28 December 2010

Iklan - Teater 'Beta Gundah Gulana'

Sebuah teater kontemporari
Karya dan Arahan Prof. Emeritius Dato' Dr. Mohammad Ghouse Nasuruddin

14 & 15 Januari 2011 (Jumaat & Sabtu)
8.30 malam
Panggung Pelenggang Cahaya, Kompleks Graha Seni, Universiti Sains Malaysia
RM 5.00

24 December 2010

Cerita Hujung Tahun

Agak lama juga tidak mengemaskini entri di sini. Sibuk dengan tugas dan segala macam keadaan yang tidak keruan. Buku-buku yang dibeli pun tidak terbaca. Permainan video yang dibeli pun tidak sempat dimainkan. Kertas kerja yang patut disiapkan sekadar berada dalam otak. Skrip-skrip baru yang dijanjikan masih berada pada tahap rangka.

Kalendar baru Gregorian ini harapnya dapat menjuskan kembali hidup aku yang agak kelam kabut buat beberapa ketika ini.

Pada ketika ini, sasaran utama aku ialah menyiapkan skrip monodrama dan juga skrip teater pendek untuk Manusia Raja 3. Ya, kali ini aku berasa untuk tidak menghadkan Manusia Raja kepada monodrama. Harapan aku agar pementasan kali ini lebih bermakna. Aku mahukan kekalkan Manusia Raja sebagai sebuah pementasan yang ada semua cebisan rasa untuk semua.

Setakat ini, ada beberapa buah idea tentang cerita yang akan dipentaskan, tetapi belum disusun dan ditetapkan.

Pertama, Aku Bourgeois karya Mata Kuching. Sebuah bebelan seorang bourgeois yang menceritakan tentang diri dan ahli keluarganya. Sebuah kritik sosial yang pedas, padat dan rapat dengan isu-isu semasa.

Kedua, konflik diri Panglima Awang/Panglima Hitam yang menyertai pelayaran mengelilingi dunia oleh Ferdinand Magellan.

Ketiga, kisah seorang mahaguru senibeladiri yang diabaikan oleh anak muridnya sendiri yang lebih menggilai seni bela diri campuran yang lebih glamor.

Keempat, cerita seorang wanita yang mengalami masalah mental. Sentiasa menganggap layanan baik dari mana-mana lelaki bermaksud lelaki itu menyintainya, menjadikan beliau obses kepada lelaki berkenaan.

Kelima, luahan seorang bomoh yang semakin kurang rezekinya dek kewujudan Akta Jenayah Sihir.

Keenam, perdebatan Tuah dan Jebat secara intelektual, salah satu versi yang dikatakan menggantikan pertarungan berdarah mereka.

Dan juga beberapa lagi idea yang masih diperam. Kesemua ini masih menanti untuk diluahkan di atas perisian pemprosesan perkataan. Doakan aku punya tenaga dan idea yang mencurah untuk menghabiskannya.

14 December 2010

Winning or Living

There's no winning, just living and moving forward.........

09 December 2010

Bodoh Tak Sedar Diri

Orang tua-tua selalu menyebut, kalau nak cari ilmu, maka belajar. Dan ilmu itu tidak hanya datang dari orang yang lebih tua dari kita. Adakalanya dari orang yang jauh lebih muda dan adakalanya melalui pemerhatian terhadap alam.

Bila kita melihat orang-orang muda yang kelihatan bodoh, akan selalu mengingatkan kepada diri kita dahulu yang juga tidak sempurna. Kadang-kadang tertawa sendirian juga dibuatnya.

Tapi bila melihat orang yang lebih tua dari kita, berbuat pekara yang bodoh, menjadi bodoh dan membodohkan diri sendiri, membuatkan kita sendiri terpinga-pinga. Mahu ditegur, baru setahun jagung, belum cukup makan garam. Tidak ditegur, makin menjadi-jadi.

Apa perlukah kita lihat dan ketawakan saja kebodohan itu?

02 December 2010

Menarilah!

Muzik telah lama berhenti, kenapa mahu terus menari?

23 November 2010

Permainan Orang Pekan - Video game

Dulu, sebagai budak kampung, semestinya aku tahu bermain sorok-sorok, aci ligan, polis sentri, tuju selut dan sebagainya. Tetapi sebagai budak kampung yang mengejar kemajuan juga, aku juga tahu serba sedikit bermain permainan video.

Di pekan; 15 minit ke 20 minit kalau kayuh basikal dari kampung aku, ada dua buah tempat yang menawarkan permainan video arked. Permainan kegemaran aku ialah Raiden, jet pejuang moden dengan pelbagai jenis peluru yang boleh dikutip. .

Kalau yang lain, Street Fighter II juga terkenal. Tapi aku tidak pandai sangat nak buat power abuuuugen, atau holiooogen, atau tiger-tiger. Maybe because I'm a lover not a fighter. Ha ha ha.

Tak lama lepas tu, muncul permainan video di tivi. Mahal nak mampus kalau nak beli. Aku panggil permainan tu D'atari walaupun sebenarnya ada pelbagai model keluar. Sebab tak mampu nak beli, maka aku kerap menghabiskan duit mak bapak aku di sebuah kedai yang menawarkan permainan tu. RM 5 untuk sejam, kalau tak salah aku. Kalau ramai, kenalah beratur untuk tunggu giliran orang lain.

Kami boleh pilih katridge game apa yang nak dimainkan. Biasanya aku akan pilih Super Contra atau Ninja Kage. Dan aku dah berjaya habiskan Super Contra II. Permainannya 2D saja, tapi dah cukup mengujakan pada waktu itu.

Kalau aku tak ada duit, atau mak bapak aku dah tak ada duit nak bagi pada aku untuk dihabiskan ke jalan lagho, maka aku akan kembali terjun sungai, main bola, main wau.

03 November 2010

Ulasan Yang Terpulas - Estet


Aku sangat jarang mengulas filem. Kali pertama dan terakhir aku mengulas filem, ialah filem Talentime oleh Yasmin Ahmad. Waktu tu, beliau hidup lagi dan filem tu belum ditayangkan di panggung. Maka ini akan jadi kali kedua, sebelum Estet ditayangkan dipanggung esok.

Aku sebenarnya tak peduli sangat pasal label filem 1Malaysia oleh Mamat Khalid atau sesiapa pun. Kerana pada aku, itu bukanlah penjamin filem itu bagus dari segi estetika dan dan menjamin kemenangan mana-mana festival. Kerana kita ini dah 1Malaysia dari zaman P.Ramlee lagi. Cuma percubaan P.Ramlee terutama selepas beliau berpindah ke Studio Merdeka kerap gagal atas pelbagai sebab.

Tapi sebagai sebuah filem, aku tetap mengatakan Estet cukup rempah ratusnya. Malahan rempahnya diimport dari India. Sayangnya, tidak semua orang suka makan makanan berempah kari.

Mamat Khalid menghasilkan Estet yang santai, yang boleh buat makcik dan pakcik dari Changlun ketawa berdekah-dekah dengan telatah David Arumugam, malahan Profesor dari universiti tersenyum sinis dengan kritikan dan sindiran Kublai Khan (Rosyam Nor), "Esok audit nak masuk". Malahan golongan muda juga boleh bergelak sakan apabila Farid Kamil berkata, "Lepas raya, saya nak beli skuter".

Estet ini untuk semua.

Lain orang, mungkin lain yang mereka lihat. Mereka melihat filem sebagai satu cerita, yang perlu menarik perhatian penonton, serta lengkap dengan lakonan dan sinematografi yang bagus. Estet mungkin kurang dari segi lakonan, kerana lakonan dalam Estet biasa saja, sesuai dengan nahunya sebagai filem santai (tapi secara senyap mengenakan orang). Mungkin ini sebabnya Estet cuma dapat Anugerah Khas Juri dalam Festival Filem Malaysia ke-23. Entahlah, aku bukan juri yang berilmu dan berpengalaman (berilmu dan berpengalaman kah? He he he....)

Aku menyukai filem-filem Mamat Khalid kerana beliau memaksa aku membaca disebalik dialog dan lakonan yang biasa. Rock, Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang dan Zombie Kampung Pisang, penuh dengan semiotik (sama ada secara sengaja atau tidak sengaja oleh Mamat Khalid).

Seperti satu adegan minum todi (atau mungkin samsu) di sebuah kedai, ada seorang pemuda yang mengayuh basikal setempat, tak bergerak-gerak (basikal tua, ditongkat dua, dan dikayuh. Sekarang susah nak jumpa basikal yang bertongkat dua). Sepertinya pengarah nak menceritakan, minum arak ni, tak akan ke mana-mana. Masalah tidak selesai, tapi masih di situ juga.

Seperti yang aku bicarakan, lain orang lain citarasanya. Hurt Locker menang Oscar untuk filem terbaik. Tapi Hurt Locker bukanlah filem aksi (walau debaran aksinya pun boleh tahan hebat) yang digemari ramai. Tapi isu, sinematografi, kekuatan lakonan dan segala macam lagi kriteria membolehkan filem itu menang. Begitu juga No Country For Old Men, sebuah filem dengan naratif yang begitu hebat, mungkin bukan pilihan tontonan popular.

Tapi Estet bukan dibuat untuk menang anugerah (rasanyalah). Mamat Khalid perlu buat filem yang boleh dijual, ditonton semua orang, dan pada masa yang sama, memenuhi kehendak beliau sebagai pengarah. Memang senang kalau buat filem yang orang suka nak tengok, buat saja filem cinta, komedi, aksi atau seram mengikut selera pasaran. Tapi tidak salah juga buat filem mengikut selera audien, sebab filem juga adalah perniagaan. Siapa yang nak rugi berniaga?

Maka, cadangan aku, tontonlah Estet, dan nilailah sendiri.


02 November 2010

A.Y.A.M.

Di dalam sebuah kelas sekolah rendah, seorang guru sedang mengajarkan anak-anak muridnya yang baru memulakan penggal persekolahan.

Cikgu : Baiklah murid-murid, hari ini kita akan belajar mengeja. Kita akan mengeja nama-nama haiwan. Mulakan Daud. Cuba eja perkataan ini.

Daud : G. A. J. A. H

Cikgu : G. A. J. A. H bunyinya apa Daud?

Daud : Gajah.

Cikgu : Bagus. Salina pulak. Cuba perkataan ini.

Salina : L. E. M. Lem, B. U. Bu...

Cikgu : Bunyinya?

Salina : Lembu cikgu.

Cikgu : Bagus. Man pulak.

Man : A. a.... Y. A. M. yam.....

Cikgu : A. a... Y. A. M. yam... bunyinya?

