28 July 2007

Ulasan Yang Terpulas - Waktu Sesudah Itu

King Kong, telah dikitar semula. Poseidon, telah dikitar semula. Don, telah dikitar semula. Begitu jugalah keadaan teater ini, Waktu Sesudah Itu yang juga telah dikitar semula dari pementasan pada tahun 2000 di Kedah. Kedudukan setnya sama, kedai sebelah kiri pentas, rumah sebelah kanan pentas. Tapi yang istimewanya pementasan ini, kerana dari krew kepada pelakon, semuanya terdiri daripada orang muda, bak agensi modeling lagaknya.

Naskhah ini memang menarik, mengisahkan Nek Indun, seorang gelendangan yang pada asalnya seorang pejuang kemerdekaan. Hidupnya merempat, mengharapkan simpati Karim dan keluarga. Dia selalu mendambakan kopi Fauzi, yang bekerja di kedai kopi Bidin. Bila dia dicari, kerana ingin diberikan anugerah Srikandi Negara, barulah anak dan menantunya datang mencari. Visual Nek Indun terlena di kedai kopi Bidin.


Apa yang boleh aku puji pada kumpulan ini, ialah selain daripada pelakonnya yang layak masuk agensi modeling, mereka semuanya boleh berlakon. Tiada lakonan yang kaku atau dialog yang teratur lain macam, biarpun mereka ini kebanyakkan orang baru. Anomali yang paling besar, adalah pada pengarahan, teknikal dan pengurusan pentas. Visual Dato' Hassan dan Datin Limah, anak Nek Indun sedang bercerita kepada Karim dan Yati.


Mengarahkan sebuah karya yang banyak latar serta banyak kali tukar babak, memang sangat mencabar. Jika pengarah berkenaan bijak merancang, maka percaturannya akan menjadi dan persembahan itu akan jadi sempurna. Tapi jika sebaliknya, maka jahanamlah. Berlakon di dalam gelap adalah salah satu pantang larang di dalam pementasan teater. Keadaan sebaliknya jika pelakon sekadar membuat voice over di luar pentas, atau setidak-tidaknya voice over di dalam gelap. Tetapi jika ada aksi, reaksi dan dialog di dalam kawasan tanpa cahaya, maka ada yang tidak kena. Visual Fauzi cuba mengorat Suratman, orang yang mencari Nek Indun untuk dianugerahkan anugerah Srikandi Negara.


Begitu jugalah dengan pertukaran babak. Bila melibatkan set dan prop, sudah tentulah akan melibatkan tenaga kru. Tanpa raptai, keadaan boleh menjadi kelam kabut. Kontinuiti juga boleh lari jika pelakon tidak sedar apa yang mereka lakukan itu, boleh menyebabkan kru hilang punca, hingga tidak dapat membetulkan apa yang tidak kena. Perkara-perkara kecil seperti inilah yang boleh mencacatkan pementasan kerana menganggu konsentrasi audien. Audien akan mula ketawa dan tertanya-tanya. Visual Yang Berhormat, rakan seperjuangan Nek Indun sewaktu sebelum merdeka sedang memujuknya, yang sedang ditenangkan oleh Karim.


Tapi, walau apapun pendapat aku yang naif dan daif seni ini, aku tetap berasa mereka ini mempunyai potensi yang tidak terhingga, jika mereka sanggup duduk di dalam arena teater dan merasa sepak terajangnya. Pelapis seperti inilah yang sangat diperlukan. Aku harap kalian jangan berhenti setakat ini sahaja.

Selepas ini........ Sayang Sri Tanjung. Yang terakhir......................

26 July 2007

Ulasan Yang Terpulas - Ayu Si Puteh

Kalau di Tanjung, ABAD boleh dianggap sebagai kumpulan teater yang elit. Hadir mereka di pentas yang pastinya berkerusikan VIP. Kami kumpulan-kumpulan yang baru dan lama ini ibarat belalang di padang yang penuh helang. Jadi bila ABAD hadir dengan Ayu Si Puteh karya Senibayan arahan Azrul Azizi, mereka dinanti-nantikan. Dan sememangnya mereka tidak mengecewakan.

