30 May 2007

Risiko & Konflik

Aku individu yang suka mengambil risiko.
Tapi aku individu yang suka mengelakkan konflik kalau boleh, tapi kalau bertemu juga, aku tak akan lari.

Apa bezanya?

Apa pronya? Apa kontranya?

27 May 2007

Kopi O, Roti Bakar, Telur 1/2 Masak

Di Tanjung, makan di kedai mamak atau India Muslim itu biasa. Tapi makan di kedai Cina bagi orang Melayu itu luar biasa. Kalau ada pun setakat minum sahaja. Itupun sebab ada gerai Melayu yang menjual makanan menumpang premis itu.

Tapi di Kelantan, minum dan makan di kedai Cina bukan perkara luar biasa. Kecualilah kedai makan Cina itu memang menghidangkan makanan seperti nasi, mee dan sebagainya. Tapi kalau kedai-kedai antik, memang menjadi biasa.

Aku tengok ada Melayu, ada Cina, ada India makan di kedai-kedai kopi antik ini. Dan sepertimana yang kalian tahu, orang Cina di Kelantan memang kebanyakannya fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan. Kalau ada makanan yang dijual seperti nasi lemak, nasi dagang ikan aye, aku yakin vendornya orang Melayu.

Aku bercerita ini bukan apa. Kerana baru-baru aku berada di Kelantan beberapa hari untuk satu projek. Sambil itu, aku ikut orang lama di Kelantan yang mengusahakan batik tangan, maka dialah yang membawa aku dan teman kerja ke kedai kopi antik Cina. Satu di antara Buluh Kubu dengan Pasar Besar Siti Khadijah, dan satu lagi dekat Istana Lama atau namanya White House.

Menu utama? Tentunya kopi O, roti bakar dan telur setengah masak.

Sungguh, di Tanjung pun ada, tapi auranya itu tak sama.

22 May 2007

Fahamkanlah

Meletihkan.

Aku beberapa hari ini terpaksa berulang alik ke pihak berkuasa kargo untuk memastikan kargo yang dibawa dari luar negara itu lepas tanpa sebarang duti atau jaminan bank. Kerana prosedur yang sama berlaku di luar negara. Barang kita lepas, tapi barang orang lain sangkut. Mulalah orang asing ini akan berprasangka buruk pada negara kita, pada industri seni kita.

Kargo yang masuk itu mengandungi karya seni asli pelbagai media; catan, acrylic atas kanvas, arca kaca, media atas perspex dan sebagainya, karya seni visual semuanya. Masalah timbul bila klausa di dalam akta dan peraturan mengatakan bahawa karya seni yang diimport atau dibawa masuk boleh dikecualikan cukai jika merupakan karya asli di atas kanvas, atau arca serta beberapa benda lagi yang aku tak ingat.

Kerana, kini karya seni visual kontemporari tidak lagi seperti pada zaman romantisme dahulu, yang terhad pada catan 2D dan tidak pula terhad pada arca 3D. Percetakan laser atau inkjet juga boleh menjadi karya seni. Videografi multimedia juga kini salah satu cabang seni visual, malahan fotokopi juga diiktiraf sebagai karya seni jika kena originalitinya.

Tetapi di dalam akta dan peraturan itu, pada klausa tertentu menghalang kreativiti ini. Reproduksi percetakan perlu dikenakan duti, jika untuk pameran maka perlu ada jaminan bank. Material videografi di dalam cakera padat atau DVD tidak boleh diimport eksport sesuka hati atas kekangan akta. Fotokopi, apatah lagi.

Bukan aku membangkang pihak berkuasa ini. Mereka punya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan untuk menjaga kepentingan negara dan aku sangat jelas tentang perkara itu. Cuma harapnya, lepas ini akta dan peraturan ini biarlah digubal oleh orang yang tahu apa yang dibuatnya dan apa yang akan orang lain buat, atau setidak-tidaknya mendapatkan sumber yang lebih jelas dan tepat dari individu atau kumpulan yang ahli dalam bidang seni atau bidang masing-masing dan sepanjang masa mengemaskini akta dan peraturan itu agar tidak ketinggalan zaman.

Di sini, aku ucapkan terima kasih di atas budi bicara penguatkuasa berkenaan, yang faham bahawa seni yang dibawa ini bukan untuk mencari untung, tapi untuk mencari ilmu.

21 May 2007

Siapa Yang Betul?