Man : Kok kok kok kok.....

Cikgu : Berdiri atas kerusi sampai habis kelas!!


26 October 2010

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 'Redux' - Imejan di Kuala Lumpur

Panggung Bandaraya DBKL, lokasi pementasan.

Khusyuk mendengar amanat dari Psikopat yang menculik mereka.

Wanita 2 mengalami tekanan perasaan.

Orang 1 sedang memikirkan strategi untuk melepaskan diri.

Wanita 2 dan Lelaki 1 keletihan.

Urmmmm...... bolehhhh.......

Psikopat sedang menjelmakan dirinya di dinding.

Terjaga dari lena yang panjang.

Psikopat yang misteri.

Orang 1 sebelum terjaga dari pengsannya.

Lagi imejan di Penang di sini.

20 October 2010

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 - Selesai Berdusta

Selesailah sudah satu perjalanan, satu kembara, satu penyiksaan. Yang pasti bukan 1Malaysia.
Banyak yang aku ajar dan banyak lagi yang aku belajar. Sememangnya hidup kita ini tidak akan berhenti belajar. Dah nak mati pun kena belajar mengucap kalimah syahadah.

Terima kasih kepada semua yang terlibat. Dari awal hingga akhir.
Kepada pelakon, bekas pelakon, desginer, kru, buruh, chef, pegawai-pegawai dan semua yang terlibat secara langsung atau tak langsung. Tanpa kalian, pementasan ini tak akan ke mana.

Kepada yang hadir menonton, memberikan sokongan, kepada rakan-rakan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang hadir, terima kasih banyak-banyak aku ucapkan. Sokongan kalian membakar jiwa kami.

Mungkin ini produksi terakhir aku. Siapa tahu.........

10 October 2010

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 'Redux' - Versi Penang


8, 9, 10 Oktober 2010 (Jumaat, Sabtu, Ahad)
Auditorium Taman Budaya Negeri Pulau Pinang (Rumah P.Ramlee)
8.30 malam
RM 5.00

(Untuk Versi Kuala Lumpur lihat sebelah kanan)

24 September 2010

23 September 2010

Pengawal Peribadi Gundik Ketujuh Maharaja

Kredit kepada Sribudi Artistik yang memberikan idea untuk cerita ini.

Maharaja ada seorang isteri yang secara rasminya menjadi permaisuri. Dan berpuluh orang gundik. Di antara berpuluh orang gundik itu, gundik ketujuh adalah yang paling disayangi baginda. Tetapi wanita mana tidak cemburu pada suami yang sebegitu.

Maka permaisuri dengan idea yang bijaksana menaikkan pangkat gundik ketujuh menjadi gabenor di salah satu wilayah jajahan mereka yang paling kaya. Maharaja risau. Tidak boleh ditolak cadangan itu kerana cadangan itu sangatlah bernas. Gundik ketujuh juga dikenali sebagai gundik yang paling cerdik di kalangan semua.

Maka setelah berfikir panjang, maharaja bersetuju, dengan syarat gundik ketujuh ditemani seorang pengawal lelaki yang paling handal. Permaisuri tiada masalah. Tetapi kini menjadi masalah pula kepada maharaja untuk mencari pengawal yang bukan saja handal, setia, tetapi tidak akan mengambil kesempatan terhadap gundik ketujuh yang cantik. Maklumlah, kaum lelaki yang bekerja di istana tidak dikembiri. Takut menyalahi tatasusila kemanusiaan.

Maka dicanangkan keseluruh negara tentang pencarian itu. Maka beribu-ribu manusia hadir untuk menguji bakat. Bermula dengan ujian bertulis, ujian kecergasan, ujian ketahanan, ujian pengetahuan am serta ujian pertarungan, maka yang berjaya disenarai pendek cuma 10 orang sahaja.

Untuk ujian yang terakhir, semua pengawal ini diminta cuma memakai kain sarung, dan diletakkan gendang kecil dihadapan kelangkang mereka. Seorang demi seorang diminta menemui gundik ketujuh berseorangan.

Bermula calon yang pertama, disebalik tirai yang jarang, gundik ketujuh mula menjatuhkan sedikit bajunya sehingga menampakkan kulit bahunya yang mulus. Dan berbunyilah pong! Gendang kecil berbunyi. Calon pertama gagal.

Masuk calon kedua. Pong! Gagal lagi.

Masuk calon ketiga. Pong! Pong! Masih gagal.

Masuk calon keempat sehingga kesembilan. Pong! Pong! Pong! Gendang terus-terusan berbunyi, menandakan mereka semua gagal. Maharaja mula risau. Mereka semua ini handal belaka, tetapi tidak boleh diharap untuk mengawal gundik ketujuh.

Masuklah calon terakhir. Gundik ketujuh mula menampakkan kulitnya yang halus mulus sekali lagi. Tiada bunyi. Kulitnya terus dinampakkan. Bajunya mula luruh. Tiada bunyi. Kainnya mula luruh. Tiada bunyi. Hinggalah semua pakaiannya luruh, dan cuma dilindungi kain jarang di hadapan mereka. Masih tiada bunyi!

Maharaja sudah boleh menarik nafas lega. Sudah ada orang yang boleh dipercayainya.

Gundik ketujuh tersenyum. Sambil mengutip pakaiannya, dia langsung berpusing ke belakang, dan tiba-tiba, pong! pong! pong! pong!

Maharaja menepuk dahi.

20 September 2010

Keliru Atau Versatil

Orang selalu keliru, bila melihat aku melayan lagu-lagu seperti :

Metallica - Master Of Puppet

Raihan - Demi Masa

Art Fazil - Merindu Kepastian

Secret Garden - Adagio

Lady Gaga - Bad Romance

M. Nasir - Bukalah Hatimu

M. Daud Kilau - Cek Mek Molek

Kris Dayanti - Rembulan

Korn - Twisted Transistor

John Legend - Ordinary People

Mohabbatein - Aankehin Khuli

Disturbed - Down With The Sickness

May - Sketsa Sebuah Cinta

Eminemm - I Love The Way You Lie

dan senarainya panjang.... dan biasanya berubah-rubah.


17 September 2010

Teater Orang Muda, Teater Orang Tua

Dulu kalau muda-muda, buat teater sebab nak seronok dapat buat teater saja. Sebab itu ramai orang muda yang lebih minat berlakon berbanding buat kerja-kerja buruh teater yang lain, terutama yang baru nak kenal teater.

Bukan apa, glamor berlakon teater tu ada (walau tidak seglamor berlakon drama tivi atau filem). Kalau berlakon di sekolah, bila lepas berlakon, akan rasa seolah-olah satu sekolah itu cam muka mereka. Kalau berlakon dengan persatuan atau kelab teater pun lebih kurang sama. Merasakan lakonan mereka dah cukup baik.

Waktu muda, berteater ini lebih kepada seronok berteater. Kepuasan pada apa yang mampu disampaikan kepada audien, terutama melalui lakonan. Sebab itulah ada yang berlakon tak sedar diri hingga memakan watak pelakon lain.

Bila dah tua ni, paradigma dah berubah. Berlakon dah tak larat nak berlakon. Kalau berlakon pun, biasanya untuk mencabar diri dengan sesuatu yang lebih sukar dari yang biasa dibuat. Dan bila tua lah mula berminat nak mengarah, menulis skrip atau kerja-kerja artistik yang lain. Mahu supaya pemikiran mereka dilihat oleh audien. Tapi tidaklah semua begitu. Kerana setiap insan dilahirkan berbeza.

Orang muda lebih marah. Kalau buat teater, biasanya yang radikal dan memprotes. Itupun perlu lihat latar belakang orang yang buat teater tu lah. Ada juga yang lebih berhasrat menghiburkan orang.

Orang tua lebih sabar, protesnya dalam diam dan berlapik. Pun begitu, ada juga yang buat sekadar menghiburkan audien. Teaterkan termasuk juga dalam cabang hiburan. Jadi kerja mendidik audien teater ini, akan berterusan sehinggalah masyarakat kita bersedia menerima teater sebagai satu industri.

11 September 2010

Raya Kerana Duit Raya

Tiada siapa yang akan dapat menafikan, antara insan yang paling gembira di hari raya ini adalah kanak-kanak, terutamanya yang berusia 12 tahun ke bawah. Dan pastinya aku bercakap ini tentang kanak-kanak normal, bukannya yang kurang bernasib baik.

Dan kita semua tahu, tradisi kunjung-mengunjung oleh kanak-kanak ini telah lama dilakukan sejak dahulu. Biasanya mereka akan mengunjungi kawasan sekitar seperti kawasan kampung atau kawasan perumahan. Dan pada masa inilah mereka mengambil peluang untuk mengenali jiran-jiran kampung mereka.

Kalau pada zaman aku dahulu, ada kanak-kanak yang mengembara dari kampung lain ke kampung kami. Tidak ketinggalanlah aku yang pernah beraya agak jauh hingga terpaksa menaiki bas, semata-mata untuk beraya ke rumah cikgu sekolah aku.

Sayangnya kerana nilai tradisi kunjung mengunjung ini sudah semakin berbeza kini. Kanak-kanak tidak lagi mengunjungi rumah jiran sekampung untuk mengeratkan silaturahim, tetapi lebih kepada mengutip duit raya. Dan biasanya, duit rayalah motivasi utama mereka. Tidaklah aku menyalahkan mereka, kerana mereka masih kanak-kanak. Tetapi kesedaran ini patut diterapkan oleh individu yang lebih tua dari mereka.

Kalau dulu (zaman aku mungkin berbeza, zaman sebelum aku pastinya lebih berbeza), duit raya biasanya diberi pada nilai 20 sen. Rata-rata rumah dikampung, itulah nilainya. Ada juga yang memberi 10 sen. Kalau 50 sen, itu sudah dikira mewah dan kalau RM 1.00, maka rumah itu akan dicop rumah orang kaya.

Ada pada satu ketika, rezeki keluarga aku agak baik pada tahun itu dan kena pada hari raya itu, arwah ayah aku berhasrat menyedekahkan RM 1.00 kepada setiap kanak-kanak yang hadir. Pada ketika itu, RM 1.00 sudah dikira mewah, kalau pun tidak dianggap orang kaya (keluarga aku pun bukan kaya, cukup makan saja).