Membawa sebuah cerita yang mengisahkan pancaroba seorang janda beranak satu yang cacat, yang juga seorang primadona Mak Yong di kampungnya, yang terpaksa meneruskan sisa-sisa hidup dengan bermain Mak Yong. Suaminya seorang Peran, meninggal dalam kemalangan di laut, anaknya cacat, tidak dapat mewarisi titih Mak Yongnya. Dia sering diganggu oleh seorang lelaki yang menggilakannya. Penceritaan yang terus, adalah sebuah kisah tidak lengkap yang pada aku disengajakan oleh penulisnya, bagi mengajak audien berfikir, ke mana lagi Mak Yong ini boleh diwariskan. Visual Puteh, primadona Mak Yong sedang membayangkan ibunya Fatimah sedang menari Mengadap Rebab.


Kalau Resdong boleh hadir dengan produksi 7 hari, ABAD hadir dengan produksi 5 hari. Masih panas dengan sebahagian besar pelakon dan krunya terlibat dalam Bangsawan Bakawali di Panggung Bandaraya tempoh hari, mereka segera bertukar angin kepada Mak Yong di dalam produksi ini. Tidak sempurna, semestinya. Tapi tetap berlaku yang aku boleh katakan sebagai kesalahan, bukannya kesilapan yang dilakukan oleh pelakon. Ada ketika kontinuiti lari, ada ketika terkeluar perkataan moden, masalah overshadow dan sebagainya. Visual Sidin suami Puteh sedang menyanyikan lagu buat Puteh dan anaknya.


Naskhah ini dicincang oleh penulisnya sendiri. Memilih untuk memasukkan unsur kekaguman Mak Yong, suatu perkara yang agak sukar untuk dilakukan oleh kumpulan amatur yang lain di Tanjung kerana tiadanya kepakaran dan sumber. Selain daripada itu, mis en scene juga disusun, daripada penceritaan, komedi, ketegangan dan sedih. Ketara dalam setiap satu adegan. Suatu kerja yang play safe pada aku, cukup sesuai menarik perhatian audien dengan permainan emosi sebegini. Visual Puteh dengan anaknya Ayu yang cacat


Aku tahu, masa yang tidak mencukupi cukup mencacatkan perancangan Sutradara. Tapi sepatutnya sebagai sutradara, perancangan harus dibuat lebih awal. Tapi perlaksanaan juga tentunya mengambil masa. Kekangan-kekangan inilah yang wujud dan jarang diambil perhatian oleh kumpulan-kumpulan teater amatur. Ada yang sekadar melepaskan batuk di tangga. ABAD bernasib baik kerana mempunyai sumber dan kepakaran yang tidak terhad. Mereka ada adiguru teknikal, Mak Yong, tukang-tukang pembuat set, kru yang mencukupi, pelakon yang berbakat dan sebagainya. Pakej ini membolehkan ABAD tampil dengan meyakinkan walau tidak cukup latihan. Tapi kalau yang berbuat itu, sebuah kumpulan yang cuma ada pelakon atau ada pengarah sahaja, maka jahanamlah!

Tahniah kepada ABAD. Aku yakin, jika mereka bersungguh-sungguh dan ada masa latihan dan persediaan yang cukup, pementasan ini akan menjadi sangat mantap. Harapnya jika mereka menjadi juara, berusahalah bersungguh-sungguh ke peringkat kebangsaan. Dan gagaulah sekali lagi piala untuk Tanjung, seperti mana mereka dah buat tahun 2002.

Seterusnya............ Waktu Sesudah Itu.

24 July 2007

Hibernisasi

Devian Dogma melabuhkan tirainya untuk separuh penggal tahun ini. Kiranya ada rezeki, maka akan sampailah kami ke Ganu dan KL.

Semalam pementasan yang terakhir, maka aku tak dapat buat ulasan untuk Mabuk.


Maka hari ini rasmilah pasukan Devian Dogma berhibernisasi sehingga dikejutkan.