Siapa paling layak menilai persembahan seseorang. Adakah para pengkritik atau juri yang memang ahli dan berkaliber dalam bidang masing-masing? Atau para penonton yang tahu serba sedikit tentang persembahan tetapi menghabiskan masa, tenaga dan wang untnuk menonton persembahan itu? Polemik ini rasanya dari dulu lagi dah diutarakan dan seperti tiada penyelesaian.

Sesebuah persembahan yang dinilai dan diiktiraf oleh para juri yang cerdik pandai, dikatakan adalah persembahan yang terbaik. Kerana mereka tahu apa yang harus dinilai dan apa yang harus diabaikan. Tapi timbul pula persoalan, setakat mana kredibiliti juri itu, nak lagi juri itu pun masih lagi dinilai oleh penilai yang lain. Dan jika tidak pun, juri itu tidak mewakili para cerdik pandai lain secara keseluruhan, kerana masih ada cerdik pandai lain yang mungkin lebih layak untuk menilai.

Bila sesuatu persembahan itu dinilai dan dipilih oleh para penonton (melalui sms misalnya), maka ada pula suara berkata yang mereka ini dikaburi oleh pelbagai perkara lain yang tidak penting, seperti paras rupa, gaya, sifat, sikap, kronisme dan sebagainya, sehinggakan perkara yang penting seperti kualiti persembahan itu diabaikan. Sedangkan mereka berkata itu hak mereka yang menghabiskan masa menonton. Tentulah mereka memilih persembahan yang memuaskan hati mereka, buat apa pilih yang kononnya dikatakan terbaik, tapi tidak memuaskan hati.

Siapa yang betul?

Jadi aku cuba membuat satu hipotesis. Bayangkan orang seni termasuk cerdik pandai seni diberi peluang untuk memilih senjata api yang terbaik. Senjata ini telah dicuba, dilenjan dan sebagainya. Maka aku yakin senjata akan dipilih berdasarkan keselesaan, prestasi, rekabentuk, kronisme dan beberapa perkara lagi. Mungkin mereka akan memilih Steyr contohnya, yang berekabentuk futuristik dan digunakan oleh tentera kita.

Tapi jika yang memilih itu adalah jurutera atau pakar senjata, pastinya mereka akan menilai dari semua aspek; binaan dalaman, ergonomik, keselamatan, ketahanan, efisiensi, ketepatan, jangka hayat dan sebagainya. Dan pilihan mereka belum tentu sama, silap gaya sebuah senjata yang tidak menarik rupanya menjadi pilihan, contohnya AK-47 atau Kalashnikov, yang tidak menjadi pilihan kita kerana buatan blok Komunis, sedangkan senjata itulah yang diiktiraf terbaik.

Jadi siapa yang betul? Orang seni yang tidak tahu menahu tentang senjata api atau jurutera dan pakar senjata?

Begitulah yang terjadi, di dunia seni dan di mana-mana.

Seni itu relatif dan subjektif. Tidak mudah menilai siapa yang betul dan paling hebat, kerana sudut pandangan kita berbeza-beza. Satu-satu keputusan itu dibuat atas dasar yang memilih yang terbaik dan dibatasi pelbagai kekangan-kekangan yang adakalanya langsung tidak boleh dielak. Yang penting perlunya rasa hormat kita pada pandangan orang lain dan juga keputusan orang lain.

Maka kita akan rasa tenteram. Bukan tidak puas hati tak tentu hala.

Nak aku beri contoh yang lain lagi?

16 May 2007

Dia Bagai Nostradamus

Semalam ketika mesyuarat, ketika membincangkan tentang gambit malam anugerah, aku bercakap kepada sahabatku di sebelah.

Aku : Aku rasa kita boleh buat macam pirate, boleh ke Monkey Beach sekali lagi.

Dia : Hah! Aku pun terfikir macam tu jugak!

Wah........ Dia memang bagai Nostradamus!

Julai 2007 - Bulan Teater Tanjung : Jadual terkini

Oleh kerana beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan, maka jadual bagi Festival Teater Pulau Pinang telah diubah dan semua persembahan di adakan pada seluruh bulan Julai. Berikut merupakan maklumat terkini.