Maka implikasinya, kanak-kanak tidak putus hadir ke rumah keluarga aku. Seperti mana berita CNN dan Al-Jazeera, begitulah pantasnya merebak cerita duit raya RM 1.00 yang diterima. Seperti ada jaringan komunikasi yang sangat berkesan di antara mereka. Bayangkan, kanak-kanak yang kami tidak pernah lihat muka mereka (maksudnya dari kampung lain. Kalau dari kampung yang sama, biasanya wajah mereka kebiasaan dilihat dan kalau ditanya anak siapa, kami akan kenal mereka dari keluarga mana), tiba-tiba muncul dari merata-rata. Dan seperti biasanya, mereka tidak mahu singgah untuk menjamah makan dan minum, cuma menadahkan tangan di depan pintu, bersalaman dan kemudian beredar. Malahan ada yang tidak bersalaman pun. Lebih tragis lagi, ada yang walaupun telah hadir pada sebelah pagi, akan datang lagi pada sebelah petang dengan pakaian yang berbeza untuk mendapatkan duit raya.

Kini, sekiranya sesebuah rumah itu hanya memberikan duit raya sebanyak 50 sen (kerana itu yang termampu, maka kita boleh lihat sendiri berapa ramai bilangan kanak-kanak yang akan hadir ke rumah itu. Kanak-kanak ini pun biasanya, menggunakan modus operandi yang sama iaitu mensasarkan rumah yang kelihatan mewah dan rumah yang sudah pasti memberikan duit raya yang bernilai tinggi. Ada sesetengah yang sanggup menggunakan duit raya itu untuk membeli minuman berkarbonat di kedai berbanding minum di rumah yang mereka singgah untuk mendapatkan duit raya.

Rugilah kanak-kanak ini kerana tidak mengenali jiran-jiran mereka, walaupun pada tahap minda mereka itu, perkara itu tidaklah penting.

5 ke 10 tahun lagi, entah bagaimana suasana mendapatkan duit raya ini. Mungkin duit raya bertukar kepada topup kredit telefon, atau duit raya cuma perlu diberi secara on-line sahaja. Maka makin jahanamlah nilai kunjung-mengunjung yang sepatutnya diterapkan.

01 September 2010

Ramadhan Sebagai Sumber Pelancongan

Ada orang mungkin menggelengkan kepala membaca tajuk ini. Ramadhan bulan yang mulia, bulan untuk beribadat. Memanglah Ramadhan juga menjanjikan rezeki kepada para peniaga, tetapi budaya hiburan dan berbelanja tak kira bajet, bukanlah satu perkara yang nampak molek dilakukan di bulan Ramadhan. Tapi mengapa Ramadhan nak dijadikan sebagai sumber pelancongan?

Kita tengok yang pro dahulu.

Setiap kali Ramadhan, yang pasti akan ada bazar Ramadhan (ada orang panggil Param atau Pasar Ramadhan). Di bazar inilah menjanjikan hidangan eksoktik yang selalunya jarang ditemui di satu-satu tempat kalau bukan bulan Ramadhan. Beriani Itik Nila lah, Ayam Goleklah, Haruan Gorenglah, dan segala macam lagi. Itu tidak termasuk menu yang biasa kita temui, tetapi jarang ditemui oleh para pelancong.

Bayangkan kalau kita boleh catar satu kapal terbang untuk pelancong hadir ke program Homestay, kalau bulan puasa macam ni, kita boleh lakukan perkara yang serupa. Pelancong yang hadir, kita galakkan berpuasa (setakat tahan lapar dan dahagalah) agar mereka dapat merasa nikmat berbuka puasa apabila sedang lapar, dan tentunya mereka digalakkan bersahur. Bila nak dekat waktu berbuka, bawalah mereka berbondong-bondong ke bazar Ramadan untuk memilih lauk pilihan mereka. Dan seperti mana nikmatnya berbuka setelah penat membanting tulang, begitu jugalah mereka akan merasa nikmat berbuka puasa.

Siapa tahu, mereka akan mendapat hidayah untuk mendalami Islam dengan lebih mendalam, seperti yang terjadi kepada seorang warga Jepun yang datang ke Malaysia untuk mencuba rasa berpuasa (aku petik berita ini dari salah satu akhbar, tapi aku tak ingat akhbar mana).

Kontranya.

Bila orang asing hadir, mereka akan hadir dengan pakej budaya mereka. Kalau yang hadir itu sememangnya mahu mencuba budaya asing iaitu budaya berpuasa kita, mungkin mereka akan menuruti apa yang kita suruh. Tapi kalau yang nak menurut itu sekadar melepaskan batuk di tangga, maka kita akan menghadapi masalah.

Bayangkan kalau yang hadir ke bazar Ramadan itu dengan pakaian yang menjolok mata (yang pakai macam ni, bukan setakat pelancong, orang kita pun ada, cuma peratusannya kecil). Dan ada pula yang mungkin mahu berbuka dengan bir (bukan rut bir, tapi bir yang berakohol) kerana sudah menjadi rutin mereka untuk ada minuman itu. Itu tidak termasuk lagi kemesraan berlainan jantina yang mungkin tidak dapat mereka kawal. Maka ini akan mencemarkan kesucian Ramadan.

Apa fikiran kalian?

26 August 2010

Kebaikan dan Kebenaran

Jika kalian terpaksa memilih, antara....

Kebaikan dan Kebenaran

Yang mana akan kalian pilih?

Kerana di dalam kebaikan, belum tentu ada kebenaran, dan
di dalam kebenaran, belum tentu ada kebaikan.

19 August 2010

Pantang Aku Ketika Mengarah

Aku ada satu pantang yang paling besar bila aku mengarah teater.

Bila orang kata tak boleh!

Bagi aku, Never Say No, Until I Say No. Ertinya, kau usahalah sehabis baik yang mungkin, yang mampu kau buat, dan kalau aku tengok tak mencapai tahap yang aku nak, maka aku terima itulah tahap kau untuk kali ini.

Ini tidak, bila suruh buat itu, tak boleh. Bila suruh buat ini, tak tahu.
Tak tahu nak usaha sendiri? Tak tahu atau tak mahu?

Buatlah dulu, sampai aku nampak sendiri itu saja yang kau mampu, maka aku akan faham. Setiap manusia ada batas-batas yang mampu mereka buat pada satu-satu masa (maksud aku dalam jangka masa panjang seperti dari satu produksi ke satu produksi). Bila kau tak bagus dalam produksi ini, maka dalam produksi yang akan datang, mungkin kau akan lebih bagus kerana kau dah dapat pengalaman dari produksi ini.

Kata kunci hari ini - USAHA!

Kapish?

17 August 2010

Jaga Hati

Aku jaga hati orang,
tapi ada orang jaga hati aku?

12 August 2010

Pembohong Besar

Salam ,
Saya Nafiza Binti Ismail, saya bekerja sebagai Marketing Officer di sebuah syarikat pemprosesan batu mulia di UK.di sini Saya ingin memperkenalkan kepada encik peluang perniagaan yang besar kenuntungannya,saya memerlukan bantuan encik dan kerjasama encik untuk memajukan perniagaan ini.saya menghubungi encik kerana saya tidak ingin kehilangan rakan kongsi saya di dalam perniagaan ini.saya tahu bahawa saya dan encik akan mendapatkan feadah yang baik daripada perniagaan ini di masa akan datang. Sekarang saya HANYA ingin encik menjadi pembekal (agent) kepada syarikat saya bekerja dan encik boleh mendapat keuntungan daripada peluang perniagaan ini . Syarikat saya memerlukan sebuah produk yang disebut (GEMSTONE CLARIFICATION LIQUID). Para pemurnian belerang Liquid adalah cecair kimia saintifik bar substansi, sejenis pelincir, terutama digunakan di makmal untuk gemological
pemurnian merawat atau menerangkan,memasuki ke dalam berlian dan mengewap keluar kotoran di dalam berlian dan batu-batu berharga sepertinya.

Pembekal asal produk ini adalah di (Malaysia) sehingga lah pembekal produk langsung syarikat KAMI INI mengalami kemalangan di sini {uk} ,dia adalah pengurus pemasaran dan sejak dia kemalangan monopoli ini telah tergendala.saya hanya ingin encik menjadi agen di antara penjual dan pembeli .Ini adalah perniagaan besar untuk saya dan encik dan akan mendapat keuntungan besar.saya hanya memerlukan kerjasama untuk menjadikan perniagaan ini berjaya.Saya akan memberi anda maklumat lebih lanjut tentang hal ini jika anda bersedia untuk menjadi sebagai agen untuk membekalkan produk ke syarikat kami.

Pertama, saya akan perkenalkan anda pembekal (agent)kepada syarikat saya nanti. Mengikut peratusan, awalnya harga beli yang sebenarnya produk tersebut oleh syarikat per Carton adalah 4,250.00 USD, sedangkan di (Malaysia) harga jual tempatan adalah 2,200.00 USD dan syarikat saya memerlukan tidak kurang daripada 200 Cartons.
saya ingin encik menjadi agen link kami yang menghubungkan penjual tempatan di Malaysia secaralangsung kepada syarikat membeli maka margin keuntungan akan digunakan bersama berdua 50% untuk encik, sementara 50% kepada saya.sekiranya encik dapat membantu saya mengurus perniagaan jual beli produk ini saya amat berterimakasih.kemudian saya akan membincangkan pekara ini bersama pengurus syarikat saya. saya yakin dan percaya encik boleh menyediakan produk ini kepada syarikat.di sini juga saya memfailkan butiran dari segi harga dan cara bayaran maka kita boleh mengambil daripada permulaan perniagaan ini. encik saya mengharap agar encik dapat membalas email saya ini secepat mungkin, agar saya dapat mengemailkan number telephone penjual di malaysia gar encik dapat menghubungi penjual untuk bertanya sama ada penjual tersebut masih mempunyai stock untuk di bekalkan kepada encik.sebelum syarikat kami akan menghantar pengurus pembelian pergi ke Malaysia untuk membeli produk dari encik secara tunai.Terima kasih atas kerjasama encik,saya mengharap dan menunggu balasan email daripada encik.


Wassalam...
Nafiza .

Aku dah banyak menerima e-mel yang sebegini, tapi ini kali pertama menerimanya di dalam Bahasa Melayu yang lengkap. Walau pun Bahasa Melayunya ada juga yang lintang pukang, tetapi gaya bahasa itu pastinya bahasa orang Malaysia.

Kalau dasar pembohong, macam mana sekalipun pasti berbohong juga.

02 August 2010

Sebelah....

"Tokeh aaa, wa punya brek ala munyi ooo," aku memulakan perbualan di kedai baiki kereta yang biasa aku kunjungi.

Tokey Cina itu senyum, "Apa macam munyi?"

"Itu bunyi eeekkkk eeeekkkk macam kaldai la tokeh. Lu mau tau lu angkat bawah pi tengok," aku tak tahu nak menerangkan bagaimana bunyi brek kereta aku tu.

"Ohh... itu tarak pa. Blek mulah saja ma. RM 80 saja," kata tokey.

