30 May 2006

Tut tut tut

Hari itu, aku ke sebuah kawasan menjual barang terpakai dan pelbagai barang lain. Tempat ini agak terkenal di Tanjung. Ada orang jual ubat.

Penjual : Ya tuan-tuan, rapat mari rapat. Saya memang tak cakap bohong punya. Obat yang saya jual ni memang mujarab. Yang kecil boleh besar, yang lembik boleh keras, yang dah naik pasti susah nak turun.

Sambil-sambil dia menunjukkan foto diri sendiri.

Penjual : Saya nak tunjuk kat sini tak boleh tuan-tuan. Tapi ini buktinya. Ada gambar. Tuan tengok, ini muka saya kan? Tengok.

Dia menunjukkan lagi gambar foto-foto itu. Banyak. Bukan muka saja. Tapi seluruh badan.

Penjual : Murah saja tuan-tuan. Takkan rugi kalau beli. Kalau tak berkesan, boleh datang cari lagi saya di sini. Saya tiap-tiap minggu di sini. Ini obat boleh bikin tambah power. Power tak hilang macam tu saja.

Dan tiba-tiba terdengar satu soalan. Seorang budak. Kecil. Muncul mana entah.

Budak : Kalau hilang power, dia ada bunyi 'tut tut tut' tak?

Dan gegak gempitalah alam.

26 May 2006

Jadi Abrahah

Aku terlibat di dalam mengrekrut pelakon-pelakon sebuah pentomin bersempena majlis tilawah. Maka aku bertanya kepada seorang rakan.

Aku : Hang nak berlakon pentomin?

Rakan : Boleh jugak. Dialog panjang tak?

Aku : Pentomin mana ada dialog, dia voice over saja.

Rakan : Humm... watak apa?

Aku : Tak pasti lagi, watak Abrahah boleh kot?

Rakan : Watak apa tu?

Aku : Laa.... Abrahah tak kenal? Abrahah dengan tentera bergajah.

Dia blur.

Aku : Burung Ababbil?

Dia makin blur.

Aku : Memang patut hang jadi Abrahah.........

24 May 2006

Menu Yang Mengujakan - Imejan Tambahan

Oleh kerana ramai yang teruja dengan menu yang aku paparkan, maka aku sertakan lagi bukti kehebatan orang kampung memasak menu berkenaan. AMARAN! Aku tidak bertanggungjawab sekiranya kalian tiba-tiba mengidam menu tersebut.


Bukti kewujudan umbut pisang sebelum dilenyapkan oleh bala tentera bersenjatakan mulut dan perut.



Budaya gotong-royong yang masih wujud di kampug. Di bandar? Katering je lah......


Tak perlu rasanya aku jelaskan pada kalian apa yang dimasaknya itu.



Perjuangan bermula setelah perut sengaja diikat sejak semalam.



Sorang dah tak mampu nak teruskan, sorang masih meneruskan perjuangan (check out the dishes!)



Tempat duduk tu ada, tapi dah memang tak tahan godaan. Jadi kenalah makan sambil berdiri.



Bukti kerakusan manusia (bukan aku, kerna pinggan aku licin!).

23 May 2006

Program Seni Di Desa - Imejan

A picture worth a thousand words


Bendang ni disebelah bengkel saja, bukan di tempat lain.



Mari belajar animasi.



Gulai daging dengan umbut pisang, ikan tamban kiat kering, sambal bacang, ulam timun, terung dan kangkong. Satu besen nasi tu licin!



Belajar melukis potret, tapi kena belajar buat bulatan dulu.



Orang putih belajar muzik Wayang Kulit Kelantan.



Dr. Samat Salleh (Paloh, Tsu-Feh Sofiah) mengajar permainan teater.



Antara Minah Salleh (bukan adik beradik Dr. Samat Salleh) yang hadir.

19 May 2006

Cikgu vs Cikgu

Hari itu, aku turun ke kampung sempena program seni di desa yang aku ikut. Singgah kedai makan, dengan cikgu yang membantu aku.

Cikgu B : Kita memang penuh dengan aktiviti sepanjang bulan ni. Budak-budak darjah 6 dah semua akan ikut seminar teknik menjawab soalan.

