke aku hidup macam ni. Aku tak kacau orang. Aku hidup dalam dunia aku.

SALINA
Kakak tau kamu tak curi motosikal tu. Kamu tu tak bersalah, kenapa kamu lari.

JONED
Kena kejar dengan parang takkan tak lari?

SALINA
Joned! Joned! Mana kau? Baliklah menyerah….. kakak akan tolong kau.

JONED
Kakak buta ke……. Aku kat sini. Eh kenapa dengan kaki aku?

SALINA
Joned! Ini kakak kau Joned. Keluarlah…. Biar kakak tolong kau. Tolonglah keluar Joned. Joned…..!

(Joned cuba bangun tetapi tiba-tiba kakinya menjadi lumpuh. Kakaknya meninggalkan Joned. Sahabat Joned, Hamdan masuk)

JONED
Kak, jangan tinggal aku kak, aku tak boleh bangun kak. Hamdan, tolong aku Dan. Aku tak boleh bergerak Dan. Nanti orang kampung datang Dan….

HAMDAN
Kenapa kaki kau tak boleh bergerak?

JONED
Aku tak tahu Dan. Kakak aku, kau nampak kakak aku? Tadi dia masuk dia tak tolong aku pun.

HAMDAN
Ni aku nak tolong kau lah ni.

(Hamdan mengeluarkan peralatan untuk menagih dadah)

JONED
Apa kau nak buat tu Dan?

HAMDAN
Buat-buat tanya pulak

JONED
Aku tak mahu Dan.

HAMDAN
Kau tak mahu?



JONED
Aku mahu lah….. tapi bukan sekarang. Nanti kalau orang kampung jumpa kita. Dah lah kaki tak guna aku ni tiba-tiba tak boleh bergerak. Tolong angkat aku Dan.

HAMDAN
Aku nak angkat kau lah ni. Aku nak angkat kau tinggi-tinggi. Nah… dengan ni kau mesti terangkat.

JONED
Dan…. Kau dah gila ke. Orang kampung datang nanti. Aku tak nak kena tangkap Dan. Aku tak mahu masuk serenti.

(Hamdan cuba memaksa Joned. Joned menjadi marah)

JONED
Hamdan….. aku lumpuh ni Hamdan. Kau faham tak….. kau masih ingat lagi binatang tak guna ni!

HAMDAN
Binatang tak guna? Binatang nilah yang kau makan hari-hari. Sampai nasi kau tak makan, sampai kau tak ingat Tuhan. Binatang nilah Tuhan kau!

JONED
Celaka kau! Kau jangan main-main Tuhan dengan aku Dan. Semua ini sebab kau. Kaulah punca!

HAMDAN
Aku punca? Hoi bodoh. Ini dan ini yang jadi punca. Bukan aku. (Hamdan menunjukkan otak dan hati yang menjadi punca) Ahh…. Sudahlah. Biar kau mampus kat situ.

JONED
Celaka kau Hamdan. Hamdan….. tolong aku Hamdan…… aku lumpuh ni.

(Hamdan keluar dari pentas. Masuk mak dan ayah Joned mencari Hamdan dan kakaknya. Mereka juga tidak nampak Joned)

JONED
Mak! Ayah!

AYAH
Aku dah kata, jangan dicari. Nak di cari juga si Joned tu. Salina tu memang degil.

JONED
Mak ayah tak nampak saya ke?

MAK
Abang…. Joned tu kan adik dia. Kenapa pula dia tak boleh cari. Anak kita lagi pun.

AYAH
Anak apa macam tu. Anak aku tak hisap dadah. Tak curi motosikal.

JONED
Ayah….saya tak curi motosikal tu. Saya cuma ikut Hamdan.

MAK
Abang, sudahlah tu…..

AYAH
Sudah apa? Apa susah sangat ke nak jadi budak baik. Aku tak paksa dia ke masjid. Asalkan dia sembahyang dah cukup. Aku tak halang dia nak pergi mana-mana. Asalkan tahu batas sempadan. Tapi kenapa najis tu juga yang dia cari.

MAK
Kita tak tahu apa masalah dia bang.

JONED
Ya…. Ayah tak tahu masalah saya. Saya sunyi…. Tak ada kawan….

AYAH
Masalah dia saja kita kena ambil tahu? Masalah kita macam mana? Dia langsung tak kenang jasa kita besarkan dia. Dia tak ingat siapa yang jaga dia siang malam bila dia demam panas dulu. Dia tak ingat……..(Ayah terhenti kerana seolah-olah terdengar sesuatu)

JONED
Ayah….. saya minta maaf ayah…. Mak….. maafkan Joned mak. Joned janji tak buat lagi…. Tolong Joned mak…. Joned lumpuh mak….

MAK
Itu macam suara Salina.

(Mak dan ayah pergi keluar pentas kerana mendengar suara Salina)



JONED
Kenapa semua orang tak pedulikan aku. Eh, kenapa dengan tangan aku? Kaki aku!

(Kini Joned lumpuh kaki dan tangan. Cuma badannya boleh bergerak. Masuk Man Penggali Kubur dan Lebai Chik)

MAN PENGGALI KUBUR
Nak korek kat mana ni Lebai?

LEBAI CHIK
Korek kat hujung pagar.

JONED
Korek apa Lebai? Pak Man?

MAN PENGGALI KUBUR
Hujung pagar tak jauh ke Lebai. Kan kita nak susun ikut keluarga. Keluarga dia kan dekat dengan pokok ketapang tu.

LEBAI CHIK
Patut memang begitu. Tapi orang kampung dah merungut kat aku. Tak nak mayat penagih dadah diletakkan dekat-dekat. Takut Aids kata mereka.

JONED
Aids? Aku mana Aids? Aku belum mati lagi! Aku belum mati!!!

MAN PENGGALI KUBUR
Astaghfirullahhallazim! Siapa kita nak hukum dosa dia sampai macam tu? Itu antara dia dan Allah!

LEBAI CHIK
Orang kampung tak faham Man. Susah aku nak terang. Aku ni pun jahil jugak bab-bab ni. Kau ikut jelah apa yang dia orang nak.

JONED
Hoi!! Kamu bukan Tuhan nak menghukum aku. Aku tahu aku berdosa. Aku nak bertaubat! Aku tak mati lagi. Aku di sini!!! Kamu tak nampak aku ke?