Aku tepuk-tepuk poket dan dompet aku. RM80 tu cukup la kalau nak tukar.

"Lagi satu aaa tokeh, wa kalau lali sampai 90 km/j aaa. Kereta sula mula goncang ooo. 100 km/j goncang. 110 km/j goncang. Kalau wa talak tekan minyak, okey saja. Apa pasai aa?" tanya aku lagi.

"Lu tekan minyak baru goncang aaa?" buat-buat tanya lagi pulak tokey ni.

"Itu drive shaft. Tengok macam mana sebelah ka losak, lua-lua belah ka losak," tokey tak lekang dengan senyuman.

"Itu berapa halega?" aku dah sedia nak menepuk poket sekali lagi.

"Rm300 lebih ooo" jawab tokey dengan tenang saja.

"Aiya! RM300 lebih ka?" aku buat-buat tak jelas.

"Sebelah....." tokey menambahkan kuantiti air liur yang perlu aku telan.

Selepas menelan air liur, aku buat congakan segera.

"Tak apa la tokey. Wa bawak dulu kereta ni bawah 80 km/j. Atau wa bawa saja lebih dari 120 km/j."

29 July 2010

Melayu Di Mana?

Perkara yang akan aku bincangkan ini, kalau dibaca oleh para cendekiawan mungkin akan merasakan ini bukanlah perkara baru. Tetapi sudah lama didebatkan dan tulisan aku ini mungkin cuma picisan saja.

Melayu.

Seluruh Gugusan Kepulauan Melayu dikenali juga sebagai Nusantara (bukan Flet Nusantara di Pulau Pinang). Ini meliputi Indonesia, Brunei, Thai, Kemboja, Myanmar dan Filipina. Mungkin Sulawesi dan Irian Jaya serta Hawaii juga boleh diambil kira. Ini kalau dibandingkan dari segi rupa bentuk fizikal tubuh dan wajah Melayu itu.

Di Malaysia, Melayu itu Melayu.
India Muslim itu Melayu.
Jawa itu Melayu.
Boyan itu Melayu.
Banjar itu Melayu.
Hasil perkahwinan campur dan beragama Islam, anak mereka dikira Melayu.

Tapi kalau di Indonesia, Melayu itu Melayu.
Jawa itu Jawa.
Mendaling itu Mendaling
Batak itu Batak.
Cina itu Cina.
Kalau perkahwinan campur, anak mereka bangsa Indonesia.

Aku bukanlah nak memperjuangkan bangsa Malaysia atau apa saja yang seangkatan dengannya, tapi aku berharap ada definisi lengkap yang semua orang terima pakai tentang klasifikasi bangsa itu sendiri. Supaya tiap kali ada pertanyaan tentang budaya Melayu, kita boleh menjawab dengan jelas.

26 July 2010

Ulasan Yang Terpulas - Kerusi Oleh Suara ACMS

Memang bukan mudah untuk menilai secara adil. Terutama kalau sesuatu perkara itu adalah perkara yang subjektif. Dalam bola sepak pun sukar untuk pengadil menghadiahkan kad kuning atau kad merah sesuka hati, inikan pula di dalam bidang seni.

Kalau tak salah aku, ini kali ketiga Suara ACMS mementaskan teater. Dua kali di festival teater Pulau Pinang dengan salah satunya bertajuk Mencari Juita oleh Siti Rohaya Atan dan pelakon wanitanya menggondol Pelakon Wanita Terbaik (diputuskan oleh juri profesional pada waktu itu). Namun aku tidak dapat menonton Mencari Juita kerana bertembung dengan tuntutan tugas pada waktu itu.

Maka peluang untuk menonton Kerusi karya Hatta Azad Khan tidak aku lepaskan. Kerusi adalah antara karya berhantu Hatta selain Mayat, Syyy dan Jebat, yang telah diterima sebagai teks KOMSAS dan dikaji seantero pelajar tingkatan 5 seluruh Malaysia. Dalam konteks Malaysia, naskhah ini mungkin boleh diiktiraf naskhah popular, kalau bukan naskhah agung.

Jadi untuk menjadikan ulasan ini lebih adil, kayu ukur aku mudah saja, iaitu pementasan ini mestilah mampu menarik perhatian audien kerana 3/4 audien yang hadir bukanlah aktivis teater yang faham nahu dan jargon teater ini. Audien yang datang pula dengan pelbagai kehendak. Ada yang mahu berhibur, ada yang mahukan pengajaran, ada yang mahu berfikir, ada yang menyokong kawan-kawan.

Jadi yang datang menonton Kerusi oleh Suara ACMS pada malam itu, terdiri dari semua kategori ini, kecuali aku. Kerana aku dan beberapa rakan-rakan hadir untuk memberikan sokongan pada grup teater baru. Kami tidak datang dengan kehendak yang tinggi. Tidaklah mengharapkan persembahan yang menyentuh qalbu atau merobek jiwa atau menyungkit semangat berkarya kami. Cukuplah sekadar sebuah persembahan. Kerana kita semua bermula dari bawah.

Kerusi merupakan percubaan yang bagus. Aku tidak tahu apa perasaan audien lain tetapi aku tahu ahli produksi memang berpuas hati selepas pementasan. Dengan jumlah tenaga kerja hampir seperti sebuah bangsawan, tidak hairanlah pementasan ini dapat menarik ramai penonton. Sayangnya seperti biasa, penonton yang hadir, tidak semua datang untuk menonton teater, tetapi untuk menonton lakonan. Jadi bila saja ada sesuatu gerak lakon yang luar dari kebiasaan (luar dari yang biasa kita tengok di tivi atau dalam kehidupan), maka akan terbit suara-suara ketawa walaupun adegan itu tidak lucu. Nasiblah mendapat audien yang tidak terdidik sebegitu.

Lakonan para pemain di paras biasa saja, tetapi yang bagusnya kerana mereka boleh berlakon. Kerana aku pernah menonton pementasan lain dengan para pelakon yang tidak boleh berlakon. Aku yakin tiada kajian yang mendalam tentang watak dan perwatakan kerana dilihat para pelakon hanya melontarkan dialog tanpa ekspresi wajah yang sesuai dan intonasi yang sepatutnya. Ini semua asas, sebab itu aku sebutkan di sini. Ada juga pemain yang bermasalah dengan lontaran suara walaupun lakonannya boleh dikira baik. Maka ini semua merencatkan rencana keseluruhan persembahan. Ini tidak termasuk permainan ruang. Mujur juga ada latar hias tangga (yang dikitar semula entah berapa puluh pementasan) yang membolehkan adanya permainan aras.

Beban keseluruhan, tentunya jatuh ke bahu pengarah, kerana aku melihat kurangnya kerja-kerja pengarahan. Terjemahan naskhah yang sangat longgar merudumkan keunikan cerita ini. Hatta kerap bermain dengan perlambangan, dan perlambangan itulah jika dipaparkan dengan jelas di dalam cerita ini, akan membuktikan pengarah bekerja. Jika tiada perlambangan pun, unsur-unsur extravaganza boleh diterapkan untuk menutup kekurangan lain. Maka itu akan menjadi kerja-kerja pengarah.

Mujurnya juga ini mungkin arahan pertama pengarah (kalau tak salah aku), maka banyak yang boleh dipelajari lagi. Nasihat aku, banyakkanlah menonton teater, maka minda kalian akan terbuka mengenai bagaimana mementaskan teater. Kerana yang paling penting adalah audien yang hadir itu berpuas hati dengan apa yang ditonton.

21 July 2010

Buku

Aku suka buku.

Aku suka membeli buku dan membaca buku. Tapi itu sekarang, dulu waktu muda remaja belia, malas nak mampus! Yang kerap aku baca ialah komik kepahlawanan Hong Kong seperti Pedang Setiawan, Raja Rimba, Alam Perwira, Teman Pendekar Helang Sakti dan beberapa lagi tajuk yang aku dah tak ingat. Kalau buku tebal-tebal ni, malas nak mampus walau aku tahu aku suka membaca.

Sekarang ni dah suka, mungkin kerana aku mampu untuk membeli buku yang berharga RM50.00 ke bawah sekali beli. Tapi malangnya, sekarang aku lebih suka membeli kerana masa untuk membaca itu tak ada. Kalau di pejabat, terasa rugi nak membaca buku kerana banyak masa yang aku boleh gunakan untuk selesaikan kerja yang berlonggok.

Hasilnya, banyak buku yang aku beli tak terbaca. Jadi hiasan saja. Kalau sesiapa di antara kalian yang ada tips untuk terus rajin membaca, hulur-hulurkanlah. Aku bukan jenis naik kapal terbang yang ada masa baca dalam pesawat. Atau naik kereta berjalan jauh berjam-jam. Kalau ada pun, aku sendiri yang perlu bawa kereta tu.

Tolong, hulurkanlah bantuan.

19 July 2010

Antara Gadis

Apa yang akan kalian fikirkan, sekiranya.....

Melihat seorang gadis cantik manis berbaju sendat spagheti menampak lurah payudara, sedang menelaah dengan tekun buku-buku agama di sebuah kedai yang menjual buku-buku dan kaset bercorak keagamaan.

Atau sekiranya kalian melihat......

Seorang gadis yang cantik manis, berbaju kurung bertudung litup, sedang membelek-belek dengan tekun DVD cetak rompak cerita x-rated di sebuah kedai menjual DVD cetak rompak.

Otak, mulakan kerja!

15 July 2010

Buat Kerja Tak Fikir Dulu

Dah buat bangunan, tak buat tempat letak kenderaan. Bila orang parking tepi jalan, menyusahkan semua orang.

Nak suruh orang kongsi kereta (car pool), tapi suruh orang tu kerja lebih masa. Habis tu orang yang kongsi kereta tu nak balik macam mana?

Inilah kalau buat kerja tak fikir dulu.

13 July 2010

Paul & PRU

Agak-agaknya Pilihanraya Umum akan datang, Paul akan diimport tak?

12 July 2010

Sotong dan Cawan Dunia

Mungkin orang berasa pelik. Ketika berjuta umat manusia menonton perlawanan akhir World Cup antara Belanda/Holland/Netherlands (mana satu nak pilih ni?) dengan Spain/Sepanyol, aku sibuk bertarung di Golmore Jungle dengan raksasa Elder Wyrm penuh magis yang menyusahkan hidup aku sejak Sabtu lagi.

Suka sotong goreng tepung? Mujur Paul dapat meneka dengan betul Spain/Sepanyol yang akan menang. Kalau tidak, harus Paul dah digoreng tepung!