Cikgu A : Tapi seminar yang kita nak buat ni seminar motivasi. Tak ada sangkut paut dengan menjawab soalan. Cuma nak bagi motivasi pada budak-budak tu untuk yakin menjawab.

Cikgu B : Kami bukan apa, tak mau budak-budak ni keliru dengan teknik menjawab soalan. Nanti penceramah ni kata lain, penceramah sorang lagi kata lain pulak. Tak skor UPSR takut orang kata nanti.

Cikgu A : Kalau ikutkan, memanglah program ni program seni. Tapi seni kita bukannya nak ajar budak-budak ni jadi artis. Dia orang ni nak kenalkan seni budaya lama yang budak-budak ni pun entah tak kenal.

Cikgu B : Tapi kalau orang kampung ni tengok seni dia nampak Mawi.

Cikgu A : Sebab itulah dia orang buat program ni. Tak mahu ingat seni itu Mawi. Dia orang bawa wayang kulit, gamelan, keroncong, muzik asli. Semua yang lama-lama. Oleh kerana kita tak mahu orang nampak program ni seni semata-mata, kita selitkan ceramah motivasi. Yelah, kita tak tahu penerimaan orang kampung pada seni macam mana.

Cikgu B : Tapi kalau budak-budak ni tak skor, orang akan kata jugak. Akan kait jugak dengan benda-benda macam ni.

Cikgu A : Kalau macam tu tak apalah. Kami buat ni pun bukan melalui sekolah, kami cuma sebarkan melalui mulut saja. Kita tengoklah berapa ramai yang berminat. Tapi kalau budak-budak darjah 6 mai jugak, cikgu nak kami halau ka?

Dan debat laksana Dewan Rakyat itu berterusan. Aku dan teman kerja terus menjamah cucur udang dengan tauhu rendang.... Percuma..... Orang belanja.....

15 May 2006

Pertandingan Minum Teh

Di sebuah warung, di sebelah coffe house, bertentangan dengan hotel 5 bintang.

Mamat : Kroni, kroni semua ni!

Minah : Jelaskan.

Mamat : Tengoklah. Buat peraduan minum teh. Tapi yang menang semua suku sakat dia. Yang kaki minum kopi haram apa pun tak dapat.

Minah : Dapat layak ke peringkat akhir kira okeylah tu.

Mamat : Okey apa? Itu buat syarat saja. Syarat tak mahu orang mengata yang masuk pertandingan tu semua suku sakat dia.

Minah : Kau ni tak bersyukur langsung. Itu pun nasib baik dia orang buat.

Mamat : Nasib apa?

Minah : Nasib baik la! Selama kau hidup ni, ada pernah kau tengok orang menghargai orang yang minum teh? Atau minum kopi? Bila orang buat kau bising pulak.

Mamat : Tapi pertandingan ni berat sebelah.

Minah : Tak menang memanglah berat sebelah. Cuba menang. Aku nak tengok orang yang menang tu menjerit-jerit kata dia tak layak menang.

Mamat : Kalau dah nak buat, kenalah adil.

Minah : Tak adil sangat ke? Sampai kau mengaruk macam ni?

Mamat : Tak adillah! Juri pun suku sakat juga.

Minah : Suku sakat pun, tapi memang pakar dalam bidang minum teh ni. Tahulah apa dia buat!

Mamat : Pakar berat sebelah nak buat apa.

Minah : Susah sangat macam ni, kau suruhlah orang lain buat pula pertandingan minum kopi. Lepas tu bandingkan pulak dengan pertandingan minum teh ni.

Mamat : Errr...... Kau nak habiskan tak sirap kau tu?

Minah : Tak sedaplah. Tukar dengan soda kau.

Dan orang yang minum sirap dan soda pun sambung bertengkar.

10 May 2006

Memoir Asrama

Membaca entri Sayuti, yang menyentuh tentang asrama, mengingatkan aku pada zaman aku hidup berasrama. Aku di sekolah yang berasrama tidak penuh, maksudnya masih ada pelajar yang tinggal di luar asrama, yakni di rumah mak bapak sendiri.