22 July 2007

Ulasan Yang Terpulas - Telefon





Persembahan yang juga menghiburkan dan ada potensi. Pun aku tidak boleh mengulas banyak kerana sedang menyiapkan pementasan Devian Dogma di Dewan Budaya, USM. Pementasan pada malam ini dan malam berikutnya.
Seterusnya..... Kerana Cinta... ehh... Mabuk... eh... Kerana Cinta Mabuk... eh... Mabuk Kerana Cinta..... ehhhh... Kerana Mabuk Cinta...... ehh.....

21 July 2007

Kawad

Aku sedang lepak dengan para sahabat. Ada beberapa orang individu dalam badan beruniform sedang berkawad.

Arahan : Ke kanannnnnnnn lulus!

Aku dan sahabat dah nak ketawa.

Arahan : Pantang depan!

Aku dan sahabat bergolek-golek ketawa.

Ulasan Yang Terpulas - Salah Siapa





Salah Siapa. Tak sempat mengulas kerana sibuk dengan persiapan pementasan Devian Dogma di Dewan Budaya USM. Secara ringkasnya aku kagum dengan kumpulan ini. Walau tidak sempurna, mereka tidak menarik diri dan tetap meneruskan persembahan. Persembahan mereka juga baik. Tahniah!
Seterusnya........ Talipon.

18 July 2007

Devian Dogma - Imejan Tertangguh











Tiada kata dan nada diperlukan. Komentar kalian?

Ulasan Yang Terpulas - Titik Mula Titik Akhir

7 hari. Apa yang kalian boleh buat dalam masa 7 hari? Pergi melancong? Buat umrah? Nikah lepas tu cerai? Mencari mangsa yang hilang? Apa-apa saja. Tapi bagi kumpulan Resdong, Naib Johan Festival Teater Malaysia 2006, dalam masa 7 hari mereka berjaya menghasilkan satu pementasan yang memikat. Resdong telah mementaskan Titik Mula Titik Akhir karya AB Noor, arahan Ahmad Shazli.

Kehebatan Resdong terletak pada bakat semulajadi para pelakonnya yang tidak memerlukan latihan yang banyak untuk menghidupkan watak di pentas. Tapi malangnya, bagi sebuah produksi 7 hari, pasti terwujud banyak kelemahan terutamanya dari segi komposisi pengarahan. Dan yang paling ketara adalah apabila Ahmad Shazli sendiri bertindak sebagai pelakon, mengakibatkan makrifat pengarahan beliau menjadi kabur kerana beliau sendiri berada di atas pentas. Visual menunjukkan empat watak yang berada di ruang kehidupan mereka.


Ada empat watak, tapi disebabkan penarikan diri salah seorang pelakon di saat akhir telah menyebabkan perubahan yang major di dalam susunan watak. Akibatnya, berlakulah dominasi tiga watak yang secara tidak langsung telah memakan watak yang keempat. Satu kerugian yang besar, kerana aku lihat watak keempat juga tidak kurang hebat lakonannya. Visual ketua kampung cuba merogol isteri salah seorang anak buahnya.


Naskhah ini melibatkan perubahan babak. Dari gelendangan ke kawasan kampung ke kawasan pejabat ke kawasan gelendangan kembali. Resdong telah memilih agar perubahan pada watak itu hanya berlaku di dalam pemikiran para pelakonnya. Dengan menggunakan bahan-bahan buangan dan sampah yang ada, maka mereka telah mencipta dunia mereka sendiri. Tetapi anamoli yang terlihat adalah pada pencahayaan dan watak keempat. Bila watak keempat tidak di bawa masuk ke dalam dunia ciptaan mereka ini, perubahan pada pengcahayaan seperti tidak ada kontinuiti dengan watak. Visual watak keempat sedang mencetuskan rasa lapar bagi menghalang watak kedua dan pertama bergaduh.