Komentar Untuk Monolog Anak Kecil Main Api

Antara komentar tentang Anak Kecil Main Api yang dapat aku temui.

Muzlia

28 June 2010

Sebut Sekali, Sebut Dua Kali

Ada benda sebut sekali boleh makan, sebut dua kali tak boleh makan.
Contohnya, kacang dan kacang-kacang.

Ada benda sebut sekali tak boleh makan, sebut dua kali boleh makan.
Contohnya, habuk dan abuk-abuk (nak sebut habuk-habuk pelik pula rasanya).

Kalian ada contoh lain?

Hati dan hati-hati, kata Halogamora

22 June 2010

Orang Kita Malas Membaca

Itulah yang paling sinonim dengan orang kita, dari dulu hingga kini. Katanya orang kita cuma membaca dua buah buku saja setahun. Mungkin jumlah itu dah meningkat, tapi berapa banyak? Dua setengah? Tiga suku?

Tak bolehlah kalau nak menyalahkan orang kita dengan begitu saja. Kerana aku rasa sifat ini diwarisi hasil daripada dua senario.

Senario 1
Dari dulu lagi masyarakat kita kaya dengan budaya lisan. Penglipurlara seperti tok selampit, awang batil menghiburkan masyarakat melalui cerita lisan. Kemudian kalau cerita turun temurun pun diturunkan secara lisan, sama ada salasilah keluarga, cerita rakyat dan sebagainya. Mana ada cerita yang diturunkan secara bertulis. Mungkin itu salah satu sebabnya.

Senario 2
Selepas kedatangan aksara jawi, orang kita sebenarnya telah kaya dengan ilmu kesusasteraan dan penulisan. Mungkin budaya membaca pada waktu itu masih tidak meluas. Kalau ada pun mungkin membaca kitab suci Al-Quran atau kitab-kitab lama seperti Kitab Kuning dan Tajul Muluk. Aku melihat, kalau keadaan ini berterusan, kita sekarang sudahpun ada budaya membaca pada masa kini. Tetapi bila penjajah British datang, mereka inilah yang merencatkan kembara ilmu orang kita. Pada awal kedatangan British, Stamford Raffles sendiri dikatakan terpaksa belajar Jawi untuk berurusans secara rasmi dengan institusi di Raja. Tapi sebelah campur tangan mereka dan bermulanya sistem Residen, orang kita terpaksa mula belajar kembali bahasa Roman atau Rumi. Gangguan ritma ini telah merosakkan minat membaca orang kita.

Kalau kalian ada telahan lain, mungkin kalian boleh beri komentar.

07 June 2010

Kereta Mat Amin

Mat Amin bukanlah cerdik sangat. Periksa SPM dia cuma dapat pangkat 2. Tapi itu dah dikira pandai gila kalau di kampung dia tu. Sebab ramai yang dapat pangkat 3. Pangkat 1 adalah juga beberapa orang.

Lepas SPM Mat Amin ke bandar untuk cari kerja. Pendek cerita, berkat usaha gigih Mat Amin kerja halal, dapatlah Mat Amin beli kereta. Maka Mat Amin pun bawa balik kereta ke kampung nak tayang pada keluarga, kawan-kawan dan awek-awek kampung.

Tapi apa yang Mat Amin dapat hanyalah hilai ketawa kawan-kawan dan senyum sinis awek-awek. Kereta kancil gear manual second hand Mat Amin masih belum dapat menarik hati orang kampung kecuali keluarga Mat Amin.

"Tak apalah Amin, ada kereta pun dah syukur." kata bapa Amin.

"Tapi orang lain tak bersyukur abah...." protes Amin.

"Tak apa, biarkan saja. Abah pinjam kereta kau boleh Amin? Nak bawa orang pergi solat mayat." pinta bapanya yang lebih kepada arahan.

Memang selalu kereta Amin dipinjam oleh bapanya kalau dia balik kampung. Kadang-kadang adik perempuan Amin akan gunakan kereta itu juga untuk belajar memandu kereta. Dia tidak kisah sangat. Memang pun untuk kegunaan keluarganya juga. Nak harapkan Mazda buruk bapanya tu, jauh mana sangat boleh pergi.

Tapi nun di sudut hati Mat Amin, dia menyimpan impian dan hasrat untuk membuktikan kepada orang kampung terutama kawan-kawan dan awek-awek kampung yang dia boleh pakai kereta yang lebih hebat. Maka tiap kali balik ke bandar, Mat Amin akan ikat perut. Mat Amin akan kerja separuh masa. Mat Amin berniaga itu dan ini. Mat Amin siap masuk skim cepat kaya dan MLM. Dan selepas beberapa tahun saja, Mat Amin telah berjaya.

Musim buah Mat Amin balik dengan Mercedes recond. Sebab kereta tu recond, nampak macam baru. Nombor plet pun baru, bukan nombor second hand. Maka terbeliaklah mata kawan-kawan yang dulu mengutuk mengata. Mat Amin siap sedia geran lagi untuk ditunjukkan pada kawan-kawan, sebagai bukti itu bukan kereta pinjam. Awek-awek kampung tak henti-henti senyum bila tengok kereta Mat Amin. Bila Mat Amin menurunkan cermin gelap sisi pemandu, senyum mereka terus lekang, dek malu pada Mat Amin.

Pagi itu, Mat Amin cari kereta dia, "Mak, mana kereta Amin?"

"Abah kau pakai." jawab emak Amin sambil menyiang ikan bunga air.

"Ada mayat lagi ke mak?" tanya Amin lagi.

"Eh, taklah, katanya dia nak ke dusun." bingkas emaknya.

"Dusun!?" Amin dah tak sedap hati. Terus dia capai kunci motor buruk bapanya yang selalu digunapakai ke dusun. Raga pun tak buang. Mat Amin segera menunggang ke dusun.

Kereta Mat Amin tak ada, "Sah! Jahanam kereta aku!"

Mat Amin memecut ke pekan kecil di sebelah kampungnya. Ke tempat yang selalu disinggah oleh bapanya untuk minum kopi dan menjual buah-buah kayu hasil dari dusun. Dan bila sampai ke situ, Mat Amin macam nak pengsan.

"Abah! Itu kereta Mercedes abah, bukan Kancil. Abah bawa durian untuk di jual pakai kereta Mercedes saya tu abah!"

"Syyyyy.... abah pun nak tunjuk jual durian pun boleh pakai Mercedes." bisik bapanya perlahan.

Dan ketika itu Mat Amin dah ternampak kembali hilai tawa orang kampung kepadanya.

03 June 2010

Pandai Cakap, Tak Pandai Cakap, Pandai Kerja, Tak Pandai Kerja

Dalam persekitaran hidup kita ini, kita akan bertemu ramai orang, dan kita memerlukan ramai orang. Ada orang yang pandai buat kerja tapi tak pandai bercakap. Ada yang pandai bercakap tapi tak pandai buat kerja. Ada yang pandai buat kerja dan pandai bercakap. Dan ada yang tak pandai kedua-duanya.

Bila pandai buat kerja tapi tak pandai bercakap, selalunya orang ini akan rugi sedikit dari segi masa. Kerana kemampuan mereka untuk maju ke depan, tidak kiralah dari segi ekonomi, tugas, perkembangan kendiri dan sebagainya, akan agak perlahan. Kerana kita memerlukan masa untuk mengenali orang yang sebegini, yang kita nampak ada kebolehan untuk buat kerja. Dan biasanya kita akan mengambil masa untuk menghargai mereka.

Yang tak pandai buat kerja tapi pandai bercakap, inilah golongan yang paling celaka. Biasanya mereka akan menggunakan kebolehan bercakap mereka untuk mengabui mata kita. Dan kalau mereka memang betul-betul pandai bercakap, walaupun kerja tak jadi, kita akan tetap mempercayai mereka. Berulang kali kerja tak siap pun, dek kebolehan mereka meyakinkan orang, maka mereka akan terus dipercayai.

Golongan yang tak pandai bercakap dan tak pandai buat kerja, aku tak dapat komen. Kerana golongan ini akan rugi semua. Tetapi kebiasaannya pasti ada kerja-kerja ringkas yang dapat mereka lakukan juga.

Dan yang pandai bercakap dan pandai buat kerja, golongan ini kita perlu lihat pada nawaitu mereka. Kalau baik niatnya, bahagialah dunia. Kalau buruk niatnya, deritalah sebahagian daripada kita dan bahagialah sebahagian lagi.

19 May 2010

Cerita Lembu

Lembu punya susu, sapi dapat nama.

Tak apalah, satu spesis jugak.

Tapi kalau babi yang dapat nama? Macam mana?

17 May 2010

Litar Lumba Motor Untuk Mat Rempit?

Entri ini tidak berbau politik langsung. Cuma aku memberi komentar dari segi pandangan manusia biasa yang cuba menyelami sosio budaya mat rempit. Dan aku juga tidak merujuk mat rempit itu kepada semua mat rempit atau mereka yang membawa motosikal dengan laju. Aku tidak tahu sejauh mana kebenaran berita ini kerana AFP melaporkan Kelantan akan membina litar lumba motor untuk membawa mat rempit di sana berlumba di litar. Tapi kiranya benar, apakah akan berjaya rancangan itu? Aku agak skeptikal, kerana modus operandi yang sama pernah dilakukan di Litar Batu Dua Shah Alam, yang kini aku tidak tahu sejauh mana kejayaannya.

Aku bukan mat rempit, jadi aku tidak boleh menyelami hati dan jiwa mat rempit. Persoalan kenapa mereka merempit (kini samseng jalanan), masih tidak dapat dijawab kecuali oleh mereka sendiri.

Pemerhatian aku, mahukah mereka merempit di sebuah litar yang mungkin jauh dari kawasan yang selesa bagi mereka? Di pekan-pekan, di situlah titik panasnya; mudah untuk mereka tiba dari kawasan rumah mereka dan juga mudah untuk mereka melarikan diri kalau ada operasi.

Dan mana thrillnya berlumba kapcai (kapcai pun dah cecah 135cc) di sebuah litar. Tak boleh nak selit-selit antara kereta. Awek-awek pun tak boleh nak ushar (tengok). Kalau di litar, agak susahlah awek-awek ini nak berkumpul kerana pastinya lokasi litar itu akan dipantau oleh pelbagai pihak berkuasa.

Merempit bukan sekadar berlumba. Kerana merempit adalah dunia mereka. Di situlah ada penyalahgunaan dadah, judi, arak, seks dan sebagainya (aku tidak merujuk kepada semua mat rempit). Sekiranya dilitarkan, maka yang wujud cuma lumba, dan tidak lengkaplah dunia itu. Berapa kerat sangat yang betul-betul berjiwa kental untuk berlumba? Kerana setiap perlumbaan pasti ada habuannya.