1 Julai 2007 (Ahad)
Kumpulan Anak Pentas Teater MRSM Transkrian
‘Ayob’ karya Ahmad Nizam Ramli

3 Julai 2007 (Selasa)
GABUS (Gerakan Belia 4B Malaysia Cawangan Tasek)
‘Senang Beringin Sdn. Bhd.’ Karya Jamly Bahrulddin

5 Julai 2007 (Khamis)
Persatuan Te.Ta.Mu. (Teater, Tari dan Muzik) Pulau Pinang
‘Baju Emas Sang Maharaja’ karya Dato’ Johan Jaafar

7 Julai 2007 (Sabtu)
PERSADA (Persatuan Seni dan Budaya UiTM Pulau Pinang)
‘Plastik’ Karya Fae

9 Julai 2007 (Isnin)
Persatuan Kebudayaan Gerakan Belia 4B Kepala Batas
‘Degup Jantung’ karya Usman Awang

11 Julai 2007 (Selasa)
Persatuan BAKAWALEE (Badan Kesenian Warisan P.Ramlee)
‘Devian Dogma’ karya Dudok

13 Julai 2007 (Jumaat)
Kelab Kebudayaan Anak Seni Warisan, Kolej SEGI Pulau Pinang
‘Ludin’ karya Abdul Aziz H.M.

15 Julai 2007 (Ahad)
Kelab Kebudayaan Anak Wayang, Kolej Segi Pulau Pinang
‘Alahai Menantu’ karya Razali Taib adaptasi cerpen karya Prof. Madya Haji Taha Kadir

17 Julai 2007 (Selasa)
Persatuan Teater Resdong
Titik Mula Titik Akhir karya A.B. Noor

19 Julai 2007 (Khamis)
Pusat Seni Mutiara – Anak Seni
‘Salah Siapa’ karya Rohani Ahmad

21 Julai 2007 (Sabtu)
Persatuan Sukan dan Kebajikan Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang
‘Telefon’ karya Siti Nur Abdul Rahim

23 Julai 2007 (Isnin)
Persatuan KERSANI (Tenaga Kreatif Seni)
‘Kerana Cinta’ karya Razali Ridzuan adaptasi Bisikan Mustika karya Razali Ridzuan

25 Julai 2007 (Rabu)
ABAD (Angkatan Budaya Balik Pulau)
‘Ayu Si Putih’ karya Seni Bayan

27 Julai 2007 (Jumaat)
S.I.C.K. (Persatuan Kebudayaan Ilham Cetusan Kreatif)
Waktu Sesudah Itu karya Othman Zainuddin

29 Julai 2007 (Ahad)
Kumpulan Teater Penang Free School
‘Sayang Sri Tanjung’ karya Razali Ridzuan

31 Julai 2007 (Selasa)
Majlis Persembahan Bersama dan Penyampaian Anugerah

Semua pementasan akan dilaksanakan di Auditorium P.Ramlee, Kompleks Pustaka Warisan Seni Pulau Pinang (Rumah P.Ramlee). Masuk adalah Percuma.

10 May 2007

Nak Angkat? Nak Pijak?

Ada ruang dan jarak yang lompong di antara mata kita dan mata pengamal media dan mata aktivis seni, nak pula seni tampak. Kirai berus, lenguh tangan hayun tetikus, petik punat kamera, ukir kayu paku kayu semuanya menerbitkan rasa di atas medium yang mereka pilih. Mereka bercerita. Kita tak perlu baca, kita cuma perlu tengok saja.

Sebab itulah tafsirnya berbeza-beza. Ada yang nampak kotak, ada yang nampak ketak, ada yang nampak katak, ada yang apa pun tak nampak. Tapi bak kata Gilberto Frometta dari Cuba, lukisan bukan untuk dinikmati dengan mata tapi untuk dirasa. Jangan pula memilih lidah sebagai deria, biar hati yang buat kerja, di samping otak memberi bantuan.

Mentaliti kita berbeza-beza. Ada yang suka pada kecantikan semata-mata, ada yang suka pada kegigihan, ada yang suka pada tangga kreatif, ada yang suka pada keberanian. Maka karya seni tampak dirai dengan cara yang berbeza, tidak semuanya sama. Itulah cabarannya.

Seni tampak mungkin termasuk dalam golongan elit di Barat sana, ada juga yang kata mereka borguies. Tapi di Barat jangan lupa mereka juga ada pelukis jalanan, pemberontak graffiti dan macam-macam lagi. Di tanah kita tidak ramai pelukis yang dianggap elit tahapnya kecuali beberapa nama; Ibrahim Hussein, Syed Ahmad Jamal, Latif Mohiddin, sekadar menyebut beberapa nama. Yang lain elit mungkin cuma pada karya atau pada pengumpulnya.

Maka di sinilah datangnya kita, makhluk Allah berasaskan karbon yang menapak di bumi Malaysia, untuk mengangkat seni tampak kita ke pentas yang lebih tinggi. Kalau syarikat insurans boleh kaya-raya cuma dengan hasil insurans di Louvre, biarlah mereka semakin kaya dengan hasil insurans di Balai Seni Lukis Negara dan juga di galeri seni seluruh Malaysia.