MAN PENGGALI KUBUR
Kesian keluarga Joned tu. Siapa sangkakan. Joned jadi macam tu. Kakak dia berjaya, emak bapa dia kuat pegangan agama.


LEBAI CHIK
Semua ini letak pada diri sendiri Man. Kalau diri tu sedar yang dadah tu berbahaya, takkan dekat dengan benda tu. Kempen pun dah bermacam-macam.

MAN PENGGALI KUBUR
Eh…. Saya buat kerja dululah lebai. Nanti pecah panas susah pulak.

LEBAI CHIK
Haa’aah… yelah…

JONED
Pak Man! Lebai! Aku belum mati lagi! Mak….ayah….. kakak….tolong aku…. Aku tak mahu mati lagi. Aku janji aku akan berubah. Aku tak akan menagih lagi. Tolonglah aku….. eh…. Kenapa dengan tangan aku…… tidak….. tidak……

(Dia mengelupur sendirian di atas lantai. Lampu digelapkan. Joned berdialog dalam gelap)

JONED
Kenapa gelap? Kaki aku, tangan aku! Mak, ayah…. Tolong Joned….. Joned takut mak.

(Masuk satu cahaya melintasi Joned)

JONED
Siapa tu, siapa yang bawa cahaya tu? Tolong aku…. Aku takut dalam gelap ni…

(Masuk lagi satu cahaya melintasi Joned)

JONED
Cahaya! Orang yang bawa cahaya…. Tolonglah aku…. Aku takut….. dosa aku banyak. Aku menipu mak dan ayah aku semata-mata kerana binatang dadah tu. Aku kecewakan harapan kakak aku. Berikanlah aku cahaya. Aku menyesal…. Ya Tuhan…..Berilah aku satu lagi peluang…. Aku nak tebus dosa-dosa aku…. Aku takut…… aku tak mampu tanggung dosa aku….

(Satu cahaya merapati Joned yang sudah putus asa. Joned kembali sedar dan menjaga cahaya itu bersungguh-sungguh. Kemudian lampu dinyalakan, Joned terlantar kaku di atas lantai, masuk orang kampung)

ORANG 1
Hah tu seorang lagi. Dah mampus agaknya…

ORANG 2
(Memeriksa Joned) Dah nyawa-nyawa ikan ni. Cepat kita bawa dia ke hospital.

ORANG 3
Dah menyusahkan orang, nak mampus pun menyusahkan orang lagi.

ORANG 2
Jangan cakap macam tu, tanggungjawab kita menyelamatkan dia. Moga dia masih ada peluang untuk bertaubat. Cepat.

(Orang kampung segera memapah keluar Joned)

TAMAT
Sebuah karya Dudok

Bangsawan Puteri Saadung - Tak Terulas

Memang tak terulas. Pertama kerana aku tidak dapat pergi menonton kedua-dua malam pementasan kerana ada komitmen hakiki. Komitmen inilah juga yang menghadkan penglibatan aku di dalam produksi ini.

Dan yang kedua kerana aku merasakan aku ini naif dan daif seni, terutamanya bab bangsawan. Dunia teater aku bermula dengan realisme dan kemudian aku berjinak-jinak dengan anti-realisme. Penglibatan secara langsung dan pengetahuan tentang bangsawan memang separas air di dada itik.

Mujurlah aku sempat juga menonton full dress rehearsal pertama, di mana pada aku, tak terulas. Kerana aku telah terlibat secara langsung di dalam produksi ini sepanjang minggu-minggu terakhir dan otak aku telah ditempa dengan bingkai lakonan dan pengarahan sepanjang detik.

Jadinya, full dress rehearsal malam itu aku anggap lakonan mereka yang paling baik, setelah menonton latihan demi latihan. Pengulas yang terbaik ialah, pada aku mereka yang segar bugar, menonton pementasan itu pada kali pertama (maksud aku pementasan bagi produksi ini), agar benak mereka tidak dibelengu oleh apa yang mereka nampak sepanjang latihan.

Tapi sekurang-kurangnya, tangan sudah boleh ditadah ke langit, memanjatkan kesyukuran kepadaNya kerana memungkinkan bangsawan ini dipentaskan, walau dengan seribu komplikasi, seribu kontroversi, seribu serba serbi. Itulah pahit manis yang wajib diharungi setiap produksi, kerana tiada produksi yang sempurna. Itulah pengalaman yang paling berharga bagi setiap insan.

Cuma aku tak boleh salahkan jika ada yang serik untuk menyertai produksi seperti ini lagi (baca: produksi seperti ini; maksudnya ada macam-macam ini). Aku alu-alukan kalau ada yang menonton Bangsawan Puteri Saadung, arahan Cikgu Baharudin pada 27 & 28 Disember 2005 di Auditorium P.Ramlee, Pulau Pinang, untuk memberi komentar. Biar orang lain dengar…….

Komentar aku? Syukur semua sudah habis, sudah selamat. Asalkan jangan ada yang terluka, jangan ada hati yang terluka, jangan ada yang terbunuh. Kalau ada, ambil simpan dalam peti, tanam di kubur Jepun sebelah Rumah P. Ramlee.

Amin…. (Yeehaaaa…..!!)

27 December 2005

Nietzsche Is Dead - Ulasan Yang Terpulas


Aku menerima senaskhah skrip dari seorang rakan aku, tujuh86, yang kini sekadar menjadi helang, terbang bebas sambil memerhatikan seantero dunia teater. Nietzsche Is Dead. Apa kejadahnya Nietzsche tu?

Bagi aku yang daif dan naif seni ni, Nietzsche adalah satu kosa kata yang baru. Mungkin tidak jauh beza dengan Vulcan dan Klingon yang diagung-agungkan Gene Roddenberry. Jadinya, daripada memikirkan apa atau siapa itu Nietzsche, baik aku baca dulu.

Baca.... baca.... baca.....

Habis!

Dan aku kagum. Kerana skripnya mudah, dan menjurus kepada aliran fitrah Nordin Hassan. Cuma Cikgu Nordin mungkin lebih suka berkias-kias dan berlambang-lambang, tapi rakan aku ni lebih lurus dan mudah sampai ke lokasi yang nak dituju (mungkin bagi skrip ini sahaja).