Sebab itulah, aku kira, jika Resdong tidak berlatih hanya 7 hari, tetapi 7o hari, maka akan hadirlah tahap hampir sempurna seperti yang telah mereka capai dalam pementasan mereka sebelum ini iaitu Jebat. Tidaklah aku salahkan mereka, kerana sebagai penggiat amatur yang punya kerja hakiki yang lain, fenomena seumpama ini sukar untuk dielakkan. Walaupun yang bermain teater ini bukanlah orang yang ada ilmu khusus di dalam bidang teater, tetapi yang penting mereka mahu buat, daripada pandai bercakap saja tapi satu apa pun tak ada. Visual setiausaha sedang menjelaskan jadual harian kepada boss di pejabat korporat.


Bak motto kumpulan Resdong, 'Hangpa ada degree, kami ada li!'. Mereka terus berjuang walau dengan ahli yang macam biskut. Sekejap ada, sekejap tak ada. Dan mereka tidak sombong bila berkongsi ilmu dengan orang lain yang mahu belajar. Resdong masih kekal dengan imej teater itu keseronokan. Cuma aku harap, walaupun berseronok, tetapi jangan pula terlebih main-main. Kerana main-main itulah yang akan menjahanamkan kualiti pementasan.

Seterusnya....... Salah Siapa?

16 July 2007

Ulasan Yang Terpulas - Ludin

Ini baru pementasan yang ke-7. Ada lagi 6 pementasan sedang menanti untuk ditonton dan dinilai. Tahun ini memang banyak betul kumpulan baru, yang baru pertama kali menyertai festival teater, dan juga baru pertama kali mementaskan teater. Kumpulan yang di bawah ini juga salah satu daripadanya. Dari Kolej SEGI, mereka bermula dari kosong. Tapi berkat minat, kesungguhan, komitmen mereka dan jurulatih mereka, maka tidak malu aku katakan mereka telah membuat satu persembahan yang lebih baik daripada sesetengah kumpulan lain yang terlebih dahulu menyertai festival teater.
Aku boleh katakan, para pelakon mereka semuanya berbakat. Lakonan yang tampak natural. Sebagai orang baru, pastinya banyak khilaf yang melanda tapi itu semua boleh diterima. Permainan ruang mereka baik, cuma kadangkala karakter mereka itu tidak meyakinkan dan banyak kalanya mendatar. Kerap menonton persembahan lain akan membantu meningkatkan ilmu mereka. Visual Ludin bertemu dengan puteri yang mengajaknya tinggal di negeri Tra La La Hi Hi Hi.


Satu perkara yang istimewanya tentang pementasan ini ialah pemilihan campuran warna lampu yang membantu membangkitkan mood. Warna yang digunakan tidak mendatar dan dipelbagaikan. Tetapi kekurangan yang ketara aku lihat di sini ialah kontinuiti kesan dari kehadiran pelita ayam. Pada awal adegan, cahaya dikurangkan pada katil Ludin, tapi diterangkan apabila kakaknya Limah membawa pelita ayam. Tapi apabila pelita ayam itu kekal, lampu pada Ludin kembali digelapkan bila kakaknya keluar. Mungkin pengarah ada sebab tersendiri. Visual Tok Bageh dan Tok Minduk mengubati Ludin.


Bagi sebuah kumpulan yang baru, hasil yang telah mereka tunjukkan harus dipuji. Mereka ada di antara dua, komitmen dan berseronok. Naskhah Ludin oleh Abdul Aziz HM merupakan hasrat beliau untuk menunjukkan perubatan itu sendiri di samping menyelitkan jalan cerita dan sedikit humor. Sebagai pengarah baru, rasanya beliau tidak begitu jelas tentang tuntutan naskhah. Tapi memetik kata-kata Dr. Samat Salleh, kalau dah nak cincang, cincang betul-betul dan rempangkan betul-betul. Jangan buat separuh masuk. Visual Ludin dan doktor, yang memberikan ubat yang pelik-pelik seperti lumpur, tahi kambing dan sebagainya.


Untungnya kumpulan ini kerana mempunyai koleksi para pelakon yang berbakat. Lakonan mereka tidak kaku seperti batang pisang. Kalau dilatih lagi, ada mempunya peluang untuk membuat pementasan lagi, aku yakin mereka akan dapat menyaingi barisan pelakon senior yang ada. Asalkan ada kemahuan, ada komitmen dan tidak berhenti sekerat jalan. Visual Ludin bersama kakaknya Limah yang membawa ubat untuk adiknya yang demam.