Sekolah aku pula semuanya jantan, betul-betul memberi tekanan perasaan. Ada perempuan cuma di tingkatan Enam Bawah dan Atas. Dah tentu dikepung dan dikirai oleh para senior.

Zaman aku bersekolah, aku bernasib baik kerana kekejaman para senior telah terhakis sedikit demi sedikit dek kesedaran para warden. Tapi masih ada golongan subversive yang menjalankan ragging bawah tanah.

Scrambler, helikopter (ada orang panggil naik gajah), ketuk ketampi skim 350, pumping, starlight adalah kebiasaan bagi kami. Malah sepak terajang adalah permainan kami jua. Aku berani kata kurang kejam kerana mengikut hikayat para senior, zaman-zaman sebelum aku; ada yang digantung kaki ke atas, kepala ke bawah dari tingkat tiga. Ada yang dibelasah hingga patah riuk.

Sebab itulah senior pada zaman aku junior, 90% daripada mereka ada six pack. Gerun aku tengok. Berlalu ke zaman aku, 50% ada one pack. Bulat pulak tu.

Zaman aku dulu, istilah dapat line adalah sangat popular. Secara mudahnya, cuma senior yang terdiri daripada Form 5 dan Form 6 yang ada line untuk keluar pekan berpakaian preman, walaupun sebenarnya bertentangan dengan polisi asrama dan sekolah.

Pada aku dan kawan-kawan, dapat kebenaran keluar berpakaian preman hatta untuk ke kedai-kedai belakang asrama tu, adalah satu kebebasan yang amat sangat. Yelah, malu konon nak mengaku pelajar sekolah sendiri, sebab keluar mesti kena pakai baju sekolah kalau ke pekan dan pakai baju yang ada nama sekolah atau badge kalau ke kedai-kedai belakang.

Yang nak mendapat line, biasanya pada pertengahan tahun, perlulah melalui ujian demi ujian. Ujian yang paling hebat dan yang terakhir sekali ialah dibelasah beramai-ramai. Ada yang tak mahu line, aku tak termasuk dalam kabilah itu. Yang tak mahu, tak perlu dibelasah, tapi mereka dipulau oleh senior dan junior. Aku dan kawan-kawan yang lain walau diarahkan berbuat macam tu, tak sampai hati pula nak memulau rakan seperjuangan. Maka kami memberi sokongan dari belakang.

Aku dibelasah kiri dan kanan, disepak diterajang. Sakit tu jangan ceritalah, mujur juga aku tahu mempraktikkan ilmu ala-ala Qiqong. Tapi situasi aku tidak begitu teruk, yang kena teruk adalah kawan-kawan aku yang di anti oleh senior. Ada yang terpaksa diusung keluar. Tapi bila dah okay, main tepuk kepala saja dengan senior.

Satu lagi, kami juga mendapat lesen memanggil 'hang aku' pada senior. Kalau tidak, asyik 'kum bang, kum bang' saja. Maksudnya 'Assalamualaikum Bang'.

Itulah kenangan pahit manis aku.

Nampaknya entri memoir aku ni telah membawa aku lari dari bahasa yang bombastik dan ungkapan semiotik.

08 May 2006

Neraka Petualang - Bab I

Bayangkan...

Kalian tinggal di suatu tempat, dan kalian tidak puas hati......

Tak puas hati dengan manusia, tak puas hati dengan alam, tak puas hati dengan Tuhan.

Tak puas hati dengan apa-apa pun.

Maka kalian akan menjadi petualang.

Dan tempat itu akan menjadi neraka bagi kalian.

Neraka petualang.........

Keris Laksamana Bentan - Ulasan Yang Terpulas

Keris Laksamana Bentan dah melabuhkan tirainya, membuka peluang pula kepada aku untuk meneruskan produksi aku pada 16 & 17 Jun ini. Apa-apa pun, aku mesti ucapkan tahniah dulu kepada sutradaranya, Ahmad Nizam Ramli @ Latt yang telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 30 orang pelakon dan kru di bawah satu bumbung. Terus-terang aku katakana, aku puas dengan pementasan terakhir semalam.