Persoalan jiwa dan iman menjadi akar utama naskhah ini. Bagaimana Guy telah mengabaikan tanggungjawabnya kepada Tuhan bertitik tolak daripada pengabaian bapanya terhadap dirinya yang cacat. Bagaimana cahaya hidayah memancar di atas ubun-ubun Jeff yang jatuh cinta pada gadis Melayu. (Jeff Cina, gadis Melayu tu Ira, Muslim semestinya). Dan bagaimana Zaha sekadar menjadi monosodium glutamate di dalam cerita ini.

Tapi konflik utama ialah antara Guy dan bapanya, yang pada aku bancuh dengan menarik oleh penulis. Skrip ini memang sesuai dipentaskan dalam apa jua aliran, dengan minimalis sebagai nilai tambah. Tak perlu banyak exaggerated movement, tak perlu set yang mewah, tak perlu terlalu kaya dengan nilai estetika. Kerana skrip itu sendiri sudah mendukung maksud, mendukung cerita, mendukung watak; dan jika didokong oleh pemain yang berdaya saing, maka impaknya akan menikam dan menikam dan menghempap dan memulas jiwa Muslim yang menontonnya.

Bagaimanapun, semua bergantung……

Aku sangat berharap kalian boleh membaca dan menghayati Nietzsche Is Dead. Tapi kenalah minta izin pada
tujuh86 dahulu.

Oh… hampir aku terlupa. Fredrich Nietzsche merupakan salah seorang tokoh awal existentialist dari Jerman, yang percaya kepada kehidupan dan realiti hidup, daripada dunia lain. Pendek kata, si Nietzsche ni menolak agamalah… yada… yada… yada… Malas nak cerita…… bacalah….
http://plato.stanford.edu/entries/nietzsche/ atau mana-mana laman lain.

Emm… lagi satu…. Skrip ni dalam bahasa Ingggeris… cepat cari kamus!

22 December 2005

Lahar Yang Meledak.....

Bonda bercakap bahasa tua, anakanda bercakap bahasa muda, Bahasa tua kesabaran di dada, bahasa muda darah bergelora!

Aku memetik dialog itu dari salah satu filem P.Ramlee (lebih kurang macam tulah bunyinya), tapi sayangnya aku tak ingat filem apa. Itulah yang patut aku kaitkan dengan salah sebuah produksi yang akan dipentaskan tidak lama lagi.

Sebuah projek yang 80% daripada tenaga kerjanya merupakan orang muda dan selebihnya warga emas memang menuntut tahap kesabaran yang ultra. Tambahan lagi bila yang lanjut usia pun berlagak macam orang muda, dan yang muda pun berlagak tahu macam orang tua, maka berlakulah kekejangan emosi yang sukar dibendung, menunggu untuk memuntahkan lahar marah, dendam dan benci.


Tapi mujurlah ada tangan-tangan malaikat yang menjunjung batu jemala, menyempurnakan hak-hak artistik, teknikaliti dan pitih dengan berwaspada dan berhemah. Aku mengucapkan tahniah kepada Pengurus Pentas kerana tidak bertukar menjadi hijau, berotot kekar dan bercakap orang putih sepanjang mengemudi kru dan pelakon.

Tapi yang aku bimbangkan, entah berapa lama emosi manusia ini mampu bertahan. Semakin dekat dengan pementasan bererti semakin banyak khilaf yang terpampang, semakin menendang-nendang oksigen di dalam pembuluh darah dan semakin bernanah telinga dan semakin merah saga biji mata. Aku harap produksi ini tidak menjadi seperti Pompeii yang ditelan Vesuvius tanpa amaran. Dan aku yakin ia tidak akan menjadi seperti Pompeii, kerana sifat Gunung Merapi yang terpendam ada dalam diri kita.

Apa-apa pun, moga cabaran demi cabaran akan mematangkan akal dan fikiran. Kalau tak matang juga, jadilah seperti sawa matang yang kenyang tertelan musang, bukan katak pisang.

Kuang…. Kuang…. Kuang……

20 December 2005

Gon Yang Ergonomik - Sebuah Cerita Yang Tak Siap Lagi


(Pak Manap sedang bersiap sedia ingin memulakan perniagaannya)

PAK MANAP
Hari ribut, tunduklah padi,
Padi cupak, datuk temenggung.

ORANG KAMPUNG I
Pak Manap simpan kat saya dua bungkus ya. Balik nanti saya ambil.

PAK MANAP
Yelahtu… tak ada siapa nak menyimpan untuk kamu. Hari tu kamu suruh simpan 2 bungkus, sampai ke malam kamu tak ambil.

ORANG KAMPUNG I
Ala…. Itu saya lupalah Pak Manap. Takkan tu pun nak kira.

PAK MANAP
Mana tak kira. 2 bungkus RM 2.40. Dah rugi duit aku RM 2.40.

ORANG KAMPUNG I
Oklah… oklah…. Sekarang saya bayar RM 2.40, Pak Manap tolong simpan untuk saya.

PAK MANAP
Haaa…. Macam ni barulah bagus. Kalau ada seratus orang macam kau ni, kan ke maju Malaysia.

ORANG KAMPUNG I
Itu kalau ada seratus orang macam saya, kalau ada seratus orang macam Pak Manap ni, hummm…… entahlah.

PAK MANAP
Hai….. lain macam je nada tu. Nanti aku bungkus kau cendol tak ada air gula baru tau.

ORANG KAMPUNG I
He he he… Gurau jet u. Saya pergi dulu Pak Manap. Petang saya ambil.

PAK MANAP
Haah… pergilah… kalau dah bayar tu, esok ambil pun tak apa.

(Orang kampung I keluar Ajis Gila masuk)
AJIS GILA
Aku nampak… kau nampak. Kau nampak apa aku nampak. Aku tak nampak apa yang kau nampak. Tapi aku tahu kau tak nampak.

PAK MANAP
Apa benda kau nampak Ajis?

AJIS GILA
Aku nampak cendol! Aku nampak sedap!

PAK MANAP
Aku dah tahu taktik kau Ajis. Nah pegi makan kat hujung tu. Nanti orang datang tak berani nak singgah pulak. Kau tu tak mandi

AJIS GILA
Aku nampak cendol free! Aku nampak aku makan cendol…….

(Ajis Gila pergi ke satu sudut, masuk Ida dengan Anis)

IDA
Abah, Ida pegi bandar dengan Anis kejap ye.