Tahmiah sekali lagi untuk kumpulan ini. Aku harap kumpulan dari Kolej ini akan meneruskan perjuangan di dalam bidang teater, meskipun aku tahu para ahlinya akan datang bersilih ganti. Jangan tunggu festival, buatlah show tahun hadapan.

Seterusnya....... Titik Mula Titik Akhir oleh Naib Johan Festival Teater Kebangsaan 2006.

13 July 2007

Devian Dogma - Bukan Sebuah Ulasan

Aku lega. Ya, Devian Dogma telah selesai dipentaskan di Auditorium P.Ramlee sebagai salah satu tuntutan Festival Teater Pulau Pinang. Kalau selalu yang menilai terdiri daripada audien yang menonton. Tapi kali ini bukan sekadar audien, tetapi juga panel penilai profesional.

Ada beberapa perubahan yang aku buat pada set, pada corak pertukaran babak dan kostum. Tapi konsepnya masih sama. Aku juga berhasrat untuk memantapkan lagi lakonan para pemain. Tetapi aku hanya mampu merancang.

Salah satu watak utama telah cedera parah di bahagian lutut semasa latihan. Memaksa aku membekukan latihan selama seminggu, selain daripada mengurangkan impak dan pergerakan yang agresif, di mana telah mengubah serba sedikit skema pengarahan aku.

Revolusi dalam jangka masa pendek memang banyak natijahnya. Sebab itu aku mengambil masa yang panjang mementaskan naskhah ini agar aku dapat menghasilkan sesuatu yang paling baik.

Tapi tidak mengapalah. Bukannya aku menyalahkan sesiapa. Dan aku sedikit pun tidak kecewa. Melihatkan aku sangat bangga dengan para pemain yang memberikan komitmen yang ultra luar biasa. Begitu juga rakan-rakan dari konsortium yang turun membantu, sedangkan aku tidak dapat pula membantu pementasan mereka secara serius sebagaimana mereka.

Terima kasih pada semua.

Perjalanan kita masih belum selesai. Masih ada baki dua pementasan di Tanjung dan mungkin di Terengganu dan Kuala Lumpur, jika ada rezeki lebih.

Tahun hadapan, masa untuk membentuk pengarah baru pula.

Siaplah!

Menjawab Tag

Aku bukan jenis orang yang sempat menjawab tag. Tag yang Keng bagi kat aku beberapa bulan yang lepas pun aku tak jawab lagi. Tapi memandangkan tag ini agak mudah, maka aku pun cuba jawab.

Memandangkan Crunchyahcock dan Sentuhanseni dan mengetag aku. Maka aku memaksa diri aku yang sibuk ini untuk cuba jawab jugak. Dan hasilnya

1. A person is only good when he/she want to be one.
2. Friendship is like a wind.
3. To love is to get ready to hurt and to be hurt.
4. Money makes you change.
5. I miss my lunch everyday.
6. My way of saying I care are not by words, but by doing things.
7. I try to spread love and happiness to whoever in need.
8. Pick the flowers when I found any rare species.
9. To love someone is to love somebody.
10. Beauty is in the eye of beholder.
11. When I was thirteen, what I remember the most was my bullying seniors.
12. When I was twenty one, I remember not remembering I’m 21.
13. I am most happy when with my family.
14. Nothing makes me happier than to know everybody are happy.
15. If i can change one thing, i will change that one thing to many things.
16. If smile were everything then everybody will be happy.
17. Wouldn't it be nice if there are no pollution at all.
18. If you want to be happy, then learn to bersyukur.
19. Money is not everything but it’s the only thing.
20. The most touching moments I have experienced is when my father died.
21. I smile when I remember my wife and my son.
22. When I am happy, i will belanja other people (kalau ada duitla)
24. The best thing i did yesterday is to complete my deadline.
25. I i ever write a book, I will give it this title, ‘Stop Dreaming of Utopia and Shangrila’
26. One thing I must do before I die is to go to haji pilgrimage.