Ini pendapat aku. Pendapat kalian?

12 May 2010

Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 - Proses Ketujuh

Sepertimana yang diketahui, tahun ini tidak ada festival teater Malaysia peringkat kebangsaan, yang ada cuma manifestasi teater. 6 kumpulan terbaik NGO/IPT telah dipilih daripada semua johan peringkat negeri. Jadi tidak adalah kumpulan yang dapat mendabik dada kerana menang festival teater dan diiktiraf terbaik diantara terbaik.

Aku tak kisahpun siapa yang baik atau tidak. Kerana setiap pementasan itu pasti ada yang kurang dan lebih. Tertakluk kepada penonton yang datang, mereka akan melihat naskhah yang dipentaskan dengan rasa yang berbeza. Cuma aku dan rakan-rakan akan cuba memuaskan hati semua audien yang datang dengan mempasemborkan cerita yang kami bawa. Datanglah siapa saja, dengan tahap pendidikan yang bagaimanapun, cerita ini akan dapat difahami mengikut lapis-lapis yang berbeza.

Jadi bagi persediaan yang seterusnya, sebelum persembahan di Panggung Bandaraya DBKL pada 16 & 17 Oktober 2010, maka aku akan memulakan latihan yang seterusnya. Kalian akan dapat melihat proses ini berterusan di sini, dan boleh memberi komen atau pendapat tentang apa saja.

Kali ini aku akan mulakan dengan pemantapan watak. Kekurangan paling utama adalah pada perkembangan watak. Bantulah aku yang naif dan daif seni ini.

10 May 2010

L & M

Kalau sebut L & M, semua orang tahu.

Tapi kalau sebut Blok L & M, berapa kerat yang tahu?

Demam Badminton Datang Lagi

Dulu, kalau di kampung, bila datang musim badminton, semua orang main badminton. Aku tidak terkecuali. Memandangkan aku masih dikira budak-budak waktu itu, maka aku dah kawan-kawan tidak dibenarkan bermain di gelanggang badminton bersimen dan berjaring. Maka kami akan pakat ramai-ramai pergi bermain di masjid lama. Kami buat garisan sendiri, malah raket sendiri dari kayu. Kami kumpul duit beli bulu ayam (shuttle cock) dan main sampai lunyai, barulah beli yang baru.

Bila arwah ayah tengok aku minat bermain, maka dia benarkan guna raket Dunlop yang dia selalu pakai. Raket tu memang klasik, kerana diperbuat dari kayu, dan setiap kali lepas main, perlu diregangkan kembali menggunakan frame yang disediakan. Tapi aku cemerkap, lepas mai aku tak regangkan balik, hingga kedua-dua raket itu meleding/melengkung dan rosak. Namun arwah ayah tetap tak marah aku. Terima kasih ayah! Sekarang aku rasa menyesal pulak merosakkan raket yang payah nak jumpa tu.

Bila raket tu rosak, maka mak dan ayah belikan aku raket Pro Kennex. Harganya RM 15. Itupun aku dah seronok sangat. Walaupun ada sesetengah kawan-kawan yang datang mempamerkan raket Yonex dan Carlton yang maha ringan (dibuat dari karbon apa entah) dan beratus-ratus harganya, namun aku tetap dengan raket itu, kerana itulah pemberian ibu bapa aku. Bila tali putus, maka aku akan kayuh basikal ke sebuah kem Cina dan minta dipasang balik tali raket itu.

Bila dah masuk sekolah menengah, maka kami pun dibenarkan bermain di gelanggang badminton yang sempurna. Ada garisan, ada jaring, atau pengadil. Tapi selalunya kami sempat main petang saja. Sebelah malam, giliran golongan belia pula, kerana malam lebih sejuk dan ada lampu. Aku bersekolah asrama, jadi jarang jugalah aku bermain di kampung. Dan di sekolah aku lebih jarang bermain kerana aku dah tukar profesion ke sukan lain pula.

Aku doakan tahun ini Pasukan Piala Thomas kita beroleh kejayaan. Kalau nak tewas pun, biarlah bermaruah.

06 May 2010

Sindo Sama Cinderella?

Dalam entri yang lepas aku memberikan rebiu yang ringkas tentang permainan mak yong yang dipentaskan oleh pelajar Aswara. Dan di dalam entri itu aku ada membangkitkan hal cerita mak yong ini yang mungkin merupakan cerita saduran Cinderella.

Maka aku pun berbuallah dengan Che Mat Jusuh, antara tokoh dan penggiat seni tradisional yang dihormati di Malaysia ini, tentang perihal ini. Beliau sendiri tidak pasti tentang perkara ini kerana sejak dari dulu lagi (sejak mula beliau menonton mak yong) iaitu pada tahun 1960an, sudah ada cerita ini, cuma ejaan Sindo itu agak berbeza. Dan beliau sendiri tidak pasti sama ada cerita ini adalah cerita saduran atau tidak. Yang pasti, cerita ini bukanlah terdiri dari 12 cerita asal/cerita pokok mak yong, tetapi merupakan cerita tempelan. Maka ada kemungkinan juga Sindo adalah cerita saduran Cinderella, dan mungkin juga hanya kebetulan saja.

Kerana cerita ala-ala Cinderella ini telah wujud sejak zaman Greek lagi dan ada bentuk cerita yang sama di kalangan masyarakat China dan juga Hikayat Seribu Satu Malam orang Arab. Cuma versi yang terkenal iaitu Labu dan Kasut Kaca (versi asal adalah kasut bulu, tetapi selepas tersilap terjemah ke Bahasa Inggeris, ia menjadi kasut kaca) oleh Charles Perrault, 1697, menyebabkan Cinderella dikenali di seluruh dunia.

Jadi perbezaan selama 300 tahun memungkinkan Cinderella disadur menjadi Sindo. Tetapi pada masa yang sama, mungkin juga orang yang membuat versi asal Sindo tidak pernah mendengar tentang Cinderella, tetapi cuma menggunakan imaginasi untuk menghasilkan cerita sebegini. Kerana cerita dongeng Melayu dahulu kebanyakannya juga berbentuk begini seperti Bawang Putih Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup dan sebagainya.

Kalau kalian ada maklumat yang lebih lengkap dan tepat, harap dapatlah dikongsi di sini.

30 April 2010

Ulasan Yang Terpulas - Mak Yong Sindo

Ulasan ini tertangguh lebih kurang seminggu dari tarikh aku menontonnya. Sebab utama ialah aku ingin mencari kebenaran, apakah benar cerita mak yong ini saduran cerita Cinderella. Kerana Sindo itu sendiri seperti bunyi sebutan bahasa Kelantan untuk Cinderella. Ceritanya juga seperti cerita Cinderella, yang dianiaya oleh ibu tiri, kemudian dibantu oleh pari-pari dari kayangan dan akhirnya berkahwin dengan Raja Muda. Tapi aku belum sempat mendapatkan kebenaran lagi. Mungkin selepas ini aku akan bercakap tentang ini lagi.

Tidak banyak yang aku boleh komen dari segi struktur persembahan kerana aku bukanlah penggiat teater tradisional, khususnya mak yong. Namun beberapa penggiat mak yong yang aku bawa bersama ada memberi beberapa komen yang aku kutip dan rumuskan bersama.

Aku menonton persembahan selama dua malam daripada 3 malam. Itu pun setelah diketahui bahawa pemain untuk malam kedua berbeza dengan pemain pada malam pertama, dan ramai tetamu yang hadir bersama dengan aku tak lepas angin menonton pada malam pertama. Pak yong pada malam pertama lebih auranya berbanding pak yong pada malam kedua. Namun peran pada malam kedua lebih teratur dan kurang main-main berbanding peran pada malam pertama. Cuma peran pada malam kedua adakalanya agak keterlaluan kerana mengetuk kepala masing-masing seperti Three Stooges lagaknya. Kerana di dalam budaya Melayu, kepala itu diletakkan nilai yang tinggi. Bila masing-masing asyik tidak mengalah mengetuk kepala masing-masing, maka nilai itu jatuh.

Kalau di dalam Ghazal Party atau Mek Mulung, kehadiran transseksual atau mak nyah adalah sebahagian daripada penyeri acara. Tetapi aku tidak pasti apakah itu amalan di dalam Mak Yong juga. Tidak dapat dinafikan kehadiran mereka ini memang memeriahkan cerita, tetapi seeloknya dalam situasi yang terkawal. Aku secara personal tidak ada masalah dengan kehadiran mereka selagi mereka tidak mencacatkan cerita atau persembahan. Tetapi komentar dari orang lama mungkin sedikit berbeza.

Cuma yang paling pasti, pementasan ini seperti pementasan kawan-kawan. Ramai kawan-kawan yang hadir memberikan sokongan, adakalanya mengketawakan kawan-kawan yang berlakon kerana membawa karakter diluar kebiasaan dan mungkin juga terbawa karakter sendiri di dalam lakonan. Dan adakalanya kalau para pemain ini terbabas seperti lupa skrip, terlajak cakap loghat daerah sendiri dan adakalanya melakukan gerakan-gerakan yang kawan-kawan saja yang faham, maka berderailah gelak ketawa yang mungkin bagi aku tidak perlu.

Di sinilah dilihat audien yang tidak matang, sesuatu yang aku tidak jangkakan bila menonton di Aswara. Terutama pada malam pertama, apabila ada menonton yang mengulas setiap kali ada watak muncul sehingga menganggu ketenteraman audien lain. Setakat ketawa masih boleh diterima, tetapi menjadi pengulas tidak diundang, sungguh menyedihkan. Mujurlah audien pada malam kedua lebih tertib dan menghormati audien lain.

Itulah saja komen aku yang naif dan daif seni ini.

21 April 2010

Kualiti Atau Kuantiti

Dua perkara pokok yang menjadi persoalan sejak sekian lama, terutamanya kalau dikaitkan dengan audien teater.

Adakah kita mencari audien yang berkualiti atau audien dengan kuantiti?

12 April 2010

English Literature Zaman Sekolah Menengah

Aku tidak pasti tentang sekolah menengah lain, tidak kiralah di kampung atau di bandar. Apakah sukatannya sama atau berbeza. Tapi apa yang aku ingin ceritakan di sini ialah ialah Kesusasteraan Inggeris yang aku pelajari semasa di sekolah menengah.

Terus terang aku tak ingat sangat buku apa yang aku baca. Cuma ingat gitu-gitu saja. Masuk tingkatan 4 bila dah kena pilih aliran sastera atau sains, maka dah tak ada kesusateraan yang macam ni.