PAK MANAP
Bandar? Jauhnya.. nak buat apa?

(Ida agak tergagap-gagap hendak menjawab soalan berkenaan, tetapi segera dipotong oleh Anis)

ANIS
Nak pergi perpustakaan Pak Manap.

PAK MANAP
Kat sini ka ada perpustakaan. Tu yang datang dengan lori tiap minggu tu bukankah perpustakaan punya.

ANIS
Memanglah Pak Manap. Tapi perpustakaan bergerak tu tak cukup buku. Buku yang kami nak tak ada. Cikgu sekarang bukan macam cikgu dulu. Suruh buat kerja rumah yang bukan-bukan.

PAK MANAP
Kamu ada duit ke Ida.

IDA
Sebab tu yang Ida datang jumpa abah ni.

PAK MANAP
Nah, ini kira sekali belanja Ida untuk seminggu. Jangan boros pulak. Balik awal tau.

IDA
Ya…. Ida pergi dulu.

(Ida dan Anis keluar, masuk John memandang dengan penuh minat. Kemudian dia pergi menghalau Ajis Gila)
JOHN
Hoi najis! Kau tak ada tempat lain ke nak makan?

PAK MANAP
Janganlah diganggu si Ajis tu Johari. Kamu dah tahu dia tu gila.

JOHN
Hello Pak Manap. John… bukan Johari.

PAK MANAP
Eleh….. hidung penyet, kulit macam orang asli mengaku John. Tak ada sangkut paut langsung. Kalau Jo tu boleh terimalah jugak.

JOHN
Pak Manap jangan nak hina saya. Dekat bandar tu kalau setakat nama macam Ajis ni, macam Manap, orang tengok macam sampah tepi tong sampah tahu tak.

PAK MANAP
Lain macam je aku dengar contoh yang kau bagi tu. Tak ada nama lain selain Manap yang boleh kau beri contoh.

JOHN
Ada.. Saad

(Lebai Saad masuk)

LEBAI SAAD
Hai… dengar macam ada orang sebut nama aku.

PAK MANAP
Ni ha Johari ni. Tak sedar diri, nak mengaku nama dia John.

LEBAI SAAD
Biarlah Manap. Lantak dialah nak letak nama dia John ke, James Bond ke, Osama Laden ke, tu kan hak dia.

JOHN
Ha tengok… Lebai memang best. Bukan macam Pak Manap. Kolot!

PAK MANAP
Memang best pun, sebab tulah dia kata nama macam kamu tu layak duduk dengan sampah je.

LEBAI SAAD
Apa kau kata?

PAK MANAP
Bukan aku kata, si John ni yang kata.

JOHN
Eh… bila saya kata. Pak Manap ni fitnah. Masuk neraka tu Pak Manap.

PAK MANAP
Aik… tak mahu mengaku pulak? Kau tu dulu yang masuk neraka. Pembohong!

AJIS GILA
Aku nampak pembohong!

PAK MANAP
Ha… kalau kamu tak percaya, kamu tanya si Ajis ni.

LEBAI SAAD
Bole pakai ke cakap si Ajis ni.

PAK MANAP
Kenapa pulak tak boleh. Ha.. Ajis, cuba kamu cerita betul tak apa yang si John ni cakap tadi.

AJIS GILA
Aku nampak…… aku nampak…..

PAK MANAP
Kau tengok…. Dia nampak….

AJIS GILA
Aku nampak…… kau tak nampak….. aku nampak cendol free…

PAK MANAP
Aku juga yang kena. Aku nampak… aku nampak…. Bagi penampar baru tau.

(Pak Manap menyerahkan semangkuk lagi cendol kepada Ajis. John dan Lebai Saad ketawa)

LEBAI SAAD
Dahlah… kering tekak aku ketawa. Cendol satu Manap.

PAK MANAP
Kamu tak mahu Johari?

JOHN
John…. John….. susah sangat ke nak sebut.

LEBAI SAAD
Tak susah. Selalu aku jumpa dekat pasar malam.

PAK MANAP
Pasar malam?

LEBAI SAAD
Roti john!

(Lebai Saad dan Pak Manap ketawa)

JOHN
Ahhh… hilang selera aku dengan orang-orang kampung ni. Baik aku pergi makan cendol kat hotel.

PAK MANAP
Makan kat hotel? Hotel California?
(Lebai Saad dan Pak Manap ketawa lebih kuat. John marah dan meninggalkan tempat itu. Masuk Zulaikha ketika mereka belum habis ketawa)

ZULAIKHA
Amboi, ketawa apa tu Lebai, sampai saya masuk pun tak sedar.

(Pak Manap segera membetulkan diri. Lebai Saad ketawa lebih kuat melihat kelakuan Pak Manap)

PAK MANAP
Sudahle tu Saad. Kamu ni…….

ZULAIKHA
Apa yang lucu sangat ni abang Manap?

PAK MANAP
Tak ada apa-apalah Zulaikha.

ZULAIKHA
Takkan tak sudi nak berkongsi dengan Zu.

PAK MANAP
Bukan tak sudi… tapi….

LEBAI SAAD
Alah… ini semua anak Mail tulah yang buat lawak.

ZULAIKHA
Mail? Mail yang mana satu?

LEBAI SAAD
Mail Chicago… yang rumah tepi parit terkambus tu.

ZULAIKHA
Cakaplah Mail Chicago. Ha.. kenapa pulak dengan dia?

LEBAI SAAD
Bukan dia, anak dia Johari. Ada ke patut nak tukar nama jadi John.

ZULAIKHA
La…. Itu saja pun nak gelak sampai sebatu dengar. Budak-budak zaman sekarang memang macam tu Lebai. Lebai pun dulu suruh orang panggil Tiger.

PAK MANAP
Tiger? Lebai Tiger? Lebai Harimau?

(Pak Manap ketawa)

LEBAI SAAD
Ishhh… itu zaman muda-muda.

ZULAIKHA
Abang Manap juga bagus. Dari dulu sampai sekarang masih lagi guna Manap. Betul tak bang?
(Pak Manap segera berhenti ketawa)

LEBAI SAAD
Memang abang Manap kau juga yang bagus.

AJIS GILA
Kau nampak!

ZULAIKHA
Dia nampak pulak.. eh aku nampak pulak… eh dia tak nampak aku nampak. Ishh…. Ajis ni!