10 July 2007

Ulasan Yang Terpulas - Degup Jantungnya





Komen dikemudian hari. Kerana aku sibuk memperkasakan Devian Dogma.
Seterusnya...... Devian Dogma.

08 July 2007

Ulasan Yang Terpulas - Plastik

Plastik karya Fae telah dipentaskan oleh Persada UiTM Pulau Pinang. Diarahkan oleh Amerul Akmal. Bagi sebuah kumpulan yang berteraskan tarian, aku rasa mereka telah berjaya menggunakan sepenuhnya bakat tarian mereka untuk dikoordinasikan dengan pementasan teater. Dan memandangkan ini percubaan pertama mereka di dalam pentas teater, aku boleh katakan mereka telah berjaya menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada sesetengah kumpulan yang telah lama mengambil bahagian di dalam festival ini.

Sebuah kritikan sosial yang secara terang dan terus, tentang sifat hipokrit manusia. Tiga isu dibentangkan melalui tiga watak manusia; lelaki yang dayus, wanita yang materialistik dan lelaki yang keliru jantina. Dan diwujudkan pula suara watak-watak ini yang menjadi penghasut logik setiap perbuatan mereka. Orang gila pula, sebagai watak protagonis walau pada akhirnya dikatakan juga lari dari sifat hipokritnya. Mudah. Visual suara hati tiga memulakan gerak.


Semestinya ada anomali yang ketara di dalam pementasan ini. Lakonan kesemua watak boleh diperbaiki lagi, walaupun harus aku puji kerana lebih baik dari sesetengah kumpulan lama yang ada. Ruang yang terlalu luas terbazir dengan pelakon yang sedikit serta kurangnya penguasaan ruang. Naskhah ini lebih kepada pernyataan demi pernyataan, jadi tiada hubungkait yang jelas antara watak terutamanya orang gila dan seperti sebuah cerita tanpa plot. Jadi terpulanglah kepada pengarah untuk menggarapnya. Sama ada mahu mencincang halus atau menelannya bulat-bulat. Visual lelaki, suara hati lelaki dan orang gila sedang berdebat.


Membuat sebuah cerita tanpa hubungkait watak, latar dan sebagainya tidak menjadi masalah sebenarnya. Tapi sebagai sebuah cerita, jalinan itu harus wujud dan nampak ketara. Filem Cinta dan Go adalah contoh yang mudah. Dalam Plastik, orang gila cuba dibangkitkan sebagai jalinan itu, tapi sayangnya watak ini tidak ditonjolkan permasalahannya. Ia cuma dijelaskan pada pengakhiran cerita dengan suara yang berdialog dengan dirinya sendiri. Adalah sangat menarik jika sedikit asal-usul watak ini dikembangkan agar dapat dicerna oleh penonton. Visual memaparkan watak wanita dan rakannya yang dalam proses mendapatkan papa manis.


Walaubagaimanapun, pujian harus aku berikan kepada kumpulan ini yang aku dapat tahu paling berdisiplin. Inilah yang kita mahu, disiplin di dalam teater. Selain daripada itu, sistem blackout untuk pertukaran babak dilakukan dengan pantas dan cantik, tanpa mengganggu konsentrasi audien. Sesuatu yang amat boleh dibanggakan bagi sebuah kumpulan yang baru. Nasihat aku pada kalian ini, banyakkanlah menonton teater, maka kalian akan dapat ilmu secara tidak langsung. Pedulikanlah cerita itu bosan atau tidak, baik atau tidak. Kerana disebalik limbahan pasti ada permata tidak kira kecil atau besar. Visual orang gila dengan tekanan perasannya, digambarkan melalui warna merah menyala dan pergerakannya.


Produksi yang telah menjayakan Plastik. Kami harap akan dapat bertemu kalian lagi di tahun hadapan. Dengan muka-muka baru. Janganlah berhenti sekerat jalan. Festival ini bukan tentang kemenangan, tapi tentang kepuasan dan hubungan sesama kita orang seni.

Seterusnya.....Degup Jantungnya.