Tapi selalu juga bila kita menjunjung langit, kerap kita lupa akar di tanah. Yang kita guna bila tak ada rotan. Seni tampak tradisi kita tidak kurang hebatnya. Ketika Van Gogh baru mula menyiapkan The Potato Eaters, tukang kayu kita telah pun melorek awan larat pada rumah kayu tanpa paku, pandai besi telah pun menempa keris hulu pekaka.

Tangan orang kita sangat berseni, halus dan penuh metafora. Motif pucuk rebung bukan setakat satu gurisan tak ada makna, tapi penuh dengan isi, menggambarkan seantero alam Melayu. Kita tengok pun cantik, kita faham lagi cantik. Maka kita tidak akan mengagung-agungkan pasca – impressionisme, romantisme dan pelbagai isme Barat lagi. Malayisme itu sendiri sudah begitu mengagumkan.

Sayang ilmu itu orang sudah tidak pandang. Kalau pandang cuma sekadar ooohhh dan ahhhh sedangkan mendalaminya langsung tidak ada usaha. Ahli yang ada pula tidak ada yang betul-betul mahu menjaga. Karya seni dinilai pada tenaga dan kos bahan mentah. Habis ilmu dan pengalaman nak hanyutkan ke mana?

Bukanlah memaksa mencinta seni, kerana cinta itu tidak boleh dipaksa meskipun ia buta. Tapi benih jika tidak dipupuk dengan baja yang betul akan terbantut tumbesarannya, menjadi habitat tumpang binatang dan parasit.

Hadir melihat dengan mata hati dan merasa dengan jiwa pada pameran-pameran seni tampak jika berkesempatan, sebenarnya adalah satu langkah pemupukan yang bermakna. Pupuk diri kita, pupuk kawan kita, pupuk anak-anak kita; hargai seni.

Seni itu ada harganya, yang meletakkan harga itu adalah tangan-tangan yang menghargainya. Jika tidak ada tangan-tangan ini, maka cabuklah Monalisa Da Vinci, berabuklah Kabuki Ibrahim Hussein. Karya darah baru akan setakat jadi hiasan dinding dan laman. Yang ada bakat akan terus berkarat. Karya yang dah dibuat akan reput berkulat.

Itupun baru bercakap tentang seni tampak saja. Seni persembahan apa kurangnya. Tika tinta pada naskhah Midsummer Night Dream oleh Shakespeare baru nak kering, watak pak dogol dan wak long dengan lancar dituturkan oleh tok dalang, menceritakan kisah sita dewi. Panjang ceritanya, cukuplah.

Pendek kata.........

Seni ini yang mengangkatnya adalah manusia, yang memijaknya juga manusia. Jadi pilihlah, nak jadi pengangkat atau pemijak?

07 May 2007

Imejan Produksi Devian Dogma di Perlis dan Kedah

Seperti mana yang telah aku dan rakan pasukan produksi aku janjikan, kami telah bawa Devian Dogma jelajah ke Perlis dan Kedah. Sambutan yang diterima memang sangat baik. Di Kedah misalnya, full house. Terima kasih orang Perlis dan Kedah. Aku tak mahu cakap banyak lagi, biarlah foto yang menceritakan segalanya.

Kami, pasukan teknikal bertolak malam. Tidur di asrama Taman Budaya Perlis. Ini hasil kamera yang bergegar atas kereta.
Apa-apa pun, mesti makan dulu. Baru boleh kerja. Murah dan enak. Tambahan lagi bila ada orang belanja.

Bukit yang telah kami sasar untuk tawan awal-awal lagi bila sampai sini. Tapi sabar, habiskan kerja dulu.

Sedangkan memasang set mudah alih di pentas auditorium di Perlis. Barnya boleh diturunkan dengan sistem counter-weight.


Kerja dah habis. Maka kami tidak membuang masa, meneruskan cita-cita menawan bukit tadi.

Dah sampai ke puncak. Papan tanda itu pesanan jangan gunakan laluan naik sebagai laluan turun, kerana sangat curam.


Pemandangan Perlis dari atas bukit berkenaan. Boleh tengok timur dan barat.... err.... utara dan selatan kot.....errmmm..... entah.


Laluan turun. Biar graviti yang menyelesaikan segalanya.

Sedang memasang scaff holding di Kedah. Bar di sini tidak boleh turunkan, kenalah panjat.




Menikmati ganjaran sebelum berpenat pada sebelah malamnya. Nak tahu di mana? Mesej aku.