PAK MANAP
Hishh budak ni. Buat orang terkejut! Bak sini mangkuk tu, pergi main jauh-jauh.

AJIS GILA
Aku nampak orang marah. Orang marah kau tak nampak!

PAK MANAP
Kambir ni kau nampak?

AJIS GILA
Nampak.. nampak…

(Ajis Gila lari keluar)

LEBAI SAAD
Kau ni Manap, tak baik buat dia macam tu.

PAK MANAP
Alah… aku acah je. Esok datang balik le tu nak makan cendol free.

ZULAIKHA
Nasib baik tak tersebut bukan-bukan.

LEBAI SAAD
Nasib baik.

ZULAIKHA
Nasib baik Abang Manap ada.

LEBAI SAAD
Nasib badan……

PAK MANAP
Ehemm….ehem….

ZULAIKHA
Sebungkus je ye bang.

PAK MANAP
Sebungkus je, cukup ke?

ZULAIKHA
Seorang je bang. Cukuplah… lainlah berdua….. macam dulu…..

LEBAI SAAD
Hai…. Nak kata kena pergi kursus, dah tak perlu pergi. Nak tunggu apa lagi gamaknya.

(Azizah masuk)

AZIZAH
Ada kamu nampak anak aku Manap?

PAK MANAP
Anis? Tadi ada dia datang dengan Ida. Katanya nak ke bandar.

AZIZAH
Ke bandar? Apa kejadahnya ke bandar.

PAK MANAP
Nak ke perpustakaan.

AZIZAH
Aku telefon tak dapat-dapat.

ZULAIKHA
Tutup barangkali Kak Zah. Dalam perpustakaan mana boleh bising.

(Azizah tidak begitu suka Zulaikha kerana tidak dapat menandingi kecantikannya)

AZIZAH
Tutup dalam perpustakaan taka pa. Jangan tutup dalam panggung wayang sudah.

PAK MANAP
Takkan mereka ke panggung wayang. Tadi katanya nak ke perpustakaan.

AZIZAH
Anis tu memang aku tahu dia ke perpustakaan. Tapi hari tu aku ada dengar Rafidah cakap nak tengok cerita wayang baru tu, Bisikan Mustika. Takut melencong pulak.

PAK MANAP
Ida ada minta duit dari aku tadi.

ZULAIKHA
Tak baik buruk sangka. Balik nanti tanyalah.

AZIZAH
Anak aku memang aku tahu tak pergi. Tapi tak tahulah kalau dia terpengaruh. Tak apalah. Dah aku tahu dia ke mana, senang sikit hati aku. Bungkus cendol satu. Hah dah siap! Aku ambil yang inilah.

(Azizah terus mengambil cendol Zulaikha dan membayarnya)

PAK MANAP
Ini Zulaikha yang pesan dulu.

ZULAIKHA
Ini cendol saya kak.

AZIZAH
Kau bungkus jelah yang lain. Bukan susah sangat.

PAK MANAP
Ini tak cukup 20 sen ni Zah.

AZIZAH
Esoklah aku bayar.

(Azizah berlalu pergi. Pak Manap berdiam diri tidak bercakap)

ZULAIKHA
Kenapa bang?

PAK MANAP
Ida……

ZULAIKHA
Janganlah dirisaukan Ida tu. Dah tingkatan lima dah budak tu. Tahulah dia jaga diri.

PAK MANAP
Hal jaga diri tu satu. Hal melencong ni…..

ZULAIKHA
Janganlah difikirkan sangat perkara tu bang Manap. Takkan abang tak tahu perangai Kak Zah tu. Anak dia saja yang betul, yang elok. Dahlah, tu bungkuslah cepat. Zu nak balik ni.

PAK MANAP
Takkan nak balik cepat Zu. Duduklah sembang-sembang dulu dengan abang.

LEBAI SAAD
Ehemm…. Ehemmm……. GATAL pulak tekak aku ni. Ehemm…..

PAK MANAP
Ini cendolnya.

ZULAIKHA
RM 1.20 ye bang.

PAK MANAP
Eh tak payahlah Zu.

ZULAIKHA
Apa pulak tak payah.

LEBAI SAAD
Aduh… telinga aku pulak GATAL. Ni mesti ada pijat kat katil aku ni.

ZULAIKHA
Zu balik dulu ye bang.
(Zulaikha balik. Pak Manap begitu asyik)

LEBAI SAAD
Kahwin jelah Manap. Apa yang kamu tunggu.

PAK MANAP
Kamu ni kacau daunlah Saad.

LEBAI SAAD
Kacau daun ke, pulut kacau ke, memang aku kena kacau. Kamu tu dah nak menjurus ke mukadimah zina tahu tak?

PAK MANAP
Ewah sedapnya kata kat aku. Kamu tu dulu masa dengan Tipah tu.

LEBAI SAAD
Itu zaman muda-muda. Sekarang aku tak buat lagi dah. Yang aku nasihat sekarang ni, kamu tu. Kamu tu bukannya muda lagi.

(Pada ketika itu, masuk Mas’oud dengan gaya, lagak dan pakaian tokoh korporat)

MAS’OUD
Pak Manap. Minum satu ye.

(Pak Manap dan Lebai Saad terpinga-pinga. Pak Manap menyediakan cendol dan menghantar kepada Mas’oud)

MAS’OUD
Umphhh…. Tak berubah langsung cendol Pak Manap.


TO BE CONTINUED………………………….

19 December 2005

Tak Menjadi Lagi! Tak Boleh Jadi!


Letih… letih aku. Bukan apa, nampak gayanya apa yang aku rancang berkebarangkalian tinggi tidak akan menjadi. Dengan varian yang pelbagai, aku rasa aku tidak akan dapat mementaskan Vakum tahun ni. Tapi aku tidak rasa menyesal atau bersalah kerana tidak menepati janji aku pada kalian, kerana ini berlaku akibat perubahan pembolehubah yang di luar kawalan aku.