Tingkatan 1, aku di perkenalkan dengan sebuah buku biografi Tenzing Norgay, iaitu Sherpa pertama yang mengiringi Sir Edmund Hillary mencapai puncak Everest. Terus terang aku tak tahu langsung apa yang aku baca. Yang paling aku ingat cuma frost bite di kaki salah seorang dari mereka. Itu pun setelah diterangkan oleh cikgu aku. Maklumlah, budak kampung yang belajar Inggerisnya sekadar I Am He She It Is We They You Are. Bila masuk sekolah pekan ni, kena kejutan budayalah sikit. Dan sampai sekarang aku tak tahu langsung apa yang diceritakan oleh buku itu.

Masuk tingkatan 2, pun aku sudah tak ingat buku apa yang dibaca. Yang aku ingat, buku itu adalah buku berkaitan cerita Dewa Greek. Ada Medussa, ada Hades and The Boatman. Yang aku ingat cuma satu bahagian bila ada satu watak disumpah menjadi marmar. Itu pun sebab aku dan kawan-kawan merubah cerita itu dalam bentuk lagu dan aku gunakan lagu I Can't Dance oleh Genesis.

Masuk tingkatan 3, buku yang dibaca makin maju. Kami membaca cerita pendek oleh Edgar Allan Poe. Bagi siapa yang kenal Poe, pasti tahu ceritanya banyak berkisar mengenai kisah thriller, seram di zaman Victorian dulu. Cerita yang paling aku ingat adalah The Pit and The Pendulum. Itu pun sebab ada filem dengan cerita dan tajuk yang sama yang membolehkan aku faham cerita itu.

Bila dikenangkan balik, terasa rugi pula kerana tidak membaca habis semua buku-buku itu. Sekarang barulah tergedik-gedik nak membaca.

07 April 2010

Death Of Zeus - Chaos In Mount Olympus

Menonton Clash Of The Titan telah mengimbaukan kembali kenangan aku dan rakan-rakan ketika kami terpaksa menjadi bidan terjun menghasilkan persembahan teater dalam masa 3 hari dek kerana VIP dah confirm nak datang hari show satu mamat tu yang minit terakhir tarik diri.

Jadinya, dalam masa 3 hari, termasuklah hari show, kami membuat keputusan untuk mengadaptasi kisah Mayat. Kalau Mayat ni, dah beribu kali orang buat. Pelbagai era, pelbagai cara. Ada yang buat kisah orang gelendangan. Ada kisah pasca perang. Dan sebagainya.

Tapi aku memilih untuk mengadaptasinya menggunakan kisah dongeng Greek. Maka wujudlah watak Zeus sebagai mayat, Poseidon, Hades sebagai Orang Luar, Apollo, Ares serta Haesphestus. Kisahnya mudah, seperti mana Mayat, timbul konflik di mana mahu dikebumikan Zeus. Berlaku perebutan di antara Poseidon dan Hades yang menggilakan petir milik Zeus.

Adaptasinya longgar saja. 3 hari. Dan kami lebih fokus untuk buat orang ketawa. Dan kami berjaya.

05 April 2010

Aku dan Quentin Tarantino

Aku memang peminat Quentin Tarantino.

Bagi yang tidak kenal siapa itu Tarantino, beliau bukanlah adik beradik Tarantula, bukanlah pemain bola Serie A dan bukan pengusaha pizza. Beliau merupakan pengarah filem, penulis lakon layar, penerbit, sinematografer dan juga pelakon. Antara filem beliau seperti Reservoir Dogs, Pulp Fiction, Four Rooms, Kill Bill Vol. 1 & 2, Jackie Brown, From Dusk Till Dawn dan terbaru Inglourious Basterds. Antara semua filem itu, yang aku tak sempat tengok lagi cuma Reservoir Dogs dan Four Rooms.

Aku bukanlah orang filem. Jadi bila orang kata Tarantino ini suka buat pelik dengan menggunakan non linear storylines dan aestheticization of violence, maka aku telan saja. Tapi apa yang membuatkan aku tertarik dengan Tarantino, kerana beliau seorang yang berlainan di dalam biasa.

Cerita-cerita yang dibuat mungkin biasa saja; sama ada dari segi isu atau dari segi perwatakan. Tetapi perincian disesetengah adegan dan mis en scene yang luar biasa, buat aku tertarik dengan beliau. Bayangkanlah, dalam Pulp Fiction, nak membunuh seorang budak tu makan masa 15 minit dengan dialog yang berjela-jela namun masih dapat menarik perhatian aku. Aku ulang, perhatian aku, orang lain mungkin bosan.

Begitu juga adegan di kedai runcit stesen pam minyak di dalam From Dusk Till Dawn, di mana tokey kedai itu akhirnya di bunuh juga walaupun telah meyakinkan dengan baik kepada Syerif yang singgah di kedai itu bahawa semuanya normal. Sembang punya sembang punya sembang, powww! Berderau darah.

Sebab itu aku percaya kepada lakonan yang baik, skrip yang baik dan pengarahan yang baik, boleh memaku kaki penonton. Dan Tarantino berjaya menonjolkan kelainan di dalam kebiasaan.

02 April 2010

Ketawa

Aku suka buat orang ketawa...

tapi....

Aku tak suka diketawakan.

30 March 2010

Lembu

Kata orang, kalau dah bunuh lembu, kenalah buat burger.

26 March 2010

Junjung Batu

Kerap kali aku merasakan aku menjunjung batu yang berat dan besar di atas kepala otak aku.
Mahu tak mahu aku terpaksa junjung juga, biarpun macam nak patah tengkuk, biarpun sampai sakit kepala.
Aku cuma harap aku boleh bertahan dan bertahan.

25 March 2010

JADUAL BARU Maniefstasi Teater Kebangsaan 2010 (Tertakluk Kepada Perubahan)

Untuk melihat JADUAL BARU, sila lawati Bakawalee-Te.Ta.Mu.

Tarikh untuk Bakawalee's Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 ialah pada 16 & 17 Oktober 2010 di Panggung Bandaraya KL (dekat Bangunan Sultan Abdul Samad).

23 March 2010

Jadual Persembahan Teater Festival Rintis - IN di USM

Untuk makluman kalian, jadual Manifestasi Teater Kebangsaan telah berubah secara mendadak. Akan aku paparkan kemudian. Namun, aku paparkan dahulu jadual Festival Pelajar Tahun Akhir Pusat Pengajian Seni USM a.k.a. Rintis - IN bagi persembahan teater.

Teater : Muzikal Puteri Hang Li Po
Tempat : Dewan Budaya, USM
Tarikh : 29 & 30 March 2010
Masuk : Ada bayaran, aku tak tahu berapa.

Teater : Happening In The Bungalow
Tempat : Esplanade, Padang Kota Lama
Tarikh : 3 April 2010
Masuk : Ada bayaran, aku tak tahu berapa.

Teater : Muzikal Uda & Dara
Tempat : Panggung Pelenggang Cahaya USM
Tarikh : 5 & 6 April 2010
Masuk : Ada bayaran, aku tak tahu berapa.

Teater : Makyong Anak Raja Gondang
Tempat : Panggung Pelenggang Cahaya, USM
Tarikh : 8 & 9 April 2010
Masuk : Ada bayaran, aku tak tahu berapa.

10 March 2010

Tak Dapat Konek

Di sebuah pejabat, seorang pekerja wanita bercakap kepada seorang teman pekerja wanitanya, sambil didengari secara curi oleh seorang pekerja lelaki yang miang.

Wanita 1 : Aku ni dah 3 hari tak dapat konek.

Wanita 2 : Eh, semalam aku dapat konek ok je.

Wanita 1 : Benci betul, bila masa kau dapat konek?

Wanita 2 : Waktu rehat. Mana ada orang kat opis waktu tu.

Kemudian Wanita 2 pergi meninggalkan Wanita 1. Lelaki miang merapati.

Lelaki Miang : Aku dengar kau tiga hari dah tak dapat konek.

Wanita 1 : Dengar pulak kau ni. Kenapa? Kau boleh tolong ke?

Lelaki Miang : Tolong bagi konek?

Wanita 1 : Yelah. 'konek'kan PC aku ni. Dah 3 hari aku tak boleh Facebook ni.

Lelaki Miang : Lain kali sebut betul! Connect bukan konek!

Wanita 1 : ???

08 March 2010

19 February 2010

Teater Monodrama 'Manusia Raja 2'

Manusia Raja 2 datang lagi dengan gandingan pelakon baru dan lama.
Akan membawakan lima monolog.

Anak Kecil Main Api
Kisah anak kecil yang melarikan diri kerana membakar kandang babi dan menyebabkan kampungnya juga terbakar.

Dalang Songsang
Melihat isi hati wakil sindiket yang memporak-perandakan dunia.

Selamat Datang
Cerita dilema seorang pekerja kaunter perkhidmatan restoran makanan segera.

Komunikasi
Merenung kegusaran seorang tokoh korporat yang diperas ugut.

Kegigihan Seorang Bakal Artis
Bagaimana seorang bakal artis meyakinkan semua bahawa dia adalah yang terbaik.

10 February 2010

Titik

Hati aku, penuh dengan titik-titik.
Macam ni.

..................

09 February 2010

Tukang Masak

Tukang masak kerja sangat enteng,
Bangun pagi masak nasi goreng,
Campur cili campur udang kering,
Bila makan mata naik juling.

Itulah antara bait-bait lagu P.Ramlee tentang tukang masak. Realitinya, kerja tukang masak tidaklah semudah itu. Malahan tukang masak ada kelas-kelasnya tersendiri. Dari tukang masak di rumah, sehinggalah ke restoran-restoran besar atau hotel-hotel yang sekali makan sama macam sekali buat kenduri arwah.

Dan tukang masak ni, pastinya ada yang pandai masak, ada yang pandai-pandai masak. Maka terhasillah makanan yang adakalanya sedap giler bak kata orang muda sekarang atau yang memang haram tak sedap.

Bagi aku, ada dua cara saja kalau mahu masak makanan yang sedap.

Yang pertama, tukang masak itu mestilah sudah tahu bagaimana rasa, bau tentang ramuan-ramuan yang nak dimasukkan ke dalam masakan. Contohnya kalau nak masak burger. Biasanya yang digunakan ialah marjerin, dan perkakas lain seperti sos cili, sos tomato, salad, kobis dan sebagainya. Malahan kini, sudah diletakkan sekali sos lada hitam sebagai penambah rasa. Kalau tukang masak itu tahu bagaimana rasa bahan-bahan lain yang boleh digandingkan ke dalam masakan burger itu, pastinya tukang masak itu boleh mencuba. Contohnya sekiranya salad itu digaulkan dahulu dengan sos beribu pulau (thousand island le tu), salad dressing dan sebagainya, mungkin akan menghasilkan rasa yang berbeza malahan lebih enak. Atau pun dengan meletakkan paprika atau garam masala, mungkin rasa daging itu akan lebih sedap.