Walaupun jumlah yang datang bagi kedua-dua malam hanyalah lebih kurang 80 orang (ya.... 80 orang, termasuk penerima tiket komplimentari daripada total kapasiti 444 kerusi), tapi aku puas. Kerana malam semalam aku tengok semua penonton terpaku menyaksikan lakonan para pemain.

Semestinya pasti ada cacat cela dalam persembahan, yang tak mungkin dapat dielakkan. Itu biasa kerana kita tidak sempurna. Tapi kepuasan itu terpancar kerana yang datang itu kebanyakannya golongan muda yang baru nak belajar dan kenal teater. Persembahan yang tidak mengecewakan semalam pada aku akan dapat menarik minat para muda belia ini untuk setidak-tidaknya menghargai teater.

Tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat di dalam Keris Laksamana Bentan. Sekarang, tunggulah kemunculan 'Neraka Petualang' pada 16 & 17 Jun 2006 ini. Aku pesan awal-awal ini untuk kalian semua simpan duit untuk beli tiket RM 5 dan ambil cuti untuk datang ke Tanjung menonton buah tangan aku.

05 May 2006

Wanita Tua Peminta Sedekah Yang Garang

Semalam.... aku balik dari raptai teater, singgah francais 24 jam, beli roti.

Ada seorang wanita tua... bukan Melayu.... Duduk depan pintu francais 24 jam... pakainya elok, cantik, kemas. Minta duit dari aku. Aku tak layan.

Masuk francais 24 jam, cari roti, beli roti, bayar roti, keluar bawa roti.

Wanita tua itu.... bukan Melayu, minta lagi dari aku.

Tangan dihulur, dalam bahasa bukan Melayu dia meminta. Dengan lebih bertenaga.

Aku kasihan, nak layan, nak masuk kereta, nak ambil duit, nak serah pada wanita tua.

Tapi.....

Elok aku masuk kereta, dia bangun.

Datang dekat kereta, ketuk kereta, ketuk cermin kereta,

Dalam bahasa bukan Melayu, makin garang, makin keras.

Terus niat aku terbantut. Aku berambus.

Hari ini aku terfikir.

Kejamkah aku? Atau wanita tua itu yang kejam?

Dia garang!

Iklan - Keris Laksamana Bentan; 6 & 7 Mei 2005, Auditorium P.Ramlee, Pulau Pinang

02 May 2006

Kosa Kata

Dah dua kali aku terkena.

Kali pertama ketika aku menghasilkan Diaspora Bangsat. Maka tertanya-tanyalah orang apa maksud diaspora. Aku suruh cari dalam Kamus Dewan, yang pada ketika itu masih berjaket hijau. Dan orang balik pada aku, "Tak ada!".

Tak ada? Perkataan diaspora tak ada dalam Kamus Dewan? Aku tak puas hati, maka aku sendiri menyemaknya. Dan aku akur.... memang tak ada. Maka aku pun terangkanlah konsep pendebungaan, di mana benih-benih bunga bercambah di bawa angin. Aku kaitkan dengan sifat-sifat kebangsatan (bangsat dalam cerita aku ini bukan bermaksud melarat atau merempat, tapi keji) yang bercambah dalam masyarakat kita.

Orang pun faham.

Kali kedua, terkena pada projek terbaru aku iaitu Neraka Petualang. Kalian pasti pernah dengar perkataaan neraka dan petualang. Ajaibnya, perkataan petualang yang kerap kita dengar dan kerap kita sebut, tak ada di dalam Kamus Dewan. Bukan setakat edisi jaket hijau, tapi terbaru jaket merah.

Walau aku tahu apa itu petualang, tapi meragaulah juga laksana orang celik yang tiba-tiba buta dek gerhana di siang hari bila nak menerangkan pada orang lain, agar aku tidak dituduh menubuhkan kerajaan langit kedua. Maklumlah, kitab yang dirujuk tak ada puncanya.

Aku tak tahu sama ada aku ini dalam kategori pandai atau pandai-pandai dalam memperkayakan kosa kata Melayu.

Tengoklah, lepas ni aku nak terkena lagi atau tidak....