Masih kelabu asap? Biar aku letakkan kipas pesawat Perang Dunia ke-2 untuk menghalau asap itu. Perancangan awal aku ialah untuk mementaskan Vakum ini di Manifestasi Teater/Festival Teater Peringkat Negeri. Kerana pementasan di program seumpama ini akan menjimatkan kos publisiti. Segala urusan publisiti akan dijalankan oleh penganjur, kebiasaannya Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara (sila semak, ini istilah baru yang aku dapat). Dan kebiasaannya juga, publisiti mereka ini tidak pernah mengecewakan kerana kehadiran audien di setiap pementasan tidak kurang daripda 80% kapasiti panggung (dibantu pula oleh prinsip masuk percuma).

Hal ini tidak mungkin berlaku sekarang kerana ura-uranya pada tahun hadapan cuma akan wujud Festival Teater Peringkat Kebangsaan. Manakala bagi peringkat negeri akan diadakan pada tahun berikutnya. Maka selanglah setahun bagi Festival Teater Kebangsaan dan Negeri. Natijahnya, tahun hadapan aku akan berhadapan dengan situasi pementasan sendiri, terpaksa mencari publisiti sendiri, dan terpaksa mencari audien sendiri.

Sebab itulah aku tidak jadi mementaskan Vakum. Kerana aku rasa kalian sendiri lebih arif dengan audien teater Melayu di Pulau Pinang, lebih suka pementasan percuma daripada yang berbayar. Dan oleh itu, aku tidak boleh mengambil risiko nama aku dan sahabat-sahabat aku dijenamakan dengan pementasan yang sesetengah orang tak faham (atau memang mereka yang sesetengah ini tak mahu nak cuba faham), kerana itu bukan cara yang sihat untuk mengekalkan pengikut teater.

Biarlah aku dan sabahat-sabahat aku bermain dengan karya provokasi minda yang menuntut kerahan otak di ruang yang sudah pasti ada penonton, daripada menjauhkan potensi mendapatkan audien dalam jangka panjang. Setelah aku yakin yang mereka telah bersedia, maka kami pun bersedia.

Jadinya, sebagai menggantikan Vakum, aku berkemungkinan besar (juga masih dalam perancangan) akan mementaskan sebuah Purbawara Kontemporari (seperti dalam entry aku sebelum ini, sudah dibincangkan) yang bertajuk (juga tajuk sementara) Neraka Petualang. Vakum? Akan aku bawa ke tahun yang berikutnya.

Tunggu….. aku akan bercakap tentang Neraka Petualang bila-bila masa.

15 December 2005

Injak! Maka Beres - Ulasan Yang Terpulas; Lagi Sekali

Kali ini aku berjaya menonton hingga habis Injak! Maka Beres setelah pementasan itu dipentaskan semula di The Actor's Studio Greenhall. Lega rasanya. Dan aku tak nafikan, pementasan itu memang kaya dengan nilai artistik yang menyejukkan pandangan mata. Dengan kekadaran teknikaliti di panggung berkenaan, Injak! Maka Beres dapat dipentaskan dengan menjemput rasa taksub di mata penonton.

Sessi balas cakap yang dibuat selepas itu sangat aku sokong kerana sangat bermanfaat dan membina. Kehadiran artis multi disiplin; Grafik, Teater, Seni Halus, Arca, Multimedia iaitu Hasnul J. Saidon banyak membuka gerbang kepada ilmu-ilmu baru yang pada aku boleh dilarutkan ke dalam proses pembikinan sesebuah produksi yang baik (tidak semestinya berjaya). Teori 'Get High With Kites' juga pada aku sangat relevan dalam konteks pelbagai perkara.

Kita abaikan Hasnul dulu, lain kali aku berkira. Kita bercakap tentang Injak! Maka Beres. Terus terang aku katakan bahawa pada awalnya sedikit sebanyak aku terganggu dengan kaedah tri-fokus yang diambil oleh pengarah. Tapi makin lama, aku sudah faham apa yang cuba dilakukan oleh pengarah. Sebagai audien, adalah menjadi hak audien untuk memilih, sama ada memilih untuk melihat emosi Mira dan mendengar sahaja bait-bait puitis Awal dan ngomelan Syaitan kembar, ataupun mungkin mengabaikan visual emosi Mira dan memfokuskan kepada Awal lalu cuba empati dirinya dan menyelami emosi Awal melalui kata-katanya, ataupun boleh saja mentafsir perbuatan-perbuatan bermakna oleh bayang-bayang Si Syaitan Kembar dan melupakan langsung Awal dan Mira.

Itu hak aku, hak audien yang diberi oleh pengarah yang membuatkan aku rasa terharu! Kerapkali kalau kita menonton sesebuah pementasan, kita pastinya akan diheret oleh arus penceritaan. Kita tak diberi peluang untuk memilih. Pilihan yang ada sekadar untuk menterjemahkan lapis-lapis konotasi-konotasi yang dihamburkan oleh penulis naskhah atau pengarah. Tapi dalam Injak! Maka Beres, aku diberi keistimewaan itu.

Tapi entahlah, aku bercakap bahasa aku. Bahasa orang lain mungkin lain pula. Kalau yang datang menonton itu adalah penganut fahaman yang berbeza, mungkin mereka akan menuduh pengarah produksi ini songsang. Teater yang tiada pemfokusan akan mengabaikan penonton. Secara peribadi aku setuju dengan pandangan itu, cuma kita perlu kenal pasti lapis audien kita jika kita mahukan sesuatu yang un-ortodoks seperti ini.

Bahasa yang digunakan dalam Injak! Maka Beres ini memang bombastik. Kalian boleh menonton pementasan ini laksana mendengar drama radio; pejam mata dan dengar apa yang hendak disampaikan. Sekali lagi, itu hak audien. Tapi seperti juga prinsip ekonomi, setiap perihal pasti ada kos melepas. Sekiranya kalian memilih untuk mendengar maka penglihatan kalian akan terabai, dan begitu juga sebaliknya.

Tahniah kepada pasukan produksi ini yang mementaskan semula teater mereka. Tahniah juga kerana jumlah penonton yang hadir telah meningkat hampir sekali ganda (daripada 6 orang pada malam pertama dan kedua kepada 11 orang pada malam ketiga). Satu peningkatan yang mendadak.

Aku rasa tidak perlulah aku yang naïf dan daif ini mengulas dengan terlalu dalam. Cukuplah perkara utama yang asyik merentap benak aku. Kerana mereka-mereka yang menjayakan pementasan ini pun bukan calang-calang manusia. Cuma menyampaikan rasa di hati.

Tegur-menegur itu baik untuk kesihatan.