Maksudnya, tukang masak yang baik, melihat bahan-bahan dan ramuan yang ada, walaupun mudah sudah tahu menghasilkan masakan yang sedap. Sebab itulah kari yang dicampurkan dengan bawang besar, rasanya lebih enak berbanding kari kosong.

Dan yang kedua, untuk menjadikan makanan itu enak, masaklah dengan hati (bukan hati ayam atau lembu) dan dengan niat untuk memberi orang makan. Maka InsyaAllah, makanan itu pasti akan sedap. Sebab itu, masakan ibu kita, jarang mengecewakan kita kerana ibu kita memasak kerana mahu memberi kita makanan yang terbaik. Begitu juga sesetengah tukang masak di kedai yang biarpun mahu berniaga, tetapi memasak kerana mahu memberikan masakan yang terbaik kepada pelanggannya, bukan masak sekadar masak mengikut sukatan ramuan.

Kalian cubalah, masaklah biarpun mee segera, kalau dengan hati yang ikhlas dengan niat memberi orang makan, maka makanan itu akan sedap.

03 February 2010

Kedai RM 3.35

Biasanya, warung siber akan menawarkan perkhidmatan internet dan permainan komputer dengan harga RM 2.50 sejam. Mungkin ada yang lebih murah, RM 1.50 sejam.

Tapi ada beberapa kedai di beberapa tempat yang aku lihat, bercermin gelap, betul-betul gelap, meletakkan RM 3.35 sahaja harganya di depan pintu. Tiada jumlah jam, tiada poster-poster permainan komputer, tiada promosi. Yang ada hanya RM 3.35

Aku musykil. Warung siberkah itu? Atau apa di sebaliknya?

26 January 2010

Kambing Hitam

Begitu mudahnya menyalahkan orang lain, terutama bila sesuatu kesalahan itu berlaku. Tidak kiralah apa jenis kesalahan.

Bas ekspress kemalangan, salahkan pemandu.

Kapal terbang terhempas, salahkan juruterbang.

Ekonomi meleset, salahkan ahli politik.

Harga barang naik, salahkan peniaga.

Remaja merempit dan seks bebas, salahkan mak bapak.

Pelajar gagal dalam SPM, salahkan guru.

Berlaku bala bencana dan musibah, ada yang sampai salahkan takdir malahan TUHAN!

Jadi, perlukah budaya salah-menyalahkan ini, yang kononnya melaksanakan hukuman terhadap orang yang salah agar dapat memberi pengajaran kepada yang lain. Bagaimana yang buat salah tapi sentiasa terlepas dari kesalahan?

Perlukah sentiasa ada orang atau sesiapa saja menjadi kambing hitam?

22 January 2010

Jadual Manifestasi Teater Kebangsaan 2010 (Tertakluk Kepada Perubahan)

Berikut disertakan jadual Manifestasi Teater Kebangsaan 2010. Bagaimanapun tertakluk kepada perubahan oleh penganjur. Lokasi bukan lagi di MATIC, tetapi di lokasi yang akan dimaklumkan kelak.

Kategori Kanak-Kanak

5 - 7 Jun 2010 (Sempena Festival Kesenian Kanak-kanak)
Lokasi belum ditentukan.
Perincian tarikh setiap grup belum ditentukan.

Kategori Monolog

Fitri Nadianti Zulaidy, Perak, Nur Issandra - 3 & 4 April 2010
Aura Production, Melaka, Denyut - 1 & 2 Mei 2010
Yayasan Pelajaran Johor, Johor, Lubang Neraka - 5 & 6 Jun 2010
Sekenet, Perlis, Anak Kecil Main ApiKelab - 3 & 4 Julai 2010
Kilat TNB, Kuala Lumpur, Kemarau Musim Tengkujuh - 2 & 3 Oktober 2010

Kategori NGO/IPT

Kirana Theatre Production, Pahang, Detik - 3 & 4 April 2010
Aura Production, Melaka,Gejolak - 1 & 2 Mei 2010
AKRAB, Kedah,Asy- Syura - 5 & 6 Jun 2010
Grup Teater Gerak Seni, Johor, Walinong Sari - 3 & 4 Julai 2010
Bakawalee Penang, Pulau Pinang, Dusta Pada Skala 1 Hingga 10 - 31 Julai & 1 Ogos 2010 (mungkin juga 1 & 2 Ogos 2010)
Grup Teater Aspek, Kelantan, Meigho - 2 & 3 Oktober 2010

19 January 2010

Nak Cari Kayu..... Nak Cari Kayu.

Beberapa minggu lepas, aku dan para sahabat teater Tanjung Penaga berkunjung lagi kesekian kalinya ke Teluk Duyung di Taman Negeri Pulau Pinang, yang lebih dikenal sebagai Monkey Beach.

Kali ni kami bermalam lagi di sana. Bila dah bermalam, aktiviti wajib tentunya mencari kayu api untuk unggun sebelah malamnya, buat habuan memanaskan diri dan menghalau nyamuk serta binatang-binatang yang tak berkenaan.

Maka aku, Shah Rukh Khan (bukan nama sebenar) dan Wira (bukan nama sebenar) serta beberapa lagi orang pun meredah hutan dan bukit berdekatan untuk mencari kayu mati. Cari punya cari, dapatlah kayu mati, kecil dan besar, dari ranting patah sampai ke dahan mati. Tiba-tiba Shah Rukh Khan memanggil aku dan Wira.

SRK : Oi, mai naik sat, aku jumpak pokok besaq punya.

Aku : Ninsat aku naik. Oi Wira, jom, SRK jumpak pokok besaq.

Maka aku dan Wira pun memanjatlah bukit dengan kecuraman 40 darjah. Bila sampai.....

Aku : Mana pokok besaq?

SRK : Ni!

Aku : Celaka hang! Ni Tongkat Ali!

SRK : Ha tunggu apa lagi, tolonglah aku cabut.

Dan aku berserta Wira pun mencabutlah pokok tongkat ali setinggi dada orang dewasa itu dengan penuh penyeksaan, demi kawan......

Berikut antara foto yang aku sempat ambil menggunakan kamera telefon beresolusi rendah.

Shah Rukh Khan sedang berusaha memotong dahan mati.

Jinggo dengan gagahnya mengangkat kayu mati yang baru saja aku letak di situ.



Mama cun dan awek comel.

Upacara pengebumian salah seorang ahli rombongan yang terlebih kenyang.

Sila sengetkan kepala atau monitor anda. Jinggo berusaha dalam pra-olimpik acara rebut gula-gula dalam tepung.

16 January 2010

Manifestasi Teater Malaysia 2010 (Dulu Dikenali Festival Teater Malaysia)

Berikut merupakan kumpulan yang layak ke Manifestasi Teater Malaysia 2010, dulunya dikenali sebagai Festival Teater Malaysia.

Kategori Monolog

Aura Production, Melaka, Teater 'Denyut'
Kelab Kilat TNB, Kuala Lumpur, Teater 'Kemarau Musim Tengkujuh'
Sekenet, Perlis, Teater 'Anak Kecil Main Api'
Fitri Nadianti Zulaidy, Perak, Teater 'Nur Iskandar'
Yayasan Pelajaran Johor, Johor, Teater 'Lubang Neraka'

Kategori Teater Kanak-kanak

Beringin Entertainment, Kuala Lumpur, Teater 'Beringin Merah'
Sekolah Kebangsaan Merbau, Kelantan, Teater 'Pesona Mimpi'
Persatuan Seni Budaya Warisan Jemari, Pulau Pinang, Kisah Si Semut

Kategori NGO/IPT

Kiranan Teater Production, Pahang, Teater 'Detik'
Aura Production, Melaka, Teater 'Gelojak'
Akrab, Kedah, Teater 'Asy-Syura'
Aspek, Kelantan, Teater 'Megho'
Grup Teater Gerak Seni, Johor, Teater 'Walinung Sari'
dan
Bakawalee Penang, Pulau Pinang, Teater 'Dusta Pada Skala 1 Hingga 10'

Tahniah! Dan selamat berjuang!

14 January 2010

Game

Kecil-kecil dulu waktu sekolah rendah, ada sebuah kedai yang menjual laksa, ais kacang serta makanan rapu yang lain. Yang bestnya, ada game Nintendo yang dipasang pada balang kacang. Game ni, cara mainya ialah dengan memasukkan dua kupang, kemudian dapat kacang, kemudian bolehlah main game tu sampai mati. Maksud aku sampai giliran dalam game tu mati. Biasanya 3 kali. Kalau kalian pandai main, bolehlah main game tu sampai habis. Tapi mahu ingat, sebelum mencapai tahap pro, mahu habis dulu duit tu dan mabuk kacang.

Bila dah nak dekat masuk sekolah menengah, dah gila main game atari. Game konsol guna tivi dan catridge. Ada kedai khas yang menawarkan game ni. Aku sanggup kayuh basikal dari kampung ke pekan kecil di tempat aku semata-mata menghabiskan duit di tempat tu. Game seperti Ninja Kage, Super Contra 2 mendominasi aku. Malahan aku pernah main habis Supercontra 2.

Dan selepas itu, permainan video arked pula menjadi pilihan. Aku sampai sekarang tidak pandai main Street Fighter 2. Zaman-zaman tu ada M. Bison, Blanka, Guile, Ryu, Ken, Chun Li, E- Honda, Vega dan Sagat. Lepas tu baru muncul King Of Fighter. Tapi aku lebih memilih game kapal terbang seperti Macross, Raiden dan sebagainya.

Lepas belajar di peringkat ketiga, barulah aku kenal dengan game komputer seperti Duke Nukem, Doom, Diablo, Red Alert, Need For Speed, Fifa dan Championship Manager. Di waktu kegilaan, pernah kawan-kawan aku tidak tidur dek bermain Championship Manager dan Red Alert. Waktu itu, permainan menggunakan kayu ria tidak popular, maka papan kekuncilah menjadi mangsa.

Dan waktu itu juga Playstation, Nintendo dan beberapa game bersandarkan tivi dah makin popular. Cuma aku saja tak biasa main, sampailah sekarang.

Jadi bila tengok sekarang ini ramai yang main game on-line, tambah lagi dengan PSP, dunia walaupun nampak makin global, tapi sebenarnya dah makin kurang berinteraksi secara sosial. Lagi 10 tahun entah apa bentuk game pulak yang akan keluar.