Rumah Seri Banai

Rumah Tok Su

Relic Hunter?

Rindu pada bapaknya.

Hummm.......... foto menjelaskan seribu kata.

Pintu masuk auditorium Taman Budaya Kedah.

Pemandangan di kawasan lembah di sebalik Gua Kelam, Perlis

Burung unta a.k.a. Kasawari malu-malu.

Pasukan produksi yang telah merealisasikan Devian Dogma @ Kedah & Perlis. Terima kasih!


02 May 2007

Retreat Ke Teluk Duyung @ Monkey Beach

1 Mei 2007, orang lain semua bercuti, berehat bersama keluarga mahupun orang yang tersayang, atau pun mungkin juga terpaksa kerja dengan gaji double, tapi aku dan kebanyakan ahli konsortium telah berjaya merehatkan diri dengan mengadakan trip ke Teluk Duyung a.k.a. Monkey Beach, di sebelah utara Tanjung iaitu Teluk Bahang.

Kami trekking dari Sungai Tukun, ke Muka Head, dan seterusnya ke Teluk Duyung. Kami tak memilih ke Pantai Kerachut kerana tidak begitu berkenaan dengan muka bumi di sana, di samping perjalanannya yang sekali ganda lebih jauh. Nikmatilah entri aku yang punya pic terbanyak.

Mengorak langkah. Trek awal masih lagi elok dan cantik. Lepas dah ke dalam hutan nanti, tahulah.

Baca sendiri.

Destinasi kami adalah teluk di sebalik tanjung ini.

Keajabain alam, tiang elektrik senget.

Pemandangan dari atas, kawasan bot-bot nelayan berhenti.

Ini belum lagi suku perjalanan, dah berhenti berehat ambil gambar. Laluan pun masih mudah lagi. Pemandangan pun cantik, nampak laut.

Dah sampai ke Muka Head. Sebelah kiri adalah Pusat Kajian Pantai dan Samudera USM. Destinasi kami adalah..... sekali lagi teluk di sebalik tanjung ini. Dua kali tanjung dah jumpa.

Trek dah semakin sukar.

Peluh dah mula memercik. Pokok-pokok tumbang banyak yang memberi cabaran.

Destinasi kami. Ya, kami dah sampai, tidak lagi pergi ke teluk di balik tanjung ini. Kelihatan bot-bot yang membawa pelancong ke sini. Kebanyakkannya dari hotel berdekatan.
Inilah sepanjang-panjang pantai Teluk Duyung. Betul-betul kawasan teluk. Air sedang pasang ketika ini. Kalau surut, boleh berjalan beratus meter ke laut.

Tetamu ini pun lapar juga. Tapi dia pun dah tahu, dia cuma berkumpula waktu pelancong ada saja. Dah petang sikit, semuanya balik ke hutan.

Habuan lapik perut atau appetizer dulu. Sebelum main dish siap.

Demonstrasi bagaimana menghalau kera menggunakan daun kelapa, jika tiada batu atau kayu.

Sedang memberikan taklimat mengenai permainan yang akan diadakan, permainan Pontianak Ultraman Rambo.
Rambo bertemu Rambo, maka kena ulang sekali lagi. Kalau Rambo bertemu Ultraman, maka Rambo kena lari. Kalau Rambo bertemu Pontianak, maka Rambo kena kejar Pontianak.

Otai sedang memasak menu utama, nasi dengan kari ayam dengan papadom dengan hot dog dengan ulam pucuk putat (kutip pokok di pantai).

Tidak tahan lapar, makan bola dulu.

Terlebih makan, maka dikebumikan di sisi pantai itu juga.

Bukan Bangla hanyut, tapi seorang lagi mangsa kekenyangan dan keletihan. Foto ini diambil di pantai yang sama, bukan teknik superimpose atau lokasi lain.
Ibu dan anak sedang mencari remis, demi memenuhi nafsu makan kami yang tidak kunjung sudah.

Abang pemandu bot @ tourist guide sedang bercerita tentang sejarah pantai dan perangai pelancong asing.

Sengetkan kepala. Bogel?

Balik dengan speed bot, sebab semua dah tak larat nak trekking balik. 5 minit sampai.
Akhirnya..... sampai ke jeti nelayan Teluk Bahang.

Keletihan memang terasa. Tapi release segala stress itu lebih penting. Bukan selalu dapat berkumpul macam ni, bekerjasama, berseronok, berehat. Kalau kalian mahu retreat juga ke sini. Maklumlah pada aku.

Maaf aku tak tulis banyak. Satu gambar membawa seribu makna.