Pendek kata, semua datang dari nawaitu. Tahu nawaitu kita dan kita boleh merancang kejayaan.

Selebihnya….adalah kuasaNya.

13 December 2005

Zanji Tok Kadri - Ulasan Yang Terpulas

Kesempatan menonton Zanji Tok Kadri pada malam semalam menginsafkan aku. Seronok rasanya dapat merantau ke rumah orang untuk berteater. Zanji Tok Kadri yang dipentaskan oleh Kelab Teater Prosenium Kolej Shahputra dari Kuantan, Pahang telah pun menemui warga Melaka dan Kedah. Semalam mereka berkampung pula di Panggung Sasaran USM, black box pertama di Malaysia.

Khabarnya Melaka sudah ada panggung baru, tahniah kepada Melaka. Semoga harapan satu negeri satu panggung akan tercapai. Cuma harapan aku janganlah panggung itu termakan sumpah lalu bertukar menjadi gajah putih.

Kembali ke pangkal, aku mengucapkan tahniah kepada Suzanna MS, orang kuat Kolej Shahputra yang saban tahun menghidupkan teater di Pahang bersama NGO-NGO lain. Beliau dibantu oleh Didi, yang bertindak sebagai penolong pengarah dan pengurus pentas serta keseluruhan ahli produksi dan pendokong watak telah berjaya merealisasikan Zanji Tok Kadri walau dalam keadaan kuantiti audien yang menyedihkan. Tapi aku selalu berkata, apalah yang ada pada kuantiti, yang penting audien yang datang itu adalah audien yang berkualiti, yang tahu menghargai seni teater.

Tapi aku tak tahu di mana silapnya, sebab aku rasa terheret dengan cerita yang meleret. Aku langsung tak rasa itu salah pengarah, kerana aku nampak dengan jelas garapan pengarah pada naskhah yang berbau realisme. Mungkin pelakon yang keletihan kerana merantau tanpa henti sejak dari Melaka, Kedah dan kini USM.

Dan mungkin juga memandangkan malam semalam adalah malam yang terakhir maka pelakon berkecenderungan untuk enjoy. Kelihatan sangat ketara mereka merapu dana di dalam ad-lip yang walaupun tidak merosakkan struktur cerita, tapi menjahanamkan struktur watak. Ini kerana ad-lip yang dilakukan adalah idea individu dan malangnya rakan lakon tidak sempat menyerap idea yang diluahkan, mengakibatkan pupusnya aksi, reaksi dan interaksi. Sayang sekali, kerana mereka semua memang berbakat. Lakonan mereka natural, bijak berimprovisasi bila timbul perkara luar dijangka tapi kesilapan seperti yang disebut seharusnya menjadi pantang larang di dalam darah daging orang teater.

Kerja-kerja teknikaliti memang bagus, kerana dengan nafas realisme, memang aku nampak sebuah warung di atas pentas. Mungkin ia stereotaip kerana Syyy… oleh Meor Hashim Manap yang menjadi genesis kepada sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu telah menjadikan naskhah itu sebagai sebuah ikon bagi kisah-kisah di restoran/kedai/warung makan Kemunculan sitcom lain seperti Santan Berlada, Salam Pantai Timur (versi awal), Kopitiam, Kopi Kaw dan bermacam-macam lagi, telah meletakkan restoran/kedai/warung makan sebagai platform untuk orang berlepak dan buat lawak sambil membincangkan isu-isu semasa, menjolok kejemuan pada sesetengah penonton.

Tapi peduli apa pada stereotaip! Persetan saja! Cliché dan stereotaip itu normal di dalam seni, cuma cara kita mengolahnya sahaja yang menjadikan karya itu unggul. Humm…. Aku melalut… Kembali ke pangkal teknikaliti. Memang bagus, selain daripada warung, sistem keluar masuk juga bersih tanpa sebarang kecacatan. Walaupun banyak pertukaran babak yang menggunakan system gelap cerah, namun lampu yang dipadamkan kurang dari 10 saat membuktikan mereka ini telah bersungguh-sungguh. Dan mereka berjaya mengekang keresahan penonton dari menanti dengan terlalu lama. Tahniah!

Selebihnya, pada aku naskhah Zanji Tok Kadri ini harus diperhalusi dari skrip lagi. Aku tidak tahu, apakah apa yang aku lihat di atas pentas itu bulat-bulat dari skrip atau banyak tokok tambah oleh pelakon, hingga menyebabkan point-point penting dalam kebanyakkan adegan dimakan dengan lahap oleh isu-isu yang tidak utama.

Konflik dan klimaks yang aku nanti-nantikan juga tidak muncul dengan kemas. Banyak yang ditelan oleh lawak-lawak yang tidak seharusnya timbul sewaktu penegasan pada sesuatu isu penting. Itulah, aku tidak tahu apakah itu pada skrip atau terujaan pelakon semata-mata.

Pementasan yang dibayangi sitcom Senario, pada aku amat sesuai dipersembahkan untuk tour seperti ini. Kerana lapisan audien yang pelbagai sama ada taraf pendidikan, taraf hidup, taraf umur dan pelbagai taraf lagi; menjadikan pementasan ini bersifat universal. Cuma bila kita mementaskan teater seperti ini, kita bukan setakat menyampaikan mesej (kalau ada mesej), tapi kita juga mendidik masyarakat memahami teater. Biarlah masyarakat terdedah dengan disiplin teater (sama ada disiplin ketika menonton atau teater itu sendiri) agar masyarakat masyarakat boleh menerima apa jua bentuk teater yang dipersembahkan, dan mereka mahu berfikir tika disogok dengan teater yang thought provoking, bukan semata-mata mahu disuap. Tidaklah mereka terkongkong dengan satu bentuk sahaja, kerana jika mereka sudah terkongkong, mereka akan mudah kecewa bila tour yang akan datang membawakan naskhah yang lebih berat (tidak kiralah realisme atau non-realisme), menyebabkan kebosanan, kemurungan dan langkah keluar lebih awal dari panggung sebelum kisah tamat.

Aku sebagai penggiat teater amatur yang daif dan naïf, mengucapkan tahniah pada kalian Kelab Teater Prosenium, terutama pengarahnya. Jangan serik berteater kerana kalau bukan kita siapa lagi?

Mereka…?

12 December 2005

Injak! Maka Beres - Ulasan Yang Terpulas


Pada hari Jumaat malam Sabtu yang lepas, aku telah menyaksikan raptai tak penuh produksi Injak! Maka Beres di The Actors Studio Greenhall. Walaupun raptai tak penuh, tapi aku kagum dengan usaha yang dilakukan oleh mereka. Dengan aktivis teater yang hebat seperti Izzardzafli (Awal & Mira), Megat Samsul (Di Mana Bumi Dipijak), Maizul Effendy (Misi serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Teater Kebangsaan 2003) serta Mislina Mustaffa (Bukak Api, Ombak Itu), aku sememangnya sudah menjangkakan persembahan yang mantap.

Tapi sayang sedikit kerana pada malam itu aku tak dapat melihat Mislina beraksi kerana beliau sibuk membantu pengarah Jamaludin Ahmed (Siti Zubaidah, Awal dan Mira, Waiting For Godot), kerana khabarnya pada malam persembahan, persembahan beliau memang memberangsangkan. Tanpa sebarang dialog, beliau membantu tempo persembahan dengan memastikan persembahan itu sentiasa bertenaga. Ishh….. rugi pula rasanya, tapi apa nak buat, komitmen lain memaksa aku melupakan hasrat murni aku itu.

Walaupun sekadar menonton raptai tak penuh, tapi aku terkasima dengan idea-idea teknikal mereka (memang tak dinafikan, aku ni tergolong di dalam kelompok technical freak). Dengan meletakkan dua kain hitam yang besar untuk melindungi dua pelakon di sebelah kiri dan kanan pentas, mereka berjaya menghasilkan bayang-bayang pemain yang mewakili id, ego dan superego watak utama. Kelakar memang kelakar, tapi kekadang aku terfikir, siapa yang menjadi watak utama; sang bayang-bayang atau sang watak utama. Kerana seringkali sang bayang-bayang itu memakan sang watak utama. Itu pun, belum lagi termasuk watak Mira, seorang perempuan yang sedang menunggu dan menunggu dan menunggu………

Mungkin sang bayang-bayang itu yang menjadi cerita utama, sedangkan bebelan Awal (watak utama) cuma sekadar bebelan semata-mata. Mungkin…. Mungkin dan seratus dan seribu kemungkinan, sukar untuk aku membuat kesimpulan dengan sekadar menonton raptai yang tak penuh. Tapi apa-apa pun, tahniah kerana berjaya memeriahkan lagi arena teater Melayu.

Dengar katanya, malam pertama cuma empat orang penonton. Kenapa ye?

Malam kedua……?

02 December 2005

Dari Kerusi ke Vakum; Akan Ku Tanam Pokok Itu


Satu ketika dahulu aku pernah berkisah, mengwar-warkan yang aku akan mementaskan Kerusi karya Hatta Azad Khan. Tapi hari ni sekali lagi akan berkisah, berkisah tentang angan-angan aku yang tak menjadi dek ceracak-ceracak yang tak mampu aku nak cangkul. Dan hari ini aku akan berkisah lagi tentang angan-angan aku untuk mementaskan Vakum!

Vakum oleh Anuar Nor Arai (sekarang dah ada Dr.) bertapakkan anti-realis. Naskhahnya sahaja sudah anti-realis. Dengan Orang Tua, Orang Muda, Perempuan Tua, Perempuan Muda dan Suara (yaa… kali ini aku dapatkan skrip terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan, supaya tidak menjadi lompong), sudah begitu terang lagi bersuluh watak-watak ini mewakili sesuatu yang sudah nyata bukan berpatenkan logika.

Aku sudah menonton pementasan Vakum beberapa tahun lalu oleh salah sebuah IPT terkemuka tempatan. Sememangnya aku teruja melihat pencahayaan, set dan bagaimana pengarah mempotretkan karakter terutamanya Orang Tua. Dan pada ketika dan saat ini, aku seboleh-bolehnya mengelakkan daripada memilih bingkai yang sama dengan mereka, dan aku rasa aku sudah dapat bingkai yang berbeza.

Cuma yang membimbangkan aku, aku tidak tahu sama ada apa yang aku impikan itu mampu digawang oleh jahitan teknikal pentas di mana aku akan pentaskan naskhah itu. Aku sudah melihat sendiri nasib yang diterima oleh Jebat (walaupun pada aku kehendak teknikalitinya adalah sangat mudah dan ringkas, cuma spot-spot par cant dan mesin asap), yang tidak mampu mengangkat technical extravaganza akibat kekurangan pentas. Jangan salah faham, bukan salah pentas, kerana pentas itu memang dibina bukan untuk pementasan teater.

Mudah bicara di sini, selain daripada kekaguman-kekaguman yang dah tak sabar-sabar yang mencurah-curah keluar dari kotak otak aku, aku rasa dan aku yakini, aku perlu menitik beratkan pada mutu lakonan (bukan titik pinang ku titik, ku titik di atas pipi), dan juga mutu pengarahan. Pembinaan karakter, kebolehan berpasukan, mainan emosi dan lain-lain lagi cabang dan ranting-ranting halus perlu aku hayati dan terjemahkan kepada buah-buah yang boleh aku hidangkan pada audien.

Ranting dan dedaun yang mati harus segera aku cabut, aku lupus, aku bakar, aku jadikan baja. Agar batang pokok yang aku tanam itu akan terus segar dan setia melahirkan buah-buah yang lazat. Awas! Jangan keliru kerana ini bukan artikel agrokultur. Ini artikel seni.

Dan di dalam kepala otak aku, dah tersenarai beberapa nama old timer yang mampu membawakan watak-watak anti-realis dengan baik. Dan aku akan cuba pentaskan naskhah ini seawal Mei, atau mungkin lewat dari itu. Aku harap ini tidak jadi angan-angan (kerana aku dah merisik Kipas Tangan, sebuah drama Noh yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Nampaknya aku akan lupakan seketika kerana Vakum lebih menarik perhatian aku pada ketika ini), kerana bagi kalian yang mengenali aku, aku bukanlah seorang yang suka bercakap kosong. Apa yang aku kata, aku akan kota. Kecuali atas kehendakNya yakni perkara-perkara yang tidak mungkin aku elakkan, maka pementasan ini akan jadi kenyataan.

Kalian tunggu dan lihat buahnya!